Saturday 28 May 2011

MALCOLM X



Apabila kamu menjadi seorang muslim sejati, kamu tidak akan melihat seseorang itu berkulit hitam, coklat, merah atau kuning. Tapi kamu akan memandangnya sebagai seorang manusia" Malcolm X

Mungkin ramai yang mengenalinya dan mungkin lebih ramai yang tidak mengetahui siapakah lelaki ini. Malcolm X merupakan seorang tokoh yang pernah mengegarkan Amerika Syarikat sekitar tahun 1952 hingga 1965. Malcolm X (El-Hajj Malik El-Shabazz) merupakan seorang pejuang. Bermula dengan perjuangan untuk hidup dan kemudiannya berubah kepada perjuangan untuk memaknakan hidup. Dia tidak sekadar pembela kulit hitam. Juga, tidak hanya pejuang hak asasi manusia. Tapi, lebih dari itu. Ini semua dapat kita selami apabila kita menyelongkari kembara rohaninya yang begitu indah. Kembara yang menemukannya dengan Tuhan dan sekali gus memberikannya kekuatan untuk melakukan U-TURN KE JALAN LURUS.

Pada tahun 1992, hidup dan kehidupannya telah diabadikan di dalam sebuah filem yang berjudul Malcolm X. Filem ini di arahkan oleh Spike Lee dan watak Malcolm X pula dilakonkan oleh Denzel Washington. Di sini, saya tidak ingin berbicara panjang perihal Malcom X atau filem tersebut. Sebenarnya, bukanlah motif saya untuk memerihalkan riwayat lelaki berjiwa pejuang ini secara lengkap dan menyeluruh . Cuma, saya ingin berbicara dan sekali gus mengajak para sahabat mengambil iktibar dari kisah hidupnya.




(Wajah Sebenar Malcolm X)


Percayalah, ketika nadinya berdenyut hinggalah jantungnya berhenti berdegup, ada seribu pengajaran yang mampu kita pungut. Percaya jualah, pada setiap langkah yang pernah diatur dan jejak yang disusun olehnya ketika ‘mencari’ Tuhan, amat perlu untuk kita renungi . Renung dengan teliti dengan menggunakan mata hati yang suci.

KERJA TUHAN TAK SIAPA YANG TAHU, inilah kesimpulan terpenting yang dapat kita simpulkan apabila kita menghayati kisah Malcolm X . Apa tidaknya, Malcolm X asalnya seorang penjenayah yang dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan. Beliau adalah seorang pengedar dadah, penyeludup dan bapa ayam yang terkenal dengan gelaran Detroit Red. Lihatlah bagaimana Tuhan mengatur persitwa ini, maksud saya peristiwa Malcolm X ditangkap oleh polis dan kemudiannya dipenjarakan. Dipenjaralah hidayah datang menyapa dirinya. Di penjaralah dia diperkenalkan dengan islam yang dibawa oleh tokoh-tokoh Nation of Islam(NoI). Benar sekali, Allah adalah PENCIPTA dan PERANCANG YANG MAHA SEMPURNA.



(Malcolm X bersolat di sebuah masjid-Dari filem Malcolm X)


Dalam melayari hidup, kita tidak seharusnya sekadar memungut pengalaman, lebih penting dari itu kita hendaklah bersedia untuk mengutip pengajaran. Paling penting, biarlah pengajaran dari sesuatu peristiwa itu mampu menerbitkan pengajaran yang bermakna buat kita. Namun, harus diakui, sebagai manusia yang memiliki usia dan keupayaan yang terhad, kita juga memiliki pengalaman yang amat terbatas. Jadi, kita perlukan pengalaman pinjaman. Dalam hal ini, kita boleh meminjam pengalaman Malcolm X untuk mematangkan diri dalam mengenali makna hidup dan kehidupan.

Sejarah hidup Malcolm X mengajar kita, sesungguhnya HANYA DIA YANG TAHU CERITA KITA SAMPAI HABIS. Ya, hanya DIA, iaitu Allah. Sesungguhhnya dalam hidup ini kerap kali kita dihidangkan dengan realiti di luar duga. Kekadang permulaan yang baik, tapi pengakhiran pula tidak baik. Begitu juga sebaliknya, permulaan yang tidak baik, tapi pengakhirannya pula baik. Kadang-kadang hidup ini persis perlawanan bola sepak, separuh masa pertama teruk ketinggalan, tapi separuh masa kedua pula, mampu bangkit dan memenangi perlawanan. Walau apa jua situasi, penilaian ataupun hukuman yang diberi adalah berdasarkan titik noktah atau pengakhiran sesebuah kehidupan atau perjuangan. Titik noktah inilah yang menatijahkan penilaian, sama ada berbentuk pujian mahupun kejian.

