Cerpen saya ini telah disiarkan dalam MAJALAH e@Siswa ( kumpulan Karangkraf) Edisi 40: JUN 2010. Moga dapat mengambil manfaat daripadanya.
TAJUK = RESAH SEORANG GURU
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.
“Astaghfirullahalazim.” Dia beristighfar sambil kepalanya digelengkan perlahan. Sukar untuk dia percaya dengan apa yang dilihat. Lagi sukar untuk dia percaya dengan apa yang didengar. Benar-benar menghiris hati dan mencalar perasaanya.
Dia terdiam. Agak lama dia terdiam. Diam memikirkan cadangan yang dikemukakan oleh Encik Malik. Hatinya benar-benar meradang seusai sahaja mendengar cadangan itu. Cadangan yang menyebabkan dirinya tidak senang dan tidak tenang. Cadangan yang cuba merampas haknya secara kejam. Cadangan yang penuh sangsi dan sarat curiga terhadap agama.
“Saya syorkan agar subjek-subjek ini diberi penekanan yang lebih. Ia perlu diperkasakan walau dengan apa cara. Kita semua sedia maklum, betapa subjek-subjek penting seperti fizik, kimia, biologi dan matematik tambahan merupakan denyut nadi dan degup jantung kepada anak-anak kita. Kecemerlangan dalam subjek-subjek ini akan melayakkan mereka untuk mengikuti kursus-kursus yang mempunyai nilai di pasaran ketika berada di institusi pengajian tinggi nanti. Tidak salah rasanya, jika pihak sekolah memperuntukan masa yang lebih untuk sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P) subjek-subjek ini. Tidak salah juga rasanya, jika peruntukan masa untuk P&P bagi subjek-subjek yang kurang penting seperti pendidikan islam dikurangkan demi memperkasakan subjek-subjek ini.” Begitulah cadangan yang dikemukakan oleh Encik Malik dalam mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) yang sedang berlangsung itu.
Sungguh tak disangka, pengurus di sebuah bank yang terkemuka itu mempunyai pandangan dan tanggapan yang begitu negatif terhadap agama. Tidak pernahkah pengurus bank itu terdengar atau terbaca sabda junjungan mulia, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim “ Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.”
Mujurlah, Tuan Haji Sarbani, selaku Pengetua telah bertindak bijak dengan mewajarkan pendekatan yang sedia ada sebagai memenuhi aspirasi kerajaan yang ingin memperkasakan modal insan. Tuan Haji Sarbani yang dia kenali sememangnya seorang pengetua yang mudah bertolak ansur dan senang diajak berbincang, namun apabila melibatkan soal agama, pengetua yang bakal bersara hujung tahun itu akan tegas berprinsip dan teguh berpendirian. Tegas dan teguh hinggakan mustahil untuk dikikis dan dihakis.
***
Usai sahaja Mesyuarat Agung PIBG, dia terus mengatur langkahnya ke bilik guru, walaupun juadah ringan ada disediakan untuk para guru dan ibu bapa yang hadir, namun seleranya benar-benar terbantut. Longlai sekali jejak yang disusun lantaran pilu yang menyerbu kalbu. Di mejanya, dia bungkam tanpa sebarang kata.
“Sesungguhnya setiap pembinaan dimulakan dari asas dan bukannya dari puncak.” Untaian hikmah yang pernah dilafazkan oleh Mustafa Mashyur hadir di fikirannya. Dia diburu resah apabila terkenangkan kata-kata bekas Mursyidul Am Ikwanul Muslimin itu. Dia yakin benar akan kebenaran kata-kata tokoh gerakan islam itu. Apa tidaknya, bukankah langkah yang pertama merupakan asas dan permulaan kepada perjalanan yang beribu batu. Begitu juga dengan detik dan saat yang menjadi asas kepada pembentukan tahun, dekad dan abad. Asas kepada negara pula ialah setiap individu yang menjadi warganya. Agenda memperkasakan bangsa dan negara hanya akan tercapai kalau asasnya turut diperkasakan. Sebagaimana pembinaan bangunan yang besar dan tinggi, pasti sahaja memerlukan tapak yang besar, luas dan dalam. Jika tidak, pasti sahaja bangunan itu akan tersungkur menyembah ke bumi.
“Sebagaimana pentingnya akar pada sebatang pokok. Kalau akarnya kuat mencengkam ke bumi, maka teguhlah pokok itu berdiri. Datanglah angin kencang, ia tidak akan goyang. Tidak sekadar berdiri teguh, ia juga selamat untuk dijadikan tempat bersandar, berpaut dan berteduh.” Begitulah tamsilan yang sering kali dilafazkan oleh arwah ayahnya suatu ketika dahulu. Walaupun telah lama berlalu, bait-bait kalimah itu tetap segar di hati sebagaimana arwah ayahnya yang sentiasa bugar di sanubarinya.
“ Agama adalah panduan dan pedoman untuk manusia melayari kehidupan.” Dia teringatkan kata-kata sahabatnya, Nazri yang menjadi rakan serumah dan sekuliahnya sewaktu di Jordan. Sedari dahulu lagi, dia sememangnya akur akan kebenaran kata-kata sahabatnya itu. Tanpa panduan dan pedoman manusia akan tersesat meskipun di dalam terang benderang. Lagi membimbangkan jika yang tersesat itu melibatkan golongan intelektual dan profesional. Mereka akan memanipulasikan segala kesempatan yang ada tanpa mengira dosa dan pahala. Kesempatan itu akan dijadikan sebagai tongkat untuk berdiri dan titi untuk melintas. Berdiri mencari laba dan melintas untuk mengejar hidup yang selesa.
