Friday, 1 January 2010

MENCARI HABIL

Cerpen ini telah disiarkan di dalam akhbar Berita Minggu/NSTP( 13 April 2008)


Cerpen : Mencari Habil
Oleh :Tn Iskandar Ismail



Pertemuan


Gila. Ini cerita gila. Tentang manusia yang gila dan sebuah pencarian yang gila. Itulah kesimpulan yang dapat saya buat setelah mendengar cerita daripadanya. Dia, sahabat yang gila - gila sewaktu remaja dan agak gila setelah dewasa. Saya istilahkannya sebagai gila bukanlah disebabkan jiwanya yang sakit atau mentalnya yang rosak, tetapi kerana sikap dan prinsipnya yang selalu menyalahi kebiasaan dan menyanggahi kelaziman.


Sebenarnya, sudah agak lama saya tidak bersua dengannya. Pertemuan di Pantai Tanjung Aru kali ini pun secara kebetulan sahaja. Tanpa dirancang dan tidak diduga. Semuanya bermula apabila dia menyapa saya yang sedang leka menikmati pantai yang indah. Sudah menjadi adatnya bila sesekali berjumpa, maka banyaklah perkara yang diceritakan. Cerita tentang saya, juga tentang dia. Hinggalah melarat ke cerita gila.

Katanya, ceritanya begini, “Ada seorang lelaki tua yang berlari-lari pada siang hari sambil membawa obor. Bila ditanya, tentang apa yang dicari, dijawabnya, dia mencari kemanusiaan dan keinsanan. Akibatnya, semua orang mentertawakannya.”

Menurutnya lagi, ini kisah ribuan tahun sebelum Masihi dan berlaku di Yunani. Zaman kegemilangan falsafah atau lebih tepat, era Plato dan Socrates.

Ahh! Gila. Memang gila. Tapi siapakah yang gila? Itulah persoalannya. Si lelaki tua itukah atau orang yang mentertawakannya ataupun pencariannya yang gila. Sakit otak, celaru minda dan serabut fikiran bila saya memikirkan jawapannya.

“Sudah berapa orang anak kau sekarang.” Sengaja saya menukar tajuk untuk dibual bicara. Semata-mata tidak ingin berterusan mendengar cerita gila daripadanya.

“Aku belum kahwin.” Jawabnya ringkas dan bersahaja. Mendengar jawapannya itu, saya diasak beberapa pertanyaan. Betul-betul terkejut dan benar-benar hairan. Terkejut kerana dia masih bujang walaupun usianya menghampiri angka empat puluh. Padahal dia seorang usahawan yang berjaya dan memiliki wajah serta penampilan yang mampu mendatangkan pesona pada pandangan mata.

Kenapa dia belum berumah tangga? Inilah yang menjadi tanda tanya.

“Sedang mencari.” Katanya lagi tanpa dipinta. Patutlah masih membujang. Rupa-rupanya dia terlalu cerewet dalam memilih pasangan.

“Perempuan macam mana yang kau cari. Jangan memilih sangat.”

“Bukan perempuan. Tapi lebih penting daripada itu.”

“Habis tu.” Ternyata saya salah menduga.

“Habil. Aku mencari Habil. ” Begitulah katanya.

“Habil ?” Saya kembali ajukan tanya.

“Iya, Habil putera Adam dan Hawa.” Jawabnya lagi diiringi anggukan kepala.

Saya ketawa sebaik sahaja mendengar jawapan darinya. Saya anggap itu sekadar gurauan dan jenaka. Untuk menceriakan suasana semata-mata.

“Mungkin bagimu, ia aneh dan lucu. Tapi percayalah, ia amat perlu. Perlu untuk dua insan yang ingin bersatu. Perlu untuk dua jiwa yang ingin berpadu.” Jelasnya lagi.

“Bersatu dan berpadu macam mana yang kau maksudkan?” Saya mohon penjelasan yang pasti daripadanya. Bicaranya amat sukar untuk dimengerti.

“Berpadu dalam ikatan perkahwinan dan bersatu sebagai suami dan isteri.” Itulah jawabnya.