Berbalik kepada kisah Malcolm X, siapa sangka seorang samseng jalanan yang kemudiannya menjadi penjenayah yang digeruni, akhirnya disapa hidayah Allah. SUDAH KEHENDAK- NYA, itulah ungkapan yang paling sesuai untuk orang yang menyakini kekuasaan Allah. Berbicara tentang Kembara rohani Malcolm X, kita perlu bahagikan kepada dua tahap atau peringkat. Pertama, setelah beliau memeluk islam hasil perkenalan dengan aktivis NoI. Pada peringkat ini, kefahamannya terhadap islam amat kabur dan dibayangi sentimen anti kulit putih. Ini disebabkan NoI yang di ketuai oleh Elijah Muhammad bukanlah memperjuangkan islam yang berpaksikan yang Al-Quran dan Sunnah, tetapi islam yang dicemari oleh sentimen perkauman yang menebal dan juga dipenuhi dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng dari ajaran islam yang sebenar. Malah, Elijah Muhammad sendiri secara terang-terangan mengaku dirinya sebagai Utusan Tuhan dan seorang penzina. Maaf, saya tidak tahu status NoI hari ini, adakah masih menyeleweng seperti dahulu. Untuk pengetahuan semua, Jermaine Jackson( abang kepada Michael Jackson) merupakan salah seorang ahli NoI. Malah, pemimpin-pemimpin NoI seperti Louis Farrakhan dan Leonard Muhammad, dikatakan mempunyai hubungan yang akrab dengan Michael Jackson semasa hayatnya.



(Jenazah Malcolm X)


Kembali kepada kisah Malcolm X, kembara rohani keduanya berlaku setelah beliau menunaikan fardhu Haji di Mekah. Di Mekah, beliau telah menemui ketulenan islam sebagaimana diajar oleh Rasulullah SAW. Di Mekah jualah sentimen perkaumannya mulai terhakis dan terkikis. Di Mekah jualah salah fahamnya tentang islam mulai lebur dan berkubur. Semuanya, gara-gara ukhwah islamiyah yang dipamerkan oleh para jemaah haji dari pelbagai bangsa dan negara. Di Mekah,beliau menyaksikan umat islam tanpa mengira warna kulit( termasuklah dari kalangan kulit hitam dan kulit putih) berhimpun bersama-sama untuk bertawaf dan makan setalam bersama-sama sebagai hamba Allah. Mekah mempamerkan persaudaraan islam yang melangkaui sempadan bangsa dan negara.

Perubahan pandangan dan perjuangannya ini dapat kita lihat menerusi kata-katanya “ Tidak pernah aku menyaksikan layanan mesra yang ikhlas dan semangat persaudaraan sebenar oleh orang-orang di sini (Mekah) yang berasal dari pelbagai warna dan bangsa. Ziarah haji ini telah memaksa aku menyusun semula pemikiran aku dan membuang jauh-jauh kesimpulan yang pernah aku simpulkan”. Dia benar-benar terhantuk di pintu sedar, lihat juga kata-katanya ini "Perjalanan haji telah membuka pemikiran saya dengan menganugerahkan pandangan baru selama dua pekan di tanah suci saya melihat hal yang tidak pernah saya lihat selama 39 tahun hidup di Amerika Syarikat. Saya melihat semua ras dan warna kulit bersaudara dan beribadah kepada satu Tuhan tanpa menyekutukannya. Benar pada masa lalu saya bersikap benci pada semua orang kulit putih namun saya tidak merasa bersalah dengan sikap itu lagi karena sekarang saya tahu bahawa ada orang kulit putih yang ikhlas dan mahu bersaudara dengan orang negro. Kebenaran Islam telah menunjukkan kepada saya bahwa kebencian membabi buta kepada semua orang putih adalah sikap yang salah seperti halnya jika sikap yang sama dilakukan orang kulit putih terhadap orang negro".

Setelah pulang dari menunaikan ibadat haji, Malcolm X telah memurnikan perjuangan dengan menubuhkan Muslim Mosque Inc(MMI) dan menentang keras ajaran NoI. Di samping itu, Malcolm X juga mula menukar nama kepada El-Hajj Malik El-Shabazz ( Sedikit info dari saya =Mungkin, kerana faktor inilah, sesetengah penulis mendakwa Malcolm X hanya memeluk islam setelah pulang dari menunaikan ibadat haji di Mekah, namun saya lebih cenderung dengan pandangan yang mengatakan, dia telah menganut islam sejak akrab dan mesra dengan kepimpinan NoI, cuma islam yang dia anuti ketika itu penuh kecelaruan dan kekeliruan lantaran ajaran NoI yang menyeleweng. Namun, yang paling penting ialah titik noktah sebagaimana saya nyatakan tadi). Tidak cukup dengan itu, Malcolm X juga telah menceritakan kesesatan Elijah Muhammad menerusi sepucuk surat kepada seorang sahabatnya di New York. Antara kandungan surat tersebut ialah “ Selama 12 tahun aku hidup dalam batasan pemikiran yang sempit yang mengimani Elijah Muhammad sebagai seorang Utusan Dari Tuhan.”

Perubahan pandangan dan perjuangannya itu merupakan satu hijrah yang besar dalam hidup Malcolm X. Hijrah yang bermula dari Malcolm Litle kepada Malcolm X. Berhijrah lagi daripada Malcolm X kepada Malik El-Shabazz. Hijrahnya terakhir ini telah mengundang bahaya kepada diri dan kelurganya. Kemuncaknya, dia berhijrah buat selama-lamanya setelah mai ditembak oleh beberapa orang ahli-ahli NoI ketika ingin memulakan ucapannya di Audubon Ballroom, Manhattan.


INFO TAMBAHAN.
Babak Malcolm X menunaikan ibadat Haji ( tonton dengan mata hati yang suci), sedutan dari filem Malcolm X , lihat
SINI

Babak Malcolm X ditembak hingga mati, sedutan dari filem Malcolm X, lihat
SINI

Klik
SINI untuk melihat suasana sebenar sekitar pengebumian Malcolm X.


