Monday 29 April 2013

PRU13: Adik Beradik Berlainan Parti Mewarnai Politik Negara.


Selain persaingan yang sengit antara BN dan PR, PRU13 juga agak menarik kerana terdapat beberapa individu yang mempunyai pertalian darah yang amat rapat,iaitu sebagai adik beradik yang mewakili parti yang berlainan.

Tan Sri Shahrir Samad , bekas menteri dan calon ahli parlimen UMNO/BN. Namun, adiknya pula Ir Khalid Samad adalah adalah seorang pemimpin PAS. Selain menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, beliau juga merupakan salah seorang AJK PAS Pusat dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam.

Datuk Sahlan Ismail Nasution, adalah Setiausaha Politik( Setpol) kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib. Untuk PRU13 ini beliau akan bertanding di Parlimen Pokok Sena sebagai calon parlimen UMNO/BN dan akan berhadapan dengan Dato’ Mahfuz Omar,iaitu Naib Presiden PAS. Tapi berlainan pula dengan adiknya, Dato’ Saifuddin Nasution yang merupakan Setiausaha Agung PKR yang akan bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu. T

Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir kini dikenali sebagai aktivis pembangkang walaupun tidak akan bertanding dalam PRU13. Namun adiknya, Dato’ Abdul Aziz Syeikh Fadzir adalah calon ahli parlimen UMNO/BN di Parlimen Kulim-Bandar Baharu dan bakal berhadapan dengan Dato’ Saifuddin Nasution. 

Rasanya PRU13 akan lebih menarik andainya mereka yang mempunyai hubungan darah ini bertarung di gelanggang yang sama dengan menyarung jersi yang berbeza. Contohnya, Tan Sri Shahrir Samad, mewakili BN berhadapan dengan adiknya Ir Khalid Samad yang mewakili PAS di Parlimen Shah Alam atau kubu kuat Tan Sri Shahrir di Johor Bharu. Ataupun, Datuk Sahlan Ismail Nasution yang mewakili BN berhadapan dengan adiknya , Dato’ Saifuddin Nasution yang mewakili PKR di Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Tuesday 23 April 2013

SEJARAH PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA


Sebelum Pilihan Raya Umum Ke- 13(PRU13) berlangsung pada 5. Mei.2013 ini, eloklah kita mengimbas kembali sejarah PRU yang lalu. Tidak sekadar untuk bernostalgia tapi sebagai bukti, sesungguhnya kita adalah warganegara yang cakna. Umum mengetahui, PRU yang bakal tiba ini adalah PRU yang ketiga belas, ini bermakna sudah dua belas kali PRU diadakan di Malaysia. Di sini saya sekadar memaparkan tarikh-tarikh Pilihan Raya Umum yang lepas serta keputusannya.

Dari seorang kenalan FB. Sekadar jenaka.



PRU PERTAMA(1959) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 27 Jun. Tarikh penamaan calon pula ialah 15 Julai, manakala hari pengundian ialah pada 19.Ogos. 1959. 

Keputusan PRU 1959, adalah seperti berikut:

  • Parti Perikatan(kini dikenali sebagai Barisan Nasional) : memenangi 74 kerusi. 
  • Parti Negara : memperolehi 1 kerusi 
  • Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP)- kini dikenali sebagai PAS : memperolehi 13 kerusi 
  • Barisan Sosialis : memperolehi 8 kerusi 
  • Parti Malaya : memperolehi 1 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 8 kerusi 

PRU KEDUA(1964)

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 1 Mac. Tarikh penamaan calon pula ialah 21 Mac, manakala hari pengundian pula ialah pada 25.April. 1964.

Keputusan PRU 1964, adalah seperti berikut:
  • Parti Perikatan : memperolehi 89 kerusi. 
  • Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP)- memperolehi 9 
  • Barisan Sosialis : memperolehi 2 kerusi 
  • Parti Progresif Penduduk (PPP) : memperolehi 2 kerusi 
  • Parti Demokratik : memperolehi 1 kerusi 
  • Parti Tindakan Rakyat( PETIR) : memperolehi 1 kerusi 

PRU KETIGA(1969) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 20 Mac. Tarikh penamaan calon pula ialah 5 April, manakala hari pengundian pula ialah pada 10.Mei. 1969. Tempoh berkempen ialah selama 35 hari. 

Keputusan PRU 1964, adalah seperti berikut: 
  • Parti Perikatan : memperolehi 74 kerusi. 
  • Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP)- memperolehi 12 kerusi 
  • Parti Progresif Penduduk (PPP) : memperolehi 4 kerusi 
  • Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) : memperolehi 13 kerusi 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 13 kerusi 
  • Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) : memperolehi 8 kerusi 
  • Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP): memperolehi 5 kerusi 
  • Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) : memperolehi 9 kerusi 
  • Parti Pesaka Sarawak(PESAKA): memperolehi 2 kerusi 
  • Persatuan Cina Sabah (SCA) : memperolehi 3 kerusi 
  • Bebas: memperolehi 1 kerusi 


PRU KEEMPAT (1974)

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 31 Julai. Tarikh penamaan calon pula ialah 8 Ogos, manakala hari pengundian pula ialah pada 24. Ogos. 1974. Tempoh berkempen ialah selama 16 hari.

