Wednesday, 22 September 2010

WAT SIAM DI KELANTAN.

( Wat Pothvihan kat tumpat. Ia adalah patung Budha
yang TERBESAR di Asia Tenggara.)


KELANTAN DARUL NAIM, negeri Serambi Makkah, negeri Tadahan Wahyu. Amat sinonim dengan institusi pengajian pondoknya yang masih bertahan hingga ke hari ini. Tok Kenali, Tok Bachok, Tok Selehor/Selehong,Tuan Tabal ( sekadar menyebut beberapa nama sahaja). Malah sampai ke hari ini, boleh dikatakan hampir setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pondok ( Cuma daerah tertentu sahaja yang tiada pondok pengajian islam)). Cuma yang terkenal ialah pondok Terusan Pasir Tumboh Kubang Kerian, Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas dan Pondok Sungai Durian di Kuala Krai. Di daerah saya, Bachok terdapat dua buah institusi pondok, iaitu pondok moden Kandis Bachok dan pondok Kuin Pasir Jelawat.

( Wat Machimmaram, salah satu patung budha
kategori duduk yg terbesar di Asia Tenggara.


Tahun 80-an dahulu(sekarang pun masih ada cuma tak sehebat dulu), setiap pagi jumaat, surau ( dikenali sebagai balaisah di Kelantan)di kampung saya akan dihadiri oleh Tok Guru Pondok atau wakilnya untuk mengajar ilmu agama. Arwah nenek saya selalu membawa saya bersama ke kuliah itu. Alam kanak-kanak, saya cuma ingin bermain-main bersama rakan-rakan. Persekitaran surau a.k.a balaisah begitu meriah. Bagaikan pesta, di samping mempelajari ilmu agama, aktiviti jual beli juga rancak di adakan sebelum dan sesudah sesi kuliah. Suasana sebegini tidak lagi saya rasai kecuali ketika kuliah mingguan( pagi jumaat) di Kota Bharu yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Itupun hanya sempat saya ikuti apabila sesekali pulang bercuti ke Kelantan.

(Wat Phothikyan kt Kg Balai Bachok. Berhampiran kg saya jer)


Di sini saya tidak ingin berbicara tentang pondok dan ulama tetapi ingin memperkatakan tentang masyarakat Siam dan agama Budha serta Wat Siam. Semuanya untuk membuktikan mereka ini tidak tersisih di negeri yang melebihi 95% penduduk Melayu-Islamnya. Semuanya bermula apabila seorang rakan berbangsa Cina mengatakan kaum minoriti tersisih di Kelantan. Rakan ini bertanyakan saya ketika kami sama-sama berjogging sekitar Chemor Perak( tempatnya Bukit Bangkong). Rakan saya itu, sedari dahulu lagi ‘diperdendangkan’ dengan simfoni klasik zaman- berzaman. Kononnya minoriti bukan islam termasuk orang Siam dan Cina dinafikan hak di Kelantan. Oh ! TIDAK. Mereka hidup dengan aman dan damai. Malah masyarakat Cina di Kelantan lebih bahagia berbanding Cina di tempat lain. Mereka sangat akrab dengan orang Melayu dan turut bertutur dalam loghat Kelantan. Mereka juga turut memakan budu dan gemarkan masakan manis-manis macam orang melayu Kelantan.




( Wat Phothikyan kt Kg Balai Bachok. )


Wat Pothvihan, merupakan Wat Siam yang terkenal di Kelantan. Malah ia merupakan patung budha terbesar di ASIA TENGGARA. Saya ulangi, terbesar di Asia Tenggara. Ya, patung budha yang terbesar bukannya di Thailand tapi di Kelantan. Ia juga dianggap antara yang terbesar DI DUNIA dalam kategori yang serupa( dlm keadaan berbaring) dan ia dikenali sebagai “the sleeping Buddha