“Kau tak ubah macam dulu. Suka bergurau.” Kata saya sambil ketawa.

“Aku tak bergurau. Percayalah.” Tegasnya lagi dengan suara yang lantang. Beberapa orang sumandak yang sedang menjamu selera di meja berhampiran memandang semacam ke arah kami. Mungkin suara sahabat saya yang agak lantang itu telah menyebabkan mereka terkejut. Saya juga amat terkejut. Sekilas renung pada wajahnya, saya yakin dia benar-benar serius. Saya andaikan dia sudah tidak keruan hingga bercakap yang bukan-bukan.

“Tuhan! Kegilaan apakah yang melanda sahabatku ini. Kegilaan mencari orang yang telah mati.” Hati saya berbicara sendiri. Manifestasi kebimbangan yang menguasai diri.

“Habil masih ada. Cuma dia menyepi dan sukar dicari lantaran sikap kita yang tak acuh dan tak peduli.” Pernyataannya itu benar-benar gila dan menggilakan.

“Tanyalah mana-mana ulama. Rujuklah mana-mana kitab tafsir. Jawapannya satu. Habil telah mati. Muktamad dan tiada khilaf lagi.” Sedaya yang boleh dan sekudrat yang mampu, saya cuba memahamkannya.

“Aku yakin Habil masih ada. Aku nekad mencarinya.” Balasnya dengan penuh ketegasan, juga penuh kedegilan.

Gila! Memang gila. Sah, sahabat saya ini sudah gila. Malah sudah sampai ke tahap kritikal. Persis lelaki gila dalam cerita yang gila, dia juga seorang pencari yang setia. Juga pencari yang gila. Mungkin ini yang tersirat di sebalik kisah lelaki tua yang gila dan pencariannya yang penuh kegilaan dalam ceritanya tadi.


Fatwa


Pernah dahulu dia ‘fatwakan’ jatuh cinta sebagai permulaan segala kesulitan. ‘Fatwa’ yang gila dan bercanggah dengan fitrah kemanusiaan. Bukankah cinta akan menyempurnakan kehidupan manusia yang dia istilahkan sebagai makhluk yang bertempat, berjirim dan berjisim. Bukankah segala kesulitan akan sirna apabila cinta mula bersinar. Paling tidak, orang yang kecanduan cinta tidak dapat membezakan bahagia dan derita. Bagi pencinta semuanya sama. Bahagia selamanya. Inilah yang dikatakan wahdatul fikr dan wahdatul amal dalam bercinta.

Itu kisah dua puluh tahun yang lalu. Sewaktu usianya masih remaja dan sebelum dia menjadi pencari yang gila. ‘Fatwanya’ itu perlu dinasakhkan dengan segera sejajar dengan peningkatan usia. Tapi sayang, pencarian yang gila menyebabkan dia sasau dan nanar sebelum sempat berumah tangga.


Habil dan Qabil



“Pernah dengar cerita Habil dan Qabil.” Tiba-tiba dia bersuara. Mengusir sepi yang membungkus suasana. Sekali gus, membunuh ingatan saya terhadap masa silamnya.

Saya jawab dengan anggukan kepala. Kisah dua orang putera Adam dan Hawa itu memang masyhur di mana-mana. Ia disebut dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar. Habil anak yang taat dan hamba Tuhan yang setia. Qabil pula sebaliknya. Qabil tidak berpuas hati apabila Habil ingin dikahwinkan dengan kembar perempuannya. Dia juga tidak dapat menerima kembar perempuan Habil sebagai calon isterinya. Keadaan menjadi kalut. Adam resah dan Hawa gelisah. Allah membantu dengan menjadikan korban sebagai syarat penentu. Korban Habil diterima dan Qabil kecewa. Cinta itu buta, Qabil telah membuktikannya. Kerana kecewa dia telah mengikut telunjuk syaitan durjana hingga sanggup membunuh Habil, saudara seibu dan sebapa dengannya.

“Tau tak kenapa korban Habil diterima Allah.” Soalnya lagi.

