ADA APA DENGANMU, mengapa harus Shameel. ADA APA DENGAN SHAMEEL. Istimewa sangatkah lelaki yang bernama Shameel itu. Nama ini begitu sebati dalam hidup saya, hinggakan saya merasakan ShAmeEL itu Iskandar dan Iskandar itu ShAmeEL, lalui saya satukan dua nama ini menjadi SHAMEEL ISKANDAR. Sejujurnya, sejak di kampus lagi saya menggunakan SHAMEEL, sebagai nama pena saya. Malah dalam penulisan cerpen juga, nama SHAMEEL yang saya gunakan, begitu juga dengan forum-forum di alam cyber. Jujur juga! pemilihan SHAMEEL sebagai nama pena bukanlah satu kebetulan tapi satu pencarian yang penuh penghayatan.
Iya, ia satu nama yang sangat istimewa yang dimiliki oleh manusia yang amat istimewa. Hidupnya, perjuangannya dan pengakhiran nafasnya sungguh istimewa. Saya amat berharap agar keistimewaan itu berjangkit kepada saya. Jika tidak sepenuhnya, sekelumit dan secebis cuma pun jadilah. Biarlah keistimewaan itu menafasi hidup saya bersama degup jantung dan denyut nadi. Biar ia abadi dan kekal berbekas di hati hinggalah ke hari mati. Biarlah manusia istimewa ini menjadi sepotong iktibar, secebis contoh, sekerat teladan dan secaing misalan untuk saya.
Ranjau hidupnya penuh duri dan laluan hidupnya penuh berliku. Iya, perjuangan hidupnya tidak melalui jalan yang datar dan ditaburi bunga tapi diiringi titisan air mata dan darah. Pada tahun 1859M, beliau yang tika itu sedang berehat di dalam gua telah berjaya ditangkap oleh tentera Russia(lantaran pengkhianatan saudara seagama sendiri). Beliau dipenjarakan dan dijadikan buruh paksa selama 10 tahun. Selepas itu beliau berhijrah ke Turki dan akhir sekali ke Arab Saudi. Selepas menunaikan solat maghrib beliau menghembuskan nafas terakhir di rumah Sheikh Ahmad Rifai di Madinah pada tahun 1871. Belaiu dimakamkan diperkuburan sahabat al-baqi’. Memadai setakat ini saya berkisah tentang dia yang bernama Shameel. Pinta saya agar kalian hayatilah kisah perjuangan Imam Shameel secara lengkap dan menyeluruh, moga ia menjadi sinar yang menerangi zulmat diri. Mudah-mudahan dengan ini kita menjadi manusia yang ada tempat di sisi Tuhan.
No comments :
Post a Comment