Tajuk Lain Yang Berkaitan.
SUDAH KEHENDAK- NYA,
LION OF THE DESERT
KABUS

Saturday 21 May 2011

SALAH FAHAM TERHADAP TAKRIF NAMA ISLAM.

(Shah Kirit bin Kakulal Govindji)



Sebelum memulakan bicara, ingin saya tegaskan, bicara saya kali ini melibatkan persoalan Muallaf atau Saudara Baru dan pengekalan nama asal, iaitu nama yang diguna pakai sebelum memeluk islam. Jadi bicara saya hanya berfokuskan isu ini. Di Malaysia ada beberapa orang tokoh muallaf yang mengekalkan nama asalnya setelah memeluk islam. Ada antara mereka yang terlibat aktif dalam gerak kerja dakwah, terutamanya dengan mendekati dan ‘memasarkan’ islam kepada golongan bukan islam. Lagi hebat, mereka berjaya ‘menjual’ islam ke peringkat global. Antara mereka ini ialah Lim Jooi Soon dan Ann Wan Seng dari bangsa Cina dan Shah Kirit Bin Kalkulai Govindji yang berbangsa India. Tentang Ann Wan Seng, saya tidak pasti adakah beliau menukar nama asalnya setelah memeluk islam, Cuma yang pasti, nama asalnya, iaitu Ann Wan Seng yang diguna pakai dalam penulisan dan ceramahnya.


Seringkali berlaku, apabila seseorang memeluk Islam, mereka akan dibekalkan dengan nama islam. Namun, istilah nama islam yang diguna pakai selama ini seringkali mengundang kekeliruan dan salah faham. Ini kerana, nama islam yang dimaksudkan atau perlu digunapakai itu merujuk kepada nama-nama yang berunsur Arab( saya singkatkan kepada nama Arab sahaja selepas ini untuk melancarkan penulisan). Ia seolah-olah membawa maksud nama-nama Arab itu mewakili nama-nama islam. Atau dengan bahasa yang paling mudah, nama Arab itu nama Islam dan nama islam itu adalah nama Arab. Lebih merisaukan, ia akan menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan bukan islam dengan melabelkan Islam itu Arab dan Arab itu Islam.




(Lim Jooi Soon)



Berbicara tentang agama, maka sandaran utamanya ialah Al-Quran dan Sunnah. Tapi sayang, terdapat juga pihak-pihak tertentu yang meletakkan maslahat dan kemaslahatan sebagai keutamaan untuk mewajar dan mewaraskan tindakan. Lagi malang apabila maslahat dan kemaslahatan itu hanya berpihak kepada golongan tertentu, dan dalam masa yang sama, golongan yang lain pula menerima tempias yang berupa mudarat dan kemudaratan. Inilah yang ingin saya perkatakan dalam entry saya kali ini.


Hakikat Sebenar, nama islam ialah nama yang mempunyai makna yang baik dan ia tidak semestinya nama-nama Arab. Malah nama-nama tertentu yang berunsurkan Cina seperti Lim Jooi Soon( yang bermaksud menuju kejayaan) jauh lebih islamik dari segi maknanya berbanding sesetengah nama Arab yang digunapakai oleh orang Melayu, seperti Nur Wati(yang bermaksud Cahaya Persetubuhan). Malah dalam sesetengah kes, ada juga anak Melayu (merujuk kepada nama anak seorang jutawan internet) yang bernama Cinta Strawbery. Jadi, mana yang lebih islamik antara ketiga-tiga nama ini?




(Ann Wan Seng)



Sekarang mari kita selongkar sejarah silam. Sejarah awal islam yang saya maksudkan. Sejarah itu telah mengajar kita, sesungguhnya nama islam bukanlah nama arab tetapi nama yang mempunyai makna yang baik. Lihat sahaja persitiwa Nabi Muhammad SAW bertindak mengubah nama seorang sahabat yang bernama Abd asy- Syams bin Sokhr kepada Abd ar-Rahman bin Sokhr. Pertukaran nama ini terpaksa dibuat kerana Abd asy-Syams itu bermaksud Hamba Matahari dan Abd ar-Rahman pula bermaksud Hamba Yang Maha Pemurah ( salah satu daripada nama-nama Allah)- Tentang peristiwa Nabi Muhammad SAW mengubah nama sahabat ini bolehlah rujuk buku yang berjudul Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, oleh Dr Asri Zainul Abidin pada muka surat 72.


Jelas di sini, pertukaran atau perubahan nama adalah kerana nama asalnya (Abd asy-Syams) mengandungi makna yang tidak baik. Dan, andainya nama islam itu adalah nama arab, sudah tentu Nabi SAW tidak akan sesekali mengubah nama Abd asy-Syams kerana nama tersebut merupakan nama arab. Jelas sekali, nama arab tak semestinya nama islam, tapi nama yang mengandungi makna yang baik, itulah nama islam. Jadi selok-eloknya selepas ini, guna sahaja perkataan nama arab dan bukannya nama islam seandainya ingin memaksa ( walaupun istilah digalakkan yang digunakan) seseorang muallaf menukar namanya. Kenapa saya menggunakan perkataan memaksa, ini kerana terdapat kes, seseorang muallaf terpaksa mengambil masa selama lima tahun untuk mempertahankan penggunaan nama asal. Lima tahun terpaksa berulang alik ke pejabat agama. Bayangkan betapa teruknya karenah birokrasi karenah yang bisa melunturkan keinginan orang bukan islam untuk memeluk islam. Dan, ada juga kes orang Cina yang ingin memeluk islam, tiba-tiba membatalkan hasratnya itu kerana diwajibkan menukar nama kepada nama arab.