“Sebab Habil berkorban penuh keikhlasan.”

Dia anggukan kepala tanda akur dan setuju dengan jawapan yang saya berikan.

“Habil hidup dengan prinsip. Dia mendamba kasih Allah. Dia dahaga cinta Pencipta. Tiada apa pun yang mampu menggugat cinta dan kasihnya kepada Allah. Sebab itulah dia sanggup berkorban dan terkorban. Prinsip inilah yang perlu ada dalam diri setiap manusia.” Ulasnya lagi dengan panjang lebar.

“Prinsip! Maaf, aku betul-betul tak faham.” Saya mengemis pengertian darinya

“Tak mengapa. Kau akan mengerti nanti. Percayalah.”

Saya kebingungan. Benar-benar tidak mengerti. Betul-betul tidak faham. Saya menarik nafas panjang sambil mencicip kopi panas yang telah lama terhidang. Dia ketawa melihat saya yang sedang lemas dalam lautan hairan sambil melontarkan pandangannya ke dada langit yang tenang. Sekumpulan burung yang bebas berterbangan di awan benar-benar menarik perhatiannya. Kemudian, sepotong hadis riwayat Imam Ahmad diperdengarkan kepada saya.

“ Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah.”

“Manusia perlu diikat dan Allah lah yang mengikat. Segala- galanya termasuklah cinta dan kahwin, mesti ada keterikatan dengan Allah. Tanpa ikatan ini, manusia, cinta dan perkahwinan akan terbabas.”

“Terbabas macam mana yang kau maksudkan.” Saya mengerutkan kening tanda tidak mengerti dengan pernyataanya itu. Namun, soalan yang saya ajukan itu tidak dihiraukannya. Dibiarkan sahaja menjadi teka-teki yang tidak terjawab. Sekali gus membiarkan kebisuan mengganti bicara. Mungkin dia sudah bosan dengan karenah saya. Saya meneka-neka sendiri dalam hati.

“Persoalan cinta dan kahwin harus dipandang serius. Tidak memadai jika dinilai mengikut perkiraan matematik. Ia tidak sekadar satu nisbah satu, untuk menyatakan seorang lelaki yang beristerikan seorang perempuan. Atau satu nisbah empat, untuk seorang suami yang mempunyai empat orang isteri. Ia melibatkan hidup dan kehidupan. Memperkatakan tentangnya memerlukan hati dan perasaan. Hati dan perasaan pula haruslah tunduk kepada peraturan Tuhan.” Dia kembali bersuara menyambung semula bicara yang terputus buat seketika.

Saya anggukan kepala. Memang saya sangat bersetuju dengan pendapatnya. Tapi kali ini, saya tidak melontarkan kata atau ajukan tanya. Saya ingin menjadi pendengar yang setia. Saya terus menanti dengan sabar tutur bicaranya yang seterusnya.

“Dalam Sahih Bukhari, ada diceritakan tentang wanita yang dihumban ke neraka lantaran tidak berterima kasih dan tidak bersyukur terhadap pemberian suami. Mungkin disebabkan si suami tidak mampu memenuhi segala keinginannya, lantaran ketidakmampuan dari segi kewangan. Inilah yang berlaku jikalau si isteri tiada keterikatan dengan Allah. Dalam Hadis riwayat Tirmizi pula, ada dinyatakan tentang lelaki yang mencapai kesempurnaan iman kerana berlaku baik dan berlemah lembut terhadap isterinya. Dia menjadi suami yang baik kerana ada jalinan yang akrab dengan Allah. Ringkasnya, suami dan isteri mestilah ada keterikatan dan keakraban dengan Allah barulah hubungan diredhai dan rumah tangga diberkati.” Persis ahli panel dalam rancangan forum agama, dia berhujah dengan begitu teliti. Dibawanya dalil yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Maksudmu, kerana Allah.” Saya membuat kesimpulan sendiri.

“Iya. Nampaknya kau dah mula faham. Itulah prinsip Habil yang aku maksudkan. Cinta, kahwin dan kehidupan kerana Allah.”

