Friday 26 February 2010

lemas DI DARATAN



Luasnya lautan tak terjangkau dek mata. Dalamnya lautan tak terduga dek akal. Luas dan dalam yang telah meragut jutaan nyawa sejak zaman berzaman. Ia menelan sesiapa sahaja,tanpa mengira darjat, usia dan keturunan.

Lemas! Ia sungguh mengerikan. Kulit merekah dan tubuh membengkak, begitulah lazimnya keadaan mayat seseorang mangsa lemas. Itu kisah lemas di lautan. Kisah ngeri yang sentiasa berulang. Mereka yang mati kelemasan itu adakalanya terdiri daripada pejuang dan adakalanya seseorang petualang. Nelayan contohnya, mereka itu pejuang yang meredah lautan untuk mencari rezeki yang tersembunyi di dasarnya. Walau dipanggang terik matahari, mereka redha dan pasrah demi menyara anak dan isterinya. Si petualang pun ada juga yang mati di laut. Sehebat-hebat petualang yang mati kelemasan ialah Firaun ketika mengejar Nabi Musa A.S






Ini pula kisah lemas di daratan. Kisah yang tidak pernah tamat dan tak mungkin akan tamat. Sejak zaman berzaman, ada sahaja manusia lemas di daratan, di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja. Mereka ini terdiri daripada manusia yang impikan kekayaan yang tidak terjumlah. Mereka anggankan kemewahan yang tidak terhitung. Kotak fikirnya tidak pernah sunyi dari memikirkan strategi untuk melipatgandakan keuntungan, meskipun dengan cara yang keji dan kejam.

Saya tergerak hati untuk menulis entry ini setelah terbaca kisah SEORANG EKSEKUTIF SYARIKAT TELEKOMUNIKASI yang berjaya mengaut keuntungan RM11 JUTA dengan menjual KLIP VIDEO LUCAH menerusi SMS. Rupa-rupanya makhluk inilah yang menghantar SMS yang sebegitu keji selama ini. Makhluk ini memang kejam, sekejam pengedar dadah. Ya! Apa tidaknya, bayangkan betapa ramainya manusia yang rosak kerananya selama ini. Berapa banyak kes zina dan rogol, juga kes buang bayi hasil perzinaan yang didorong oleh video klip lucah yang dijual olehnya. Makhluk ini dikatakan telah memiliki kemewahan yang melimpah ruah termasuklah memiliki kereta porche dan BMW, walaupun gajinya hanya RM 4 ribu sebulan.






Mari kita adakan post mortem, kenapa manusia yang sebegini ( minta Allah jauhkan kita dan keturunan kita semua dari dijangkiti sikap sebegini) lemas di daratan.
PUNCANYA SATU SAHAJA, iaitu kerana memiliki keinginan seluas SEGARA (lautan) dan mempunyai kehendak sebesar BUANA (bumi). Tapi sayang, kemampuan pula sangat terhad dan amat terbatas. Umpama ingin memeluk gunung dan ibarat hendak memetik bintang, tapi sayang tak tercapai dek tangan. Begitulah dengan mereka ini. Berbekalkan ‘kekerdilan’ pendapatan, mereka ini ingin ‘menjelmakan’ kekayaan Bill Gates, Warrant Buffet, Paul Allen dan Laksmi Mital dalam hidup dan kehidupan. Kata orang-orang kampong saya di Bachok Kelantan, golongan macam ini ialah golongan yang tidak mampu mengukur baju di badan sendiri(hehehe, bukan org Bachok jer, org di tempat lain pun guna peribahasa ni juga).


Begitulah manusia, tidak pernah cukup dengan apa yang ada. Gaji dan pendapatan meskipun sentiasa bertambah(dari setahun ke setahun) namun tetap dirasakan masih kurang dan belum mencukupi. Ada-ada saja keinginan dan kehendak yang perlu dimakbulkan. Benarlah sabda junjungan mulia, Nabi S.A.W “Jikalau anak Adam memiliki dua lembah berisi harta, pasti diingininya lagi lembah yang ketiga.”