Keputusan PRU 1974, adalah seperti berikut: 
  • Barisan Nasional : memperolehi 135 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 9 kerusi 
  • Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) : memperolehi 9 kerusi 
  • Parti Keadilan Masyarakat Malaysia(PEKEMAS): memperolehi 1 kerusi 


PRU KELIMA (1978) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 12 Jun. Tarikh penamaan calon pula ialah 21 Jun, manakala hari pengundian pula ialah pada 8. Julai. 1978. Tempoh berkempen ialah selama 17 hari. 

Keputusan PRU 1978, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 130 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 16 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 5 kerusi 
  • Pertubuhan Rakyat Sarawak (SAPO): memperolehi 1 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 2 kerusi 

PRU KEENAM (1982) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 29 Mac. Tarikh penamaan calon pula ialah 7 April, manakala hari pengundian pula ialah pada 22. April. 1982. Tempoh berkempen ialah selama 15 hari.

Keputusan PRU 1982, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 132 kerusi.
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 9 kerusi
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 5 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 8 kerusi

PRU KETUJUH (1986) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 19 Julai. Tarikh penamaan calon pula ialah 24 Julai, manakala hari pengundian pula ialah pada 3. Ogos. 1986. Tempoh berkempen ialah selama 10 hari. 

Keputusan PRU 1986, adalah seperti berikut: 
  • Barisan Nasional : memperolehi 148 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 24 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 1 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 4 kerusi 


PRU KELAPAN (1990) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 4 Oktober. Tarikh penamaan calon pula ialah 11 Oktober, manakala hari pengundian pula ialah pada 21. Oktober. 1982. Tempoh berkempen ialah selama 10 hari. 

Keputusan PRU 1990, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 127 kerusi.
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 20 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 7 kerusi 
  • Parti Bersatu Sabah (PBS) : memperolehi 14 kerusi 
  • Parti Semangat 46 : memperolehi 8 kerusi
  •  Bebas : memperolehi 4 kerusi 


PRU KESEMBILAN (1995) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 6 April. Tarikh penamaan calon pula ialah 15 April, manakala hari pengundian pula ialah pada 25. April. 1995. Tempoh berkempen ialah selama 10 hari. 
Keputusan PRU 1995, adalah seperti berikut: 
  • Barisan Nasional : memperolehi 162 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 9 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 7 kerusi 
  • Parti Bersatu Sabah (PBS) : memperolehi 8 kerusi 
  • Parti Semangat 46 : memperolehi 6 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 4 kerusi 

PRU KESEPULUH (1999) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 10 November. Tarikh penamaan calon pula ialah 20 November, manakala hari pengundian pula ialah pada 29. Novemberl. 1999. Tempoh berkempen ialah selama 9 hari. 

Keputusan PRU 10, pada tahun 1999, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 148 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 10 kerusi
  •  Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 27 kerusi 
  • Parti Bersatu Sabah (PBS) : memperolehi 3 kerusi
  •  Parti Keadilan Rakyat (PKR) : memperolehi 5 kerusi

PRU KESEBELAS(2004)

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 4 Mac. Tarikh penamaan calon pula ialah 13 Mac, manakala hari pengundian pula ialah pada 21. Mac. 2004. Tempoh berkempen ialah selama 8 hari. 

Keputusan PRU 11, pada tahun 2004, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 199 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 12 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 6 kerusi 
  • Parti Keadilan Rakyat (PKR) : memperolehi 1 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 1 kerusi 

PRU KEDUA BELAS (2008)

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 13 Febuari. Tarikh penamaan calon pula ialah 24 Febuari, manakala hari pengundian pula ialah pada 8. Mac. 2008. Tempoh berkempen ialah selama 13 hari. 

Keputusan PRU 12, pada tahun 2008, adalah seperti berikut:
  •  Barisan Nasional : memperolehi 140 kerusi.
  •  Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 28 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 23 kerusi 
  • Parti Keadilan Rakyat (PKR) : memperolehi 31 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 1 kerusi


Maklumat Tambahan: 

Tarikh yang dipaparkan diatas hanya sesuai untuk digunapakai di Semenanjung Malaysia sahaja, ini memadangkan tarikh mengundi di Sabah dan Sarawak adalah berbeza dengan Semenanjung, baik untuk Dewan Rakyat(Parlimen) mahupun Dewan Undangan Negeri. 

Sebagai contoh, bolehlah rujuk kepada PRU 1969. Hari mengundi di Semenanjung telah ditetapkan pada 10 Mei 1969. Bagi negeri Sabah, tarikh pengundian berperingkat telah ditetapkan pada 10 sehingga 25 Mei 1969 dan tarikh pengundian berperingkat di Sarawak bermula dari 10 Mei sehingga 7 Jun 1969. 