Wat Uttamaram yang terletak di Pasir Mas di Pasir Mas juga cukup terkenal dalam kalangan pelancong di dalam mahupun luar Negara. Ia berkait rapat dengan kisah seorang sami bernama Khron Ratchanaren (dikenal sebagai Tok Raja). Tok Raja adalah Sami terkenal dan telah melalui pengalaman spiritual yang hebat sebelum mencapai darjat tersebut. Lebih lanjut tentang Tok Raja
http://www.mir.com.my/leofoo/Thai-amulets/RockRaymond/TukRaja/index1.htm

Last sekali adalah Wat Siam yang terletak di Kampung Balai, iaitu sebuah perkampungan masyarakat Siam di Bachok Kelantan( lebih kurang 15 KM dari kampung saya). Berani, saya katakan. 1 MALAYSIA telah lama dijelmakan di Kelantan. Di samping lahirnya ulama terbilang, di bumi Kelantan juga pernah lahir Tok Cai ( sami Siam) yang cemerlang.


































Friday, 17 September 2010

TERIMA KASIH TUHAN KERANA MENYELAMATKAN AKU.

( Inilah keretaku yang terbabas sbb terlelap tu)


Malang memang tidak berbau. Lalai seketika sudah cukup untuk mengundang padah. Ahad lepas ( 5.9.2010), saya pulang untuk berhari raya kat kampung di Kelantan. Sengaja saya pulang pada waktu petang kerana ingin berehat secukupnya setelah agak lewat tidur pada sebelah malamnya.

Sebenarnya sebelum pulang berhari raya ke kampung, saya hanya tidur bebrapa jam sahaja. Pukul 3 pagi saya tidur dan pukul 5 pagi saya dah bangun untuk bersahur dan seterusnya ke masjid jami’ chemor untuk solat subuh berjamaah( disamping membayar zakat fitrah sebab terlupa membawa duit untuk bayar zakat ketika bersolat Tarawih pada malamnya). Pulang dari masjid, saya berYM sekejap dengan beberapa orang sahabat termasuk member blogger Yusuff a.k.a Ultraman. Lepas beli dan baca surat khabar( lebih kurang pukul 10 pagi) barulah saya tidur. Pukul 12.30 tengah hari barulah saya bertolak pulang ke kampung. Tak sampai 3 jam saya tidur pada hari itu.

Tika sampai kat Kati, kuala kangsar saya dah mula rasa mengantuk. Cepat-cepat saya berhenti dan kebetulan dah masuk waktu zohor. Lepas solat jamak dan qasar (zohor dgn asar) kat masjid Kati, rasa kantuk langsung hilang jadi saya langsung memandu ke Kelantan.



(Sepinya raya tanpa kereta)

Lenggong Perak, disitulah segalanya bermula. Rasa mengantuk yang ‘Maha Hebat’ mula menyerang. Beberapa kali saya tersalah masuk ke lorong yang bertentangan. Kemuncaknya, hampir- hampir berlaku kemalangan dengan sebuah lori kerana saya tersilap masuk lorong( saya tersasar ke lorong kanan). Kepada pemandu lori tersebut, jutaan terima kasih saya ucapkan. Terima kasih banyak-banyak kerana membunyikan hon beberapa kali dan memperlahankan kelajuan lori. Ini membolehkan saya tersedar dari lelap yang mengasyikkan. Kalau tak, mungkin saya sudah menjadi Allahyarham.

Saya dah tak boleh meneruskan perjalanan dan saya hanya terfikir untuk mencari tempat yang sesuai untuk rehat a.k.a tidur. Tapi nasib saya agak malang, sebab dalam proses mencari lokasi yang sesuai untuk merehatkan diri, saya terlelap untuk kali kedua. Lelap yang lagi hebat. Kali ini nasib tak menyebelahi saya, saya terbabas ke longkang /parit di sebelah kiri jalan.

