Sunday, 3 February 2013

Kos Menunaikan Haji Bagi Tahun 2013 Dikekalkan Seperti Tahun Sebelumnya.


Kos untuk menunaikan haji tahun ini masih dikekalkan pada kadar RM9,980 seorang bagi Jemaah kali pertama. Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji bersetuju mengekalkan kadar tambang sedia ada meskipun berlakunya peningkatan kos seperti kos penginapan, makanan dan pengangkutan. Jemaah haji negara ini hanya perlu membayar RM9,980 dan kos selebihnya akan ditanggung oleh Tabung Haji. 

Untuk makluman, tahun lalu(2012) sahaja, Tabung Haji membelanjakan RM150 juta untuk menampung subsidi kira-kira 28,000 jemaah. 

INFO TAMBAHAN: 
Daftar Haji dengan Lembaga Tabung Haji adalah langkah penting yang perlu dilakukan oleh setiap individu muslim di Malaysia yang ingin menunaikan ibadat haji. Untuk mendaftar, seseorang mestilah mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM1,300( sila betulkan andainya saya silap). 

Kepada yang berkemampuan usahlah berlengah-lengah untuk mendaftar, ini kerana seorang kenalan saya yang mendaftar pada bulan Julai tahun 2012, dibenarkan mengerjakan ibadat haji (tahun peruntukan)pada tahun 2051. Walaupun dibenarkan membuat rayuan untuk mempercepatkan perlaksanaan ibadat haji namun, ia tetap memakan masa dan paling penting ia menghakis tenaga. Maklumlah pada umur 70-an, kita tak segagah dan seperkasa seseorang individu berusia lewat 20-an atau awal 30-an. 

Sesungguhnya memperoleh kuota adalah termasuk dalam bab istito’ah(kemampuan) yang merupakan salah satu syarat wajib haji.

Friday, 1 February 2013

TARIKH HARI KEBESARAN ISLAM BAGI TAHUN 2013/1434-1435H.

Maulidur Rasul Muhammad S.A.W( 12.Rabiulawal 1434H) jatuh pada 24 Januari 2013. Manakala persitiwa Israk Mikraj pula(27 Rejab 1434H) adalah pada 6 Jun 2013.

Awal Ramadhan atau satu ramadhan 1434H pula jatuh 10 Julai 2013, dan Nurul Al-Quran(17 Ramadhan 1434H) adalah pada 26 Julai 2013. 

Hari Raya Aidilfitri( 1 Syawal 1434H) jatuh pada 08 Ogos 2013, dan Hari Raya Haji(10 Zulhijjah 1434H) pula pada 15 Oktober 2013. Dan, tahun baru islam, iaitu 1 Muharram 1435H(Maal Hijrah) jatuh pada 5 November 2013.

Info Tambahan:
Tarikh-tarikh tertentu seperti Awal Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri tertakluk kepada perubahan. 

Moga-moga beroleh manfaat daripadanya..

Tuesday, 29 January 2013

Toul Sleng Genocide Museum: Bukti Kekejaman Pol Pot Di Kemboja.


Ini adalah sambungan daripada tajuk lepas
 
 Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar merupakan pemimpin Khmer Rouge dari tahun 1963 hingga 1998. Beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Kemboja pada tahun 1975 hingga 1979. walaupun hayat pemerintahan hanyalah tiga tahun, namun ia tetap kekal melekat di hati nurani setiap warga Kemboja. Segala kezaliman dan kekejaman yang pernah dilakukannya tidak akan sesekali terhakis dan terkikis dari catatan sejarah peradaban manusia. 

Bayangkanlah, dalam tempoh sesingkat itu, hampir tiga juta rakyatnya terbunuh. Malah, pada tahun 1975 sahaja, satu perempat daripada 8 juta orang rakyat Kemboja(maknanya 2 juta orang) mati dibunuh oleh tentera Khmer Rouge pimpinan Pol Pot. 

Berbekalkan kekejaman dan kezaliman yang pernah dilakukan, Pol Pot dianggap setaraf dengan manusia-manusia Yang Maha Zalim seperti Adolf Hitler, Joseph Stalin, Slobodan Milosevic dan Radovan Karadzic (sekadar menyebut beberapa nama sahaja). 