“Sekiranya ilmu sains dimiliki oleh seseorang yang tidak beragama, ia laksana senjata yang berada pada tangan orang yang gila.” Begitulah Albert Einstein mengambarkan betapa berbahayanya golongan yang tidak menjadikan agama sebagai panduan dan pedoman. Membahayakan diri sendiri dan membahayakan orang lain.
“Ustaz, saya minta maaf.” Masih terdengar-dengar di telinganya suara Munir yang tersekat-sekat kerana ketakutan. Pelajar itu bersama beberapa orang pelajar yang lain telah mengambil kesempatan untuk menyiapkan tugasan subjek-subjek yang lain sewaktu dia sedang ralit menulis di white board. Darahnya benar-benar mendidih kala itu, namun dipujuknya hati agar bersabar. Dia sedar dalam keadaan sebegitu, syaitan mudah menganggu dan perkara yang tidak diingini boleh sahaja berlaku.
Penjelasan lebih lanjut daripada Munir telah memahamkannya betapa nazaknya subjek yang diajarnya itu. Tidak penting, tidak perlu cemerlang, dan tiada masa depan. Itulah yang selayaknya dilabelkan untuk subjek pendidikan islam. Subjek yang dipandang sepi dan tidak diambil peduli. Subjek yang boleh diibaratkan sebagai melukut di tepian gantang, masuk tiada menambah dan keluar pula tiada mengurang.
Bila terkenangkan semua itu, dia merasakan dirinya teramat malang. Secara jujur, semangatnya sedikit terhakis dengan pengakuan itu. Namun, dia tidak akan sesekali mengalah. Pelajar-pelajar ini perlu difahamkan tentang pentingnya pendidikan agama. Amat penting supaya langkah mereka nanti akan terpandu. Terlalu penting, agar jejak mereka nanti akan terpimpin.
“Belajar agama tak semestinya kerana nak jadi orang agama. Tapi, kerana nak jadi orang yang beragama. Ada perbezaan yang ketara antara orang agama dengan orang yang beragama.” Dia melontarkan kata sebagai pembuka bicara untuk mengejutkan pelajarnya yang leka dan lena.
“Maksud ustaz.” Seorang pelajar perempuan mengajukan tanya sambil mengerutkan kening, tanda tidak faham. Beberapa orang pelajar yang lain turut tersentak dengan bicaranya yang tiba-tiba itu.
“Kamu benar-benar mahu tahu.” Dia cuba menebak naluri pelajarnya. Beberapa orang pelajar menganggukan kepala tanda sudi dan bersedia untuk mendengar penjelasan lanjut darinya.
“Kamu boleh sahaja menjadi seorang saintis yang terbilang, namun kamu kena sedar akan kewujudan Tuhan yang sentiasa memerhatikan. Kamu boleh juga menjadi seorang peguam yang terkemuka, namun kamu mesti ingat dosa dan pahala. Boleh juga menjadi seorang arkitek yang ternama, namun kamu mesti faham hakikat syurga dan neraka. Atau menjadi seorang doktor yang berjaya, namun kamu kena sedar betapa denyut nadi dan degup jantung boleh terhenti bila-bila masa sahaja. Dengan kata lain, kamu jadilah apa sahaja, tapi mestilah terikat dengan agama. Biarlah agama yang memandu dan memimpin kita semua. Sebab itulah kita kena mendalami ilmu agama dan jangan sesekali memandang remeh terhadap pendidikan agama.” Panjang sekali penerangannya sambil menyoroti satu persatu wajah pelajar-pelajarnya itu.
Diselongkar pula fakta sejarah untuk menguatkan hujah. Hujah bagi mengikis dan menghakis salah faham pelajar terhadap pendidikan islam yang diajarnya. Dia memperihalkan tentang ilmuan islam dalam pelbagai bidang ketika era kegemilangan islam. Tentang Ibn Sina, Al-Razi, dan Ibn Al-Nafis yang telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang perubatan. Tentang Mimar Sinan, arkitek terkemuka yang telah membina ratusan bangunan termasuklah Masjid Biru di Istanbul. Tentang Abbas Ibn Firnas yang diperakui oleh sejarahwan Barat, K. Phillip Hitti dalam bukunya History of the Arabs, sebagai manusia pertama yang membuat percubaan untuk melakukan penerbangan secara saitifik. Paling penting, dia ingin pelajarnya mengerti, meskipun terbilang dalam pelbagai bidang, namun para ilmuan itu amat akrab dengan Tuhan dan sangat cemerlang dalam aspek kerohanian.
***
“Astaghfirullahalazim.” Cikgu Roslina yang sedang menikmati sarapan bersama beberapa orang guru perempuan beristighfar perlahan.
“Kita ialah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan islam. Jika kita mencari kemuliaan lain selain daripada kemuliaan islam, maka kita akan dihina oleh Allah.” Pesanan Saidina Umar al-Khatab bertandang di sudut ingatannya. Itulah yang merisaukannya selama ini. Risau apabila memikirkan betapa surut dan susutnya nilai-nilai agama yang selama ini menjadi jatidiri anak bangsanya. Sebagai seorang guru agama, dia tidak boleh menerima situasi yang ada dengan senang dan tenang. Dan, apabila memikirkan semua itu, dia terus diburu resah dan dihambat gelisah.