Tadi saya ada menyebut dua istilah penting, iaitu maslahah dan kemaslahatan. Juga mudarat dan kemudaratan. Maslahat yang saya maksudkan di sini ialah faedah atau kebaikan disebalik penukaran nama asal kepada nama arab sesudah memeluk islam. Mudarat pula merujuk kepada kesan negatif dan keburukan akibat penukaran nama asal kepada nama arab tersebut.


Sebenarnya persoalan maslahah dan mudarat perlu ditimbang dan disukat di atas neraca agama yang berpaksikan Al-Quran dan Sunnah. Ia juga perlu diukur dengan menggunakan elemen wajar dan waras. Andainya ditimbang dan disukat dengan menggunakan neraca agama, hasilnya seperti yang saya nyatakan tadi, iaitu Nabi SAW telah bertindak menukar nama seorang sahabatnya kerana nama itu mengandungi makna yang tidak baik meskipun nama itu merupakan nama berunsurkan arab. Kesimpulannya, nama islam merupakan nama yang mengandungi pengertian yang baik. Itu sahaja. Senang dan mudah.


Mengukur dengan menggunakan elemen wajar dan waras pula memerlukan kepakaran membaca situasi dan meneliti realiti. Antara alasan yang selalu diberi untuk mewajarkan penukaran nama kepada nama arab ialah untuk mengelakkan kekeliruan. Itulah maslahah yang paling utama disebalik galakan( meskipun seakan-akan diwajibkan) penukaran nama tersebut. Paling dibimbangi andainya berlaku kematian terutamanya kematian kerana kemalangan. Jika ini berlaku, orang ramai akan tertanya-tanya kerana nama pemilik kad pengenalan itu tidak berunsurkan arab seperti kebiasaan nama-nama penganut islam di Malaysia. Sebenarnya alasan ini telah dijawab oleh Lim Jooi Soon, seorang muallaf yang mengekalkan nama asalnya dan kini giat menjalankan kerja-kerja dakwah. Katanya “Perkara ini bukan masalah kerana penyelesaiannya terbukti pada status agama Islam yang tertera dalam kad pengenalan (MyKad) dan juga kad yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Persekutuan dan Negeri,” Sebenarnya, kes ini sama sahaja apabila kita berhadapan dengan etnik Kadazan/Dusun yang majoritinya beragama Kristian. Jika dilihat pada kad pengenalan mereka, perkataan bin/ binti digunakan secara meluas, malah terdapat juga dalam kalangan mereka yang menggunakan nama-nama yang mirip dengan nama orang-orang melayu atau islam. Walaupun begitu kita tidak sesekali pun meragui status agama Kristian yang mereka anuti kerana pada kad pengenalan mereka itu tidak tercatat islam sebagai agamanya. Kesimpulannya, apabila perkataan islam sebagai agama dicatatkan pada kad pengenalan, maka isu kekeliruan mestilah dinoktahkan.

Sekarang kita lihat pula mudarat atau kesan negatif, akibat pertukaran nama asal setelah seseorang itu memeluk islam. Dalam hal ini, situasi dan realiti perlu dibaca dan diteliti dengan cermat dan hati-hati. Pertama, mari kita lihat bilangan orang Cina di Malaysia yang memeluk agama islam. Buat masa sekarang, terdapat 6.5 juta penduduk berbangsa Cina di Malaysia. Tapi sayang, tidak sampai satu peratus yang memeluk agama islam. Iaitu, sekitar 60 ribu orang sahaja daripada 6.5 juta masyarakat Cina di Malaysia yang memeluk islam. Memang ada berlaku peningkatan dari semasa ke semasa, tetapi ia teramat perlahan, bayangkan sehingga tahun 2003, peratus orang Cina yang memeluk islam ialah sekitar 0.2 peratus sahaja ( rujuk Majalah Al-Islam Januari 2003. M/S 35-38) dan hingga ke tahun 2011, bilangannya masih lagi belum mencapai satu peratus. Tetapi anehnya, dalam masa yang saya agak ramai orang Cina memeluk agama Kristian.. Kesimpulan daripada data yang saya paparkan ini ialah, islam begitu asing dan tidak diminati oleh orang-orang Cina. Mengapa ini terjadi? Siapa yang perlu dipersalahkan, agama islam atau pihak tertentu yang ‘berlabel dan berjawatan’ islam? Untuk pengetahuan sahabat, faktor pertukaran nama merupakan antara faktor yang menyebabkan orang Cina menjauhi islam. Ini diakui oleh pendakwah islam dari kalangan bangsa Cina seperti Ann Wan Seng dan Lim Jooi Soon.


