Saigon Mai, Ho Chi Minh City.
Kelihatan pakaian untuk wanita islam dijual
di dalam kedai tersebut
Bicara saya kali ini adalah berdasarkan pengalaman yang saya perolehi berasaskan pemerhatian dan penelitian saya sepanjang Berkunjung Ke Vietnam
Di sini, saya sekadar ingin berkongsi dan bukannya menjalankan peranan sebagai ahli kaji masyarakat. Ia berdasarkan pemerhatian dan penelitian secara peribadi terhadap masyarakat dan tempat yang dilawati. Adalah mustahil untuk saya meneliti dan memerhati secara tuntas jika tempoh dan waktu saya berada di sana hanyalah sekejap sahaja, cuma lima hari . Jadi, untuk menjadikanya lebih segar dan bugar, saya gabungkan pengalaman itu dengan sedikit fakta yang saya kutip melalui pembacaan.
Paling penting bagi saya, pengalaman dan pengetahuan yang disepadukan dapat pula menatijahkan pengajaran yang bermakna buat diri sendiri.
Sediakan wang cukup-cukup.
Pastikan USD dibawa bersama selain VND
Setelah terpandang Saigon Mai ( sebuah tempat atau kedai menjual pakaian di HCMC) seperti dalam gambar di atas saya terus beranggapan, pasti sahaja ramai muslim di sini memandangkan terdapat pakaian-pakaian untuk wanita-wanita islam yang dijual di situ. Menerusi pekerja kedai itu, saya dimaklumkan pakaian-pakaian itu( baju kurung, telekung dan macam-macam lagi yang biasa digunakan oleh wanita islam dari Asia Tenggara ) biasanya dibeli oleh pekerja-pekerja beragama islam dari Malaysia dan Indonesia. Tertanya-tanya sendiri, bagaimana dengan penduduk tempatan yang beragama islam?
Satu lagi petunjuk yang untuk mengetahui jumlah atau bilangan umat islam di sesuatu tempat ialah dengan melihat kewujudan restoran halal. Tentang Restoran Halal di Ho Chi Minh, sebenarnya agak susah juga untuk saya ketemui, ini memandangkan pertama kali saya menjejakkan kaki ke sana. Pesan saya kepada sahabat yang ingin berkunjung ke sana, eloklah melayari internet terlebih dahulu untuk mencari maklumat tentang restoran halal sekitar Ho Chi Minh. Lainlah kalau sahabat berkunjung ke sini dengan menggunakan khidmat pakej muslim, tentu sekali tiada masalah untuk makanan halal.

Setelah beberapa hari berada di sini, barulah saya sedari terdapat agak banyak juga restoran halal di Ho Chi Minh (antara yang terkenal ialah Restoran Shamsudin dan Halal Saigon), Cuma harga makanan yang dihidangkan agak mahal. Sangat mahal sebenarnya, harga untuk nasi goreng biasa berserta milo ais hampir mencecah RM40.00.
lunch kat restoran Halal Saigon
Apa yang pasti,kebanyakan restoran halal di sini diusahakan oleh warga luar seperti Pakistan,dan terdapat juga sebuah restoran yang dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia, Restoran Shamsudin namanya. Namun yang paling menarik minat saya ialah Restoran Halal Saigon, yang lokasinya bertentangan dengan Masjid Musulman.
tiga gadis vietnam - pekerja hotel yang membantuku
dalam mengenali restoran halal di Ho Chi Minh
Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada beberapa orang pekerja hotel di tempat saya menginap,( tiga orang gadis Vietnam yang manis)kerana memberikan phamplet tentang lokasi-lokasi restoran halal sekitar Ho Chi Minh. Sedikit sebanyak ia membantu saya mencari lokasi tersebut.
bersama rakan kat Chu Chi Tunnel
Tapi, yang menjadi persoalannya, kebanyakkan yang menjamu selera di restoran-restoran halal ini adalah warga-warga luar seperti pelancong dari Malaysia dan Indonesia. Bagaimana pula dengan warga tempatan yang beragama islam?