Kereta saya tercabut tayar depannya, kemek pintu kirinya, pecah lampunya, dan lain-lain kerosakan yang tak perlu saya perincikan. Saya pula dua kali terhentak dada kat stereng. Sakit kat dada menyebabkan saya tidak boleh berdiri lalu terpaksa berbaring kat tepi jalan bila orang kampung tolong keluarkan saya dari kereta. Selepas beberapa minit barulah saya mampu berdiri. Selama dua hari selepas kejadian , dada saya terasa sakit kesan terhentak kat stereng dan doktor kat lenggong memang menasihatkan agar melakukan x-ray. Tapi saya tak berkesempatan. Ingat nak buat kat Kota Bharu, tapi disebabkan dah ok lalu saya batalkan. Dalam tempoh dua hari tu saya langsung tak boleh meniarap. Hehehe, lagipun bukanlah hobi saya untuk meniarap kecuali ketika menulis dan membaca. Kembali kepada cerita, setelah dihantar ke klinik untuk rawatan luar saya buat pula laporan polis. Termenung seketika bila mengenangkan RM300 akan melayang sebab kena saman atas kelalaian memandu.

Namun saya tetap bersyukur. Syukur untuk kali kedua, kerana saya hampir-hampir terjunam ke dalam longkang konkrit. Kata beberapa orang kampung, saya bernasib baik kerana kereta saya terhenti sebelum terjunam ke dalam longkang konkrit tu. Kata pegawai polis pula, lebih kurang 6 inci sahaja kereta saya dari longkang konkrit tu. Kata pegawai polis tu lagi, Kalau terjunam saya mungkin parah atau maut sebab longkang tu agak dalam dan ada batu-batu besar yang berhampirannya.

Di sini, saya ingin melafazkan jutaan terima kasih kepada beberapa orang yang sangat berbudi kepada saya ketika itu. Kepada penduduk kampung dan beberapa orang pemandu lain yang tolong ,mengeluarkan saya dari kereta setelah saya tak terdaya selepas terbabas. Kepada sahabat saya, cikgu Radzuan kerana bersusah payah menghantar saya ke Grik, sebenarnya dia menjemput saya untuk berbuka dan bermalam di rumah orang tuanya kat Lenggong. Namun, Kelantan terutamanya bazar Ramdhan kat Stadium Sultan Muhammad IV lebih mengamit saya untuk segera pulang. Dari Grik saya pulang ke Bachok Kelantan dengan menggunakan teksi. RM180 tambangnya. Pukul 6.30 petang saya bertolak dari Grik dan pukul 12 tgh malam barulah saya sampai kat kampung saya di Bachok Kelantan( perlahan betul pakcik ni bawa teksi). Terpaksa berbuka puasa ala kadar jer dalam perjalanan.

DA N yang paling saya terharu ialah seorang kenalan saya. Dia seorang perempuan yang nun jauh di Sabah. Dia ,saya kenali sejak tahun 2001 dan sampai sekrang kami masih berutusan. Dia berbangsa Kadazan dan beragama Kristian, namun bila dia mengetahui kecelakaan yang menimpa saya , dia telah bernazar untuk berpuasa satu hari kerana saya terselamat. Ya, dia benar-benar berpuasa. Terima kasih sahabatku. Aku hargai persahabatan kita. Yakinlah aku, beza agama bukanlah halangan untuk saling cakna. Yakin juga aku, beza akidah bukan halangan untuk berkongsi gundah. Terima kasih seadanya. Aku akan ke Sabah nanti dan akan aku pastikan dapat menemuimu.

TUHAN, aku bersyukur kepadaMU kerana masih memanjangkan umurku. Panjangkan umurku, Kerna aku ingin lebih lama bersujud kepadaMu. Panjangkanlah umurku. Kerna aku ingin membahagiakan mereka yang menghargaiku. Panjangkanlah umurku.