Untuk pengetahuan sahabat, terdapat kes orang Cina yang ingin memeluk islam tetapi bertindak membatalkan hasratnya itu setelah diwajibkan menukar nama kepada nama arab. Untuk pengetahuan sahabat juga , terdapat kes, orang Cina yang sekadar ingin menemani rakannya memeluk islam, tiba-tiba turut berminat untuk memeluk islam setelah mengetahui dia dibenarkan mengekalkan nama asal, asalkan nama tersebut mengandungi makna yang baik. Lihat SINI untuk penjelasan lanjut. Tolong hayati, rakaman kuliah tersebut dan nilailah mana yang lebih besar antara manfaat dan mudarat disebalik pemakaian nama asal. Ingat! Buatlah penilaian berlandaskan neraca agama, juga berdasarkan elemen waras dan wajar.

Satu lagi alasan yang dijadikan hujah untuk mewajar dan mewaraskan pertukaran nama asal kepada nama arab ialah bahasa arab merupakan bahasa Al-Quran dan merupakan bahasa Syurga. Memang tidak dinafikan, bahasa arab merupakan bahasa rasmi agama islam, tapi ia tidak wajar dijadikan alasan untuk mewajibkan saudara baru menukar nama kepada nama arab. Ini kerana mudaratnya mengatasi manfaat. Realiti menunjukkan tidak sampai satu peratus orang Cina yang memeluk islam. Ini satu fakta yang mengerunkan. Dan andainya alasan nama arab itu mesti digunapakai oleh muallaf, maka mereka boleh bertanya balik kepada pihak yang berlabel dan berjawatan agama. Mengapa sesetengah orang melayu dibenarkan memakai nama-nama seperti Suparman, Wagiman,Suparno dan Cohyadi ( sekadar menyebut beberapa contoh). Bukankah nama-nama ini tidak berunsurkan arab. Macam mana pula dengan nama seorang anak jutawan internet, yang bernama Cinta Strawbery. Adakah itu nama arab.

Kita perlu faham, nama bagi orang Cina mempunyai seribu erti dan sejuta makna. Lihat sahaja pada nama Lim Jooi Soon. Lim adalah nama keluarga, Jooi adalah nama keturunan dan Soon adalah nama dirinya. Bayangkan apabila ada sebahagian daripada masyarakat Cina yang ingin memeluk agama Islam terpaksa membuang nama keturunan dan nama dirinya ini seolah-olah memutuskan pertalian dari nasab keturunan.
Menurut Lim Jooi Soon, sebenarnya ramai masyarakat Cina membatalkan hasrat memeluk Islam kerana takut apabila diberitahu nama keturunan dan nama diri perlu dibuang selepas pengislaman.
“Dari segi dakwah pula, jika mereka mengekalkan nama dalam bahasa Cina, tanggapan masyarakat bukan Islam bahawa memeluk agama Islam itu bermakna ‘masuk’ Melayu dapat dihakis sekali gus menunjukkan Islam adalah agama universal.” Kata Lim Jooi Soon lagi. Lebih lanjut kisah Lim Jooi Soon, sila baca kat SINI

Sebelum menoktahkan bicara ini, ingin saya tegaskan, pemakaian nama asal yang mempunyai erti yang baik ini perlu dibenarkan kepada para muallaf, andainya itu yang menjadi kehendak mereka. Usahlah berkeras dan bertegas dalam perkara yang tidak menyalahi hukum hakam agama. Apalah gunanya bertegas dan berkeras andainya mereka ini menjauhi islam sedikit demi sedikit. Apalah gunanya bertegas dan berkeras andainya islam terus disalah fahami. Setakat ini, beberapa buah negeri telah membenarkan para muallaf memakai nama asal. Antaranya negeri Melaka, Selangor, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Perlis.



Akhir sekali, sila hayati kuliah dari Lim Jooi Soon tentang betapa pentingnya bagi seseorang muallaf terutamanya dari bangsa Cina untuk mengekalkan nama asalnya sesudah memeluk islam, andainya nama itu mengandungi erti yang baik. Lihat SINI


INFO TAMBAHAN.

Kepada peminat sejarah, pasti sahaja akan mengenali Suada Dilberovic, 24 tahun. Allahyarham merupakan mangsa pertama kegansan Serbia ketika tercetusnya perang Bosnia pada 6 April 1992. Perang yang akhirnya mengorbankan 200 ribu orang dan 65 % daripadanya ( mangsa korban ini) ialah etnik Bosnia yang beragama islam. Sengaja saya paparkan isu ini supaya sahabat dan pembaca dapat melihat nama gadis islam itu. Tentu sahaja namanya tidak berunsur arab. Begitu juga dengan Allahyarham Alija Izatbegovic, bekas pemimpin islam Bosnia ketika tercetusnya perang tersebut. Ia juga tidak berunsurkan arab. Besar kemungkinan nama-nama itu berunsurkan etnik.

Begitu juga di Chehnya, antara tokoh yang terkenal ialah Dzohar Musayevich Dudayev, iaitu seorang pemimpin pemisah islam Chehnya yang telah menemui ajalnya di tangan Russia. Namanya juga tidak berunsurkan arab.


TAJUK LAIN YANG BERKAITAN.
MASJID BEIJING RANTAU PANJANG KELANTAN
UMAT ISLAM DI CHINA
JESSICA

Tuesday 17 May 2011

Terima Kasih Kak Ani



Kad ucapan Hari Guru ini dicipta khas oleh Kak Ani (Kerdipan Rohani)sebagai tanda menghargai rakan blogger yang berkhidmat sebagai guru.

Kak Ani juga seringkali mengunakan nama Kunang- Kunang dalam berblog. Saya yakin, pasti ada pengertian tersendiri disebalik pemilihan nama Kunang- Kunang.