Info Penting

  • Hanya bermula PRU ke-10 pada tahun 1999: Hari mengundi untuk kerusi Dewan Rakyat telah ditetapkan satu hari sahaja untuk seluruh negara iaitu pada 29 November 1999. Walau bagaimanapun PRU Ke-10 ini hanya melibatkan DUN-DUN di Semenanjung. DUN di Sabah dan Sarawak tidak terlibat dalam pilihan raya umum kali ini kerana ia diadakan secara berasingan.
  • Hanya bermula pada PRU 2004, buat pertama kalinya DUN Sabah menyertai pilihan raya umum bersama dengan DUN-DUN di Semenanjung. Dun Sarawak masih tidak terlibat dalam pilihan raya umum ini dan ia berkekalan hinggalah ke hari ini.
  • PRU 1969 juga merupakan PRU pertama yang melibatkan Sabah dan Sarawak, setelah terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Persekutuan Malaysia melibatakan Tanah Melayu/Malaya( sekarang dikenali sebagai Semenanjung Malaysia), Sabah,Sarawak dan Singapura.

Monday 22 April 2013

FAKTA PENTING PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA




PILIHAN RAYA PERTAMA 

Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 Jun 1955 adalah pilihan raya pertama sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Seramai 129 orang calon yang bertanding untuk merebut 52 kerusi Parlimen. 

Keputusannya ialah Parti Perikatan( kini dikenali sebagai Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Manakala, baki 1 lagi kerusi dimenangi oleh Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP) –kini dikenali sebagai PAS. Lagi menarik , kerana kerusi yang dimenangi oleh PAS ialah di Kerian Perak dan bukannya di Kelantan.

PENGUNDI PALING RAMAI 

Kawasan Parlimen Kapar di Selangor memiliki bilangan pengundi paling ramai, iaitu seramai 112,224. Jumlah ini hampir menyamai jumlah pengundi di Perlis,iaitu seramai 120,081 orang.

UNDI ROSAK PALING SEDIKIT

Undi rosak paling sedikit dicatatkan ketika PRU 1959. Hanya 1.82% bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri(DUN) 

Agak menghairankan kerana jumlah undi rosak ketika PRU 2008 ialah sebanyak 175,680 untuk kawasan Parlimen dan 146,781 undi untuk DUN. 

Adakah ini bermakna rakyat pada tahun 1959 lebih cerdik dan berpendidikan berbanding rakyat pada tahun 2008. Atau ada maksud yang tersirat? 

TEMPOH KEMPEN PALING PENDEK.

Tempoh kempen paling pendek atau singkat ialah ketika PRU11 pada tahun 2004, apabila tarikh penamaan calon dan mengundi ditetapkan pada 13 dan 21 Mac 2004. Tempoh berkempen hanyalah selama 8 hari sahaja. 

P/S: PRU11 pada tahun 2004 juga menyaksikan BN menang besar dan parti pembangkang pula mengalami kekalahan yang amat teruk. PKR hanya memenangi Parlimen Permatang Pauh. PAS pula menyaksikan kekalahan beberapa orang pemimpin kanannya, termasuklah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang tewas di Parlimen Marang. Satu-satunya kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PAS di luar Kelantan ialah di Parlimen Pendang, Kedah. 

Lagi malang, PAS hampir-hampir kehilangan kuasa di Kelantan. Ini kerana PAS hanya menguasai 24 kerusi Dun dan BN pula 21 kerusi. Nasib PAS bertambah malang kerana jumlah kerusi yang dimenangi oleh PAS berkurang menjadi 23 kerusi apabila tewas kepada BN dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir. Akibatnya PAS mengusai Kelantan dengan 23 kerusi dan BN pula memperolehi 22 kerusi. Satu Kerusi sahaja yang menyelamatkan pemerintahan PAS di Kelantan.

CALON YANG TAK PERNAH KALAH.

Tun Ghafar Baba adalah satu-satunya calon yang sentiasa memenangi semua kerusi yang ditandingi. Beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) pada tahun 1955 dan 1964. Pada tahun 1969, beliau mula bertanding kerusi parlimen sehingga bersara daripada politik. 

PALING LAMA BERKHIDMAT 

Tengku Razaleigh Hamzah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama Sembilan penggal. Beliau bermula dengan memenangi kerusi Parlimen Kelantan Barat pada PRU 1974. 

UNDI PALING BANYAK

Majoriti undi paling banyak, iaitu sebanyak 54,073 undi diperolehi oleh Datuk Seri Shahrir Samad pada PRU 2004 bagi kerusi Parlimen Johor Bahru. 

UNDI PALING SEDIKIT

Calon bebas, Yusof Nasir memperolehi undi paling sedikit, iaitu sebanyak 9 undi dalam pertandingan merebut kerusi DUN Sukau, Sabah pada PRU 2008. 

CALON PALING TUA 

Calon paling tua ialah nenek Maimun Yusuf,89 tahun yang bertanding untuk kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU 2008. Beliau juga turut bertanding di Parlimen yang sama pada 5. Mei. 2013.

Sunday 21 April 2013

Bila Artis Berpolitik

Dayangku Intan
PRU13 menjadi gelanggang bagi tiga orang artis untuk mencuba nasib sebagai seorang politikus. Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin bertanding mewakili parti PAS di Parlimen Jempol , Negeri Sembilan. Penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu bakal berhadapan dengan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad. Mungkin, sudah tiba masanya untuk Aishah memanfaatkan kelulusannya dalam ilmu sains politik yang beliau pelajari ketika di New Zealand dahulu. 

