Saturday, 2 January 2010

DALAM HATI SEORANG GURU

Cerpen saya ini telah disiarkan dalam Majalah e @ Siswa( edisi 29, Julai 2009)

(Ini sebuah kisah tentang kegigihan seorang Guru Pendidikan Khas.)

TAJUK = DALAM HATI SEORANG GURU
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.

Gementar! Entah mengapa perasaan itu begitu menebal dalam diriku. Jujur! Aku meragui keupayaanku untuk berbakti. Mampukah aku melaksanakan tangungjawab ini? Mampukah aku mempraktikkan segala teori yang telah dipelajari?


Teka-teki itu mula terjawab setelah beberapa hari aku berada di sini. Ternyata, mendidik pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia tidak semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga. Namun, aku yakin, di sebalik hakikat yang tersurat ini pasti adanya hikmah yang tersirat.

“Saya harap Cikgu Iskandar dapat sesuaikan diri dengan keadaan di sini.” Kata Tuan Haji Sarbani, selaku pengetua sewaktu aku melaporkan diri.

“Insya-Allah, saya akan cuba sesuaikan diri,Tuan Haji.” Jawabku sambil menganggukkan kepala . Ya, di mana sahaja ditempatkan, aku mesti membina zon selesa. Tidak wajar sama sekali seseorang guru selaku pendidik bersikap memilih lokasi untuk menyumbang bakti. Apatah lagi bagi guru-guru yang senasib denganku, yang berjaya mengikuti kursus KPLI setelah berkali-kali memohon.

“Pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini sebenarnya ada potensi. Tapi sayang, potensi itu terabai lantaran mereka kurang keyakinan diri. Jadi, cikgu buatlah yang terbaik untuk mereka.” Pengetua berbicara lagi . Ada nada pengharapan pada ungkapannya itu.


Kurang keyakinan diri. Itulah penyakit yang dihidapi oleh kebanyakkan OKU. Lebih teruk dari itu, ada juga segelintir OKU yang beranggapan kewujudan mereka ke dunia ini umpama melukut di tepian gantang. Masuk tidak menambah dan keluar pula tidak mengurang. Ada atau tiada, tidak memberi apa-apa kesan.


Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang bakal aku didik nanti? Adakah setebal antarika ketidakyakinan mereka? Jika ya, mampukah dicairkan antartika itu? Selagi tidak dicairkan, maka selagi itulah mereka akan kecundang. Selagi itu jualah walang hidup mereka akan berterusan.


“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik.”

Aku sedar tanggungjawab ini amat berat untuk digalas. Namun, inilah realiti yang harus aku depani. Jadi, semampu yang boleh dan sekudrat yang terdaya akanku usahakan. Akanku gilap potensi mereka dengan asuhan yang rapi. Akanku bimbing mereka untuk menerobos sempadan diri.

Anne Sullivan! Mungkin ada sesuatu yang boleh aku garap dari sejarah hidupnya. Sebagai pedoman, panduan dan juga sebagai pengajaran. Dalam hal ini, dia memang layak untuk dikagumi. Apa tidaknya. Sebab dialah yang memerdekakan Hellen Keller dari belenggu ketidakyakinan diri. Tidak sekadar memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Lebih dari itu, dia turut menjadi mentor yang setia hinggakan Hellen Keller menjadi terkenal seantero dunia.

Mampukah aku mencontohinya?

Dapatkah aku mengambil manfaat dari kisah perjuangannya?


*** ************************************************************************

Di sini, aku ditugaskan untuk mengajar subjek sejarah dan perdagangan. Syukur kepada Allah, kerana aku tidak disuruh mengajar kelas-kelas peperiksaan. Syukur juga kerana bilangan pelajar di dalam setiap kelas tidaklah ramai, lebih kurang lima orang sahaja. Paling aku syukuri kerana diwujudkan program integrasi pendidikan khas di sekolah ini. Jika tidak, pasti sukar untuk pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini menimba ilmu.


