Tuesday 22 July 2008

KITA PERLU MENOLEH

Kita perlu menghayati masa silam, memanfaatkan masa kini dan bersedia untuk mendepani masa hadapan. Andainya masa silam itu berupa kehancuran, ia bukan untuk diratapi. Walaupun sesekali ia menghiris perasaan, meskipun kekadang ia merobek hati bagaikan ditusuk belati. Ia seharusnya dijadikan pengajaran untuk melayari lautan hidup moga kita selamat berlabuh di ‘daratan sana’ nanti.

Kita perlu menoleh ke belakang, bukan untuk memberatkan fikiran atau menganggu tenang hidup. Tapi untuk untuk memaknakan kehidupan hari ini dan esok. Dengan itu kita akan lebih berhati-hati dan tidak terbabas tanpa pedoman, tidak tersasar tanpa haluan. Menoleh ke belakang yang saya maksudkan di sini ialah merenung kembali segala dosa dan noda yang telah kita lakukan, dan mengimbas semula segala amal ibadat yang telah kita pinggirkan.

Masih berdegil ! Tak mau menoleh ke belakang untuk merenung masa silam. Tidak mengapa sebab suatu ketika nanti kita terpaksa menoleh juga. Firman Allah dalam surah Al-Mukminun, ayat 99-100, ada memaparkan tentang sikap manusia yang terpaksa menoleh ke belakang.
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia, “Wahai Tuhanku, kembalilah daku ke dunia(hidup semula ke dunia), supaya dapat aku mengerjakan amal-amal salih yang telah aku tinggalkan.Tidak! Bahkan itu sesungguhnya hanya perkataan yang dia ucapkan, sedangkan di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula.”

Nyata benar dalam firman Allah itu tentang penyesalan orang-orang kufur dan ingkar. Mereka terpaksa menoleh ke belakang untuk mengenang detik-detik yang pernah mereka abaikan. Amal ibadat yang dibuat tidak peduli menyebabkan mereka menyesal kemudian nanti. Tapi sayang penyesalan tika ini tiada apa-apa erti. Sia -sia belaka dan tiada apa-apa makna di sisi Yang Maha Esa. Rayuan sekadar rayuan . Jadi janganlah tiba saat sakratul maut baru nak menoleh ke belakang. Mulalah menoleh dari saat ini, detik ini dan tika ini. Jangan tunggu hari esok, sebab esok hari mungkin kita tiada lagi di dunia ini.

Cuba renung pula Firman Allah dalam surah Yaasiin ayat ke -65 “ Pada waktu itu kami meteraikan mulut mereka, dan (memberi peluang kepada) tangan mereka untuk memberitahu kami(kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka usahakan.”


Renunglah ke dalam hati dan lakukan muhasabah ke atas diri sendiri. Tika mulut diam tanpa bicara. Kala tangan dan kaki mula berkata-kata. Segala tingkah laku kita semasa di dunia akan dibongkarkan tanpa rahsia. Ia menjadi saksi yang setia tanpa sebarang dusta. Muhasabahlah teman. Bermuhasabahlah. Tangan(simbolik kepada perbuatan) dan kaki(simbolik kepada langkah atau perjalanan). Apa yang kita lakukan dengan tangan dan kekuasaan yang Allah berikan. Kemana kita susun jejak dan atur langkah dengan kaki yang Allah anugerahkan. Cuba pejamkan mata dan cuba pula mencongak dalam fikiran. Berapa banyakkah dosa yang berkaitan tangan dan kaki yang pernah dilakukan? Masya-Allah sentiasa bertambah dan berganda sejajar dengan peningkatan usia. Cuba buat keluk atau graf. Namakan ia KELUK atau GRAF DOSA.





Wednesday 16 July 2008

Hassan al Banna, Pengasas Ihkwan Muslim - Muslim Brotherhood



Hassan al Banna, Pengasas Ihkwan Muslim - Muslim Brotherhood
Hassan al Banna (
14 Oktober 1906 - 12 Februari, 1949, Arab:حسن البنا) merupakan reformis sosial dan politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Jamiat al-Ikhwan al-Muslimun.

Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.


Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna, merupakan seorang seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan

Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang menulis kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam dan juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.


Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada

1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.. (Mitchell 1969, 1; Lia 1998, 22-24)
Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun
1922. (Mitchell 1969, 2; Lia 25-26). Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.


Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai

tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British. (Mitchell 1969, 3; Lia 1998, 26-27)
Pada tahun
1923, pada usia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sekolah latihan guru di Kaherah. Kehidupan di ibu negara menawarkannya aktiviti yang lebih luas berbanding di kampung dan peluang bagi bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya), tetapi dia amat terganggu dengan kesan Kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional. (Mitchell 1969, 2-4; Lia 1998, 28-30)
Dia turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka dengan peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian. (Mitchell 1969, 5)


Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.


Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.
Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, dia menulis bahawa dia bercadang menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak, agar dapat megajar mereka "matlamat agama dan sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Dia mendapat ijazah pada tahun

1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, bandar provincial terletak di Zon Terusan Suez. (Mitchell 1969, 6)


Al-Imam Hassan al-Banna kemudainnya menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun.
Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, dia melaksanakan matlamatnya memberi kelas malam bagi keluarga anak muridnya. Dia juga berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan, dan dia mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama. (Mitchell 1969, 7; Lia 1998, 32-35)


Dia sedih dengan tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya: kem ketenteraan British, kemudahan awam dimiliki oleh kepentingan luar, dan tempat tinggal mewah milik pekerja Syarikat Terusan Suez, bersebelahan dengan rumah haram pekerja Mesir. (Mitchell 1969, 7)


Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.


Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.


Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zohor 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.


Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

Monday 7 July 2008

DEKAT PADAMU


Tuhan tidak Pernah Menjauh
Tuhan tidak Pernah Meninggalkan Kita
Kerna Itu
Janganlah Pernah Meninggalkan-Nya.



DEKAT PADAMU. Itu destinasiku. MU! Yang saya maksud di sini ialah Tuhan. Kita ada Tuhan, kekal ada. Jadi jangan lupa Tuhan. Jangan pernah meninggalkan-Nya. Inilah yang ingin saya nyatakan di sini. Harap-harap, usaha kerdil ini mampu menyuburkan rasa berakidah dan menghidupkan rasa kehambaan. Mungkin bicara saya ini tidak berbekas di hati. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya saya mencuba. Usaha kerdil tapi hasrat saya murni. Insha Allah, Allah akan memberkati.



Ingin saya petik kata-kata seorang teman, “ Jika tidak mampu menjadi pelita yang menerangi malam, memadailah sekadar menjadi kunang-kunang yang menemani kegelapan.Setidak-tidaknya ada juga cahaya yang menerangi zulmat(gelap) malam, meskipun seminimum mungkin.”



Ayuh sahabatku, kita mulakan kembara rohani. Kita atur langkah dengan cermat, kita susun jejak dengan hati-hati. Kemudian terus melangkah dan jangan undur lagi. Redha Tuhan sedang menanti bersama derap langkah kaki.



*****************************


Kekadang, kita sering tertanya-tanya. Sesekali, kita acap terfikir. Benarkah Tuhan dekat dengan kita. Iya! Ia sentiasa dekat dan tidak pernah menjauh. Cuma kita yang sering kali menjauhkan diri dari-Nya. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat. Kitalah yang membina jarak yang sebegini hebat. Lantaran antartika kejahilan yang menebal dan horizon pemikiran yang menyempit. Akhirnya kita tercunggap mencari di mana Tuhan.
Sesetengah dari kita, hanya mendekatkan diri kepada-Nya setelah ditimpa bencana yang menusuk hati dan menembusi emosi. Lantas Tuhan didekati untuk menyembuh duka dan merawat lara. Tidak mengapalah, itu jauh lebih bermakna daripada terus menjauh hingga ke penghujung nyawa. Setidak-tidaknya masih ada naluri ingin bertuhan. Sekurang-kurangnya masih ada rasa kehambaan, walau sekelumit cuma.


******************************


Pernah satu waktu, tika saya didatangi mehnah(dugaan). Seorang sahabat yang berbangsa kadazan dan beragama Kristian sudi mengongsi rasa. SMS dikirimkan kepada saya, katanya “Kita diberi dugaan oleh Tuhan, maksudnya Tuhan sayangkan kita.” SMS seterusnya saya terima pada tika dan detik yang lain, begini bunyinya “Tak semua benda yang kita mau akan kita dapat. Tuhan ambil, tapi mungkin Ia akan ganti dengan yang baru. Jika difikir secara mendalam, kita sebenarnya beruntung.” Ada lagi SMS yang lain, semuanya saya simpan dengan rapi dalam hanphone dan dalam hati. Sebagai rujukan tatkala susah nanti.
Terima kasih sahabatku, kerana secebis simpati darimu. Walaupun berbeza akidah, kau tetap gelisah tatkala aku gundah. Meskipun berbeza agama, kau sudi memahami gelodak jiwa yang sedang aku rasa. Yakinlah aku, beza kepercayaan bukanlah alasan untuk tidak teguh bersatu dan bukannya penghalang untuk erat berpadu.