Kini, segala sisa dan saki baki kekejaman rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot telah diabadikan. ia tidak hanya untuk tontonan, kunjungan mahupun penyelidikan semata-mata, lebih penting dari itu ialah sebagai satu pengajaran dari sebuah pengalaman yang amat memeritkan.
Sebenarnya, selain di Toul Sleng Genocide Museum (Muzium Pembunuhan beramai-ramai), bukti kekejaman Pol Pot juga dipamerkan di lokasi lain, iaitu di Killing Field. Namun, ketika mengunjungi Kemboja, saya tidak berkesempatan mengunjungi Killing Field, maka entry saya hanya berkisar Muzium ini sahaja. 

Untuk memudahkan penulisan entry ini, saya sekadar menterjemah pamphlet (lihat gambar di atas) yang saya perolehi ketika mengunjungi muzium ini pada penghujung Mei 2012. Syukur kepada Allah, ketika saya begitu bersemangat untuk translate , tiba-tiba saya terjumpa terjemahan yang menarik dari blogger Nurul Hidayah Isnin

Jadi saya paparkan di sini terjemahan tersebut dengan sedikit perubahan. 

Muzium Pembunuhan Kaum Tuol Sleng merupakan bekas pejabat keselamatan 21 telah dibina atas arahan Pol Pot (Sa Lut Sor) pada zaman 'Demokrasi Kampuchea'. Bangunan yang dibina pada 17 April 1975 juga dipanggil S-21 dan direka khas untuk penahanan, soal siasat, penyeksaan yang tidak berperikemanusiaan, dan tempat pembunuhan mangsa atau tahanan yang telah memberikan segala maklumat kepada orang-orang Pol Pot(tentera Khmer Rouge). 

Pemerintahan Pol Pot bermula dari tahun 1975 sehingga 1979. Setelah kerajaan mengambil alih tampuk pemerintahan pada 1979, mereka mula mengumpul bahan bukti di pejabat 21 seperti gambar, filrm, dokumen penakuan tahanan yang direkodkan, alat-alat penyeksaan, alat membelenggu tahanan, dan 14 mayat mangsa tahanan dan salah seorangnya adalah perempuan. 


Muzium Pembunuhan Kaum Tuol Sleng seluas 600 x 400 m ini dikelilingi oleh 2 laipsan pagar besi berombak yang diletakkan kawat duri yang tebal. Bangunan asal pejabat 21 ini merupakan sekolah Rendah Tuol Sleng dan Sekolah Menengah Tuol Svay. 


Selain itu tentera Khmer Rouge juga memasang pagar yang sama di sekitar itu dari jalan 113 ke jalan 131 dan dari jalan 320 ke jalan 350 selepas menghalau penduduk bandar di sana berpindah ke perkampungan dengan tujuan perhambaan. Kawasan pada masa itu menjadi seolah-olah PENJARA tanpa dinding! Maka bermulalah transformasi daripada sebuah SEKOLAH yang penuh dengan gelak tawa kanak-kanak yang gembira mencari ilmu kepada sebuah NERAKA penyiksaan yang penuh dengan jeritan tahanan-tahanan yang diseksa. 


Bilik darjah telah berubah menjadi sel-sel kecil bersaiz 0.8 x 2 m sebagai penjara individu. Bahagian depan bangunan ditutupi oleh jejaring berkawat duri untuk mengelakkan tahanan daripada membunuh diri dengan cara terjun dari bangunan. 



Bangunan B dan C.

Terdapat 4 bangunan; A, B, C, dan D. Bangunan A telah diubahsuai menjadi bilik bersaiz 6x4m setiap sel. Tingkap sel telah dipanel dengan kaca untuk mengurangkan bunyi tahanan yang menjerit akibat diseksa. Bangunan ini khas untuk pemimpin-pemimpin yang bangkit menentang pemerintahan Pol Pot. Sel mereka dilengkapi dengan katil, selimut, bantal, tikar, dan bekas untuk membuang air. 


Bangunan B, C, dan D : Bilik di aras tanah telah dibahagikan kepada sel-sel kecil. Ada yang dibahagikan oleh batu-bata dan ada yang dibahagikan oleh kayu-kayu hitam sahaja dan menjadikan sel-sel itu seperti kandang kecil. Bilik di tingkat 2 dan 3 telah dijadikan tempat penjara beramai-ramai. 


Tiang kayu yang dulunya dijadikan alat untuk pendidikan Jasmani telah berubah menjadi mesin penyiasatan dan penyiksaan oleh Pol Pot. Tangan tahanan diikat kebelakang dan ditarik ke atas ke bawah berulang kali sehingga tahanan pengsan. Apabila tahanan pengsan, kepala mereka akan direndam ke dalam air untuk diseksa dan disiasat semula. 