Jadi, sempena maulidur rasul, ada baiknya kita merenung hadis ini. Sesungguhnya bersyukur dengan rezeki yang dimilikki dan berpada-pada dalam hidup dan kehidupan termasuk dalam kategori mengasihi Nabi. SALAM MAULIDUR RASUL BUAT SEMUA.

Tuesday 16 February 2010

LOMPAT SI KATAK LOMPAT





Katak! Siapa yang tak kenal katak. Sejenis AMFIBIA yang terdapat di mana-mana sahaja. Kalau dari segi Fiqh, ia glamour dengan istilah BINATANG DUA ALAM yang haram untuk di makan. Masyarakat dahulu kala pula menganggapnya sebagai binatang PEMANGGIL HUJAN. Di kalangan kaki pancing pula, si katak ni seringkali juga dibuat umpan. Ada macam-macam katak, tapi yang popularnya ialah katak puru dan katak pisang.

Entah mengapa, tiba-tiba saya teringatkan sang katak. Bukan teringatkan fizikalnya tapi terkenangkan lompatannya. Manusia yang terkena sindrom katak atau virus lompat-melompat turut memiliki ciri-ciri yang sama dengan katak. Bezanya, lompatannya lebih tinggi dari atlet lompat tinggi dan lebih jauh dari atlet lompat jauh. Saya risau, sebab sindrom katak atau virus lompat melompat ini semakin menjadi-jadi dan menggila-gila di dalam negara. Setelah merenung-renung dan berfikir-fikir, memerhati dan meneliti, akhirnya saya simpulkan terdapat tiga jenis lompatan yang dihasilkan oleh manusia yang terekna sindrom katak ini. Pertama, lompatan TAK BERMORAL, kedua pula, Lompatan BERBAHAYA, dan ketiga lompatan CELAKA



LOMPATAN TAK BERMORAL ni berlaku dalam dunia siasah dan melibatkan para politikus. Ia terhasil kerana kecewa dan lebih tepat lagi kerana tak kesampaian hasratnya ketika bersama parti lamanya. Lalu, melompatlah ia ke parti yang lain. Di Perak sahaja, ada tiga ekor species yang sebegini, hingga jahanam kerajaan yang lama di negeri itu. Di kedah pun ada juga. Baru-baru ni ia berjangkit pula ke Pulau Mutiara. Kalau dikaji dari sudut sejarah, dahulunya, virus ini menyerang negeri Di Bawah Bayu. Ia telah menjangkiti majoriti YB yang memerintah negeri itu. Akhir sekali mampuslah kerajaan PBS pimpinan Pairin Kitinggan. Walau apapun, sehebat-hebat katak melompat, tetap tidak dapat mengalahkan sang katak dari Pasir Mas. Ini katak hulubalang. Ini katak berdarah patriotik dan berjiwa nasionalis. Lompatannya perkasa sekali sepertimana PERKASA yang dipimpinnya. Lompatannya hebat sekali, tak pernah dibuat orang semenjak Melaka didirikan hinggalah ke pembentukkan Malaysia diistiharkan. Dari UMNO, dia melompat ke BERJASA, lepas tu UMNO balik, lepas tu Semangat 46, lepas tu UMNO balik, lepas tu berkecuali bernada pembangkang dan lompat lagi kepada berkecuali bernada kerajaan.


Doa saya satu sahaja, agar LELAKI ITU( yang saya gelar si katak dari Pasir Mas) terus gagah perkasa untuk memperkasakan PERKASA. Biarlah PERKASA terus berjasa untuk agama, nusa dan bangsa. Harapan saya juga satu sahaja, janganlah membiarkan PERKASA di perkosa oleh ‘tangan-tangan’ yang lebih berkuasa. Pesanan saya juga satu sahaja, jika LELAKI ITU( yang saya gelar si katak dari Pasir Mas) ingin melompat lagi, kenalah minum susu setiap hari untuk memperolehi bekalan kalsium yg mencukupi. Saya risau LELAKI ITU kepatahan betis, paha dan kaki semasa melaksanakan aktiviti lompat-melompat ni. Maklumlah, dalam umur yang sebegini, mudah benar mengalami kerapuhan tulang atau osteoporosis.