********************************


Tuhan sentiasa dekat. Saya ulangi lagi sekali, Tuhan sentiasa dekat. Renungi firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 186, “Dan apabila hamba-hambaku bertanyakanmu( Wahai Muhammad) tentangku. (Maka jawablah) Sesungguhnya Aku ini hampir. Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaku apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan(menunaikan perintahku) dan beriman kepadaku. Mudah-mudahan mereka sentiasa berada di atas petunjuk.”



Itu firman Tuhan, dan bagaimana pula dengan sabda Nabi. Cuba belek Shahih Bukhari dalam kitab Iman, atau buka sahaja kitab Hadis 40, Imam al-Nawawi( Hadis ke-2). Hadis yang panjang tetapi saya hanya fokuskan apa yang ingin saya sampaikan. “ ………….. Dia bertanya lagi, beritahulah kepadaku tentang ihsan. Nabi s.a.w menjawab, hendaklah engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak boleh melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu.” Dia yang bertanya dalam hadis ini ialah malaikat Jibril yang datang bertanyakan Nabi tentang islam, iman dan ihsan juga tentang hari qiamat.



Jelas Allah begitu dekat dengan kita, tapi mungkin kita tertanya-tanya. Jika Allah dekat dengan kita kenapa Ia tidak mendengar permintaan( makbulkan doa-doa) kita. Sahabat, janganlah berburuk sangka. Yakinlah, Allah tidak pernah menuli dan buat tidak reti. Allah juga tidak pernah membisu dan buat tidak tahu. Allah Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Memahami. Cuba renungi hadis ini, “ Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan sesuatu doa yang tidak ada didalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari tiga perkara, sama ada disegerakan untuknya(dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat(diberi balasan pahala di akhirat), atau diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya.”



Saya ingin fokuskan kepada yang ke-3, iaitu diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya. Betapa ramai antara kita yang impikan kekayaan, tetapi kita lupa adakalanya kekayaan akan membuatkan kita sengsara. Ada juga antara kita yang mengharapkan Mahkluk Tuhan Paling Seksi sebagai teman sejati, tetapi Allah tidak memperkenankan hasrat , sebab mungkin ia akan menyebabkan kita menjadi Makhluk Tuhan Paling Seksa suatu ketika nanti. Mungkin kita bersedih sebab hasrat kita tidak makbul. Tetapi jangan lupa, sebab pandangan mata kita amatlah terhad(hanya nampak pada yang zahir dan tersirat) sedangkan pandangan Allah menyeluruhi alam. Tiada seincipun yang terlepas dari pandangan-Nya. Jadi jangan kecewa, jangan gundah dan gulana. Jom, kita dekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan doa kepada-Nya. Pasakkan naluri bertuhan dalam hati nurani. Biar ia meresap ke dalam tubuh dan berdarah daging dalam jasad. Lantas, kita akan sentiasa teringatkan Tuhan setiap kali nadi berdenyut dan setiap ketika jantung berdegup.



Kini, kita harus mengerti, sesungguhnya kita tidak pernah tewas dalam hidup. Selagi ada Tuhan bersama kita (kasih sayang dan rahmat-Nya) selagi itulah kita berhak mengistiharkan diri sebagai pemenang. Biarlah hangus terbakar, biarlah lemas tengelam, biarlah terkoyak hati dan tercalar perasaan. Kita tetap pemenang.

Saya bukan mencipta mitos tetapi ini kenyataan.
Renungi Firman Tuhan dalam surah al-Baqarah ayat 154, “ Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesiapa yang gugur dalam perjuangan membela Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak mengetahui keadaan mereka.”




