Katak! Siapa yang tak kenal katak. Sejenis AMFIBIA yang terdapat di mana-mana sahaja. Kalau dari segi Fiqh, ia glamour dengan istilah BINATANG DUA ALAM yang haram untuk di makan. Masyarakat dahulu kala pula menganggapnya sebagai binatang PEMANGGIL HUJAN. Di kalangan kaki pancing pula, si katak ni seringkali juga dibuat umpan. Ada macam-macam katak, tapi yang popularnya ialah katak puru dan katak pisang.
Entah mengapa, tiba-tiba saya teringatkan sang katak. Bukan teringatkan fizikalnya tapi terkenangkan lompatannya. Manusia yang terkena sindrom katak atau virus lompat-melompat turut memiliki ciri-ciri yang sama dengan katak. Bezanya, lompatannya lebih tinggi dari atlet lompat tinggi dan lebih jauh dari atlet lompat jauh. Saya risau, sebab sindrom katak atau virus lompat melompat ini semakin menjadi-jadi dan menggila-gila di dalam negara. Setelah merenung-renung dan berfikir-fikir, memerhati dan meneliti, akhirnya saya simpulkan terdapat tiga jenis lompatan yang dihasilkan oleh manusia yang terekna sindrom katak ini. Pertama, lompatan TAK BERMORAL, kedua pula, Lompatan BERBAHAYA, dan ketiga lompatan CELAKA
LOMPATAN TAK BERMORAL ni berlaku dalam dunia siasah dan melibatkan para politikus. Ia terhasil kerana kecewa dan lebih tepat lagi kerana tak kesampaian hasratnya ketika bersama parti lamanya. Lalu, melompatlah ia ke parti yang lain. Di Perak sahaja, ada tiga ekor species yang sebegini, hingga jahanam kerajaan yang lama di negeri itu. Di kedah pun ada juga. Baru-baru ni ia berjangkit pula ke Pulau Mutiara. Kalau dikaji dari sudut sejarah, dahulunya, virus ini menyerang negeri Di Bawah Bayu. Ia telah menjangkiti majoriti YB yang memerintah negeri itu. Akhir sekali mampuslah kerajaan PBS pimpinan Pairin Kitinggan. Walau apapun, sehebat-hebat katak melompat, tetap tidak dapat mengalahkan sang katak dari Pasir Mas. Ini katak hulubalang. Ini katak berdarah patriotik dan berjiwa nasionalis. Lompatannya perkasa sekali sepertimana PERKASA yang dipimpinnya. Lompatannya hebat sekali, tak pernah dibuat orang semenjak Melaka didirikan hinggalah ke pembentukkan Malaysia diistiharkan. Dari UMNO, dia melompat ke BERJASA, lepas tu UMNO balik, lepas tu Semangat 46, lepas tu UMNO balik, lepas tu berkecuali bernada pembangkang dan lompat lagi kepada berkecuali bernada kerajaan.
Doa saya satu sahaja, agar LELAKI ITU( yang saya gelar si katak dari Pasir Mas) terus gagah perkasa untuk memperkasakan PERKASA. Biarlah PERKASA terus berjasa untuk agama, nusa dan bangsa. Harapan saya juga satu sahaja, janganlah membiarkan PERKASA di perkosa oleh ‘tangan-tangan’ yang lebih berkuasa. Pesanan saya juga satu sahaja, jika LELAKI ITU( yang saya gelar si katak dari Pasir Mas) ingin melompat lagi, kenalah minum susu setiap hari untuk memperolehi bekalan kalsium yg mencukupi. Saya risau LELAKI ITU kepatahan betis, paha dan kaki semasa melaksanakan aktiviti lompat-melompat ni. Maklumlah, dalam umur yang sebegini, mudah benar mengalami kerapuhan tulang atau osteoporosis.