Artis seterusnya ialah Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid yang mewakili PKR , akan bertanding di Parlimen Pengerang Johor. Penyanyi terkenal era 1980-an ini akan berhadapan dengan calon BN, Datuk Azalina Othman.

Seorang lagi artis yang turut bertanding dalam PRU kali ini ialah Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi. Beliau bertanding atas tiket bebas di Parlimen Tanjung Karang dan akan berhadapan dengan Datuk Seri Noh Omar (BN) dan Mohd Rashidi Deraman(PAS).

Sebagai warga sebuah negara demokrasi, kita seharusnya menghormati pendirian dan keputusan artis-artis tersebut. Biarkan mereka melompat lebih tinggi untuk memetik bintang. Mereka sebenarnya berupaya menjadi politikus terbilang, andainya bijak percaturan. 

Dalam konteks Malaysia, mungkin ia masih baharu, tapi tidak dalam konteks antarabangsa. Lihat sahaja Ronald Reagan. Beliau asalnya adalah pelakon koboi dan akhirnya berkecimpung dalam politik, dan akhirnya berjaya menjadi Presiden Amerika ke-40 pada tahun 1981. 

Begitu juga dengan Arnold Schwarzenegger, seorang artis yang akhirnya Berjaya mejadi Gabenor California dari tahun 2003 hingga 2011.

Di India pula, Marudhur Gopalan Ramachandran atau lebih dikenali sebagai MGR yang terkenal sebagai pelakon, pengarah dan penerbit filem akhirnya turut berkecimpung dalam kancah politik. Beliau meraih kejayaan yang luar biasa, apabila berjaya menjadi Perdana Menteri Tamil Nadu. 

Di Filipina, Joseph Estrada adalah seorang artis yang berjaya. Sepanjang 33 tahun bergelar artis dan berlakon dalam lebih 100 filem, akhirnya beliau turut bertanding dalam pilihan raya. Kemuncaknya beliau Berjaya menjadi Presiden Filipina yang ke-13 bermula dari tahun 1998 hinggalah 2001. 

Jadi, hormatilah artis-artis kita yang ingin mencuba nasib sebagai politikus. Jangan mencela dan usah dihina, kerana kita adalah warga di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Wednesday 17 April 2013

INFO PENTING PRU13


KERUSI REBUTAN 
  •  222 Parlimen
  • 505 Dun (Kecuali Sarawak)

TEMPOH PENTING PRU13
  •  3 April 2013(Rabu) : Bubar Parlimen
  •  11 April 2013 ( Khamis): Keluar Writ 
  • 12 April 2013 (Jumaat) : Notis Praya 
  • 20 April 2013(Sabtu) : Penamaan Calon 
  • 30 April 2013 (Selasa) : Pengundian Awal 
  • 5 Mei 2013 (Ahad) : Pengundian Biasa 
DAFTAR PENGUNDI
  •  13,268,002 Layak Mengundi 
  • 2,566,948 Pengundi Baru 
  • 12,992,661 Pengundi Biasa 
  • 161,251 Tentera dan Pasangan 
  • 111,136 Polis, Pasangan dan Polis Gerakan Am(PGA)
  •  2,954 Pengundi Tidak Hadir(PTH) Luar Negara 
 PENGUNDIAN AWAL. 
  • 544 Pusat Mengundi 
  • 882 Tempat Mengundi Dibuka 

PENGUNDIAN BIASA 
  • 8,245 Pusat Mengundi
  • 25,337 Tempat Mengundi Dibuka


Tajuk Lain Yang Berkaitan: 

Friday 12 April 2013

TAJ MAHAL : SEBUAH MONUMEN CINTA DAN SALAH SATU DARIPADA TUJUH KEAJAIBAN DUNIA.



Ini adalah sambungan dari tajuk lepas 

Berkunjung ke India, seakan-akan tidak sempurna andainya tidak berkunjung ke Taj Mahal yang terletak di Agra, Uttar Pradesh, kira-kira 200KM dari Delhi. Taj Mahal tidak hanya menempatkan pusara Shah Jahan dan Mumtaz Mahal, tapi ia juga sebuah monumen cinta dan tersenarai sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia (the seventh wonder of the world). 

Taj Mahal sememangnya memiliki kehalusan seni bina yang amat tinggi serta sukar ditandingi, dan ia menggambarkan keagungan senibena Dinasti Mughal

Abadikan kenangan di Taj Mahal
.  
Entry ini berdasarkan pemerhatian dan penelitian sepanjang kunjungan saya ke Taj Mahal, dan untuk menjadikanya lebih segar dan bugar, saya gabungkannya dengan sedikit fakta yang saya kutip melalui pembacaan.Antaranya ialah buku berjudul Taj Mahal, Agra & Fatehpur Sikri yang saya beli di sebuah toko buku di Agra, India. Buku-buku lain termasuklah buku Sejarah Islam STPM yang ditulis Jayaudin Jamaudin dan buku berjudul Warisan Manusia Sejagat(maaf saya lupa nama penulisnya) . Selain itu, saya turut mengutip fakta-fakta dari sebuah dokumentari yang berjudul MOGUL EMPAYAR ISLAM DI INDIA, yang disiarkan menerusi TV Al-Hijrah 