“Tapi, aku belum mengerti tentang Habil yang kaucari.”

Dia ketawa lagi setelah mendengar pertanyaan itu. Mungkin baginya, pertanyaan saya itu setaraf dengan lawak jenaka yang mencuit hati.

“Aku mencari Habil yang bermukim di hati keturunan Hawa. Maksud aku, perempuan yang menjiwai prinsip Habil. Atau lebih tepat, perempuan yang ada keterikatan dengan Allah dan keakraban dengan agama. Hanya perempuan macam ni yang dapat menjadi isteri yang baik kerana dia memahami pengertian cinta dan kahwin yang diberkati. ”

“Astaghfirullahalazim!” Saya gelengkan kepala sambil beristighfar panjang. Rupa-rupanya ada makna berselirat seribu di sebalik pencariannya itu. Majaz cuma dan simbolik semata-mata.

“Kalau macam ni, lambat lagilah kaukahwin.” Saya meluahkan kerisauan yang bersarang di hati.

Dia diam seketika dan dengan wajah yang muram dia bercerita perihal hidupnya yang malang. Katanya, dia pernah bertunang, tetapi terpaksa diputuskan. Sungguh malang, walaupun tunangnya cantik dan menawan, tapi tidak seperti yang diharapkan. Hanya bahagia yang sanggup dikongsi, tetapi derita dia bersendirian menghadapi. Sewaktu perniagaannya merosot atau lebih tepat ketika dia dalam kerugian, tunangnya meminta agar dileraikan ikatan. Tidak sanggup berkongsi hidup dengan lelaki yang tandus kewangan dan sifar kemewahan.

Saya kira, tentu sahaja kegagalan itu benar-benar mendera hati dan perasaannya, hinggakan dia terlalu berhati-hati dalam memilih pasangan. Kali ini bukan cantik yang diimpikan. Tapi dia ingin ikut formula Tuhan, seperti yang dinyatakan oleh Nabi junjungan, ‘kahwinilah perempuan kerana pegangan agamanya’

“Biar lambat asal selamat. Lambat yang membahagiakan lebih bermakna berbanding cepat yang membinasakan.” Ulasnya lagi dengan nada yang perlahan. Saya anggukan kepala tanda faham.

Malang sungguh nasibmu kawan, tapi lagi malang mereka yang mengabaikan formula daripada Tuhan dalam memilih pasangan. Mereka utamakan cantik dan seksi. Mereka lebih mementingkan jawatan yang tinggi. Tapi rumah tangga tetap haru-biru dan penceraian semakin menjadi- jadi saban waktu. Masalah ini semakin kronik. Ia perlu dirawat oleh doktor cinta. Dan saya amat meyakini hanya formula daripada Tuhan yang mampu menyelesaikan ini semua. Kerana ia sebenar-benarnya ‘doktor cinta.’

“Ampunilah aku Tuhan, kerana tersalah membuat andaian. Maafkan aku kawan kerana tersilap tafsiran.” Hati saya berbisik sendiri tanda penyesalan menghukum diri. Iya, saya benar-benar terhukum kerana terlalu ghairah melabelnya sebagai gila, sasau dan nanar. Padahal hatinya pedih terhiris dengan peristiwa tragis yang dihadapinya itu.


Harapan


Perbincangan kami berakhir tatkala senja. “Harap-harap selepas ini kita akan berjumpa lagi.” Katanya sebelum meminta diri. Saya anggukkan kepala dan berkata, “Aku pun begitu.” Memang saya ingin berjumpanya lagi. Seorang sahabat yang mengajar saya seribu erti dan sejuta makna. Erti isteri yang diberkati. Makna rumah tangga yang direstui. Usai bersalaman, dia pun berlalu. Mata saya mengekori langkahnya, satu demi satu hinggalah keretanya meluncur laju meninggalkan saya sendirian di pantai itu.

Saya teringat kembali kata-katanya tadi, “Habil masih ada. Cuma dia menyepi dan sukar dicari lantaran sikap kita yang tak acuh dan tak peduli.” Iya Habil masih ada. Teruskan pencarianmu wahai sahabat. Insya-Allah, Habil yang kaucari akan kau ketemui. Semoga Allah memberkati.