Sejujurnya, dalam hal ini ,saya tidak bias atau berpihak kepada mana-mana parti. Nak salahkan BN seratus peratus di atas kewujudan katak-katak sebegini pun tak boleh juga. Sebabnya Penasihat PKRlah yang memulakan kempen ‘MARILAH MENJADI KATAK’ demi menjayakan wawasan 16 September 2009. Cuma yang pasti, segala katak-katak ini( termasuk ADUN BOTA yg menjadi katak sekelip mata ) telah mempermainkan rakyat jelata.
Kasihan sungguh kepada rakyat dan pengundi. Mereka berkerja waktu siang dan berjaga ketika malam demi memenangkan calon dari parti yang dia sokongi. Sanggup panjat pokok kelapa untuk tampal poster dan bendera. Ada yang sanggup berpanas dan berhujan, malah ada yang tak hiraukan minum dan makan demi parti yang dia sayang. Tiba-tiba calon yang mereka harapkan mula berubah haluan dan bersimpang jalan setelah menang. Oh! Betapa kecewanya mereka. Jadi secara jujurnya saya anggap lompatan yang sebegini sebagai lompatan tak bermoral. Lompatan yang telah menafikan jerit perih para pengundi. Jadi, kepada katak-katak yang sebegini ( tak kira dari parti mana sekalipun baik BN mahupun PR) eloklah undur diri dan istiharkan kekosongan kerusi, kalau tak, YB akan dibenci sepanjang hayat YB yang masih berbaki. YB harus buktikan, kemenangan YB adalah kerana ketokohan yang YB miliki dan bukannya kerana menagih ihsan parti.
Cubalah YB lihat sejarah politik di India, lihat sahaja ketokohan dan populariti Maruthur Gopala Ramachandran atau lebih dikenali sebagai MGR(pelakon tamil yang hebat sekitar tahun 50-an dan 60-an). Walaupun telah disingkirkan oleh Parti Kongres dan Parti DMK, tapi beliau telah menggunakan popularitinya untuk menubuhkan Parti ADMK. Lagi hebat kerana popularitinya itu membolehkannya menang besar dalam pilihnaraya, sekali gus menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu pada tahun 1977. Buat SPR pula, alangkah baiknya jika digubal undang-undang baru, wajibkan kekosongan kerusi terhadap mana-mana YB yang melompat parti. Tak kira YB dari pembangkang atau pemerintah.





LOMPATAN BERBAHAYA pula merujuk kepada tindakan segelintir orang yang ingin melompat dalam bermazhab. Dalam istilah yang lebih akademik, dinamakan sebagai TALFIQ (walaupun talfiq sebenarnya merujuk kepada pendekatan mencampur adukkan mazhab). Saya namakan ia sebagai berbahaya kerana lompatan sebegini dibenarkan oleh syarak tetapi mesti ada kadar dan hadnya. Macam penggunaan ubat batuk jugalah. Bagus untuk kesihatan tetapi bahaya jika disalahgunakan. Jujur ! Tak melompat langsung pun salah juga, sebab pandangan berbeza dari setiap mujtahid hendakklah kita manfaatkan. Mungkin tak sesuai pada lokasi tertentu tetapi sesuai pula pada lokasi yang lain( seperti pendapat yang mengatakan tidak membatalkan wuduk apabila bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram amat sesuai tika mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah) dan tak sesuai pada masa tertentu tapi amat sesuai pada masa yang lain( macam berzakat menggunakan wang, amat sesuai dalam keadaan ekonomi zaman sekarang walaupun ia bukanlah berasal dari mazhab Syafie).