The Main Entrance Of Taj Mahal
   
Sejarah pembinaan Taj Mahal amat menarik untuk dirungkai. Ia dibina oleh Shah Jahan untuk memperingati permaisurinya Mumtaz Mahal. Shah Jahan adalah Maharaja Mughal(Mogul) yang kelima dan memerintah empayar Mughal dari tahun 1628M hingga 1658M. Baginda adalah putera kepada Maharaja Jahangir dan cucu kepada Maharaja Akbar. Nama sebenarnya ialah Khurram Shah atau dikenali juga sebagai Putera Kurram. Nama Shah Jahan dikurniakan oleh ayahnya setelah beliau berjaya mengalahkan Malek Ambar yang berkuasa di Deccan.
The Main Entrance Of Taj Mahal

Shah Jahan mengahwini Mumtaz Mahal, atau nama sebenarnya Arjumand Banu Begum pada tahun 1612M. Pada ketika itu Mumtaz Mahal baru berusia 19 tahun. Perkahwinan antara Shah Jahan dan Mumtaz Mahal sememangnya atas dasar cinta dan bukannya kerana asakan politik dan atau atas dasar ingin memperluaskan kuasa. Sebenarnya perkahwinan atas dasar politik biasa berlaku pada zaman silam. Malah, Maharaja Akbar mengahwini Jodhai Bai juga atas dasar politik iaitu untuk meraih sokongan Raja-raja Hindu
.


Setelah menjadi isteri Shah Jahan, Mumtaz Mahal menjadi pendamping yang setia dan sentiasa bersama suaminya. Malah, dia dikatakan tidak pernah berjauhan dari suaminya sepanjang 19 tahun hidup bersama. Ini terbukti apabila Mumtaz Mahal sentiasa menemani suaminya setiap kali Shah Jahan melancarkan ekpedisi ketenteraan ataupun perluasan kuasa. 

Oleh itu Mumtaz Mahal tidak sekadar menjadi seorang permaisuri, malah turut berperanan sebagai penasihat politik kepada Shah Jahan, malah Mumtaz Mahal sering kali menemani suamninya tatkala Shah Jahan melancarkan ekspedisi ketenteraan. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan 14 orang anak, dan yang paling terkenal ialah Aurangzeb yang kemudiannya menjadi pemerintah Mughal yang ke-enam(1658-1707M). 





Pada tahun 1631M, Mumtaz Mahal menyertai suaminya dalam sebuah misi ketenteraan ke Burhanpur di wilayah Deccan. Ketika itu Mumtaz Mahal sedang sarat mengandung dan tanpa diduga ia menjadi perjalanan terakhir untuk Mumtaz Mahal. Pada 17 Jun 1631, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah melahirkan anaknya yang ke-14. Pada ketika itu Mumtaz Mahal baru sahaja berusia 39 tahun.

Pemergian Mumtaz Mahal merupakan satu kejutan buat Shah Jahan. Baginda tidak keruan dan hari-hari yang beliau lalui adalah detik-detik yang memilukan, lantas beliau memutuskan untuk mengabadikan kisah cinta mereka berdua. Dari sinilah bermulanya idea pembinaan Taj Mahal. Apatah lagi, sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Mumtaz Mahal telah berwasiat agar Shah Jahan menunaikan empat perkara setelah ketiadaannya. 

Empat permintaan terkahir itu ialah
  • Meminta Shah Jahan membina sebuah tugu sebagai lambang cinta mereka berdua
  • Meminta agar Shah Jahan berkahwin lagi.
  • Meminta agar Shah Jahan memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak mereka. Seramai 14 orang anak hasil perkahwinan mereka berdua. 
  • Meminta Shah Jahan menziarahi pusaranya setiap kali ulang tahun perkahwinan mereka berdua 
Oleh kerana Shah Jahan seorang pecinta yang setia, baginda nekad untuk membina sebuah tugu cinta yang kemudiannya dinamakan sebagai Taj Mahal.

Namun, sebelum pembinaan Taj Mahal dimulakan, jenazah Mumtaz Mahal dikebumikan buat sementara waktu di taman Zainabadi di di Burhanpur. Setelah enam bulan, jenazah Mumtaz Mahal dipindahkan ke Agra untuk persemadian yang kekal.


  

Shah jahan kemudiannya membeli sebidang tanah dari Maharaja Jaipur, Jai Singh di tebing sungai Yamuna. Jai Singh juga kemudiannya turut terlibat menyediakan bahan-bahan atau bekalan untuk membina Taj Mahal, termasuklah marmar khas dari Makarana. Terdapat 35 jenis batu permata yang digunakan untuk membina Taj Mahal. Ia didatangkan dari pelbagai lokasi termasuklah dari luar negara. Antaranya ialah Marmar putih dari Rajasthan, Jed dan hablur dari China. Firus dari Tibet, Lazuardi dari Afghanistan, Nilam dari Sri Langka, Kamelian dari Arab.


