Showing posts with label RENUNGAN. Show all posts
Showing posts with label RENUNGAN. Show all posts

Monday, 19 April 2010

sekadar bicara dari AKU

Di bawah langit yang meneduh.
Di atas bumi yang menadah.
Aku memerhati dengan hati yang luruh.

Bangsaku.
Agamanya kian terhakis.
Adatnya kian terkikis
Maruahnya kian menipis

Bangsaku
Tercari-cari arah
Ada yang kehilangan arah
Ramai juga yang tersesat di bumi yang bertuah.

Bangsaku
Dahulunya persis Hang Jebat
Kini kehilangan hebat
Dahulunya persis Hang Tuah.
Kini ibarat pokok yang tidak berbuah.
Dahulunya gagah meredah samudera.
Kini kudratnya kian tak terdaya.

Bangsaku
Jangan dilupa untaian sejarah.
Kerana kita bangsa yang gagah.
Jangan dilupa tali Allah.
Kerana dengannya kita takkan rebah.



Tuesday, 30 March 2010

ayat-ayat CINTA


SERINGKALI kita lupa. Lupa akan ayat-ayat cinta yang begitu mengetarkan hati dan jiwa. Ayat-ayat cinta yang agak panjang (malah mungkin yang terpanjang) meskipun bukan berjela-jela. Bukan ayat-ayat cinta dari kekasih lama yang kini entah di mana, doakan sahaja kebahagiannya. Tapi, ayat-ayat cinta dari PENCIPTA kepada YANG DICIPTA. Ayat- ayat cinta yang dirakamkan di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 282, antara ayat terpanjang di dalam Al-Quran.

Hutang! itulah ayat-ayat cinta yang dimaksudkan. Kalimah yang mengundang gementar pada hati yang mengerti dan pada jiwa yang cakna. Betapa seriusnya persoalan hutang, hinggakan Allah s.w.t menjelaskannya dengan panjang lebar dalam kitab-Nya. Tetapi, harus juga diakui betapa sukarnya untuk menghindari hutang pada zaman sekarang. Ia seolah-olah satu kemestian untuk hidup. Apa tidaknya, tanpa berhutang dengan PTPTN, sudah tentu ramai yang tidak mampu melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Tanpa PTPTN, banyaklah mimpi-mimpi yang hancur. Tanpa PTPTN, banyaklah impian -impian yang lebur. Tanpa PTPTN, banyak hasrat-hasrat yang akan berkubur. Jujur! Tanpa PTPTN, gagasan yang ingin diukir dan wawasan yang bakal dilakar akan kekal terapung di wilayah ambisi.


Bagaimana pula dengan ‘masjid’ yang dimpikan. Jika tidak membuat pinjaman dengan mana-mana bank atau koperasi, pasti sukar untuk membina masjid yang diimpikan. Untuk menjadi raja sehari, bukanlah sedikit wang yang diperlukan. Baik wang hantaran mahupun untuk mengadakan walimah. Begitu juga dengan lain-lain urusan. Kesemuanya memerlukan biaya yang tinggi. Akibatnya, hidup dibayangi hutang. Walaupun setelah berbelas tahun ijab dan kabul, namun hutang masih lagi berbaki. Lagi malang, apabila usia hutang lebih panjang berbanding hayat rumah tangga yang didirikan.


Bagaimana pula dengan rumah untuk berlindung dan berteduh. Berlindung dan berteduh dari panas dan hujan. Urbanisasi dan modenisasi telah melonjakkan harga rumah. Hari ini, jarang benar harga rumah di bawah paras RM 100 ribu( yang pastinya membebankan golongan yang berpendapatan rendah). Hari ini lazimnya, 25 tahun diperlukan untuk melangsaikan hutang-hutang ‘habitat’ sementara ini. Ramai juga yang terpaksa berpindah ‘rumah’ sebelum sempat melunaskan hutang piutang rumahnya. Berpindah ke rumah yang lebih kecil dan sempit. Yang panjangnya sekitar tujuh atau lapan kaki. Lebar pula empat kaki dan dalamnya lebih kurang enam atau tujuh kaki. Tentang ‘rumah’ yang baru ini, Nabi s.a.w telah bersabda,“ Kubur itu satu taman dari taman-taman syurga atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.”

Berhutang untuk melanjutkan pelajaran, perkahwinan dan membina rumah, juga untuk memiliki kenderaan yang sesuai adalah satu kemestian yang tak dapat dielakkan. Tapi, bagaimana pula dengan hutang-piutang yang lain? Hutang piutang yang disengajakan meskipun tidak ‘diwajibkan’ demi menjenamakan hidup. Risaunya kalau ditakdirkan mati sebelum sempat dilunaskan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi dalam kitabnya Sunan al-Tirmizi, ada dinyatakan, roh orang mukmin yang mati akan tergantung lantaran hutangnya yang belum dijelaskan.