Jutaan maaf saya pohon, sebab tidak merakam gambar-gambar restoran yang saya kunjungi. Mungkin disebabkan Kunjungan saya bukan bermatlamatkan jalan-jalan cari makan, maka saya kurang berminat untuk merakam gambar restoran halal ini, meskipun saya tahu ia amat penting untuk sahabat-sahabat yang ingin jadikan rujukan apabila ingin berkunjung ke sana.
kebetulan terserempak dengan Mat Sabu di Muzium Perang
Bagaimana pula dengan lain-lain kawasan seperti di ibu kota Vietnam, iaitu Hanoi yang nun jauh di Utara. Tidak dapat saya perkatakan memandangkan ia di luar pemerhatian dan penelitian saya, ini kerana tempoh lima hari itu saya habiskan sekitar Ho Chi Minh( Bandar terbesar di Vietanam) dan beberapa kawasan di sekitar Vietnam Selatan termasuklah sekitar lembah sungai Mekong.Tetapi secara kebetulan, saya berjumpa Mohammad Sabu, seorang AJK PAS Pusat( tolong jangan anggap ini sebagai entry politik) di Muzium Perang Ho Chi Minh.
Katanya, di Hanoi(kebetulan Mat Sabu baru pulang dari Hanoi sebelum ke Ho Chi Minh), lagi susah nak mencari restoran halal. Insha-Allah, jika diizinkan-Nya, teringin juga saya ke Hanoi satu masa nanti.
tidak jauh dari Pasar Ben Thanh- terdapat juga sebuah restoran halal
Tentang masjid pula, terdapat beberapa buah masjid yang saya ketemui sepanjang berada di Ho Chi Minh. Saya dimaklumkan terdapat lebih kurang 16 buah masjid di sekitar Ho Chi Minh. Namun, saya hanya sempat solat qasar di Masjid Musulman sahaja, ini kerana lokasi masjid ini bertentangan dengan restoran Halal Saigon.
Apa yang pasti,berdasarkan pemerhatian saya sewaktu berada di dalam masjid itu, kebanyakkan yang bersolat ialah warga luar yang terdiri daripada pelancong dan pekerja. Sesudah solat, sempat saya bersalaman dengan beberapa orang penduduk islam tempatan yang bersolat di situ.
Masjid Musulman
Tapi, disebabkan masalah bahasa(dia hanya boleh berbahasa Vietnam), komunikasi kami terhalang. Semasa berbicara, dia sering menununjuk-nunjuk ke arah janggut dan kopiahnya. Jujur, saya tidak dapat memahami apakah yang ingin lelaki islam warga tempatan itu sampaikan. Namun, beliau dan penduduk islam tempatan lain (yang beribadat di dalam masjid itu) amat menyenanagi kehadiran saya dan rakan-rakan. Mereka satu persatu saya salami, terasa eratnya ukhwah dan jauh di sudut hati, saya cuba menebak tentang keperitan yang mereka alami pada peringkat awal perlaksanaan sistem pentadbiran komunis di Vietnam.
Langsung sahaja ke -->SINI, untuk maklumat lanjut tentang masjid dan restoran halal di Vietnam
Masjid Musulman
Apa yang paparkan di atas adalah berdasarkan pemerhatian dan penelitian saya, sekarang saya paparkan pula perihal umat islam di Vietnam yang saya perolehi menerusi pembacaan. Sebelum meneruskan bicara, ingin saya tegaskan betapa pentingnya kita mengetahui sejarah Kerajaan Melayu Champa yang menguasai bahagian tengah Vietnam hari ini. Ini kerana kerajaan tersebut merupakan sebuah kerajaan yang dimiliki oleh etnik Cham ,sebuah etnik yang dikategorikan dalam kelompok rumpun Melayu sebagaimana etnik Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan lain-lain.
Etnik Cham merupakan penganut islam terawal di Vietnam, dan merekalah yang membina Kerajaan Champa (sering ditulis sebagai Kerajaan Melayu Champa). Pada mulanya orang melayu Cham beragama Hindu tapi lama-kelamaan mereka menganut agama islam. Jadi, bahagian tengah dan selatan Vietnam sekarang adalah di bawah kekuasaan umat islam pada suatu ketika dahulu.
ini dalam perjalanan ke Sungai Mekong- Mungkinkah perkataan CHAM PHA itu
merujuk kepada petempatan etnik Champa
Mengikut Steen Hansen dalam bukunya Vietnam (Economically Developing Countries),negara Vietnam mula dibentuk setelah Kerajaan Champa dimusnahkan oleh orang-orang Vietnam pada tahun 1656. Malah, dari situlah bermulanya tapak dan asas ke arah pembentukan Vietnam yang ada hari ini(meskipun pernah dibahagikan kepada Vietnam Utara dan Selatan buat seketika kerana perbezaan idealogi) .
