Mungkin pada tahun-tahun yang sudah, kita hidup dalam wilayah murka-NYA , jadi bermula 1 Muharam 1432 ini marilah kita sama-sama berhijrah ke wilayah redha-NYA. Dalam sebuah Hadis yang diketengahkan oleh Bukhari dan Muslim, ada diceritakan kisah seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Dia ingin menjumpai seorang abid untuk meminta fatwa supaya dia dapat bertaubat dari dosanya. Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa dia telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia masih ada peluang untuk bertaubat.
Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke sebuah negeri di mana terdapatnya pemuda-pemuda soleh. Apabila sampai di sana nanti, ulama itu menyuruhnya tinggal di sana dan beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya pulang ke negeri asalnya yang penuh dengan maksiat. Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu terus menghala ke negeri yang diterangkan oleh ulama tadi. Diringkas cerita, pemuda tersebut meninggal semasa di dalam perjalanan menuju ke tempat yang dimaksudkan. Situasi ini menimbulkan pertikaian antara malaikat rahmat dan malaikat azab lantaran pemuda tersebut belum sempat untuk beribadat cuma sempat bertaubat dan dalam perjalanan mencari redha-NYA. Jalan penyelesaian, terpaksalah diukur jarak antara lokasi pemuda tersebut meninggal dengan negeri baru yang ingin dituju dan negeri lama yang telah ditinggalkan. Kesudahannya, pemuda tersebut lebih menghampiri negeri baru yang ingin dituju dan langsung mendapat keampunan daripada Allah.
Mesej yang ingin disampaikan dalam hadis ini mudah sahaja, iaitu keampunan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi setiap langkah yang kita atur dan setiap jejak yang kita susun dalam proses menuju redha-NYA. Manakala kebaikan pula, meskipun sebesar zarah tetap menatijahkan pahala buat kita. Oleh itu, sama-samalah kita berhijrah menuju WILAYAH redha-NYA sebelum kita berhijrah menuju ke WILAYAH yang abadi selama-lamanya.
Ingin juga saya berbicara tentang sebuah hadis yang sering disalah tafsirkan oleh segelintir penceramah, iaitu hadis yang bermaksud “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari). Sekali pandang seolah-olah hadis ini telah menasakhkan ( memansuhkan ) hukum berhijrah. Tapi pengertian sebenar hadis ini bukanlah begitu. Ramai penceramah tidak teliti dalam soal ini dengan tidak mempedulikan Sabab al-Wurud( iaitu sebab sesebuah hadis didatangkan atau diucapkan oleh Nabi S.A.W). Dalam isu ini, baginda mengucapkan demikian kerana Mekah telah bertukar dari tanahair kufur kepada tanahair Islam. Maka tidak perlu lagi orang Mekah berhijrah ke Madinah seperti yang menjadi tuntutan sebelum itu. Jadi, ia bukan bermaksud tuntutan hijrah dibatalkan terus untuk setiap masa, ketika dan lokasi. Sebab itulah al-Imam al-Nawawi mengatakan, para ulama telah berkata “ Hijrah daripada Dar al-Harb kepada Dar al-Islam kekal sehingga hari kiamat.”
Jadi, bagi umat islam yang tertekan dan tidak mampu melaksanakan tuntutan islam seperti solat dan berpuasa lantaran larangan dan ancaman oleh pemimpin-pemimpin negara kuufar, maka menjadi kewajipan ke atasnya untuk berhijrah ke tempat lain yang membolehkan dia melaksanakan tuntutan agama.
Lebih dari itu, ia bukan setakat berhijrah negeri atau wilayah tapi turut merangkumi berhijrah kerjaya dan tempat kerja. Di sesetengah kilang tertentu, terdapat pekerja-pekerja islam yang menghadapi kesukaran untuk menunaikan solat lima waktu dan bersolat jumaat. Malah disesetengah restoran, pekerja yang beragama islam terpaksa menghidangkan arak dan makanan haram. Lagi malang, terdapat kes amah-amah yang beragama islam dari negara Seberang terpaksa memasak dan menghidangkan makanan yang haram untuk santapan majikannya yang bukan beragama islam. Sudah tiba masanya, kerajaan mengkaji balik dasar ini. Biarlah amah yang beragama islam bekerja dengan majikan yang beragama islam. Saya amat hairan, entah kenapa orang kita tidak sensiitf tentang isu ini. Meskipun mereka itu pendatang dari negara jiran tapi mereka tetap beragama islam, jadi mereka perlu dipertahankan untuk melangsungkan jatidiri islam yang mereka anuti. Kembali kepada cerita, jadi, wajar sekali untuk pekerja-pekerja yang beragama islam yang menghadapi situasi sebegini untuk berhijrah ke tempat kerja yang lain demi mempertahankan islam yang mereka anuti. Apatah lagi, jika penghijrahan tersebut hanya melibatkan kerugian sekitar seratus dua sahaja. Amat tak berbaloi jika ingin korbankan kesucian islam yang dianuti dengan wang riggit seratus dua itu.
Begitu juga dengan pasangan kekasih, terutamanya kaum wanita. Andainya teman lelaki anda asyik nak beringan-ringan jer, maka eloklah dipertimbangkan kembali. Eloklah berhijrah kepada lelaki lain yang lebih teguh pegangan agamanya (ditambah pula dengan mantap kerjayanya). Lelaki sebegini lebih mampu membahagiakan anda daripada kekasih anda yang kemaruk aksi terlarang( sekadar meminjam istilah yang digunakan oleh Suhaimi Meor Hassan dan Ana Rafali). Kekadang saya bingung dan hairan, kalau kat Facebook pun berani diuploadkan aksi berpeluk-pelukan, maka apatah lagi ketika dating di taman atau ketika keluar bersama pada waktu malam. Insaflah dan segeralah berhijrahlah sebelum anda( lebih tepat ialah istilah kita) dihijrahkan ke alam yang kekal buat selama- lamanya.