GLOSARI


1. Wahdatul Fikr = Kesatuan Fikiran

2. Wahdatul Amal = Kesatuan Tindakan

3. Nasakh = Mansuh

4. Majaz = Kiasan

5. Sumandak = Gadis dalam bahasa Kadazan/Dusun

CERMIN

cerpen saya ini telah disiarkan di dalam akhbar harian di sabah, Sabah News Times (pada Jun 2006)

TAJUK = CERMIN
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL (SHAMEEL ISKANDAR)

Agak lama juga aku memerhatikan dirimu yang kebingungan. Wajahmu muram. Tubuhmu pula lemah dan tak terdaya. Fizikalmu yang sebegitu, seakan menceritakan bebanan yang sedang engkau tanggung. Bebanan maha berat yang telah sekian lama bermukim di jiwa dan berdaerah di hati. Bebanan yang menjadikan dirimu terbabas dari orbit normal.

“Apa yang kau fikirkan?” Tanyaku untuk menyambung bicara kita yang telah terhenti seketika.
Kau mengeluh panjang seolah-olah melontarkan segala kerisauan yang merajai diri. Kemudiannya, kata-kata bernada makian dan cemuhan menerjah telingaku.
Katamu, segalanya berubah dengan pantas. Berubah dengan kadar yang segera. Kepantasan yang melumpuhkan kehidupan. Kesegeraan yang membunuh segala hasrat yang dilakar dalam empayar ambisimu. Warna-warna keriangan yang pernah mewarnai kanvas hidupmu mulai pudar sebaliknya warna kelam dan hitam mula mengambil alih.
Rupa-rupanya, kenaikan harga minyak yang menyebabkan jiwamu tertekan dan kenaikan tarif elektrik yang menyebabkan dirimu resah. Juga kenaikan harga barang yang menyebabkan dirimu gelisah. Resah dan gelisah yang betul-betul mendera kehidupanmu.
“Dari buaian hinggalah ke liang lahad, semuanya perlukan wang.” Kau merungut tidak berpuas hati. Rasa kecewa yang meluat jelas terpamer melalui riak wajahmu.
Bagimu, harga untuk hidup hari ini terlalu mahal. Tiada yang percuma. Hinggakan oksigen pun kau sedut dengan rakus dan amat perlahan kau hembuskannya. Seolah-olah oksigen juga perlu dibayar. Kau sifatkan perubahan yang mendadak ini sebagai revolusi. Revolusi kenaikan harga yang membebankan rakyat terbanyak. Perlukah revolusi rakyat tercetus di sini sebagai manifestasi ketidakpuasan hati golongan golongan majoriti yang tertekan dan tertindas? Itulah pertanyaan yang kau ajukan kepadaku. Tertekan zahir dan tertindas batin, ulasmu lagi. Mungkin kau bercita-cita ingin menjadi seperti Ayatullah Khomeini yang mengimamkan revolusi di Iran. Revolusi yang tercetus lantaran kemarahan rakyat terhadap pemerintah.
“Revolusikan dahulu mindamu. Mindamu terlalu primitive dan teramat kuno. Setaraf dengan minda manusia zaman batu yang hidup ribuan tahun sebelum masihi.” Aku amat berharap agar kata-kataku ini mampu merungkai segala persoalan yang berlegar dalam kotak fikirmu.
“Apa persamaan antara aku dengan manusia zaman batu.” Kau bertanya menuntut pengertian.
Aku tahu, kau marahkan aku. Katamu, aku tidak memahami situasi yang sedang kau alami.
Dakwamu lagi, aku tidak merasai penderitaan yang dihadapi oleh orang ramai. Sebenarnya, bukan aku yang tidak faham tapi kau yang tidak mengerti. Mindamu yang primitif telah menyebabkan dirimu terpenjara dalam kepompong ketidakmengertian. Percayalah, minda yang lapuk itu akan menyebabkan dirimu merana berpanjangan dan hidup sengsara berterusan.
