Thursday 11 September 2008

TOKOH HADIS IMAM YAHYA BIN MA'IN


Imam az-Zahabi dalam kitabnya "Siyar A'lamun Nubala" menyatakan: "beliau ialah al-Imam al-Hafiz al-Jihbiz (pakar hadis), Sayyidul Huffaz, Malikul Huffaz, Syeikhul Muhaddisin, Abu Zakariyya, Yahya bin Ma'in bin Aun bin Ziad bin Bistom. Beliau bukanlah berketurunan arab, cumanya beliau menjadi wala' (dan dianggap sebahagian daripada) Bani Mur (satu kabilah arab). Kerana inlah beliau digelar al-Murri.


Dilahirkan dan dibesarkan di Baghdad. Dan beliau merupakan salah satu tokoh muhaddisin yang agong. Dilahirkan di Baghdad pada 158H, dan membesar di situ. Mula menulis ilmu-ilmu ketika usianya belum mencecah sepuluh tahun. Ayahnya merupakan salah seorang pegawai yang hebat kepada Abdullah bin Malik, pembesar ar-Ray (nama kawasan). Ayahnya meninggalkan pusaka untuknya sebanyak satu juta darham, dan kesemuanya itu habis dibelanjakannya untuk mencari dan mempelajari hadis sehinggalah sampai kepada tahap yang mana beliau tidak mempunyai selipar untuk dipakai.


Beliau pernah mengambil hadis daripada Abdullah bin al-Mubarak, Husyaim bin Basyir, Ismail bin Iyash, Sufyan bin Uyainah, Abdul Razaq as-Son'ani di Yaman, Waki' bin al-Jarrah, Yahya bin Said al-Qattan, Abdul Rahman bin Mahdi dan ramai lagi, samada di Iraq, Syam, Semenanjung Arab, Mesir dan Hijaz. Antara yang mengambil hadis daripada beliau pula ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Dawuud, Abbas ad-Duriy al-Baghdadi yang merupakan periwayat ilmunya, Abu Zur'ah ar-Rozi, Abu Hatim ar-Rozi, Usman bin Said ad-Darimi, Abu Ya'la al-Mausili dan ramai lagi yang tidak terhitung ramainya.


Ibnu Ma'in menulis satu juta hadis dan menulis satu hadis yang sama sebanyak lima puluh kali.
Berkata Ali bin al-Madini: "Kemuncak ilmu manusia terhenti pada Yahya bin Ma'in. Berkata Abdul Khaliq bin Mansur: “aku pernah berkata kepada Abdullah bin ar-Rumi: aku mendengar beberapa rang yang mengambil (belajar) hadis daripada Yahya bin Main mengatakan bahawa : “telah menceritakan kepada kami oleh seorang yang tidak pernah terbit matahari kepada seorang yang lebih hebat daripadanya” (mereka maksudkan ialah Yahya bin Ma'in.), lalu Abdullah bin ar-Rumi menjawab kepadaku: “adakah engkau merasa hairan (dengan gelaran tersebut)”? Aku sendiri pernah mendengar bahawa Ali bin al-Madini menyatakan bahawa: “Aku tidak pernah melihat manusia sehebatnya, dan kami tidak tahu seorang pun semenjak Nabi Adam lagi yang menulis hadis sebanyak apa yang ditulis oleh Yahya bin Ma'in”.


Berkata Muhammad bin Nasr al-Marwazi: “aku pernah mendengar Yahya bin Ma'in menyatakan : "aku telah menulis dengan tanganku ini satu juta hadis". Berkata Imam az-Zahabi: "Yang beliau maksudkan dengan bilangan yang begitu banyak ini ialah beliau mengulang-ngulang menulis satu hadis yang sama. Tidakkah kamu lihat yang mana beliau pernah nyatakan bahawa: "Kalaulah kami tidak menulis sesuatu hadis itu sebanyak lima puluh kali, nescaya kami tidak akan kenal (hafal) hadis tersebut".
Semua hadis yang tidak dikenali oleh Yahya bin Ma'in bukanlah Hadis.


Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Mana-mana hadis yang tidak diketahui Yahya bin Ma'in, maka sebenarnya ia bukanlah hadis. Memang Allah SWT ciptakan beliau untuk perkara ini (hadis), kerana itulah beliau mampu menjelaskan pembohongan para pemalsu hadis". Berkata Abu Hatim ar-Razi: "Kalaulah kamu melihat seorang Iraq yang menyayangi Ahmad bin Hanbal, maka ketahuilah bahawasanya orang itu adalah ahli sunnah, dan jika kamu melihat seorang Iraq yang membenci Yahya bin Ma'in, maka ketahuilah bahawasanya orang itu adalah pembohong (pereka hadis palsu)".