Tetapi, jika terlalu ghairah hendak melompat maka ia mengundang bahaya. Sebenarnya hasrat mereka yang ingin menjadi katak dalam kes ini amatlah suci dan murni. Tetapi sayangnya, mereka terburu-buru dan tidak berhati-hati. Terburu-buru hingga tak kesampaian hasrat yang ingin dituju. Tidak berhati-hati hingga tersasar dari matlamat yang dihajati. Hasrat yang ingin dituju dan matlamat yang dihajati satu sahaja iaitu KEFAHAMAN DALAM BERAGAMA( sejajar dgn Hadis Nabi yg berbunyi, sesiapa yg Allah inginkan kebaikan, maka diberikannya kefahaman dalam beragama).



Kesal sungguh dengan tindakkan pelampau dalam hal ini. Beberapa orang kenalan, mula mendabik dada dan meninggi diri hingga menafikan segala mazhab fiqh yang wujud dalam dunia islam. katanya, kewujudan mazhab adalah kesesatan yang nyata kerana umat islam sepatutnya merujuk kepada sumber yang Agung secara langsung , iaitu Al-Quran dan Sunnah. Tidak cukup dengan itu, dia yang jahil lagi banggang dengan biadapnya menghina Imam Nawawi, kononnya Imam Nawawi itu dayus, sebab masih lagi terikat dengan mazhab Syafie walaupun memiliki ilmu yang tinggi. Dia yang langsung tiada asas bahasa Arab dan tak pernah mendapat pendidikkan islam secara formal, malah amat lemah penguasaan dalam ilmu agama, tiba-tiba ingin menjadi seorang mujtahid . Teringat saya akan kata-kata Prof Madya Dr Kamil Abd Majid, mengapa kita menggunakan paip dan memerlukan khidmat syarikat pembekalan air, sedangkan kita boleh mengambil air dari sumbernya yang langsung iaitu dari sungai dan kawasan air terjun. Tentu sahaja jawapannya kerana kita tiada keupayaan untuk beberbuat demikian. Tidak berupaya dari segi kos dan dari segi kepakaran. Maka begitu jugalah dalam soal beragama. Lantaran ketidakmampuan untuk berijtihad dan istinbat hukum dari Al-Quran dan Sunnah, maka kita perlu menggunakan khidmat orang lain yang lebih pakar. Dan, mereka ialah ulama-ulama muktabar yang diakui kesarjanaannya seperti Imam mazhab yang empat. Namun, mengikut secara membuta tuli(taqlid buta) juga satu budaya yang tidak elok dan harus dihentikan.










LOMPATAN CELAKA! Ini lompatan paling tinggi. Terlalu tinggi hingga sampai ke neraka. Ini juga lompatan paling jauh, hingga terlampau jauh dari rahmat Allah. Boleh juga dinamakan lompatan ini sebagai lompatan LAKNATULLAH. Ini merujuk kepada perlakuan seseorang yang melompat dari agama islam ke agama lain. Atau istilah paling tepat ialah MURTAD. Dulu, orang Melayu amat sensitif dengan lompatan sebegini, hinggakan sanggup mati dalam kes Natrah. Beberapa tahun yang lalu, kecoh di Malaysia, apabila Mufti Perak mendakwa puluhan ribu telah murtad di Malaysia. Siapa tak terkejut, sebab kita ada Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Mufti di setiap negeri, ada JAKIM, YADIM, PERKIM dan Majlis fatwa di peringkat Pusat, Ada ABIM, JIM dan PUM peringkat NGO, Ada Majlis Tilwah Al-Quran saban tahun untuk peringkat nasional dan internasionsal , Ada J-Qaf di setiap sekolah rendah dan macam2 lagi ( malah ada yang sanggup menyerang gereja kerana isu nama Allah), tiba-tiba angka murtad melonjak tinggi. Di negara barat yang tiada badan-badan agama sebegini hebat, malah selalu juga islam dihina sana-sini dan dicemuh rata- riti, tetapi mencurah-curah pula bilangan penganut islam di sana saban hari.