Wednesday, 15 September 2010

PUASA 2 IN 1

(klik untuk tumbesaran yang sihat dan kuat,
juga untuk kefahaman yang mantap)




Puasa dua dalam satu(2 IN 1 )bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat kita. Ia biasanya berlaku dalam bulan syawal, lebih tepat lagi bagi mengerjakan puasa sunat 6 hari selepas menyambut Eidul fitri. Dikatakan 2 in 1 , sebab ada ( terutamanya perempuan) yang mengambil kesempatan dengan mengabungkan ganti puasa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan( sebab haid dan macam-macam) dengan puasa sunat syawal. Kita ikuti pandangan beberapa ulama tentang hal ini. Seorang ilmuan hadis di Malaysia, Prof Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor , dalam bukunya ISLAM DAN MANUSIA, 1001 KEMUSYKILAN, m/s 282, telah memetik Fatwa Syeikh Atiyyah Saqar( seorang ulama dari al-Azhar), katanya, “ Harus bagi mereka yang menanggung qada puasa Ramadhan, berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal , tetapi niatnya hendaklah niat qada. Tetapi, jika diniatkan dan dilakukan secara berasingan maka nescaya itu yang lebih afdal……”

Walaubagaimanapun, beberapa orang ulama lain membantah fatwa ini. Alasannya ia bercanggah dengan sunnah Nabi dan athar Sahabat. Prof Dr Mahmud Zuhdi menegaskan ia bercanggah dengan hadis yang bermaksud “ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan DIIKUTI puasa enam hari Syawal,seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun”(Hadis riwayat Muslim). Umum mengetahui, DIIKUTI membawa maksud berasingan dan bukannya digabungkan. Kata Prof Dr Mahmud Zuhdi lagi, ia ibarat seseorang yang ingin membayar hutang, namun dalam masa sama, duit itu ingin disedekahkan kepada orang memberi hutang kepadanya itu. Ustazah Nor Bahyah Mahmood turut membantah amalan menggabungkan puasa ini.

Kesimpulannya, eloklah dilaksanakan secara berasingan meskipun ada pendapat yang mengatakan ia boleh disatukan. Ambil jalan selamat di sebalik khilaf ulama. Selesaikan dahulu puasa ganti yang bertaraf wajib , kemudian barulah kita kejar puasa enam syawal yang bertaraf sunat. Segunung ibadat sunat tetap tidak mampu menandingi ibadat wajib. Jutaan solat sunat yang dilakukan tetap tidak bererti andainya solat fardhu tidak dilaksanakan. Segunung sedekah tiada maknanya andainya zakat diabaikan. Lagi cerita tentang 2 in 1. http://www.bicaradariaku.com/2010/05/2-in-1-dua-dalam-satu.html


Friday, 3 September 2010

NOSTALGIA RAMADHAN DI LAHAD DATU SABAH

(lokasi Lahad Datu Sabah)

SABAH TANAH AIRKU. Tapi KAWE ANAK KELATE. Saya mendiami Lahad Datu Sabah bermula jun 2001 hinggalah januari 2007.Sepanjang tempoh itu saya sempat bebrapa kali menyambut Ramadhan di sana. Sejujurnya, ke mana saya kita ‘dihantar’ oleh Allah, pasti sahaja ada sesuatu yang Allah ingin kita pelajari. Ya, saya telah mempelajari banyak perkara di sabah. Belajar dari pengalaman, pergaulan dan jatuh bangun yang sedikit sebanyak telah mematangkan saya dalam hidup. Nostalgia Ramadhan di Lahad Datu amat manis untuk dikenang. Sebenarnya terlalu banyak kenangan indah di Lahad datu, namun saya tak paparkan kerana ia lebih bersifat peribadi. Jadi, saya paparkan sekitar nostalgia Ramadhan sepanjang saya mendiami Lahad Datu. Sebenarnya di Lahad Datu , selain etnik-etnik tempatan trdapat ramai juga orang-orang semenanjung, termasuklah orang-orang Kelantan. Malah di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu ketika saya mula-mula sampai dahulu( tahun 2001), 2/3 daripada guru-gurunya adalah berasal dari Kelantan. Begitu juga di sekolah-sekolah yang lain. Sejujurnya, di Lahad Datu, anak Kelantan lebih mudah untuk diketemui berbanding di Ipoh Perak. Cukup setakat itu, kita adalah SATU MALAYSIA jadi tak elok berbicara tentang mana-mana negeri secara berlebihan. Kebanyakkan orang-orang semenanjung di Lahad Datu dan Sabah keseluruhannya bertugas sebagai kakitangan awam terutamanya guru dan di sektor perladangan seperti FELDA, IOI dan Golden Hope.