Bagi mengukuhkan pertahanan dan keselamatan, 1684 pekerja diupah dan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu di pejabat S-21 Tuol Sleng, Kor di Ta Khmao, dan Khor di Prey Sor, Barat Phnom Penh. Pejabat ini bersambung khas dengan pihak berkuasa tempatan dan kementerian pertahanan Khmer Rouge. Pejabat S-21 telah diketuai oleh Kang Kek Lev (Duch), yang merupakan bekas guru Matematik. 

Berikut merupakan statistik tahanan dari tahun 1975 hingga Jun 1978: 
  • 1975 : 154 tahanan 
  • 1976 : 2250 tahanan 
  • 1977 : 2350 tahanan 
  • 1978 : 5765 tahanan
Bilangan di atas tidak melibatkan jumlah kanak-kanak yang dibunuh dan dianggarkan sejumlah 20 000 kanak-kanak telah dibunuh!

Tahanan biasa hanya bertahan 2 hingga 4 bulan manakala tahanan dari golongan orang politik akan bertahan 6 atau 7 bulan sebelum dibunuh.


INFO TAMBAHAN:

Untuk menyelongkar kekejaman Pol Pot terhadap tahanan-tahanan ini,anda bolehlah merujuk sebuah buku yang ditulis oleh seorang bekas tahanan di sini, iaitu Bou Meng. 

Disebabkan kemahiran yang dimiliki, iaitu kebolehan menaip, maka Bou Meng tidak diseksa sebagaimana tahanan lain, namun isterinya turut terkorban, gara-gara kekejaman rejim Khmer Rouge.Segala penderitaan yang dia alami dan segala bentuk kekejaman dan penyeksaan terhadap tahanan lain telah diluahkan dalam bukunya yang berjudul A Survivor From Khmer Rouge Prison S-21( Justice For The Future Not Just For The Victims). 


Buku setebal 80 halaman ini saya perolehi/beli ketika mengunjungi muzium ini pada tahun lepas. Ia amat bermakna untuk menghayati kekejaman Pol Pot. Benar, Pol Pot memang kejam.

Selain itu, VCD yang berjudul S21: Khmer Rouge The Killing Machine juga turut memaparkan perihal kekejaman Khmer Rouge pimpinan Pol Pot. VCD ini saya perolehi/beli berhampiran Russian Market di Phnom Penh. 


Tajuk Lain Yang Berkaitan:

Monday, 28 January 2013

Irwansyah dan Raffi Ahmad ditahan berpesta dadah


Artis popular Indonesia, Irwansyah dan isterinya, Zaskia Sungkar serta Raffi Ahmad dan Wanda Hamidah adalah empat artis yang ditahan bersama 13 yang lain ketika sedang berpesta dadah di rumah Raffi di Lebak Bulus, Jakarta Selatan pada pagi semalam.

Mereka ditangkap sepasukan anggota Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia yang menyerbu rumah Raffi pada waktu subuh setelah mendapat maklumat orang ramai.

Penahanan artis terbabit serta suspek lain itu diumum Ketua BNN, Anang Iskandar pada sidang media di sini petang semalam. Irwansyah popular di Malaysia menerusi lagu Pecinta Wanita dan My Hearts serta sinetron Andai Ku Tahu dan Upik Abu dan Laura. 

Sumber: Kosmo

Tuesday, 22 January 2013

BR1M Akan Diteruskan, Itu Janji Tan Sri Muhyiddin Yassin


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan terus diberikan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat menjadi kerajaan kerana program itu dilihat mampu memberi impak besar dalam mengurangkan beban yang ditanggung rakyat di negara ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada tahun lepas bantuan berkenaan telah dapat membantu lebih empat juta isi rumah dan pada tahun ini ia diperluaskan lagi kepada golongan bujang. 

Menurut beliau, BR1M sebanyak RM500 telah memberi impak besar kepada usaha kerajaan mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kehidupan seharian. “BR1M bukan hanya bantuan untuk one off atau two off sebaliknya saya jangka ia akan dilaksanakan selama mana BN diberi kepercayaan untuk menjadi kerajaan selepas pilihan raya yang akan datang. 

“Bantuan ini juga satu cara yang kita dapati agak berkesan dalam menangani masalah rakyat selain kita memberikan bantuan subsidi,” katanya.

Lebih lanjut, lansung sahaja ke: --->Kosmo 

INFO TAMBAHAN:
Harap-harap pemberian BR1M akan berterusan dan tidak terhenti setelah tamatnya PRU13. Moga-moga ia adalah agenda memperkasakan rakyat dan bukannya agenda memperkasakan parti.Paling penting, janganlah ia dijadikan pancing untuk membeli sokongan rakyat, terutamanya golongan Marhaen.