Sejujurnya, dalam hal ini ,saya tidak bias atau berpihak kepada mana-mana parti. Nak salahkan BN seratus peratus di atas kewujudan katak-katak sebegini pun tak boleh juga. Sebabnya Penasihat PKRlah yang memulakan kempen ‘MARILAH MENJADI KATAK’ demi menjayakan wawasan 16 September 2009. Cuma yang pasti, segala katak-katak ini( termasuk ADUN BOTA yg menjadi katak sekelip mata ) telah mempermainkan rakyat jelata.
Kasihan sungguh kepada rakyat dan pengundi. Mereka berkerja waktu siang dan berjaga ketika malam demi memenangkan calon dari parti yang dia sokongi. Sanggup panjat pokok kelapa untuk tampal poster dan bendera. Ada yang sanggup berpanas dan berhujan, malah ada yang tak hiraukan minum dan makan demi parti yang dia sayang. Tiba-tiba calon yang mereka harapkan mula berubah haluan dan bersimpang jalan setelah menang. Oh! Betapa kecewanya mereka. Jadi secara jujurnya saya anggap lompatan yang sebegini sebagai lompatan tak bermoral. Lompatan yang telah menafikan jerit perih para pengundi. Jadi, kepada katak-katak yang sebegini ( tak kira dari parti mana sekalipun baik BN mahupun PR) eloklah undur diri dan istiharkan kekosongan kerusi, kalau tak, YB akan dibenci sepanjang hayat YB yang masih berbaki. YB harus buktikan, kemenangan YB adalah kerana ketokohan yang YB miliki dan bukannya kerana menagih ihsan parti.
Cubalah YB lihat sejarah politik di India, lihat sahaja ketokohan dan populariti Maruthur Gopala Ramachandran atau lebih dikenali sebagai MGR(pelakon tamil yang hebat sekitar tahun 50-an dan 60-an). Walaupun telah disingkirkan oleh Parti Kongres dan Parti DMK, tapi beliau telah menggunakan popularitinya untuk menubuhkan Parti ADMK. Lagi hebat kerana popularitinya itu membolehkannya menang besar dalam pilihnaraya, sekali gus menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu pada tahun 1977. Buat SPR pula, alangkah baiknya jika digubal undang-undang baru, wajibkan kekosongan kerusi terhadap mana-mana YB yang melompat parti. Tak kira YB dari pembangkang atau pemerintah.
LOMPATAN BERBAHAYA pula merujuk kepada tindakan segelintir orang yang ingin melompat dalam bermazhab. Dalam istilah yang lebih akademik, dinamakan sebagai TALFIQ (walaupun talfiq sebenarnya merujuk kepada pendekatan mencampur adukkan mazhab). Saya namakan ia sebagai berbahaya kerana lompatan sebegini dibenarkan oleh syarak tetapi mesti ada kadar dan hadnya. Macam penggunaan ubat batuk jugalah. Bagus untuk kesihatan tetapi bahaya jika disalahgunakan. Jujur ! Tak melompat langsung pun salah juga, sebab pandangan berbeza dari setiap mujtahid hendakklah kita manfaatkan. Mungkin tak sesuai pada lokasi tertentu tetapi sesuai pula pada lokasi yang lain( seperti pendapat yang mengatakan tidak membatalkan wuduk apabila bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram amat sesuai tika mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah) dan tak sesuai pada masa tertentu tapi amat sesuai pada masa yang lain( macam berzakat menggunakan wang, amat sesuai dalam keadaan ekonomi zaman sekarang walaupun ia bukanlah berasal dari mazhab Syafie).