Monday, 22 March 2010

Duri dan Api

Tika di depan ada duri.
Kala di belakang ada api.
Apa yang harus dilakukan lagi.
Andai melangkah,
Pastinya terluka.
Andai undur,
Pastinya terbakar.
Sukarnya untuk memilih.
Kedua-duanya menatijahkan kecederaan
Yang tiada jaminan untuk segera sembuh.
Wajarkah untuk membatu.
Waraskah untuk membisu.
Aku masih lagi mencuba
Untuk berwajar dan berwaras. …

Sunday, 14 March 2010

LENTERA PENYULUH BUANA

( Allahyarham Prof Dr Ismail Mohd Salleh )


Mereka akan PERKASA jika menjadi ORANG KUAT USAHA , namun, mereka akan kekal sebagai ORANG KURANG UPAYA, jika terus DIPERKOSA oleh persepsi negatif kita.

Agar OKU tiada nanar mencari haluan keluar. Kerana OKU juga mampu menjadi lentera yang menyuluh kamar buana. Lantas, entri lama ini saya paparkan semula. Lantaran teruja dengan kejayaaan adik-adik OKU dalam SPM yang lepas.

LELAKI ITU.
(Tentang Prof Datuk Dr Ismail Mohd Salleh
yang telah dijemput Ilahi,
sebagai pedoman buat adik-adik OKU
dalam melayari hidup ini )

Lelaki Itu
Bukanlah Pengemis dan Peminta
Walaupun siangnya gelap
Meskipun malamnya gelita

Lelaki Itu
Bukanlah penagih simpati di kaki lima
Tapi pemberi ilmu yang setia
Menabur budi di puncak menara

Lelaki Itu
Tidak pernah mengalah dengan suratan yang menimpa
Tidak pernah tewas dengan peningkatan usia
Dia tetap gagah dan perkasa
Demi kecemerlangan bangsa
Demi kegemilangan Negara

Lelaki Itu
Contoh yang nyata
ORANG KURANG UPAYA
Mampu Berjaya dan Ternama
Jika menjadi
ORANG KUAT USAHA.

Shameel Iskandar
Pantai Irama
Bachok Kelantan.

Friday, 26 February 2010

lemas DI DARATAN



Luasnya lautan tak terjangkau dek mata. Dalamnya lautan tak terduga dek akal. Luas dan dalam yang telah meragut jutaan nyawa sejak zaman berzaman. Ia menelan sesiapa sahaja,tanpa mengira darjat, usia dan keturunan.

Lemas! Ia sungguh mengerikan. Kulit merekah dan tubuh membengkak, begitulah lazimnya keadaan mayat seseorang mangsa lemas. Itu kisah lemas di lautan. Kisah ngeri yang sentiasa berulang. Mereka yang mati kelemasan itu adakalanya terdiri daripada pejuang dan adakalanya seseorang petualang. Nelayan contohnya, mereka itu pejuang yang meredah lautan untuk mencari rezeki yang tersembunyi di dasarnya. Walau dipanggang terik matahari, mereka redha dan pasrah demi menyara anak dan isterinya. Si petualang pun ada juga yang mati di laut. Sehebat-hebat petualang yang mati kelemasan ialah Firaun ketika mengejar Nabi Musa A.S






Ini pula kisah lemas di daratan. Kisah yang tidak pernah tamat dan tak mungkin akan tamat. Sejak zaman berzaman, ada sahaja manusia lemas di daratan, di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja. Mereka ini terdiri daripada manusia yang impikan kekayaan yang tidak terjumlah. Mereka anggankan kemewahan yang tidak terhitung. Kotak fikirnya tidak pernah sunyi dari memikirkan strategi untuk melipatgandakan keuntungan, meskipun dengan cara yang keji dan kejam.

Saya tergerak hati untuk menulis entry ini setelah terbaca kisah SEORANG EKSEKUTIF SYARIKAT TELEKOMUNIKASI yang berjaya mengaut keuntungan RM11 JUTA dengan menjual KLIP VIDEO LUCAH menerusi SMS. Rupa-rupanya makhluk inilah yang menghantar SMS yang sebegitu keji selama ini. Makhluk ini memang kejam, sekejam pengedar dadah. Ya! Apa tidaknya, bayangkan betapa ramainya manusia yang rosak kerananya selama ini. Berapa banyak kes zina dan rogol, juga kes buang bayi hasil perzinaan yang didorong oleh video klip lucah yang dijual olehnya. Makhluk ini dikatakan telah memiliki kemewahan yang melimpah ruah termasuklah memiliki kereta porche dan BMW, walaupun gajinya hanya RM 4 ribu sebulan.