NGO Menafikan Tuduhan Menceroboh Pejabat Sharifah Zohra


Tiga pertubuhan bukan kerajaan iaitu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Aktivis Kebebasan Mahasiswa (Kami) dan Independent Student Front (Instef) menyifatkan dakwaan menceroboh pejabat Suara Wanita 1Malaysia sebagai satu fitnah. Penyelaras Segmentasi Mahasiswa SAMM, Wan Noor Faril Azli Wan Haron berkata, kedatangan mereka ke pejabat SW1M telah disambut baik oleh pekerja pertubuhan itu.

Menurutnya, laporan yang mendakwa wujud penecerobohan hanyalah rekaan dan berbaur fitnah yang mempunyai agenda lain
"Kami datang ke pejabat dan disambut baik, diberikan air mineral dan coklat serta dijemput duduk di sofa. "Kehadiran kami bertujuan menyerahkan surat jemputan rasmi untuk presiden SW1M, Sharifah Zohra Jabeen menjadi salah seorang panel," katanya kepada media tamat Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, di sini malam tadi. 

Lebih lanjut langsung sahaja ke , --->Sinar Harian

Sunday, 20 January 2013

Salman Khan Tidak Bersetuju Dengan Amalan Dan Kepercayaan Segelintir Umat Islam Di India.


Sebelum melanjutkan bicara, ingin saya tegaskan, sesungguhnya saya bukanlah peminat Salman Khan dan tidak juga pengemar filem Hindi. Umum mengetahui Salman Khan adalah antara bintang Bollywood yang beragama islam.

Setakat manakah dia menghayati dan beramal dengan ajaran islam yang dianuti, itu bukanlah topik yang ingin saya perkatakan. Cuma, saya tertarik dengan sikap dan pandangan Salman Khan terhadap agama islam yang dianutinya, termasuklah dalam persoalan korban. 

Sejujurnya saya tidak pasti, adakah beliau menentang amalan korban atau beliau tidak menyetujui amalan-amalan tertentu yang dianggapnya metos dalam ibadat korban. Andainya yang ditentang itu adalah ibadat korban, maka Salman Khan telah terpesong dan tersasar dari paksi agama. Namun, jika yang ditentangnya itu adalah amalan-amalan tertentu yang dianggapnya sebagai metos, maka ia perlu dilihat dengan teliti dan dibahas dengan terperinci. 

Sebenarnya saya ingin memperluaskan topik ini dan tidak membataskannya kepada persoalan ibadat korban sahaja. Saya ingin menyentuh persoalan islam dan keislaman yang bersangkut paut dengan hidup dan kehidupan umat islam di sana.

 Apakah yang dimaksudkan sebagai budaya islam oleh Salman Khan?

Mengapa beliau tidak sepakat( mungkin istilah tidak menyetujui adalah lebih tepat) dengan budaya islam di negaranya, lantas ingin menentang budaya tersebut?

Merujuk kepada perenggan terakhir: “ Bukan tidak sepakat dengan agama yang dia anut(islam). Salman berasakan kepercayaan masyarakat India terlalu berlebihan. Selama ini orang di India dikelilingi oleh pelbagai tradisi yang tidak betul.” 

Berdasarkan kenyataan ini, hati saya cenderung untuk beranggapan, Salman Khan bukanlah mempertikaikan agama islam yang dianutinya itu. Cuma, beliau tidak menyetujui tradisi dan kepercayaan karut yang berdarah daging dalam hidup dan kehidupan umat islam di India.

ISLAM DI INDIA(antara agama,tradisi, mitos dan kepercayaan karut). 

Tidak dinafikan India adalah antara negara yang memiliki umat islam teramai di dunia. Tidak dinafikan juga, India telah melahirkan ramai ulama yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Antaranya ialah Syah Waliyullah al-Dihlawi dan Anwar Shah Kashmiri(sekadar menyebut dua tokoh sahaja). Umum mengetahui, di India juga terdapat institusi pendidikan islam yang terkenal, antaranya ialah Darul Uloom ,Deoband. Terdapat beberapa orang ulama Malaysia yang pernah menuntut di sini, antarnya ialah MB Kelantan(TGNA) dan bekas Mufti Selangor, Allahyarham Dato Ishak Baharom.Namun, semua ini tidak berupaya membersihkan umat islam di India dari kekotoran Khurafat yang bermaharajalela sejak sekian lama.