Hari pertama di kelas, aku manfaatkan untuk saling mengenali. Dari sinilah aku mula mengenali mereka dengan lebih dekat. Latar belakang mereka aku selami. Tahap kurang kemampuan mereka juga aku terokai. Hari-hari yang mendatang nanti, akanku selongkar pula sikap dan perwatakkan mereka. Kalau boleh, aku ingin mengenali mereka sedekat-dekat dan sedalam-dalamnya.


Sebenarnya tidak semua pelajarku ini yang pendengarannya cacat seratus peratus. Masih ada dalam kalangan mereka yang mempunyai sisa-sisa pendengaran. Maksudnya, mereka masih boleh mendengar tetapi dalam keadaan yang sangat terhad dan amat terbatas. Jadi perlulah dikuatkan suara apabila berbual atau ketika mengajukan tanya. Walaupun begitu, penggunaan bahasa isyarat tetap diutamakan. Ia dimanfaatkan semaksimum mungkin kerana ia merupakan medium utama dalam penyampaian ilmu di samping kaedah-kaedah yang lain.


Usai sesi perkenalan, aku titipkan pula sedikit nasihat kepada mereka. Harap-harap nasihat itu berbekas di hati lantas berdarah daging dalam jasadnya. Aku ingin mereka mengerti, sesungguhnya kewujudan mereka ke dunia ini bukanlah untuk dikesali. Jauh sekali untuk diratapi. Tetapi untuk dinikmati seperti mana insan-insan yang lain.


Aku ingin mereka faham, sesungguhnya mereka bukanlah golongan ‘hapus kira’ yang telah diprogramkan untuk malang sepanjang hayat. Aku mahu mereka memandang masa depan dengan wawasan dan harapan. Mereka harus sedar, masa depan yang gemilang bukanlah sebuah khayalan.


Paling penting, mereka perlu kembali ke perdu dan akar punca. Mereka perlu menjadi Orang Kuat Usaha meskipun pada hakikatnya mereka tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya. Mereka mesti menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi ilmu di dada. Ilmu amat berharga. Ilmulah yang diwariskan oleh nabi kepada umatnya dan bukannya dirham dan dinar atau harta benda. Ilmu jualah yang dapat mengangkat darjat seseorang ke tahap yang lebih mulia. Lihat sahaja ulama terbilang atau saintis ternama. Atau ilmuan besar dalam pelbagai bidang. Kesemua mereka adalah pemburu ilmu yang setia.


Kepada mereka aku ceritakan juga kisah-kisah OKU yang berjaya. Sengaja aku berbuat begitu supaya mereka tidak lesu dan jemu terhadap ilmu. Prof Dr Ismail Mohd Salleh aku ‘perkenalkan’ kepada mereka. Biar mereka mengerti, sesungguhnya lelaki yang siangnya gelap dan malamnya gelita itu bukanlah pengemis di kaki lima. Biar mereka faham, lelaki buta itu merupakan seorang tokoh akademik yang ternama dan banyak berjasa.


*******************************************************************

Dunia perguruan ada manisnya. Namun, ada juga pahitnya. Jujur! aku juga pernah kecewa. Kecewa dengan segelintir pelajarku. Apa tidaknya, walaupun dijelaskan berkali-kali dan diterangkan berjela-jela namun mereka masih macam itu juga. Masih .tidak mengerti dan tetap tidak faham. Aku rasa sia-sia sahaja segala ilmu yang aku curahkan, umpama mencurah air ke atas daun keladi. Apakah puncanya? Di manakah silapnya?


“Cikgu kena banyak bersabar. Tugas pendidik memang macam ni. Terlanjur jadi pendidik terpaksalah kita gagahi.” Itu nasihat Ustaz Mustafa tatkala aku meluahkan kekecewaan yang terbuku di hati sewaktu kami bersarapan di kantin.