(Termenung aku memikirkan apalah
juadah untuk majlis berbuka ni)

Semua tahu, kat Sabah, waktu berbuka puasanya lebih awal( lebih kurang sejam) dari Semenanjung. Itulah keseronanakkan pertama berpuasa kat Sabah, walaupun subuhnya juga lebih awal sejam. Malah di gugusan felda sahabat( sebuah kawasan rancangan felda yang terletak di daerah Lahad Datu) waktu berbuka puasa( juga waktu2 solatnya) lebih awal beberapa minit dari kawasan-kawasan lain di Lahad Datu. Bayangkan betapa luasnya Lahad Datu, kawasan yang berada dalam daerah yang sama tapi waktu berbukanya tak sama.

Keseronakan kedua pula, makanan lautnya( seafood) juga murah. Seingat saya, sekitar tahun 2006, harga sekilo ikan tenggiri ialah sekitar RM7 atau RM 8 sekilo. Begitu juga dengan makanan laut yang lain. Jadi, selalu juga saya dan saya dan rakan-rakan akan ‘santap’ seafood di sebuah restoran yang dikenali sebagai wagon kerana lokasinya berhampiran stesen wagon( wagon ialah sejenis pengangkutan alternatif di sabah, selain bas dan teksi. Ia lebih kepada four wheel drive). Di sinilah kami berpesta udang, ketam, sotong dan beraneka ikan.


Kat Lahad Datu, sering juga saya mengadakan majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajar. Saya mengajar di sekolah berasrama penuh(SBP), jadi pelajar-pelajar akan berbuka di dewan makan sekolah. Sesekali ,saya akan mengadakan majlis berbuka kat rumah saya yang sememangnya berhampiran sekolah( kuarters guru sebenarnya). Keistimewaannya di sini ialah pelajar-pelajar yang berbeza agama turut memeriahkan majlis berbuka tersebut. Pelajar-pelajar Kadazan/Dusun yang beragama kristian sentiasa saya undang bersama. Jujur, antara saya dan pelajar amatlah akrab dan kami macam ada pertalian persaudaraan. Malah hingga ke hari ini, kami masih berutusan meskipun mereka telah lama meninggalkan bangku persekolahan dan saya juga telah lama meninggalkan bumi Lahad Datu. Hanista, Christy Veronica, Jessica, Stephanie, Alice, Jessie, antara pelajar-pelajar yang amat bermakna dalam hidup saya. Kesemunya perempuan Kadazan dan beragama Kristian tapi kalau ada majlis seperti berbuka puasa dan hari raya korban, mereka tak pernah saya abaikan.


(Akhirnya seekor rusa aku korbankan untuk
majlis berbuka puasa bersama pelajar2ku.
Oops rusa ni tym aku & member2ku bbq tahun lepas)


Berfikir panjang juga saya untuk menyediakan juadah berbuka. Terpaksa menelefon mak di Kelantan( juga bertanya dari kawan-kawan perempuan) untuk mengetahui resipi untuk memasak. Hahaha, setelah berhempas pulas namun tetap kegagalan. Tak menjadi dan tak sedap, itulah kesimpulannya. Lalu terpaksalah saya menempah nasi ayam dan sate dari sebuah restoran masakan Kelantan ( restoran Mek Nab namanya). Pemilik restoran ini adalah orang Kelantan dan ia adalah antara restoran tempat berkumpulnya pekerja-pekerja dari semenanjung di Lahad Datu. Selain itu restoran Auliah juga tempat kami melepak sambil pekena nasi beriani kambing.

Majlis Ifftar Ramadhan kat sekolah juga cukup meriah. Rusa atau lebih dikenali sebagai payau kat sabah adalah antara menu utama. Namun, saya sering kegagalan mendapatkan sejenis kuih tradisional suku kaum cocus ( maaf saya lupa namanya). Masyarakat cocos ini berasal dari cocos( keeling island, sebuah kepulauan di Australia). Asalnya, mereka datang ke sabah untuk bekerja di sektor perladangan dan dari situ mereka membina penempatan. Majoritnya menetap di Tawau. Malah terdapat perkampungan cocos di Balung Tawau. Tawau juga menjadi penempatan popular suku kaum Bugis yang datang dari kepulauan Sulawesi.