Kepada sang katak ketiga-tiga kategori ini, ingin saya berpesan. Hati-hati waktu melompat sebab tersilap langkah anda akan dipijak lori dan kereta. Hati-hatilah sebab takut-takut anda ditangkap dan dijadikan bahan uji kaji di makmal.Hati-hati juga, sebab kalau tersalah jejak anda akan menjadi habuan ular dan lain-lain pemangsa.


Sunday 7 February 2010

SI SESAT YANG PALING BIJAKSANA




Sebelum melanjutkan pembacaan renungilah terlebih dahulu pesanan daripada SAIDINA UMAR AL-KHATTAB “ KITA IALAH KAUM YANG DIMULIAKAN OLEH ALLAH DENGAN ISLAM. JIKA KITA MENCARI KEMULIAAN SELAIN DARIPADA KEMULIAAN ISLAM, MAKA KITA AKAN DIHINA OLEH ALLAH”


****SI SESAT YANG PALING BIJAKSANA DAN BERGAYA*********

INI kesepakatan yang dicapai oleh saya dan empat orang rakan sewaktu bersembang di Dataran Ipoh Perak. Bersembang secara bersahaja sambil minum dan makan, akhirnya membuahkan Kesepakatan tanpa khilaf. Tiada percanggahan pendapat dan Tiada ketidaksehaluan bicara.

Kami berlima telah bersepakat untuk menobatkan Ariffin bin Ahmad , yang lebih dikenali sebagai Ayah Pin sebagai TOKOH AJARAN SESAT yang PALING BIJAKSANA, PALING BERJAYA dan PALING BERGAYA. Tokoh ini telah mengalahkan dua ikon ajaran sesat yang lain, iaitu Abdul Kahar Ahmad( Rasul Melayu) dan Ashaari Muhammad @ Abuya( Imam Mahadi).


AYAH PIN bijak mencari ruang dan pandai mengintai peluang. Itu pandangan yang dikemukakan oleh seorang sahabat saya. Hujah sahabat saya ini mudah sahaja, AYAH PIN telah mencatas kehebatan Abuya Imam Mahadi dan Kahar Si Rasul Melayu. Sebelum itu, ada baiknya kita menilai dahulu, mengapakah Abuya Imam Mahadi dan Sang Kahar Rasul Melayu tidak sehebat dan tidak SEBERGAYA seperti AYAH PIN.






Abuya Imam Mahadi berada pada kedudukan paling tercorot. Fakta dan hujah yang dikemukakan untuk membuktikan dirinya sebagai Imam Mahadi juga agak melucukan dan semacam lelucon sahaja. Kononnya dia berturunan Bani Tamim, namun umum mengetahui dia berketurunan Jawa. Abuya juga boleh dianggap sebagai ikon ajaran sesat yang paling bodoh sebab hanya ingin menjadi Imam Mahadi , iaitu satu jawatan yang paling tidak bergaya berbanding jawatan yang ingin diraih oleh Sang Kahar dan Ayah Pin.


Sang Kahar Rasul Melayu, sedikit bijaksana berbanding Abuya Imam Mahadi. Sebab dia mengaku jadi Rasul. Umum mengetahui taraf atau kedudukan sesorang Nabi dan Rasul jauh lebih mulia berbanding Imam Mahadi. Tahniah buat Sang Kahar. Fakta dan hujah yang dikemukakan untuk membuktikan KERASULANNYA juga jauh lebih bijaksana. KATA Sang Kahar Rasul Melayu, Asbabul Nuzul( sebab turunnya) Surah Yassin adalah kerananya. Kerana Surah itu memperakui KERASULANNYA.



Sekarang kita lihat faktor, AYAH PIN dianggap sebagai tokoh sesat yang PALING BERJAYA, PALING BIJAKSANA DAN PALING BERGAYA.