Metodologi Pengajian Yahya bin Main Dalam Ilmu Hadis
Ibnu Ma'in berkata: "Bila kamu belajar dan menulis hadis, maka tuliskanlah apa sahaja yang kamu dengar (supaya kamu juga dapat mengetahui hadis-hadis palsu), tetapi bila kamu mengajar hadis, maka selidikilah (pastikan hanya hadis sohih sahaja yang kamu ajari itu)". Manhaj yang dibawa oleh Yahya bin Ma'in merupakan manhaj terbaik dalam mencari ilmu dan menyebarkannya. Kata-katanya tadi meupakan perlembagaan yang diambil oleh para muhaddisin dan para ulamak dalam mencari dan menyebarkan hadis.


Banyaknya kitab-kitab yang ditinggalkan oleh Yahya bin Ma'in
Al-Hafiz Solih bin Ahmad mendengar daripada Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah berkata: ayahku menyatakan bahawa Yahyan bin Main telah meninggalkan sebanyak 114 rak buku dan 4 bakul kayu yang penuh berisi kitabnya.


Ibnu Ma'in sentiasa menghalau pembohongan dan pemalsuan terhadap Nabi s.a.w.
Yahya bin Ma'in ini bila mana beliau mengerjakan haji, beliau akan ke Mekah melalui jalan Madinah, dan bila pulang daripada Mekah pun, beliau akan pulang melalui jalan Madinah. Ketika mana beliau keluar mengerjakan haji pada tahun 233H, beliau sampai di Madinah sebelum mengerjakan haji, iaitu pada penghujung bulan zulqaedah. Dan beliau ditimpa sakit serta meninggal pada 23 zulqaedah. Maka orang ramai saling memberitahu mengenai kedatangan beliau dan kematian beliau. Keluarga Bani Hasyim pula mengeluarkan kayu /katil tempat di mana Rasulullah s.a.w. dimandikan. Dan beliau dimandikan di atasnya, Dan sesudah selesai sembahyang jenazah, beliau dikuburkan di perkuburan Baqi'. Para hadirin saling menyebut-nyebut bahawa inilah dia orangnya yang sentiasa menghalang pemalsuan terhadap Nabi s.a.w.


(Artikel ini adalah secebis terjemahan yang dibuat oleh Ustaz TMSTI,pensyarah KIAS Nilam Puri Kelantan. daripada kitab “Nilai Masa Di Sisi Ulamak” karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Semoga kita mengenal tokoh agung ini yang banyak berjasa kepada agama.)

SEKADAR BICARA DARI SAYA( TENTANG RINDU, KASIH DAN SAYANG)


SEKADAR BICARA DARI SAYA( TENTANG RINDU, KASIH DAN SAYANG)


SM Sains Lahad Datu(SMSLD), satu nama yang telah terpahat utuh di hati dan terpasak kukuh di sanubari. Saya akan sentiasa ingat segala pahit dan manis sewaktu berkhidmat di SMSLD dan percayalah saya takkan lupakan sampai ke mati. Percayalah, cinta saya tertinggal di Lahad Datu. Ia ada di setiap ruang dan sudut SMSLD. Jika ditanya tentang rindu, khabarkanlah ia berada di perpustakaan. Andai ditanya tentang kasih, nyatakanlah ia berada di bilik teknik vokasional dan di bilik SPBT. Kalau ditanya tentang sayang, jawablah ia berada di setiap kelas dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.


Saya sungguh berbangga kerana pernah menjadi warga SMSLD, meskipun seketika cuma. Tapi ia sudah cukup untuk memahamkan saya makna pendidik. Sudah memadai untuk memengertikan saya hakikat seorang guru. Ia satu tanggungjawab dari Allah yang wajib dilunasi. Sememangnya amat tegar di hati saya, tugas mendidik amatlah mulia, jadi sudah tentu banyak mehnahnya dan berliku tribulasinya.


Jujur, bukan SMSLD yang saya cari atau tempat yang ingin saya berkhidmat tetapi ia telah dihadapkan Tuhan kepada saya. Maksud saya, saya telah ditakdirkan untuk berkhidmat di SMSLD. Mungkin untuk memberikan saya makna hidup atau mungkin Tuhan inginkan saya memperolehi pengalaman merantau jauh di sebuah bumi yang agak asing. Saya anggap ini sebagai kembara hidup. Sesudah habis mengembara nanti, saya perlu kembali ke tempat bermula. Perlu saya maklumkan, Sewaktu memohon untuk penempatan(posting) dahulu, pilihan pertama saya ialah negeri Kedah, diikuti Perak, Melaka dan Johor.