Begini sahabatku, biar aku ceritakan kepadamu. Cerita tentang sebuah kisah purbakala, sebelum manusia memiliki peradaban. Tidak salah rasanya, jika sesekali kita menoleh ke belakang untuk merenung kehiduapan zaman batu yang penuh sejarah. Bukan untuk bernostalgia tetapi untuk dihayati. Bukankah dahulu pernah kau katakan “ Untuk berjaya dalam hidup, kita perlu menghayati sejarah silam, memanfaatkan masa kini dan bersedia mendepani masa hadapan.” Jadi, kisah manusia zaman batu perlulah kita hayati. Izinkan aku bercerita. Tika dan waktu itu manusia belum menemui cermin. Ini amat menyulitkan dan mereka terpaksa menggunakan air untuk menatap wajah dan mengurus diri. Ketidaksempurnaan ini menyebabkan wajah mereka serabut dengan misai, janggut dan rambut yang tidak terurus. Tapi mereka tidak boleh ddipersalahkan kerana kecanggihan teknologi belum lagi mereka terokai. Malah dalam persoalan agama sekalipun mereka dikategorikan sebagai golongan yang diampunkan Tuhan. Ini kerana, mereka hidup di zaman fatrah yang terputus dari wahyu dan terasing dari risalah para Nabi dan ajaran Tuhan.
Biarlah, itu kisah masyarakat primitive. Masyarakat yang terpinggir dari urbanisasi dan terpisah dari modenisasi. Biarkan ia berlalu. Kita bicarakan pula kisah manusia moden. Mereka termasuk dirimu, tidak mampu mengurus hidup lantaran tidak mampu mencermin diri. Sebab itulah hidupmu serabut dan celaru. Inilah ulangan kisah manusia yang tidak bertamadun. Diulangi oleh manusia yang memiliki peradaban.
“Aku tak faham. Tolong berterus terang dengan pasti.” Pintamu dengan nada yang marah tapi mengharap.
Ahh! Terlalu sukar untuk memahamkanmu. Kau memang berotak primitive, kuno dan klasik. Ortodoks!, itulah kesimpulannya. Lupakah kau kepada Jean Jacqeus Rousseau, penulis buku The Social Contract. Juga pencetus revolusi di Perancis. Bukankah suatu ketika dahulu kau ama mengkaguminya. Hingga kau jadikannya sebagai idola hidupmu. Bagimu, dialah wira yang berjuang melenyapkan kedurjanaan Louis XVI dan Marrie Antionette. Lupakah kau apa yang dia lakukan sebelum menggerakkan revolusi di Perancis yang akhirnya menggegarkan Eropah dan dunia.
“Kau tahu tak, apa yang diubah oleh arkitek revolusi Perancis itu sebelum mengubah Negara?” tanyaku sekadar menguji daya intelekmu.
Kau gelengkan kepala tanda tidak tahu. Memang sudah aku jangkakan. Manusia berotak klasik dan berminda primitive sepertimu, pastinya miskin pengetahuan. Tak mengapa, biar aku ingatkan, supaya ia terpahat kukuh d ihati dan terpasak utuh di sanubarimu.
Dia ubah minda dan sikap rakyat sebelum mengubah Negara. Biar aku ulangi, dia mengubah minda dan sikap rakyat. Inilah yang dikatakan revolusi minda. Minda yang berubah berupaya mengubah jiwa dan raga, juga mengubah watak dan perwatakan. Malah mampu mengubah dunia.
Katanya, “ Kita mula belajar bersama hidup. Pendidikan dimulakan dengan permulaan nafas dan kekurangan yang diasai adalah guru yang terbaik.” Fahamkah kau wahai sahabat?