PERTAMA, Ayah Pin mengaku dirinya sebagai TUHAN. Umum mengetahui, kedudukan Tuhan jauh lebih mulia berbanding Imam Mahadi dan para Rasul. Jadi di sini AYAH PIN lebih bergaya berbanding Abuya Imam Mahadi dan Sang Kahar Rasul Melayu. Jadi, Ayah Pin telah memintas segala bentuk ajaran sesat yang pernah wujud sebelum ini dan sekali gus mencantas mana-mana bentuk ajaran sesat yang bakal wujud. SEBABNYA, mana ada yang lebih hebat ( baik Wali, Imam Mahadi mahupun Nabi) berbanding TUHAN. Secara ANALOGINYA, Abuya Imam Mahadi sekadar berbasikal, Sang Kahar pula menunggang motorsikal dan Ayah Pin pula menggunakan pesawat terbang terlaju di dunia.


KEDUA, Ayah Pin lebih bersifat sejagat, sebab dia mengaku dialah TUHAN untuk semua bangsa dan agama. Kata Ayah Pin, penganut Hindu berbangsa India menamakannya sebagai SHIVEN atau MURUGAN. Penganut Budha berbangsa Siam pula menamakannya sebagai PUTHU. Sesetengah orang Melayu yang sesat pula menamakannya sebagai BOS RIJALULGHAIB dan BAPA DEWA KAYANGAN. Penganut Hindu di Pulau Bali pula menamakannya sebagai PENDETA AGUNG BHAGAWAN TER.


Sekarang kita lihat pula perjuangan sempit yang berbaur perkauman yang diperjuangkan oleh Abuya Imam Mahadi dan Sang Kahar. Mereka berdua ini hanya ingin menjadi jaguh dalam kalangan orang Melayu sahaja. Abuya Imam Mahadi, meskipun tidak pernah mendakwa dirinya diutuskan untuk orang Melayu, namun hakikatnya memang begitu. Sepertimana Parti Komunis Malaya (PKM) menggunakan simbol bintang tiga( yg mewakili Melayu , Cina dan India) namun hakikatnya PKM adalah pertubuhan yang majoritinya keahliannya adalah orang Cina. Secara jujur, saya pernah ‘diserang’ melalui email dan forum di internet oleh pengikut Abuya Imam Mahadi. Kata mereka, saya sepatutnya bersyukur kerana Imam Mahadi berbangsa Melayu. Kata mereka lagi, Allah telah memuliakan bangsa Melayu kerana telah melantik Imam Mahadi dalam kalangan orang Melayu, jadi kita tak perlu bersedih walaupun tiada seorang pun Nabi dan Rasul bermula dari Adam A.S hingga Muhammad S.A.W yang berbangsa Melayu. Ada juga kalangan mereka yang mengatakan (saya rasa dia ni guru atau pensyarah sejarah), mana-mana Melayu yang tidak menyokong Abuya sebagai Imam Mahadi, samalah dengan mana-mana Melayu yang menyokong MALAYAN UNION. Begitulah GILANYA pengikut Abuya. Sang Kahar pula , awal-awal lagi mengaku yang dirinya hanyalah seorang Rasul untuk bangsa Melayu. Nah! Ternyata perjuangan Abuya dan Sang Kahar berkonsepkan Asobiyyah.


KETIGA, Di sinilah kehebatannya dan kebijaksanaannya SANGAT TERSERLAH. Iaitu, sampai ke hari ini dia tidak dapat ditangkap dan dikesan oleh pihak berkuasa. Tidak seperti Abuya Imam Mahadi dan Sang Kahar yang pernah dan telah ditangkap. Lagi hebat kerana Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tika itu, iaitu Datuk Noh Omar telah menegaskan sesungguhnya Ayah Pin tidak perlu dikenakan tahanan ISA sebab dia tidak mengancam keselamatannegara.


NAH TERNYATA AYAH PIN MERUPAKAN TOKOH AJARAN SESAT YANG PALING BERJAYA DAN BERGAYA. BERSETUJUKAH ANDA DENGAN PENDAPAT KAMI BERLIMA INI.