Mari kita adakan post mortem, kenapa manusia yang sebegini ( minta Allah jauhkan kita dan keturunan kita semua dari dijangkiti sikap sebegini) lemas di daratan.
PUNCANYA SATU SAHAJA, iaitu kerana memiliki keinginan seluas SEGARA (lautan) dan mempunyai kehendak sebesar BUANA (bumi). Tapi sayang, kemampuan pula sangat terhad dan amat terbatas. Umpama ingin memeluk gunung dan ibarat hendak memetik bintang, tapi sayang tak tercapai dek tangan. Begitulah dengan mereka ini. Berbekalkan ‘kekerdilan’ pendapatan, mereka ini ingin ‘menjelmakan’ kekayaan Bill Gates, Warrant Buffet, Paul Allen dan Laksmi Mital dalam hidup dan kehidupan. Kata orang-orang kampong saya di Bachok Kelantan, golongan macam ini ialah golongan yang tidak mampu mengukur baju di badan sendiri(hehehe, bukan org Bachok jer, org di tempat lain pun guna peribahasa ni juga).


Begitulah manusia, tidak pernah cukup dengan apa yang ada. Gaji dan pendapatan meskipun sentiasa bertambah(dari setahun ke setahun) namun tetap dirasakan masih kurang dan belum mencukupi. Ada-ada saja keinginan dan kehendak yang perlu dimakbulkan. Benarlah sabda junjungan mulia, Nabi S.A.W “Jikalau anak Adam memiliki dua lembah berisi harta, pasti diingininya lagi lembah yang ketiga.”

Jadi, sempena maulidur rasul, ada baiknya kita merenung hadis ini. Sesungguhnya bersyukur dengan rezeki yang dimilikki dan berpada-pada dalam hidup dan kehidupan termasuk dalam kategori mengasihi Nabi. SALAM MAULIDUR RASUL BUAT SEMUA.

Thursday, 18 June 2009

LELAKI ITU

LELAKI ITU
(Tentang Prof Datuk Dr Ismail Mohd Salleh sebagai renungan buat adik-adik di Sekolah Pendidikan Khas)

Lelaki Itu
Bukanlah Pengemis dan Peminta
Walaupun siangnya gelap
Meskipun malamnya gelita

Lelaki Itu
Bukanlah penagih simpati di kaki lima
Tapi pemberi ilmu yang setia
Menabur budi di puncak menara

Lelaki Itu
Tidak pernah mengalah dengan suratan yang menimpa
Tidak pernah tewas dengan peningkatan usia
Dia tetap gagah dan perkasa
Demi kecemerlangan bangsa
Demi kegemilangan Negara

Lelaki Itu
Contoh yang nyata
ORANG KURANG UPAYA
Mampu Berjaya dan Ternama
Jika menjadi
ORANG KUAT USAHA.

Tn. Iskandar Tn. Ismail
Pantai Irama Bachok Kelantan

Wednesday, 22 October 2008

SEKADAR KUNANG-KUNANG MENEMANI KEGELAPAN

SEKADAR KUNANG-KUNANG MENEMANI KEGELAPAN

(Khas untuk pemburu redha Allah yang sentiasa ghairah dan sentiasa terangsang dengan ganjaran pahala-Nya.)
Jika tidak mampu menjadi pelita yang menerangi malam,
memadailah sekadar menjadi kunang-kunang yang menemani kegelapan.
Setidak-tidaknya ada juga cahaya yang menerangi zulmat(gelap) malam, meskipun seminimum mungkin.

**************************
“Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam beragama.”( Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Agama adalah petunjuk dan kayu ukur dalam kehidupan. Justeru, kefahaman terhadapnya amatlah penting agar hidup tidak tersasar tanpa pedoman.

“Saya bukan orang agama” Betapa bodohnya dirimu jika beralasan begitu. Kefahaman terhadap agama bukan hak milik mutlak “orang-orang agama”(maksud saya, lulusan agama) namun ia satu keperluan untuk menjadi “orang yang beragama”( maksud saya, orang yang ada naluri ingin berTUHAN dan rasa keHAMBAAN terhadap-Nya). Jadi Tolonglah jangan berhujah dengan sebegini dunggu. Al-Albani seorang ulama( orang agama). Begitu juga dengan Sheikh bin Bazz, Sheikh al-Uthaimin, Dr Yusof al-Qardhawi, Dr Wahbah Zuhailli, Sheikh Atiyah Saqr, Shiekh Muhammad Abu Zahrah, Syuaib Arnout, Dr Said Ramadhan al-Booti dan lain-lain lagi. Tapi jangan lupa Sir Muhammad Iqbal, Dr Abdul Aziz al-Rantisi dan Necmettin Erbakan bukanlah orang agama tetapi mereka merupakan orang yang beragama. Namun mereka telah memberi sumbangan yang amat besar terhadap agama.