Di sini, saya ingin berbicara berdasarkan pembacaan dan pengalaman. Saya berpendapat, meneliti hasil tulisan para pengkaji(ulama dan ahli akademik) dan memerhatikan dengan mata sendiri merupakan kaedah terbaik untuk menyingkap sesebuah peristiwa atau menyelongkar sesuatu situasi di mana-mana lokasi.

Tentang hasil tulisan para pengkaji, apabila memperkatakan permasalahan umat islam di India(termasuk juga di Pakistan dan Bangladesh),topik Bralvi adalah antara topik yang disentuh. Maaf, saya tidak ingin mengulas isu ini. Cuma, antara yang menarik perhatian saya ialah hasil kajian seorang penulis kelahiran Bangladesh. Maaf saya lupa namanya dan judul buku tersebut, ini disebabkan buku tersebut pernah saya baca sekitar empat tahun lepas. Tapi untuk memahamkan diri tentang secebis kisah karut marut segelintir umat islam di India, artikel yang pernah ditulis oleh MAZA ini amat membantu, lihat, SINI 

Kembali kepada tajuk, saya pernah ke beberapa tempat di India. Antaranya ke Delhi, Jaipur dan Agra serta Kashmir. Sepanjang berada di sana dapat saya perhatikan betapa menebalnya karut marut dan khurafat dalam kalangan umat islam di sana. Sebaik sahaja melangkah kaki ke mana-mana masjid(kecuali masjid tertentu seperti Jamaa Masjid di Delhi), pasti anda akan disambut dengan khurafat yang maha dahsyat. Amalan memuja kubur begitu segar dan bugar dalam hidup dan kehidupan segelintir umat islam di sana. Di mana-mana sahaja masjid di tempat yang saya lawati(kecuali Kashmir kerana kesuntukan masa), pasti sahaja akan terdapat kubur-kubur yang dikeramatkan dan dipuja. Kubur tersebut didakwa milik Holly Man, iaitu tokoh-tokoh Sufi atau manusia yang dianggap sebagai wali. Kubur tersebut akan dikelilingi para pengunjung, sebagaimana para jemaah haji mengelilingi Kaabah. Ada antara mereka yang berdoa, dan ada juga yang meratap, malah lebih teruk dari itu ada juga yang bersujud di kubur tersebut.

Malah di lokasi pelancongan yang terkenal iaitu di Fatehpur Sikri yang terletak di Agra, Uttar Pradesh,amalan memuja dan menkeramatkan kubur begitu berleluasa. Di sini, terdapat kubur Sheikh Salim Chistie, seorang tokoh Sufi yang pernah memainkan peranan penting dalam sejarah Dinasti Mughal. Mengikut catatan sejarah, Maharaja Akbar telah menemui Sheikh Salim Chistie setelah ketiga-tiga permaisurinya gagal melahirkan anak. Berkat doa Sheikh Salim Chistie, permaisuri yang beragama Hindu akhirnya mengandung dan melahirkan seorang putera. Maharaja Akbar mempunyai tiga orang permaisuri/isteri, iaitu permaisuri yang beragama islam dari keturunan Turki, permaisuri beragama Krsitian yang berketurunan Portugis dari Goa dan permaisuri beragama Hindu dari wilayah Rajput.

Walaupun Dinasti Mughal sudah lama berakhir dan Sheikh Salim Chistie telah lama meninggal, namun ‘auranya’ masih bersisa dan berbaki. Ini kerana, sampai ke hari ini, kubur Sheikh Salim Chistie masih lagi dipuja dan dikeramatkan oleh segelintir umat islam di sana. Pengunjung dari pelbagai agama dan bangsa, akan menulis hajat mereka pada cebisan kertas dan kertas tersebut akan digulung lalu diberikan kepada penjaga kubur tersebut(mungkin dikenakan sedikit bayaran) untuk didoakan. Tidak cukup dengan itu, air hujan atau embun yang menimpa di atas bumbung kubur Sheikh Salim Chistie juga turut dipuja dan dimuliakan dan dianggap sebagai air suci. 

Jadi, andainya yang tidak dipersetujui oleh Salman Khan itu adalah sistem kepercayaan atau tradisi yang membelit agama islam yang dianuti oleh segelintir umat islam di India, maka ia adalah wajar dan waras. 

P/S: Sengaja saya menggunakan perkataan segelintir atas dasar ingin berprasangka baik, sebabnya terdapat juga pengkaji yang mengatakan terlalu ramai umat islam di sana yang tersasar akidahnya dan terkeluar dari daerah islam lantaran khuaraft yang begitu bermaharajalela.