Saturday 15 June 2013

Dal Lake, Srinagar, Kashmir: Mencicip Damai dan Menjamah Tenang.

Lapangan Terbang Srinagar Kashmir.
Info tentang Dal Lake dan houseboat dapat diperolehi di sini

Ini adalah sambungan daripada Tajuk Lepas 

Dal Lake terletak di Srinagar,ibu negeri Jammu & Kashmir. Ia adalah tasik yang terbesar di bandar tersebut dan merupakan salah satu kawasan tumpuan di Srinagar. Tasik ini sebenarnya terbahagi kepada empat bahagian iaitu, Dal Lake, Gagribal, Lokut Dal dan Nagin. Melancong ke Kashmir bagaikan tidak lengkap andainya tidak berkunjung ke tasik ini.

Dal Lake di awal pagi.

Indah,tenang dan mendamaikan, itulah yang mampu saya luahkan sepanjang tiga hari bermalam di situ. Meskipun terdapat banyak hotel untuk penginapan, namun ramai pelancong lebih berminat untuk menginap di houseboat yang terdapat di sepanjang tasik ini.

Saya difahamkan, tasik ini adalah kawasan larangan untuk bot-bot berenjin. Oleh sebab itulah airnya sangat jernih.

Dal Lake

Amat mendamaikan apabila berkesempatan menimati keindahan tasik dari beranda houseboat, tika senja menjengah dan tatkala dinihari menjelma. Sangat menenangkan apabila berkesempatan mengelilingi Tasik Dal dengan menaiki Shikara (bot kecil yang dihiasi dengan pelbagai warna). Saya dan rakan-rakan dibawa menyusuri houseboat yang beroperasi sebagai premis perniagaan. Pelbagai barangan yang dijual termasuklah cenderahati dan baragan berasaskan tekstil.




Dal Lake


Sepanjang perjalanan mengelilingi Tasik Dal, seringkali penjual atau peniaga merapati Shikara yang saya dan rakan-rakan naiki untuk menjual barangan mereka terutamnya cenderahati dan pakaian serta Zafron. Untuk pengetahuan sahabat, Kashmir adalah antara pengeluar Zafron terbesar dunia. Saya difahamkan, pada pertengahan atau akhir bulan Januari, Tasik ini akan membeku dan Srinagar pada waktu itu akan dibungkus salji yang memutih. Untuk pengetahuan sahabat juga, Kashmir suatu ketika dahulu adalah lokasi pengambaran filem Hindi. Antaranya ialah filem Hindi yang terkenal Bobby lakonan Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia pada awal tahun 1970-an. 

Untuk selanjutnya, biarlah gambar-gambar yang berbicara.

Tajuk Lain Yang Berkaitan.: Kashmir 'Paradise On The Earth'.

Dal Lake
Dal Lake: Menyusuri Tasik dengan Shikara
Dal Lake
Menyusuri Tasik Dal
Menyusuri Tasik Dal
 
Dal Lake
Dal Lake: Shikara (bot kecil yang dihiasi pelbagai warna),di tebing Dal Lake
Dal Lake: Shikara di Tebing Dal Lake
Bersama pemilik HouseBoat dan pelancong dari Malaysia. Aku: tiga dari kiri

Wednesday 12 June 2013

Warga Asing Membanjiri Lahad Datu.



Masalah kebanjiran warga asing di sekitar kawasan Lahad Datu bukan sesuatu perkara yang baru. Bagi penduduk di daerah itu, kisah warga asing yang menjadi ‘raja’ tepi jalan dan kaki lima adalah fenomena biasa yang dapat dilihat sejak sekian lama. Tinjauan di sekitar kawasan Pekan Lahad Datu semalam mendapati tidak kurang 200 penjaja tanpa lesen mendominasi kawasan kaki lima sekitar Pasar Rakyat Lahad Datu. Kebanyakan mereka menjual sayur-sayuran, barangan kering malah ada juga yang menjual rokok dan barangan keperluan harian yang lain. 

Selanjutnya, langsung sahaja ke -->Sinar Harian 

Info Tambahan.

Saya pernah mendiami Lahad Datu selama enam tahun, kerana berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu. Warga asing atau lebih tepat lagi Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) sememangnya membanjiri Lahad Datu. Tidak keterlaluan andainya saya katakan, Lahad Datu(sebenarnya di kebanyakan tempat di negeri Sabah) adalah ‘daerah tiga negara’. Ini kerana di Lahad Datu sangat ramai warga asing dari Indonesia, Filipina dan Timur Laste.

Harap-harap permasalahan ini dapat ditangani sesegera mungkin dan sebijaksana yang mampu.

Tuesday 11 June 2013

TEMPOH VISA UMRAH DIHADKAN KEPADA 14 HARI SAHAJA.

 
Berkuatkuasa pada 10 Jun 2013, tempoh visa untuk mengerjakan umrah dihadkan kepada 14 hari sahaja. Langkah ini dibuat untuk mengurangkan kesesakan ketika tawaf, ini memandangkan kerja-kerja pembesaran kawasan tawaf sedang dijalankan di Masjidil Haram.

