Monday 6 April 2009

BILA GURU BERPOLITIK

Jika hari ini seorang menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Siapa saja menjadi dewasa,
Sejarah hanya dimulakan oleh seorang
Guru biasa.

Mulianya kerjaya guru. Berdasarkan sajak Allahyarham Usman Awang ini, kejayaan mereka ( menteri, raja, presiden, ulama, peguam dan penulis) dilakarkan oleh seorang insan yang bergelar guru.

JIKA HARI INI SEORANG MENTERI BERKUASA. Ayat ini saya renung berulang kali. Kenapa? Sebab sejak akhir-akhir ini ada cadangan agar guru dibenarkan berpolitik. Bukankah menjadi menteri itu(sebab nak jadi PM dan TPM terlalu sukar dan teramat payah) adalah kemuncak cita-cita seseorang politikus.

Tugas guru semakin mencabar. Mereka perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik anak bangsa. Mereka perlu mencari metode yang tepat agar ilmu yang diberi dapat dihadam dengan mudah dan cepat. Kepada para guru( juga kepada diri sendiri kerana saya juga salah seorang daripada mereka) eloklah dibaca novel Memoir Seorang Guru, yang ditulis oleh bekas seorang guru(ustaz) Azizi Haji Abdullah. Bijak sungguh cikgu Azizi menegur para guru dengan memaparkan konflik bapa dengan anaknya. Si bapa tidak mengizinkan anaknya menjadi guru kerana tugas guru terlalu mencabar. Ia memang mulia tapi, jika tersilap langkah ia akan megundang dosa. TERLEWAT masuk kelas walaupun sekadar satu minit sudah cukup untuk kita dituduh sebagai PELIWAT kesucian profesion ini. Sudah memadai untuk kita digelar perompak wang rakyat jika mendidik murid sekadar acuh tak acuh, sebab kita merampas hak orang lain yang mungkin lebih layak menjadi guru ( cuma nasib tidak menyebelahi mereka dalam permohonan KPLI yang di adakan) Nah! Berat sekali tugas guru. Berfikir baik-baik wahai adik-adikku yang ingin memohon KPLI.

Tapi, jika diizinkan berpolitik, saya amat menyakini, mereka yang bergelar guru ini akan terkejar ke sana- sini dan memerah otak memikirkan itu dan ini demi kepentingan parti yang mereka sokongi. Mereka akan menjawat jawatan ketua cawangan dan ketua bahagian. Setiausaha Cawangan/Bahagian. Atau jadi Biro itu dan Biro ini di dalam parti.
Tidak mustahil juga, jika ada guru yang menyuntik fahaman politik masing-masing kepada murid-murid yang masih hijau. Ini virus yang berbahaya sebab murid-murid ini belum dibekalkan dengan vaksin yang dapat mempertahankan mereka dari penyakit ‘gila politik dan politik gila’( ini dua istilah yang amat berbeza).

Sepatutnya para guru hanya ghairah berpolitik sewaktu pilihnraya sahaja (umum mahupun kecil). Itupun sekadar sebagai pengundi sahaja. Ghairah berlebihan terhadap politik akan menyebabkan masa depan anak bangsa kita tergadai. Oh! Risaunya.