Perkataan kunang-kunang sebenarnya mengingatkan saya kepada sebuah pesanan. Pesanan yang berbunyi “ Kalau tak mampu menjadi pelita yang menerangi kegelapan, cukuplah sekadar menjadi kunang-kunang yang menemani malam”.





(Guru-guru yang pernah mendidikku
Di SMK Bachok Kelantan)



Pelita dan kunang-kunang memepunyai fungsi yang sama, iaitu masing-masing memeberi sinar dan menyumbang cahaya, cuma berbeza tahap kecerahannya. Cahaya yang dilampiaskan oleh kunang-kunang memang terlalu kerdil, tapi ia jauh lebih baik daripada gelita tanpa sebarang cahaya.

Kita semua menjadi guru dan murid kepada orang-orang yang pernah membimbing dan dibimbing”, itu jawapan Kak Ani kepada salah seorang blogger yang meninggalkan komen di entrynya. Ya, kita semua adalah guru dan murid, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Ini semua akan berterusan selagi kita membimbing dan dibimbing. Termasuklah dibimbing oleh pengalaman silam. Sejarah silam adalah titi untuk menyemberang ke masa hadapan, jadi kita perlu menghargainya.




Monday 16 May 2011

TERIMA KASIH CIKGU



Inilah adalah entry khas sempena hari guru tahun 2011 yang bertema GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA . Anggaplah ini sebagai kesinambungan PUISI SUCI BUAT GURU

Terima Kasih Cikgu! Kalimah ini biasanya diungkapkan apabila tamatnya sesi pembelajaran dan pengajaran atau lebih tepat lagi apabila loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu mata pelajaran tertentu. Saya amat yakin, di mana-mana sekolah di Malaysia, kalimah ini digunapakai sejak zaman berzaman dengan senang dan tenang tanpa bantahan dan bangkangan.

Terima Kasih Cikgu,kerana memperkenalkan kepada huruf dan angka kepadaku. Mengajarku membaca dan mengira. Menjadikanku sebagai manusia yang ada tempat dalam kalangan manusia. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua guru yang pernah mendidikku , baik guru-guru di Sekolah Kebangsaan Pak Pura Beris Kubor Besar Bachok Kelantan, SMK Beris Kubor Besar ( Kini dikenali sebagai SMK Long Yunus) Bachok Kelantan dan SMK Bachok Kelantan. Kepada guru-guruku ini, Selamat Hari Guru saya ucapkan.


Terima kasih juga kepada rakan-rakan guru di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu Sabah. Hampir enam tahun bersama kalian pastinya mencipta kenangan yang sentiasa segar di hati dan bugar di sanubari. Maafkan aku sebab ‘melarikan diri’ dari Sekolah Berasrama Penuh ( SBP) dan berhijrah ke sekolah menengah harian biasa. Begitu juga dengan rakan-rakan guru di Perak ini.


Selamat Hari Guru juga kepada guru-guru yang menjadi sahabat blogger, antaranya cikgu Ahmad Humairi, Tehr, Sham, Sekamar Rindu, Iman Shah ( sekadar menyebut beberapa nama).







Ilmu Yang Tak Diamalkan
Umpama Pokok Yang Tidak Berbuah.





GURU TERBAIK.



Jean Jacques Rousseau, si arkitek Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette. Beliau pernah berkata “Kita belajar bersama hidup. Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”


Kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik berdasarkan pandangan arkitek revolusi Perancis ini. Sudahkah kita menemui ‘guru’ ini. Untuk menemuinya kita perlu gigih mencari. Mencari dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati. Semalam Presiden Presiden PERKASA, YB Ibrahim Ali telah mencetus kontroversi. Kontroversi dicetuskan kerana Ibrahim Ali tidak belajar dari sejarah. Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969, itulah sejarah yang saya maksudkan. Sejarah yang mempamerkan kekurangan dan kelemahan penghuni Malaysia. Kekurangan yang sepatutnya disedari dan kelemahan yang sewajarnya dirasai. Kontroversi bermula daripada pidatonya di Kampung Kerdas dan Kampung Changkat, Gombak. Dalam Pidato itu, Ibrahim Ali telah mengistiharkan perang ke atas penganut-penganut Kristian. Katanya. Dia sanggup melancarkan perang salib terhadap orang Kristian ( lihat SINI untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut). Tiada istilah yang paling sopan untuk saya lontarkan kepada makhluk bernama Ibrahim Ali, melainkan Buta sejarah dan tidak pandai membaca situasi semasa.


Adakah dia sudah lupa, betapa teruknya perang antara agama yang berlaku di Balkan pada awal tahun 90-an (lebih tepat lagi di Bosnia) antara penganut islam dgn Krisitan Ortodoks (Serbia) dan Kristian Katolik ( Crotia). Ratusan ribu yang meninggal dan Bosnia lumpuh dalam jangka masa yang agak lama.
Mungkinkah Ibrahim Ali tidak melihat betapa teruknya perang agama antara penganut islam dan kristian di Ambon Indonesia dan di Nigeria.

Atau tidak pernahkah dia mengambil tahu betapa nazaknya Sudan kerana perang agama antara penganut Kristian dengan umat islam. Ibrahim Ali dan manusia racis sepertinya perlu mendiami bumi Sabah. Kerana di sana hubungan antara umat islam dan Kristian akrab sekali persis saudara mara.