Kini telah genap 3 tahun saya meninggalkan Lahad Datu dan Sabah, namun segala kenangan di sabah masih ternampak-nampak dan terkenang-kenang. Ya, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat gaji pertama.


Saturday, 28 August 2010

29.Ogos. (Jangan lupa Tarikh ini.)


(As-Syahid Sayyid Qutb ketika dipenjarakan sebelum dihukum gantung)

Dalam keghairahan menyambut hari kemerdekaan(31-8.2010) dan kemeriahan menjelang Eidul Fitri jangan kita tarikh 29.OGOS. IA merupakan tarikh yang amat penting bagi pencinta agama. IA tarikh penting yang penuh dengan tragis dan linangan air mata. IA tarikh penting yang menyaksikan gugurnya seorang pejuang agama. 29.Ogos.1966, seorang ulama dan sasterawan juga tokoh ikhwanul muslimin As-Syahid Sayyid Qutb telah dihukum gantung sampai mati bersama dua sahabatnya iaitu Muhammad Yusuf Hawasy & Abdul Fattah Ismail. As-Syahid mengajar kita, betapa memartabatkan islam itu melaut dugaannya. Demimu islam mati kurela. Biar digantung tinggi, biar dibakar hangus dan biar direndam basah, demimu islam mati kurela. Biar patah dayung ditangan dengan jari kukayuh jua. Demimu islam, mati kurela. Sesungguhnya perjuangan mendaulatkan agama tidak sesekali melalui jalan yang datar yang ditaburi bunga melainkan terpaksa menitiskan air mata dan darah.

LATAR BELAKANG KELUARGA
Syed Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung di wilayah Assyut, Mesir. Beliau mendapat didikan awal di rumah daripada kedua ibu bapanya yang kuat beragama. Sewaktu berusia 6 tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau mula menghafal al-Qur’an. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau telah berjaya menghafalnya.

KEHIDUPAN AWAL DI QAHIRAH
Sewaktu berusia 15 tahun, Syed Qutb mulai berhijrah ke kota Qahirah. Di sini beliau telah memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah menamatkan pengajian, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Walaupun hatinya memberontak untuk meneruskan pengajian, namun beliau terpaksa memendamkan hasrat hatinya kerana terpaksa menyara hidup keluarganya, lantaran bapanya telah meninggal dunia semasa Syed Qutb sedang menuntut di sekolah perguruan.

Pada tahun 1928, sewaktu berusia 22 tahun, Syed Qutb menyambung semula pengajiannya. Beliau memasuki sekolah persediaan untuk memasuki Darul Ulum, Universiti Qahirah. Pada tahun 1930 beliau diterima memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari’ah.

Setelah menamatkan pengajian di Darul Ulum, beliau bertugas sebagai Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir. Sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau serius dalam menjalankan tugasnya. Beliau merancang berbagai pembaharuan di Kementerian Pendidikan. Oleh itu beliau melakukan kajian demi kajian serta mengemukkaan cadangan tanpa menghiraukan risikonya. Selain daripada terlibat dalam bidang pendidikan, beliau juga berminat dengan politik dan dunia penulisan. Beberapa pandangan politiknya yang tidak selari dengan polisi kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa majalah. Ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan agar Syed Qutb dihantar “berkursus” di Amerika Syarikat.

Sementara dalam bidang penulisan, pada peringkat awalnya beliau lebih berminat dengan bidang kesusasteraan sehingga menjadi salah seorang sasterawan Mesir yang terkenal.