"Pendidik dan kesabaran adalah dua unsur yang sangat sebati. Seperti gula dengan manisnya dan garam dengan masinnya, begitu jugalah antara pendidik dengan sikap sabarnya.” Jelas Ustaz Mustafa dengan panjang lebar. Aku pula sekadar anggukkan kepala tanda akur dengan penjelasan yang diberi.

“Dalam sebuah hadis ada diceritakan, kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa dan dianugerahkan syurga lantaran membantu anjing yang dahaga. Berbakti kepada anjing pun begitu hebat ganjarannya, apatah lagi kalau berbakti kepada manusia. Tambahan lagi kepada manusia yang istimewa.” Kata Ustaz Mustafa lagi setelah jeda seketika.

“Astaghfirullahalazim.” Aku beristighfar perlahan sambil menghela nafas panjang. Kata-kata ustaz kelahiran Terengganu itu telah mengembalikanku ke paksi wajar. Cepat-cepat aku cantas rasa kecewa yang baru bertunas. Aku sedar, mendidik itu satu perjuangan. Perjuangan pula memerlukan kekentalan. Kekentalan untuk meredah lautan dugaan. Aku juga sedar, seperti pelacur di dalam hadis nabi, aku di sini juga si penghilang dahaga. Dahaga pelajarku terhadap ilmu dan masa depan yang sempurna. Dahaga ibu –bapa mereka terhadap kejayaan dan kebahagiaan mereka.

Betapa berdosanya jika tanggungjawab ini aku abaikan. Berdosa terhadap pelajar-pelajarku. Terhadap ibu bapa mereka. Paling tidak pun terhadap puluhan ribu siswazah yang sedang menganggur. Aku telah merampas hak mereka. Mereka mungkin benar-benar berminat untuk menceburi profesion keguruan. Mereka mungkin betul-betul jujur dan ikhlas ingin membantu insan-insan yang dahaga ini. Tapi nasib tidak menyebelahi. Mereka kecundang dalam permohonan KPLI.



************************************************************************

Mungkin ada benarnya kata-kata Jean Jacques Rousseau, si arkitek Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette. Katanya “Kita belajar bersama hidup. Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”

Ya, kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik. Syukur kepada Allah kerana telah menemukanku dengan ‘guruku’ ini. Aku menemuinya setelah semalaman aku mencari. Mencari dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati. Hatiku berbisik. Katanya, ketidakfahaman pelajarku itu mungkin berpunca dariku. Mungkin pendekatanku selama ini kurang berkesan. Mungkin proses pengajaran dan pembelajaran( P&P) yang aku kendalikan itu membosankan. Segalanya mungkin. Ya, aku perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik. Mereka memerlukan metod yang tepat agar ilmu dapat dicerna dengan mudah dan cepat.

Hari ini aku sepi tanpa mereka. Cuti panjang akhir tahun ini benar-benar mendera diriku. Jujur! Aku merindui mereka. Satu persatu wajah mereka menerpa di ruang ingatanku. Ternampak-nampak, terbayang-bayang dan teringat-ingat.


Azami dan Khairi. Mereka berdua adalah sebahagian daripada pelajarku. Pelajar yang ‘istimewa’ di kalangan pelajar-pelajar istimewa. Istimewa kerana merekalah yang paling lambat mencerna ilmu yang aku curahkan. Namun, sejak akhir-akhir ini mereka mula menunjukkan peningkatan. Ya, dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini mereka telah membuktikan kehebatan diri. Aku yakin, mereka mampu memetik kejayaan dalam SPM nanti.


Jauh di sudut hati aku menaruh harapan, agar kejayaan N Aghilan, pelajar cacat pendengaran yang memperolehi 12A dalam SPM 2008 akan berulang lagi. Kalau boleh biarlah di kalangan pelajarku ini. Dalam hati juga aku berdoa, agar Allah memberikanku kekuatan dan ketabahan untuk terus berbakti. Ya, itulah yang terpendam dalam hatiku kini. Dalam hati seorang guru.