Peraturan baru ini("Program 14.14.14”) turut menetapkan para jemaah mengesahkan visa mereka dalam masa 14 hari selepas dikeluarkan. Jemaah juga perlu berlepas ke Makkah dalam masa 14 hari dan pulang selepas 14 hari. 

Kementerian Haji Saudi membuat keputusan tersebut bagi mengurangkan kesesakan teruk di semua tempat penginapan,termasuk di hotel bertaraf lima bintang selepas proses pembesaran kawasan tawaf di Masjidil Haram. 

Pasti ramai yang agak terkilan, sebab ramai yang merancang untuk mendiami Makkah dalam tempoh yang agak lama sepanjang Ramadhan nanti. Tapi, semua pihak terpaksa akur dan pasrah.
Aku punya Visa Umrah
Kebetulan saya juga  baru pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci. Hampir dua minggu saya di sana, dua hari di Madinah dan bakinya di Makkah. Memang diakui kesesakan amat ketara di Makkah. Hotel-hotel berdekatan Masjidil Haram semuanya penuh, malah saya terpaksa menginap di hotel yang agak jauh dari Masjidil Haram. Saya memerlukan kira-kira 20 minit perjalanan( berjalan kaki) dari hotel ke Masjidil Haram.

Sunday 9 June 2013

Nasihat Mufti Kelantan :Jangan sebar ayat al-Quran di laman sosial jika tak tahu makna.


Mufti Kelantan menasihatkan masyarakat agar tidak menyebarkan hadis dan ayat al-Quran secara bebas di laman sosial jika tidak tahu maksud asal ayat tersebut kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya. 

PANDANGAN PERIBADI SAYA TERHADAP NASIHAT MUFTI KELANTAN.

  • Nasihat merangkap teguran itu perlu diambil perhatian oleh seluruh pengguna laman sosial yang beragama islam.
  • Teguran ini amat bagus, tapi jangan hanya di media sosial sebab di masjid dan surau serta majlis-majlis ilmu ramai juga para penceramah agama yang tidak cermat dalam memetik ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Banyak kisah Israiliyat dijadikan bahan ceramah. Banyak hadis palsu dijadikan hujah. Kadang-kadang penggunaan teks tidak menepati konteks gara-gara tidak memahami Asbabul Nuzul dan Asbabul Wurud.
  • Masih ada penceramah agama yang berkuliah di surau dan masjid dengan membawa kisah yang tidak benar tentang sahabat Nabi Muhammad S.A.W, iaitu Tsalabah. Beliau sering dikaitkan sebagai manusia yang enggan membayar zakat setelah dianugerahkan kekayaan dan kejayaan oleh Allah. Hakikat sebenar Tsalabah adalah seorang sahabat yang banyak berjasa kepada islam dan merupakan salah seorang ahli badar.
  • Mufti tertentu amat gemar menjaja Hadis berbunyi “ Raja itu bayangan Allah di bumi.....” ketika Hassan Ali menubuhkan JATI yang memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja(IMR). Hadis ini adalah hadis palsu di sisi majoriti ulama Hadis. Tapi, Mufti tersebut telah mempolitikkan hadis tersebut gara-gara ia menjadi visi dan misi NGO yang sedang dirasmikan olehnya pada ketika itu, lebih lanjut tentang ini, lihat --> SINI. Dan,baru-baru ini, terdapat seorang Ustaz TV yang menjadikan hadis ini sebagai hujah dalam sebuah program forum agama. 
  • Antara hadis yang sering disalah tafsirkan oleh segelintir penceramah, iaitu hadis yang bermaksud “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari). Teksnya adalah benar dan ia diriwayatkan oleh seorang ‘jaguh’ dalam ilmu hadis iaitu Imam Bukhari, tapi ia perlu digunakan dalam konteks yang tepat agar tidak terseleweng makna dan tersasar maksud. Sekali pandang seolah-olah hadis ini telah menasakhkan ( memansuhkan ) hukum berhijrah. Tapi pengertian sebenar hadis ini bukanlah begitu. Ramai penceramah tidak teliti dalam soal ini dengan tidak mempedulikan Sabab al-Wurud( iaitu sebab sesebuah hadis didatangkan atau diucapkan oleh Nabi S.A.W). Dalam isu ini, baginda mengucapkan demikian kerana Mekah telah bertukar dari tanahair kufur kepada tanahair Islam. Maka tidak perlu lagi orang Mekah berhijrah ke Madinah seperti yang menjadi tuntutan sebelum itu. Jadi, ia bukan bermaksud tuntutan hijrah dibatalkan terus untuk setiap masa, ketika dan lokasi. Sebab itulah al-Imam al-Nawawi mengatakan, para ulama telah berkata “ Hijrah daripada Dar al-Harb kepada Dar al-Islam kekal sehingga hari kiamat.” 

Demikian pandangan peribadi dan contoh yang dapat saya paparkan dalam ruangan yang terhad dan terbatas ini. Sekali lagi saya tegaskan, saya menyokong penuh teguran dan nasihat dari Mufti Kelantan, Cuma saya fikir ‘larangan’ tersebut perlu diperluas dan diperlebarkan lagi. Iaitu, tidak hanya di media social, tapi di mana-mana sahaja termasuklah di dalam surau dan masjid, ceramah motivasi dan majlis-majlis ilmu.