Bagaimanapun, semenjak awal dekad 1940-an, satu era baru telah bermula dalam kehidupan Syed Qutb. Era ini boleh dikatakan sebagai era kesedarannya kembali kepada Islam. Namun pada peringkat ini beliau masih bergerak secara peribadi dalam usahanya menegakkan nilai-nilai Islam. Di dalam penulisan, beliau mula menulis suatu rencana bersiri, kemudian dibukukan dengan tajuk “At-Taswir Fanni Fil Qur’an” pada tahun 1939. Tulisan ini mengupas keindahan dan kesenian yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur’an. Pada tahun 1945 beliau menulis sebuah buku bertajuk “Masyahidul Qiamah Fil Qur’an”. Kedua-dua penulisan itu telah menemukan semula dirinya dengan didikan asas agama oleh kedua orang tuanya sewaktu kecil dahulu.

Seterusnya pada tahun 1948, Syed Qutb telah menghasilkan sebuah buku kemasyarakatan Islam berjudul “Al-Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”. Menerusi buku ini, Syed Qutb menyatakan dengan jelas bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila melaksanakan sistem Islam.

SYED QUTB BERSAMA IKHWAN AL-MUSLIMIN

Peringkat terakhir daripada perjalanan hidup Syed Qutb bermula daripada tahun 1951, tahun penyertaannya ke dalam jama’ah Ikhwan al-Muslimin, sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966. Bagi Syed Qutb, tempoh itu sangat penting baginya. Beliau sendiri menganggap tahun 1951 sebagai tahun kelahirannya semula.

Syed Qutb menyertai jamaah Ikhwan al-Muslimin, dua tahun sesudah kematian pengasasnya Imam al-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949. Mereka berdua tidak pernah bertemu walaupun dilahirkan di tahun yang sama 1906, dan dididik di tempat yang sama, di Darul Ulum.

Namun di antara mereka mempunyai kesatuan jiwa dan wahdatul-fikr. Bagi Hassan al-Banna setelah membaca buku “Al-’Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”, karangan Syed Qutb, beliau menganggap pengarangnya (Syed Qutb ) adalah sebahagian daripada kita ( Al-Ikhwan ). Seterusnya Imam al-Banna telah menyakinkan para pemuda Ikhwan bahawa “orang ini” (Syed Qutb) akan menyertai al-Ikhwan tidak lama lagi.

Syed Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Malah kematian al-Banna sangat terasa kepadanya walaupun beliau belum pernah bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan tragis sewaktu berada di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Berbeza dengan sikap orang-orang Amerika yang bergembira dan bagaikan berpesta menyambut berita tersebut.
Sekembalinya dari Amerika Syarikat, Syed Qutb terus mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau akhir menemui suatu “kebenaran” yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Oleh itu, pada tahun 1951 Syed Qutb dengan rasminya menyertai Ikhwan al-Muslimin. Pada tahun 1952, beliau dipilih menganggotai Maktab Irsyad dan dilantik mengetuai Lujnah Dakwah. Selepas peninggalan al-Banna, Ikhwan masih bertenaga kerana memperolehi saf kepimpinan yang berwibawa untuk meneruskan kepimpinan. Mereka adalah Hasan Hudhaibi sebagai Mursyidul Am, Abdul Qadir Audah sebagai Setiausaha Agung dan Syed Qutb sendiri yang mengetuai Lujnah Dakwah, dianggap sebagai “ideolog” kepada Ikhwan al-Muslimin.

Sepanjang tempoh memimpin Lujnah Dakwah, Syed Qutb telah menghasilkan beberapa karya yang berasaskan dakwah dan pemikiran Aqidah Islam. Antaranya ;
1- Hadha al-Din.
2- Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
2- Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiyy.
3- Maalim fi al-Tariq.
5- Tafsir Fi Zilal al-Qur’an.
Mesej utama yang ditekankan oleh Syed Qutb di dalam penulisannya ini ialah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya kemuncak kepada Tauhid Uluhiyyah Allah swt. ialah hakNya dari sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri’. Menurutnya lagi bahawa ikrar Lailaha ilalLah adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumiNya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hakNya.