Bagi saya, Ibrahim Ali perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana keceluparan mulutnya.Tapi sungguh menghairankan, sebab hingga sekarang berita keceluparan Ibrahim Ali ini tidak dimuatkan dalam akhbar arus perdana. Dan tidak juga disiarkan di dada TV.


TAJUK LAIN YANG BERKAITAN.

NOTA HATI SEORANG GURU
Dalam Hati Seorang Guru
Resah Seorang Guru






Tuesday 10 May 2011

TOLONG INGATKAN AKU


Mengingati-Nya
Tanpa Mengira Lokasi.
Memuja-Nya
Tanpa Mengenal Situasi

(Gambar Penyokong Kelantan Yang Bersolat
Sebelum Menyaksikan Perlawanan Bola Sepak.)


Tolong Ingatkan Aku.
Mendekati-Nya Selalu.

Tolong Ingatkan Aku.
Mencintai-Nya Tanpa Ragu.

Tolong Ingatkan Aku.
Kiranya Aku.
Tersesat Di Belantara Keliru.

Tolong Ingatkan Aku.
Kiranya Aku.
Hanyut Di Samudera Celaru.

Tolong Ingatkan Aku.
Sebelum Dia Menjauh Dariku.

Tolong Ingatkan Aku.
Sebelum Jasadku Kaku.




entry memohon maaf, khas kepada Toyol Kiut dan Norgadis Labuan




Entry ini ditujukan khas kepada dua orang rakan blogger, iaitu
Toyol Kiut dan Norgadis Labuan. Jutaan maaf saya pinta daripada sahabat berdua. Ini berkaitan dengan contest Senja Terakhir yang ditagkan kepada saya. Memang saya berminat untuk menyertainya, malah telah saya siapkan sebuah puisi untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Tapi kerana terleka , saya asyik tertangguhnya. Tanpa sedar, ia telah melepasi waktu imsak yang telah ditetapkan. Apapun, puisi itu saya paparkan juga disini, meskipun tidak untuk contest tersebut kerana senja terakhir telah benar-benar berakhir.



SENJA TERAKHIR.

Masih Begitu.
Masih Di Situ.
Menuai Dosa-Dosa.
Dari Perkebunan Noda.


Masih Terlena.
Masih Terleka.
Meskipun Langit Berubah Warna.
Meskipun Hayat Kian Sirna.


Senja Terakhir.
Aku Bungkam Dalam Fikir.
Detik Yang DiJanjikan Kian Hampir.
Detik Yang Pasti Tiada Mungkir.

Saturday 7 May 2011

SELAMAT HARI IBU 2011


Sebenarnya saya masih samar-samar tentang hukum menyambut hari Ibu, lalu saya memutuskan untuk tidak berbicara soal itu. Ini kerana, saya hanya berbicara soal agama apabila ada tokoh-tokoh agama yang memulakannya, dan saya tidak ingin mendahului mereka yang pakar dalam urusan ini. Dengan kata lain, saya hanya berkongsi pandangan tokoh-tokoh agama dengan menggunakan gaya bahasa dan pendekatan yang tersendiri. Lebih tepat lagi, sekadar melebar luaskan atau merakyatkan pandangan yang dilontarkan oleh mereka. Bagi saya, perkara yang baik perlu disebarkan luaskan ke segenap ruang dan sudut di muka bumi ini.


P/s = jika pembaca dan sahabat blogger mempunyai info tentang fatwa-fatwa ulama muktabar, baik dalam mahupun luar negara. Baik ulama silam mahupun kontemporari tentang hokum menyambut hari ibu, silalah maklumkan kat saya diruangan komen. Kita berkongsi pengetahun atas dasar agama untuk kebaikkan bersama.


Cuma, dalam permasalahan hari ibu, kita hendaklah mengenalpasti, adakah perdu akar(asas) perayaan tersebut berpunca daripada amalan agama ataupun budaya sahaja. Sesetengah ulama membenarkan kita turut menyambut atau merayakan perayaan yang berasaskan budaya seperti Tahun Baru Cina.


Terdapat juga sesetengah sambutan atau perayaan yang didasari oleh penghormatan terhadap jasa-jasa individu atau kelompok tertentu. Ini termasuklah Sambutan Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Jururawat dan lain-lain.


Dalam islam, ibu wajib ditaati tanpa memperuntukan hari-hari tertentu dan upacara tententu, juga ucapan tertentu. Mungkin ketika menyambut hari ibu ( tidak semestinya mengikut tarikh yang ditetapkan) kita lebihkan penzahiran kasih sayang dengan memberi hadiah kepada ibu atau bagi yang mampu, boleh juga makan besar(bersama keluarga) di mana-mana restoran.


Kedudukan Seseorang Ibu Dalam Islam.


Dalam Sahih Bukhari terdapat sebuah hadis yang menceritakan perihal seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.”


Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad. Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda:“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”






p/s = akhir sekali, sebuah lagu tentang pengorbanan ibu saya paparkan di sini. Maaf, jika ada yang dapat memahaminya dengan baik, kerana lagu ini didendangkan oleh penyanyi dari Selatan Thailand(Pattani). Bahasanya lebih kurang dialek Kelantan dengan sedikit perbezaan.