Tetapi, jika terlalu ghairah hendak melompat maka ia mengundang bahaya. Sebenarnya hasrat mereka yang ingin menjadi katak dalam kes ini amatlah suci dan murni. Tetapi sayangnya, mereka terburu-buru dan tidak berhati-hati. Terburu-buru hingga tak kesampaian hasrat yang ingin dituju. Tidak berhati-hati hingga tersasar dari matlamat yang dihajati. Hasrat yang ingin dituju dan matlamat yang dihajati satu sahaja iaitu KEFAHAMAN DALAM BERAGAMA( sejajar dgn Hadis Nabi yg berbunyi, sesiapa yg Allah inginkan kebaikan, maka diberikannya kefahaman dalam beragama). Kesal sungguh dengan tindakkan pelampau dalam hal ini. Beberapa orang kenalan, mula mendabik dada dan meninggi diri hingga menafikan segala mazhab fiqh yang wujud dalam dunia islam. katanya, kewujudan mazhab adalah kesesatan yang nyata kerana umat islam sepatutnya merujuk kepada sumber yang Agung secara langsung , iaitu Al-Quran dan Sunnah. Tidak cukup dengan itu, dia yang jahil lagi banggang dengan biadapnya menghina Imam Nawawi, kononnya Imam Nawawi itu dayus, sebab masih lagi terikat dengan mazhab Syafie walaupun memiliki ilmu yang tinggi. Dia yang langsung tiada asas bahasa Arab dan tak pernah mendapat pendidikkan islam secara formal, malah amat lemah penguasaan dalam ilmu agama, tiba-tiba ingin menjadi seorang mujtahid . Teringat saya akan kata-kata Prof Madya Dr Kamil Abd Majid, mengapa kita menggunakan paip dan memerlukan khidmat syarikat pembekalan air, sedangkan kita boleh mengambil air dari sumbernya yang langsung iaitu dari sungai dan kawasan air terjun. Tentu sahaja jawapannya kerana kita tiada keupayaan untuk beberbuat demikian. Tidak berupaya dari segi kos dan dari segi kepakaran. Maka begitu jugalah dalam soal beragama. Lantaran ketidakmampuan untuk berijtihad dan istinbat hukum dari Al-Quran dan Sunnah, maka kita perlu menggunakan khidmat orang lain yang lebih pakar. Dan, mereka ialah ulama-ulama muktabar yang diakui kesarjanaannya seperti Imam mazhab yang empat. Namun, mengikut secara membuta tuli(taqlid buta) juga satu budaya yang tidak elok dan harus dihentikan.
LOMPATAN CELAKA! Ini lompatan paling tinggi. Terlalu tinggi hingga sampai ke neraka. Ini juga lompatan paling jauh, hingga terlampau jauh dari rahmat Allah. Boleh juga dinamakan lompatan ini sebagai lompatan LAKNATULLAH. Ini merujuk kepada perlakuan seseorang yang melompat dari agama islam ke agama lain. Atau istilah paling tepat ialah MURTAD. Dulu, orang Melayu amat sensitif dengan lompatan sebegini, hinggakan sanggup mati dalam kes Natrah. Beberapa tahun yang lalu, kecoh di Malaysia, apabila Mufti Perak mendakwa puluhan ribu telah murtad di Malaysia. Siapa tak terkejut, sebab kita ada Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Mufti di setiap negeri, ada JAKIM, YADIM, PERKIM dan Majlis fatwa di peringkat Pusat, Ada ABIM, JIM dan PUM peringkat NGO, Ada Majlis Tilwah Al-Quran saban tahun untuk peringkat nasional dan internasionsal , Ada J-Qaf di setiap sekolah rendah dan macam2 lagi ( malah ada yang sanggup menyerang gereja kerana isu nama Allah), tiba-tiba angka murtad melonjak tinggi. Di negara barat yang tiada badan-badan agama sebegini hebat, malah selalu juga islam dihina sana-sini dan dicemuh rata- riti, tetapi mencurah-curah pula bilangan penganut islam di sana saban hari.
Kepada sang katak ketiga-tiga kategori ini, ingin saya berpesan. Hati-hati waktu melompat sebab tersilap langkah anda akan dipijak lori dan kereta. Hati-hatilah sebab takut-takut anda ditangkap dan dijadikan bahan uji kaji di makmal.Hati-hati juga, sebab kalau tersalah jejak anda akan menjadi habuan ular dan lain-lain pemangsa.