  

Reka bentuk Taj Mahal dibuat oleh seorang arkitek dari Parsi(Iran), iaitu Ustad Isa. Namun, ada juga yang mendakwa arkitek utamanya ialah Ustad Ahmad Lauhari. Seni bina Taj Mahal juga dikatakan dibawa dari Baghdad, Constantinople( Istanbul) dan dimasukkan unsur-unsur kepercayaan orang islam. Sebab itulah pada tiangnya terukir perkataan Ar-Rahman, iaitu salah satu daripada nama-nama Allah. Malah, saya turut difahamkan oleh pemandu pelancong,sebahagian seni bina Taj Mahal juga turut menonjolkan imej Kaabah.

Pembinaannya mengunakan tenaga pekerja yang terdiri seramai 20 ribu orang dan mengambil masa selama 22 tahun. Mereka ini terdiri daripada tukang batu, tukang emas, dan pengukir yang termasyhur dari seluruh dunia. Walau bagaimanapun terdapat juga dakwaan yang mengatakan tenaga pekerja tersebut terdiri daripada penduduk tempatan.

 

Perlu juga diketahui, pembinaan Taj Mahal sebenarnya tidak dipersetujui, malah dibangkang oleh ramai alim ulama tempatan pada waktu itu. Itu kerana projek tersebut menelan belanja yang besar dan satu pembaziran. Bagi para ulama pada ketika itu, amat tidak wajar untuk memuliakan sebuah pusara hingga sebegitu rupa.

  

Struktur utama Taj Mahal adalah berbentuk segi empat, namun ia menyerong pada setiap sudut. Pada sudut- sudut ini pula terdapat menara yang runcing dan bumbung besar berbentuk kubah.Gabungan marmar putih dan permata yang pelbagai jenis ini membuatkan Taj Mahal menjadi begitu indah dan menarik, dan kemudiannya menjadi salah satu daripada tujuh perkara ajaib di dunia. 


Di sebalik keindahan dan keunikkan Taj Mahal, terdapat juga kisah kekejaman dan kezaliman yang mengiringi kewujudan monumen cinta tersebut. Telah tersebar ke mana-mana sahaja, malah telah menjadi kisah yang amat mashyur,iaitu peristiwa Shah Jahan memotong tangan dan mencungkil mata para tukang yang terlibat dalam pembinaan Taj Mahal sebaik sahaja monumen cinta itu berjaya disiapkan. Ini semata-mata untuk mengelakkan kewujudan bangunan lain sebagai pesaing Taj Mahal. Namun, kisah ini dipertikaikan oleh banyak pihak. Selain tiada bukti, ia juga berlawanan dengan ‘jiwa halus’ yang dimiliki oleh Shah Jahan.

  

Tapi malang buat Shah Jahan, setelah Taj Mahal berjaya disiapkan, baginda diguling oleh puteranya Aurangzeb. Maharaja baru dinasti Mughal itu telah memenjarakan Shah Jahan di Red Fort Agra. Setelah Shah Jahan meninggal dunia, Aurangzeb mengebumikan Shah Jahan bersebelahan dengan makam Mumtaz Mahal

  


Perkara Penting Perlu Diketahui Ketika Mengunjungi Taj Mahal

Untuk memasuki perkarangan Taj Mahal, para pengunjung diwajibkan memakai atau mengenakan alas atau sarung kaki pada kasutnya. Ini bertujuan memelihara kebersihan Taj Mahal. Namun kebanyakkan pelancong tempatan lebih selesa berkaki ayam dan menanggalkan kasut atau sandalnya di kawasan yang dikhaskan. 

Di sini juga aktiviti fotografi dan videografi ada had dan batasannya. Sebabnya di sudut-sudut tertentu, terutamanya di makam Shah Jahan dan Mumtaz Mahal, segala aktiviti fotografi dilarang sama sekali. 

Pelancong juga tidak dibenarkan membawa beg kecuali dompet. Kepada pelancong yang menggunakan kamera dslr, anda tidak mampu membawa lens yang pelbagai kerana arahan ini, jadi pastikan anda memilih lens yang terbaik dan sesuai untuk dibaca masuk ke kompleks Taj Mahal. Jika tidak anda pasti sahaja kecewa. 

Tajuk lain yang berkaitan:

SEJARAH PEMINDAHAN ORGAN DI MALAYSIA



Pemindahan organ pertama di Malaysia ialah pada 15.12.1975, apabila Hospital Besar Kuala Lumpur(HBKL) berjaya memindahkan buah pinggang Augustus Sittin kepada abangnya Martin Rinyeb yang mengalami kerosakkan buah pinggang.

Pemindahan jantung pertama di Malaysia pula ialah pada 18.12.1997. Ia diketuai oleh Dato’ Dr Yahya Awang terhadap Sathurugnam Ramakrisnan di Institut Jantung Negara (IJN)

INFO TAMBAHAN

Permintaan untuk pemindahan buah pinggang dan lain-lain organ terlalu tinggi di Malaysia. Setakat ini terdapat 16,479 orang pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ. Masalah utama ialah Malaysia kekurangan penderma organ. Mengikut nisbah bilangan penderma organ di Malaysia ialah 7 orang daripada sejuta rakyat Malaysias( 7: 1000000.00) Paling berbekas di hati, ayah saya meninggal dunia pada tahun lepas( 25.Mac.2012), adalah kerana kegagalan buah pinggang.