Monday 2 May 2011

LION OF THE DESERT




Memandangkan seantero dunia sedang menjadi pemerhati terhadap perkembangan di Libya, terbaru anak bongsu Muammar Gaddafi, Saif al-Arab dan tiga cucunya terbunuh dalam satu serangan udara oleh NATO. Ada antara kita sekadar menjadi pemerhati yang setia, tapi seeloknya kita menjadi pemerhati yang bernaluri. Dalam keasyikan berbicara tentang Libya, kita jangan lupa dengan ‘Sang Singa’ yang begitu hebat di padang pasirnya suatu ketika dahulu.

Lion Of The Desert, merupakan sebuah filem yang mengisahkan perjuangan Umar Mukhtar (ataupun Omar Al-Mukhtar) menentang penjajahan Itali di Libya pada tahun 1920-an dan 1930-an. Ia merupakan filem arahan Moustapha Akkad pada tahun 1981. Watak Umar Mukhtar pula dilakonkan dengan amat berkesan oleh Anthony Quinn. Telah beberapa kali filem ini ditayangkan dan sudah banyak kali saya menontonnya, namun tidak pernah pula surut dan susut keinginan saya untuk menontonnya kembali. Paling berbekas di hati saya ialah babak Umar Mukhtar dihukum gantung sampai mati.





(Gambar Umar Mukhtar)


Pesan saya kepada sahabat, jika menonton filem ini, tontonlah dengan mata hati yang suci. Kerana ia perlu dihayati. Hayatilah makna jihad yang telah dilalui oleh As-Syahid Umar Mukhtar. Moga-moga dengan ini, rasa cinta, rindu, kasih dan sayang terhadap islam yang kita anuti, juga terhadap negara yang kita diami semakin tebal dan kebal. Tebal dan kebal hinggakan tidak mampu dihakis dan dikikis oleh apa-apa jua. Biarlah langit yang meneduh kita ini berubah warna, islam tetap kita pertahankan hingga ke hujung nyawa. Biarlah bumi yang menadah kita ini retak berjuta, Tanah air ini tetap menjadi denyut nadi dan degup jantung kita.






(Perhatikan sekeping gambar yang disematkan
di sebelah kanan dada Muammar Gaddafi
)



Siapakah Umar Mukhtar? Mungkin ramai yang tidak mengenalinya berbanding mengenali artis-artis Kpop. Secara ringkas, izinkan saya bercerita. Pertama sekali, cuba lihat gambar Muammar Gaddafi. Pada sebelah dada kanannya disematkan sekeping gambar lelaki tua . Lelaki itu ialah pejuang Libya yang mati digantung oleh penjajah Itali. Lelaki itu ialah Umar Mukhtar.


Umar Mukhtar, seorang guru agama yang menjadi wira kebanggaan rakyat Libya dan semua pencinta islam. Beliau memperjuangkan kemerdekaan Libya daripada dinajisi oleh kuasa kuffar, iaitu Itali. Umar Mukhtar menyedari, kekuatan tenteranya ( dari segi jumlah dan kecanggihan senjata) amat terhad dan sangat terbatas untuk memerangi tentera Itali yang terkenal sebagai hebat dan kuat. Namun, sebagai orang yang berjuang atas nama agama, beliau tidak gentar dengan itu semua. Dengan keadaan susah payah disamping kudrat yang kian dimamah usia, beliau terus berjuang hinggalah menemui syahid di tali gantung.






(Jenazah Umar Mukhtar
yang dihukum gantung
)




Perjuangan Umar Mukhtar mengingatkan saya akan kata-kata keramat seekor burung ‘‘Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak

Burung yang saya maksudkan ialah seekor burung kecil yang mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar Nabi Ibrahim Alaihi Salam. Kata-kata keramat itu dilafazkan apabila perbuatannya ditegur oleh makhluk Allah yang lain . Bagi mereka perbuatan burung itu yang mengambil air dengan paruh yang kecil lalu menyiram ke atas unggun api hanyalah perbuatan sia-sia kerana api yang membakar Nabi Ibrahim terlalu besar dan marak menyala, pasti sahaja takkan terpadam dengan air yang disiramkan itu. Tapi burung itu menjawab dengan penuh keyakinan ‘‘Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak”


Lebih lanjut tentang Umar Muhktar, sila ke SINI. .

Babak Umar Mukhtar dihukum gantung, sedutan dari filem Lion Of the Desert. Lihat SINI.













Sunday 1 May 2011

Osama bin Laden Meninggal Dunia




Musuh nombor satu Amerika Syarikat, Osama Laden meninggal dunia dan pengumuman rasmi berhubung perkara itu akan dibuat tidak berapa lama lagi oleh Presiden Barack Obama.


Wartawan Al Jazeera di Kabul berkata, pihak berkuasa Afghanistan mengesahkan kematian pemimpin Al Qaeda itu dan mayat Osama kini berada dalam tangan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan bahawa allahyarham dibunuh di Afghanistan atau Pakistan.

Osama, hartawan kelahiran Arab Saudi itu menjadi buruan Amerika Syarikat apabila dikatan terlibat dalam perjuangan bersenjata di seluruh dunia.
Antaranya, deliau dilaporkan sebagai pihak di belakang serangan 11 September ke atas negara kuasa besar dunia itu



Sumber :Malaysia Kini

P/S : Sahih ke ceria ini, atau sekadar taktik Obama mewangikan namanya demi melanjutkan hayat politiknya yang kini dicabar oleh Donald Trump