Malah saya amat menyakini, saya tidak akan dihantar ke Sabah atau Sarawak kerana semua kawan-kawan saya yang ditempatkan ke Sabah dan Sarawak telah menerima “surat undangan” sebelum 10. Jun 2001. Mengikut kebiasaannya, guru-guru yang bakal ditempatkan ke Sabah dan Sarawak akan dimaklumkan awal-awal lagi manakala guru yang ditempatkan ke Semenanjung akan dimaklumkan kemudian. Walaubagaimanapun, ternyata teori itu tidak menjadi dan andaian itu tidak tepat. Kerja Tuhan tiada siapa yang tahu. Tanpa diduga dan tiada disangka, akhirnya surat penempatan(saya istilahkan surat undangan) ke SMSLD telah dbertandang ke rumah saya di Kelantan pada 15. Jun 2001(3 hari sebelum tarikh kami dikumpulkan di Hotel Midah Kuala Lumpur). Ini rencana daripada Tuhan. Sekali lagi saya tegaskan, kerja Tuhan tiada siapa yang tahu.


Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Sabah, saya dan guru-guru baru, telah dikumpulkan sekali lagi di hotel Promenade Kota Kinabalu. Di sini sekali lagi kami diberi taklimat tentang daerah dan sekolah yang bakal kami berkhidmat. Macam-macam karenah para guru setelah mendengar taklimat itu. Ada yang gembira dan ada yang bersedih. Tidak ketinggalan yang menangis. Seingat saya , 3 orang rakan dari USM, menangis teresak-esak setelah mengetahui akan ditempatkan di Pulau Banggi dan Terusan Sugut. Keesokannya harinya, mereka terus membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke Semenanjung.


Saya masih ingat hari-hari yang saya lewati sepanjang berada di Lahad Datu. Bermula dengan ketibaan saya di lapangan terbang Lahad Datu tika lewat senja. Cikgu Khaira Rajab dan cikgu Azman Paadek, diamanahkan menyambut kedatangan saya. Tidak lama kemudian cikgu Azaman(PK HEM tika itu)menjemput saya dan membawa saya ke SMSLD. Sepanjang perjalanan hati saya tidak keruan. Gundah dan resah saling bertindih. Apa tidaknya, sepanjang perjalanan hanya ladang kelapa sawit yang kelihatan. Sampai sahaja di sekolah, saya ditempatkan di bilik warden bersama cikgu Asrul dan ustaz Kamal selama seminggu. Sungguh sunyi waktu ini. “Bahagiakah aku di sini”. Hati saya berbisik sendiri. Bermula dari sinilah terciptanya detik-detik suka duka di SMSLD.


Istimewanya SMSLD, ialah jumlah pelajarnya yang tidak ramai. Justeru, ia memudahkan saya mengingati nama-nama pelajar sekaligus mengeratkan hubungan antara kami. Saya anggap setiap pelajar sebagai adik. Kemesraan yang terbina memudahkan lagi proses pembelajaran dan pengajaran. Jadi, jangan hairan jika saya berada di sekolah tidak kira siang dan malam. Wahai pelajarku, izinkan aku memangilmu sebagai adik-adikku. Kalian adalah sebahagian daripada kehidupan silamku. Aku masih terkenangkan kalian. Walaupun sesekali, meskipun kekadang. Namun kenangan bersama kalian mampu membuat aku tersenyum meskipun dalam kedukaan. Selamat berjuang adik-adikku. Moga Allah memberkatimu.


Saya akan abadikan SMSLD dalam diri saya. Biar ia sebati sampai bila-bila dan di mana-mana. Ikhlas, saya katakan, hati saya masih di SMSLD meskipun jasad saya di sini. Bangga juga untuk saya melafazkan SABAH TANAHAIRKU. Kepada para sahabatku(rakan-rakan guru), perjuangan kita belum selesai. Ia berterusan hingga ke penghujung nyawa. Ia berkekalan hingga denyut nadi yang terakhir. Kerana kita adalah pendidik dan pendidik adalah kita.


Kini, setelah hampir dua tahun saya meninggalkan SMSLD, dan berkhidmat di Chemor Perak. Memang terasa bezanya. Amat ketara situasinya. Namun apa yang pasti SMSLD sentiasa berbekas di hati dan tidak akan sekali-kali saya biarkan ia berlalu dari ingatan. SMSLD, CINTA SAMPAI MATI.