Sunday 7 April 2013

FUTSAL : PAS VS UMNO


Perlawanan futsal persahabatan  antara Pemuda UMNO dan 
Dewan Pemuda PAS kawasan Rantau Panjang, Kelantan


Sana Barisan.
Sini Pakatan.
 Hari Ini Kita Berlawan.
 Esok Pula Kita Berkawan. 
Tidak Dapat Bersatu 
Bukannya Bererti 
Tidak Dapat Bersama. 

Saturday 6 April 2013

REVIEW BUKU: INDAHNYA POLITIK CARA ISLAM.



Memandangkan parlimen baru sahaja dibubarkan dan PRU13 bakal berlangsung tidak lama lagi, jadi saya rasa amat wajar untuk memperkatan perihal buku ini di sini. Sebenarnya sudah beberapa bulan buku ini saya miliki dan sejak awal-awal lagi telah saya habiskan pembacaannya. 

Di sini saya bukanlah ingin memperkatakan perihal buku ini secara terperinci. Sebab matlamat saya ialah untuk ‘memujuk dan merayu’ anda agar membeli buku ini. Kemudian, bacalah buku ini dengan cermat dan teliti. Dan kalau boleh bacalah buku setebal 318 halaman ini berulang kali. Mudahan-mudahan ia dapat dijadikan sebagai panduan untuk memilih pemimpim 

Penulis buku ini iaitu Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkelulusan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya, Sarjana Syariah dari Universiti Al-Yarmouk, Jordan dan Doktor Falsafah (PhD) Syariah dan Kewangan Islam dari University of Wales, United Kingdom. Beliau kini Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ahli Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Menganggotai Majlis Penasihat Syariah di bank dan institusi seperti Al Rajhi Bank Malaysia, ACR ReTakaful Berhad dan ACR MEA Takaful, Bahrain. Beliau juga dilantik sebagai Perunding Syariah antaranya kepada UEM Land Berhad dan Siraj Capital Ltd, Jeddah. 

Buku setebal 318 halaman ini benar-benar merungkai salah faham terhadap politik yang selama ini membelit pemikiran segelintir umat islam di Malaysia. Masih ramai rasanya yang beranggapan politik itu hanyalah urusan memilih pemimpin tanpa mengambil tahu sesungguhnya ia adalah satu ibadah. Buku Indahnya Politik Cara Islam mengandungi 13 Bab. Dimulai dengan bab pertama, Takrif Siasah atau Politik dan akhiri dengan bab berjudul Budaya Kerja Islam: Kualiti Dan Produktiviti.

 Boleh dikatakan kesemua isu yang diutarakan oleh penulis buku ini amat menarik, namun saya hanya akan paparkan sebahagian sahaja yang benar-benar menarik pada pandangan saya, antaranya ialah perbahasan mengenai takrif negara islam yang dipaparkan pada Bab 3. Di sini, penulis telah mengemukakan beberapa pendapat atau pandangan tokoh-tokoh ulama muktabar,baik ulama silam mahupun ulama kontemporari. Antara ulama-ualam silam ialah Imam Abu Yusuf, Al-Khatib al-Baghdadi, Al-Imam Asy-Sya’ari , Imam Ibn Taymiyyah dan Imam Ibn Qayyim. Ulama-ulama kontemporari pula termasuklah Sayyid Qutb, Syeikh Said Hawwa, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Abu A’la al-Maududi dan Prof. Dr Muhd Salam Madkur. 

Begitu juga dengan perbahasan status Wanita Sebagai Pemimpin yang terdapat pada halaman 60. Umumnya, umat islam dihidangkan dengan kenyataan, wanita tidak harus menjadi pemimpin, namun harus juga diketahui pandangan atau pendapat yang menyalahi kelaziman ini. Apa yang pasti,golongan yang membenarkan wanita menjadi pemimpin ini tetap mengemukakan hujah dan dalil yang mantap. Antara ulama tersebut ialah Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusoff al-Qaradhawi. Bab ke 3, iaitu Islam dan Demokrasi juga amat menarik dan amat perlu untuk difahami oleh umat islam. Ini memandangkan terdapat jemaah tertentu yang mengharamkan penglibatan umat islam dalam sistem dmeokrasi termasuklah dalam proses pilihan raya, atas alasan demokrasi bukanlah berasal dari islam. Pandangan sebegini amatlh berbahaya namun ia tetap mempunyai pengikutnya yang tersendiri, termasuklah dari kalangan professional.Tahniah kepada Dr Zaharuddin Abdul Rahman kerana Berjaya merungkai isu ini dengan baik. 

Akhir sekali,isu yang saya anggap menarik dan perlu difahami ialah isu undi calon atau parti. Ia dibincangkan dalam Bab 9 dalam buku ini. Mungkin kita terkeliru ketika ingin mengundi. Mungkin kita menyokong parti tertentu tetapi dalam masa yang masa tidak menyenangi calon yang mewakili parti tersebut. Apatah lagi, terdapat juga segelinitir ustaz di Malaysia yang mencadangkan agar memilih atau mengundi berdasarkan calon dan bukannya parti. Dalam buku ini, Dr Zaharuddin telah berjaya merungkai salah faham ini dengan menegaskan pemilihan atau undian berdasarkan parti hendaklah diutamakan, kecuali dalam keadaan tertentu. 