TAMAT

Sunday 6 July 2008

LELAKI ITU

Lelaki itu
pengemis yang setia
Bukan menagih simpati di kaki lima
Tapi perayu firman dan sabda
Lelaki itu
Bukan kekasih separuh masa
Tetapi pengabdi yang setia
Agar kita sentiasa bahagia
Tiap saat dan ketika
Lelaki itu
Penyinar malam yang zulmat
Agar kita tidak teraba-raba tanpa haluan
Bagai kelkatu yang bercumbu dengan penuh rindu
Pada kerlipan lampu


Lelaki itu benar-benar hebat. Beliau seorang sahabat Nabi yang terbilang dan gemilang. Digelar BENDAHARAWAN HADIS lantaran kehebatannya mengingati hadis-hadis Nabi. Malah dialah sahabat yang paling banyak mengingati hadis-hadis Nabi. Asalnya dari Yaman dan datang ke Madinah pada tahun ke-7 Hijrah lalu memeluk islam. Ternyata kelewatannya memeluk islam tidak menghalang penguasaannya terhadap sabda Nabi junjungan. Jangan hairan, sebab Ibn Abbas pun masih kecil sewaktu hayat Nabi s.a.w. namun, keilmuannya dalam beberapa hal mengatasi beberapa orang sahabat yang jauh lebih senior darinya. Malah Tiga Abdullah sangat dikagumi tika dan saat itu. Antaranya ialah Abdullah bin Abbas(yang dikenali sebagai Ibn Abbas), Abdullah bin Umar(Ibn Umar, terkenal juga kerana fiqhnya yang ketat dan susah) dan Abdullah bin Mas’ud( Ibn Mas’ud, terkenal juga kerana fiqhnya yang longgar dan mudah). Lelaki itu yang saya maksudkan ialah Abu Hurairah.

Kembali kepada Abu Hurairah, beliau mengetahui lebih banyak hadis berbanding sahabat-sahabat yang lain lantaran dirinya yang sentiasa berada di samping Nabi. Sewaktu sahabat dari Muhajirin dan Ansar sibuk dengan urusan masing-masing, beliau pula ‘menyibukkan’ diri bersama Nabi.


Pernah suatu ketika, Gabenor Madinah( Marwan bin Hakam), ingin mencuba dan menguji kekuatan ingatannya. Beliau ditanya tentang beberapa buah hadis dan tanpa pengetahuannya terdapat pencatat di sebalik tabir yang mencatat apa yang dikatakannya. Setahun kemudian beliau dipanggil untuk menceritakan tentang apa yang pernah diajukan kepadanya dahulu. Gabenor itu benar-benar teruja kerana apa yang diceritakan oleh Abu Hurairah betul-betul sama dengan apa yang diceriakan dahulu, tanpa sedikitpun tokok tambah.


Menurut Imam Bukhari, terdapat 800 orang Tabien yang meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah. Timbul satu isu yang seringkali digunakan oleh golongan Orientalis barat , puak-puak syiah dan golongan anti-Hadis( Mereka mengecam dan menuduh Abu Hurairah melampau-lampau dalam meriwayat Hadis kerana isu ini). Iaitu tentang lama tempoh masa pergaulan antara Abu Hurairah dengan Nabi s.a.w. Ada sumber yang mengatakan beliau hanya sempat bersama Nabi selama 4 tahun( pertama kali bertemu pada tahun berlakunya perang khaibar hingga baginda s.a.w wafat), ada juga sumber yang mengatakan hanya 3 tahun sahaja sempat bersama Nabi. Malah sumber dari Abu Rayyah, mengatakan abu hurairah hanya sempat 21 bulan bersama Nabi. Walau apapun sumber, yang pasti hayat perkenalan dan persahabatan antara beliau dengan Nabi amatlah singkat namun keintimannya dengan nabi membolehkan beliau menguasai hadis-hadis Nabi melebihi sahabat-sahabat yang lebih senior.

Menurut Ibn Jauzi, Abu Hurairah meriwayatkan 5374 hadis dalam Musnad Baqi dan 3848 dalam Musnad Ahmad. Menurut Ahmad Syakir, setelah disisihkan hadis-hadis yang berulang, maka terdapat 1579 hadis sahaja yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Apa yang pasti beliau adalah tokoh yang mengkagumkan kerana dalam tempoh 3 tahun tetapi mampu meriwayatkan lebih kurang 1579 buah hadis.

Setelah sekian lama menabur jasa terhadap agama Allah, akhirnya beliau dijemput Rabbul Izzati pada tahun 59 Hijrah.