Tiada ruang waktu untuk bertalaqqi. Itu juga bukanlah hujah yang bijak untuk mewajarkan diri terasing tanpa Tafaqquh Fiddin. Sebab sesiapa sahaja dianugerahkan 24 jam sehari. Al-Albani mewakafkan masa melebihi 16 jam sehari untuk mentelaah kitab-kitab Hadis di perpustakaan di Syria. Kegigihan ini hingga memebolehkannya muncul sebagai ilmuan hadis yang tersohor. Bagaimana pula dengan kita. Berapa jam yang kita peruntukkan untuk Akademi Fantasia? Berapa jam pula untuk Malaysian Idol, Raja Lawak dan terkini Sehati Berdansa.

Jangan juga kita menjadikan faktor usia sebagai alasan malu dan segan untuk memantapkan pengetahuan agama. Kita mesti sentiasa berjiwa muda dalam menggapai redha Allah. Jadilah pemburu redha Allah yang sentiasa ghairah yang sentiasa teransang dengan ganjaran pahala-Nya. Contohilah Abu Ayub al-Anshari yang gigih berjuang menyahut seruan Nabi s.a.w untuk menawan kota Costantinople, meskipun kala itu usianya sudah boleh dikategorikan sebagai senja. Ada sejarahwan mengatakan umrnya tika itu adalah 90 tahun. Fudhail bin Iyadh juga dikatakan mendalami agama sewaktu berusia 40 tahun.

************************************

Ayuh sahabatku, kita mulakan kembara rohani. Kita atur langkah dengan cermat, kita susun jejak dengan hati-hati. Kemudian terus melangkah dan jangan undur lagi. Redha Tuhan sedang menanti bersama derap langkah kaki. Bagaimana caranya?

Jadilah kunang-kunang yang menemani kegelapan. Itu sudah cukup dan memadai sekiranya kita tak mampu menjadi pelita yang menerangi malam.
Mungkin sahabat sekalian tertanya-tanya apakah kunang-kunang yang saya maksudkan. Sebenarnya saya meminjam istilah ini dari seorang rakan. Dia sering menggunakan istilah ini tatkala berSMS mahupun berEMAIL dengan saya. Pesannya kepada saya, jika tak mampu melakukan semua yang kita mahu, janganlah pula ditinggalkan semua yang kita mampu. Jika tak mampu jadi pelita cukuplah sekadar menjadi kunang-kunang.

Memang tidak semua kita yang berkesempatan untuk bertalaqqi.
Namun jangan biarkan langkah terhenti selagi kita masih bernadi. Jangan biarkan diri terus hanyut selagi jantung masih berdenyut dan berdegup.
Hari ini sentiasa ada ruang untuk kita memperolehi kefahaman dalam beragama. IPTA tempatan seperti UM, KIAS , KISDAR ada menyediakan program pengajian agama. Sijil bahasa arab, usuluddin, syariah dan hadis di sediakan. Malah boleh dilanjutkan ke peringkat diploma. Jika kediaman anda berhampiran pondok pengajian islam, janganlah segan untuk menyertai program pengajiannya. Dahulu sewaktu cuti semester saya pernah memondok secara separuh masa di pondok Pasir Tumboh Kelantan. Malah beberapa orang sahabat saya turut berbuat demikian di pondok Lubuk Tapah Pasir Mas. Jika masjid atau surau berhampiran kediaman anda mengadakan kuliah agama selepas solat maghrib, maka janganlah ketinggalan menyertainya.

Jika kita tidak mampu menghadiri kelas agama, memadailah dengan menonton rancangan-rancangan berbentuk keagamaan yang disirkan di kaca tv. Al-Kuliyyah, Halaqah, Forum Perdana, Bicara Mufti, Senandung Qalbu, Mari Bertaranum, Mari Mengaji dan macam-macam lagi. Ambilah manfaat daripadanya.

*****************************

Memang ini semua tidak mampu menjadikan kita sehebat Qardhawi mahupun Wahbah Zuhaili yang mendalami agama dengan sehebat-hebatnya.. Namun sekurang-kurangnya kita sentiasa mendapat kefahaman dalam beragama. Dan lebih penting lagi ia menjadikan kita ‘hari ini lebih baik dari semalam’. Jadi jangan buang masa. Siapa kata kita tidak boleh. Umat islam sentiasa boleh.

Jadilah kunang-kunang meskipun tidak mampu menjadi pelita. Kedua-duanya bercahaya. Bezanya cuma, tahap kecerahannya sahaja. Kita dengan ulama-ulama muktabar pun begitu juga. Sama-sama ada kefahaman agama. Cuma beza tahap penguasaanya sahaja. Jadi, sentiasalah ghairah untuk mendalami ilmu agama.