Kekalahan dan seterusnya penguasaan orang-orang Vietnam menyebabkan masyarakat Melayu Cham mula bertaburan, sesetengahnya membina kehidupan di Kemboja(dikenali sebagai Khmer Islam dan mereka adalah sebahagian daripada 4% penganut islam di Kemboja) dan sesetengah lagi melarikan diri ke tempat-tempat lain termasuklah Thailand dan Tanah Melayu. Malah dipercayai keturunan Tuan, Nik dan Wan yang terdapat di Malaysia adalah berasal dari keturunan Melayu Cham. Hingga ke hari ini, kerajaan yang dahulunya ditadbir oleh bangsa Melayu Cham ini mula luput dari peta dunia hinggakan warga dunia seakan-akan lupa akan kewujudan kerajaan Melayu Champa suatu ketika dahulu
Mengikut HarakahDaily peta asal Kesultanan Melayu Champa masih lagi berada dalam simpanan Perancis, sebuah kuasa Barat yang pernah menguasai Vietnam suatu masa dahulu. Tentang sejarah masyarakat Melayu Cham dan Kesultanan Melayu Champa, jika sahabat ingin mengetahui dengan lebih panjang lebar, eloklah merujuk sebuah rencana ilmiah yang ditulis oleh pengkaji di Universiti Teknologi Mara (UiTM), lihat-->: SINI
sebuah perkampungan berhampiran lembah sungai mekong.
mungkinkah terdapat masyarakat islam di sini terutamanya dari etnik Cham.
Kembali kepada tajuk, Mazlan Nordin, konsultan Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dalam ahkbar Mingguan Malaysia bertarikh 12 April 2009, ada mengulas sebuah laporan yang ditulis oleh Prof Hussin Mutalib dari National University Of Singapore, tentang keadaan minoriti umat islam di mana-mana negara. Dicatat di situ tentang jumlah umat islam di Vietnam hanyalah satu peratus (1 %) atau 800 ribu orang daripada 85 juta orang rakyat Vietnam. Kalau di Kemboja, seramai 34 % masyarakat melayu Cham mendiami kawasan sekitar Sungai Mekong, jadi saya beranggapan begitu jugalah dengan Vietnam. Sebabnya masyarakat Cham ini berasal dari Vietnam dan pasti sahaja masih ramai yang menetap di Vietnam berbanding di Kemboja. Apatah lagi Sungai Mekong juga dikongsi bersama antara Vetnam dan Kemboja. Malah, ketika dalam perjalanan ke Sungai Mekong tempoh hari saya ternampak papa tanda bertulis CHAMPA. Mungkinkah ia merujuk kepada perkampungan masyarakat Melayu Cham.
Lagi malang, tidak cukup dengan jumlah yang kecil ( 1 %), umat islam di Vietnam ini terbahagi pula kepada dua, iaitu Islam sunni dan islam Bashi( sesetengah sumber menyebut sebagai islam Bani, yang dikatakan tergelincir dari ajaran islam sebenar- Hanya Allah Yang Maha Mengetahui Hakikat Ini)
Moga, apa yang saya paparkan dengan mengabung jalinkan pemerhatian, penelitian dan fakta menerusi pembacaan dapat memperkenal sahabat dengan umat islam di Vietnam. Moga, selepas ini, jika sahabat berkunjung ke Vietnam, terutamanya di Ho Chi Minh City (Saigon),sahabat tidak hanya membeli belah di Pasar BenThanh atau sekadar ke Chu Chi Tunnels . Tidak juga semata-mata ingin menyusuri Sungai Mekong, tapi lebih dari itu ialah untuk mengenali saudara seagama dan seakidah dengan kita yang seakan-akan dilupakan oleh dunia.
Info Tambahan : Mulai 13. April.2011, Astro Oasis akan menyiarkan Rasa Halal Vietnam, pada setiap hari rabu, pukul 7.30 petang. Mungkin, info tentang restoran halal di Vietnam akan dapat sahabat perolehi dari rancangan ini.