Pada bulan Julai 1952, satu peristiwa bersejarah berlaku di Mesir iaitu “Revolusi Julai 1952?. Revolusi ini menggulingkan pemerintahan beraja Mesir, dijayakan oleh gerakan “Dubbat al-Ahrar” pimpinan Kolonel Jamal Abdul Naser dengan kerjasama Ikhwan al-Muslimin.

Sesudah revolusi, Syed Qutb telah ditawarkan dengan jawatan Menteri Pelajaran Mesir. Syed Qutb terlebih dahulu meminta jaminan daripada pemimpin Majlis Revolusi yang diketuai oleh Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat, bahawa Kerajaan Revolusi Mesir akan melaksanakan pemerintahan berdasarkan syariat Islam. Bagaimanapun mereka menolaknya untuk melaksanakan pemerintahan Islam. Berdasarkan kepada penolakan tersebut, Syed Qutb merasakan perkara tidak baik akan berlaku.

Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Syed Qutb memang terjadi. Pada13 Januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan Ikhwan Muslimin dan para pimpinannya telah ditangkap di atas tuduhan gerakan Ikhwan sedang merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Ekoran daripada itu tujuh orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Mohamad Farghali,ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Bagaimanapun hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup dan Syed Qutb pula dihukum penjara lima belas tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Syed Qutb telah dibebaskan di atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Kerajaan Revolusi Mesir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden Abdul Salam Arif terkorban dalam satu kemalangan udara, Syed Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya. Tangkapan kedua ini dibuat berdasarkan tuduhan beliau merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.

Pertuduhan ke atas Syed Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan buku-bukunya terutama Maalim Fi al-Tariq. Ia berdasarkan kenyataannya mengenai seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan Syari’at Allah.

Bersama Syed Qutb kali ini, turut juga ditahan ialah seluruh anggota keluarganya. Syed Qutb seorang yang bermaruah. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar utusan menemui Syed Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta agar Syed Qutb menulis kenyataan meminta ampun daripadanya agar Syed Qutb dibebaskan. Namun Syed Qutb dengan tegas menjawab;

“Telunjuk yang bersyahadah setiap kali bersolat bahawa
Tiada Ilah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan
Allah dan Muhamad Rasulullah, tidak akan aku menulis
satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana benar
aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan
menuntut rahmat daripada kebatilan”.

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Syed Qutb telah digantung sampai mati bersama-sama sahabat seperjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Berita hukuman mati yang dilaksanakan ke atas Syed Qutb telah mengejutkan Dunia Islam. Kebanyakan tokoh dan pimpinan umat Islam sedih dan kecewa dengan peristiwa tersebut.

maklumat lanjut ; http://dakwah.info/

Tuesday, 24 August 2010

perlukah aku BERLARI.

(Laut Sulawesi kutatap sayu
ketika berada dlm pesawat MAS)


Aku sudah letih untuk kecewa
Aku sudah penat untuk berduka
Aku sudah lali dengan sengsara


DULU
Pernah aku berlari
Mengejar pelangi di langit tinggi
Namun aku tersungkur ke bumi
Lukanya berbisa sekali
Menusuk hingga ke hati
PERLUKAH AKU BERLARI LAGI?


KINI
Aku menapak memulakan kembara rohani
Mengubat hati
Merawat emosi
Biar ia meresap ke sanubari
Dan sebati dalam diri
Demi mengagapai redha-Mu Rabbul Izzati.



Tuesday, 17 August 2010

DOSA SEMALAM

(Sesudah subuh di pantai Irama Bachok Kelantan)



DOSA SEMALAM (Buat Dia Yang Tidak Terhitung Dosaku Kepadanya)

Bila Kurenung dada langit yang tenang
Ingin kutatap wajah bulan
Tapi dosa semalam
Menyeruku dari celahan bintang
Lalu resahlah aku sendirian


Bila kutatap wajah laut yang membiru
Ombak mesra bagaikan membisu
Pantai indah seakan layu
Badai lembut tak sudi mengelus pipiku
Tapi gundah yang menyerbu
Dosa semalam belum berlalu
Meski telah kuhapus jejakmu.