Sengaja saya tidak mengulas buku ini secara panjang lebar kerana matlamat saya satu sahaja iaitu, belilah buku ini dan hayatilah perbahasannya. Moga-Moga dengan ini, kita mampu menjadi pengundi yang bijak.

 Tajuk Lain Yang Berkaitan

Wednesday 3 April 2013

MEDIA BARU DAN PENGARUHNYA TERHADAP PRU-13



Dalam entry ini saya tidak berminat untuk membicarakan secara panjang lebar tentang definisi atau takrif Media Baru. Apa yang pasti, media baru amat berkait rapat dengan penggunaan internet, malah internetlah yang menjadi denyut nadi dan degup jantung kepada kewujudan media baru. Dan, yang pasti juga, media baru kini sedang menjajah dunia. Blog, web site, laman sosial, You Tube dan juga portal berita, merupakan sebahagian daripada media baru. 

Media baru mula mendapat perhatian masyarakat kerana penggunaannya yang mudah serta senang diakses. Mungkin, bagi sesetengah orang, media baru terutamanya Facebook sekadar medium untuk mengisi kekosongan waktu, namun sangat ramai sebenarnya pengguna media baru yang terdiri daripada manusia-manusia yang tidak ingin berterusan dalam keadaan ‘pekak dan buta’, lantas mereka menjadi penagih maklumat dan pencinta fakta. 




Di Malaysia, jumlah rakyat yang mendapatkan maklumat menerusi laman sosial terutamanya Facebook ialah seramai 13 juta orang. Jumlah ini jauh mengatasi, bilangan rakyat yang mencari maklumat menerusi TV, iaitu sekitar 3 juta orang dan menerusi surat khabar, seramai 2.5 juta orang.


Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz sendiri turut mengakui kuasa dan kekuasaan media baru, termasuklah dalam memperkuatkan jentera sesebuah parti. Katanya lagi. semua ini berlaku kerana Malaysia mencatatkan kira-kira 13 juta pengguna Facebook dan dua juta pengguna Twitter.

Di pihak Pakatan Rakyat, Ustaz Tuan Ibrahim bin.Tuan Man, awal-awal lagi telah menyeru agar semua pihak dalam PAS dan Pakatan Rakyat, sama ada di peringkat dewan-dewan dan kawasan-kawasan, agar memanfaatkan media baru dengan sebaik mungkin bagi menumbangkan BN pada PRU-13 yang akan datang

Begitu juga dengan populariti YouTube yang mencatatkan lebih 1 bilion pengunjung setiap bulan bagi menonton pelbagai klip video. Hari ini, ia menjadi platform paling berpengaruh dalam landskap media hari ini, selain Facebook( lihat Sumber).

Perlu difahami, sesungguhnya media baru amat kuat pengaruhnya. Ini kerana maklumat yang disampaikan menerusinya mampu melebar tanpa sekatan dan meluas tanpa sempadan. Lihat sahaja apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir, betapa kuat dan meluasnya pengaruh facebook dan Twitter, sehingga ia mampu menoktahkan hayat politik Hosni Mubarak di Mesir dan Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia. Lihat juga apa yang berlaku dalam negara, atau lebih tepat lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-12(PRU-12). Betapa hebatnya media baru hingga ia mampu mengubah landskap politik negara. Tsunami politik yang berlaku ketika PRU-12, pasti sahaja menjadi mimpi ngeri buat penguasa Putrajaya. Dan, menjelang PRU-13 yang bakal menjelma tidak lama lagi, media baru pasti sahaja akan dimanfaatkan semaksimum mungkin.








Media Baru Dan PRU-13.


Selain portal berita, Blogger dan Facebooker turut memainkan peranan untuk menyebar maklumat dan membeli sokongan orang ramai. Baik Barisan Nasional(BN) mahupun Pakatan Rakyat(PR), masing-masing mempunyai ‘tentera’ yang terdiri daripada blogger dan facebooker. PapaGomo dan kickdefella adalah antara blogger yang menjadi pejuang Barisan Nasional. MiloSuam, Perisik Rakyat, Kelab Greenboc dan Tukar Tiub adalah Mujahid Pakatan Rakyat. Sama ada blogger BN mahupun PR, masing-masing cuba mempamerkan siapa DEWA PENYELAMAT dan mendedahkan siapakah IBLIS LAKNAT.

Berpaksikan waras dan wajar yang dipandu oleh ilmu dan iman, umat islam mestilah berhati-hati dalam membuat pengundian. Jadilah pengundi yang bijak. Pelbagaikan bahan bacaan dan lihatlah sumber yang pelbagai untuk memperluaskan horizon pemikiran, dan seterusnya membolehkan kita ‘berijtihad’ untuk memilih pemimpin. Ucaplah selamat tinggal kepada budaya membaca Utusan Malaysia dan Berita Harian, Harakah dan Suara Keadilan semata-mata atau menonton berita di TV1,TV2 dan TV3 sahaja. Itu budaya masyarakat paleolitik dan hanya sesuai untuk Perak Man yang 'bersemadi' di Muzium Arkeologi Lenggong.

P/S: Sila tonton klip video di bawah untuk mengikuti pandangan Dr Asri Zainul Abidin tentang peranan Media Baru dalam arena politik.