13 comments :

  1. Assalamu'alaikum WBT. Bagus cerpen cikgu. Ada rasa mengusik jiwa. Teringat pula cuti yang panjang. Semusim ini saya melepaskan rindu pada 'anak-anak' hanya dengan mendampingi kamus BMKT.. hehe tak sabar hendak melihat wajah-wajah mereka di tahun 2010.

    Em, adakah cikgu sebenarnya watak cikgu Iskandar seperti dalam cerpen ni? Kalau benar, mungkin banyak ilmu 'deaf' yang boleh dikongsi~

    ReplyDelete
  2. http://bicaradariaku.blogspot.com/3 January 2010 at 22:09

    Waalaikummussalam.
    Selamat kemabli bertugas. Hehehe, sebenarnya sy bknlh guru pendidikan khas. sy dpt idea tulis cerpen ni selapas mlwat SMK kt ipoh ni yg ade program integrasi pendidikan khas.

    Sy kagum dgn kegigihan guru2 pndidkan sbb byk dugaan mengajar pelajar2 istimewa.

    ReplyDelete
  3. Lupe plak, dalam majalah mingguan wanita utk (1-7 jan 2010) cerpen saya ada disiarkan. Ada masa silalah baca.

    ReplyDelete
  4. InsyaAllah. Petang ini jika saya ke pekan mencari 'Solusi'. Boleh la dapatkan 'MW' sekali.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih kerana cerpen ini..
    Harap sokongan berterusan dr cikgu..
    Kite tlg mereka mana yg kite mampu..
    Sy pun dr golongan OKU..
    Semangat dan sokongan dr org ramai la penguat untuk kami..
    Harap sokongan itu dr cikgu jugak..
    terima kasih..

    ReplyDelete
  6. Saudara OKU Prihatin.

    Memang kita perlu menyokong memartabatkan OKU. Definisi trbaru Orang Kelainan Upaya sebenarnya lebih sesuai sebab mrk bukan kurang upaya cuma berlainan upaya.Bagi saya OKU perlu jadi(Orang kuat usaha) utk mara dl mhidup

    ReplyDelete
  7. wahh.. sangat menarik..

    maCy tidak ambil kos pend khas, tapi sedikit sebanyak dpt mnyelami rasa dan rasa sbgi guru pend khas ni..

    teruskan menulis! :)

    ReplyDelete
  8. Macy= Sebenarnya sy pun bukan guru pend khas. Tapi, pengalaman berkawan dgn guru2 pendidkan khas menyebabkan sy terpanggil utk menulis cerpen ni

    ReplyDelete
  9. salam...ni kisah benar ke???
    da 2 kali apply kpli..x dpt2 gak huhuhuhu

    ReplyDelete
  10. Mrs Infinity = Kisah ni sebenanrya hasil pemerhatian sy terhadap sebuah sekolah integrasi pendidkan khas kt ipoh. besar sungguh cabaran guru2nya. Saya memang guru tp bukan guru pendidikan khas.

    Nama watak dlm cerpen ni semuanya adalah watak guru2 di sekolah saya. Termasuk nama 2 pelajar cacat pendnegaran yg paling lemah tu, mrk pun rakan2 guru kt sekolah saya.


    Ttg kpli, aplylh selalu. member saya dulu, setelah 6 kali aply baru dapat.

    ReplyDelete
  11. Salam.
    Semoga terus menghasilakan karya yang bermutu di masa-masa akan datang. Tahniah yea.

    ReplyDelete
  12. syabas cikgu..
    bukan mudah mnggalas tanggungjawab itu. dan tidak semua yg mngerti dan prihatin spt cikgu..

    ReplyDelete
  13. Salam ziarah.
    Saya paparkan cerpen anda di blog saya. Semoga diberkati Allah swt.

    ReplyDelete