Kau diam membatu. Mungkin kau sudah mampu mencermin kekurangan diri. Mungkin juga ufuk pemikiranmu semakin meluas. Aku ingin kau sedar, kau juga sepertiku. Hidup dengan menerima habuan setiap bulan atau lebih tepat makan gaji. Tapi kau lupa diri dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Kau impikan hidup yang hebat, sehebat Bill gates, si jutawan terkaya di dunia yang memiliki harta kekayaan sebanyak RM162.75 billion. Kaun ingin jelmakan Warrant Buffet, Laksmi Mital, Alwaleed bin Talal Al-Saud, Ingvar Kamprad dan Paul Allen dalam hidupmu. Lupakah kau siapa mereka? Mereka jutawan bertaraf dunia. Mereka memiliki kekayaan yang melimpah ruah dan kemewahan yang tidak terkira. Kau pula kaya dengan gaya hidup yang hipokrit dan mewah dengan angan-angan. Semuanya khayalan tahap tinggi.
“Analogimu mengarut. Tamsilanmu juga tidak berasas. Aku tidak pernah berangan-angan sampai ke tahap itu.” Semaksimum mungkin kau menafikan pernyataanku.
“Tidak berasas secara tersurat tapi secara tersirat ia amat menepati kebenaran.” Kataku secara ringkas. Biarlah ringkas peneranganku, yang penting ia mempunyai sejuta pengertian. Pengertian yang mampu dicerna dan dihadam oleh manusia sepertimu. Biarlah pengertian itu menafasi hidupmu hingga ke akhirnya.
Aku hairan, mengapa mindamu terlalu lembap dan otakmu teramat beku, sebeku antartika. Kau perlu revolusikan mindamu supaya antartika kedunguanmu berjaya dicairkan. Biar aku mudahkan cerita supaya kau cepat faham. Cuba kau cerminkan dirimu. Lakukan post-mortem ke atas hidup dan kehidupanmu. Kau miliki keinginan yang melaut dan kehendak yang melangit. Nafsu kebendaanmu pula terlalu besar. Sebesar alam. Tapi sayang, jarak antara kehendak dan kemampuanmu terlalu jauh. Sejauh timur dari barat dan sejauh langit dari bumi. Inilah penyakit yang menimpa manusia moden termasuk dirimu.
“Moga penjelasanku ini mampu menyuntuk vaksin kesedaran yang mampu membunuh virus ambisi yang begitu mampat dalam hidupmu.” Kataku di hati cuma.
“Tuduhanmu terlalu berat dan melulu.” Katamu untuk memenangkan diri.
“Tak guna menafikan kenyataan.” Balasku ringkas dan bersahaja.
Ternyata kau masih menafikan kenyataan. Kau memang tidak mahu mengalah kepada kebenaran. Lihatlah gaya hidupmu, terlalu hebat. Separuh dari pendapatan bulananmu dikhaskan untuk bayaran bulanan kereta importmu yang hebat dan bergaya. Katamu, ia melambangkan citarasa manusia moden dan kau tidak kisah dengan itu semua. Rumahmu pula berimejkan istana maharaja zaman silam. Lengkap dengan perabut-perabut indah yang mencecah angka puluhan ribu. Hutang kad kreditmu menghampiri angka had maksimum. Bukan satu malah lima keping kad kredit yang kau miliki. Lupakah kau, rakyat Malaysia adalah antara pengguna kad kredit paling banyak di dunia, sekali gus menjadi penghutang paling setia. Ini gaya hidup moden, lagipun bukannya berhutang dengan ceti haram, itulah jawapanmu.
Bil astro,elektrik dan air semuanya menakjubkan. Tapi, kau tidak pernah mempedulikannya. Begitu juga dengan isterimu. Ratusan ringgit sebulan terpaksa ‘dilaburkan’ untuk membeli lipstik, perfume, pakaian dan segala peralatannya. Semuanya berjenama, kononnya ia melambangkan gaya hidup elit meskipun daif pada hakikatnya.
Kau ketawakan aku. Katamu, aku kuno, berjiwa kampung dan tidak mengikut peredaran zaman.
“Zaman berubah, manusia juga harus berubah. Jika tidak kita akan ketinggalan.” Kau cuba merelevenkan gaya hidupmu itu dengan tuntutan zaman.
Aku hanya mampu gelengkan kepala. Memang sukar untuk mencerdikkan manusia berfikiran primitif sepertimu. Biar papa asalkan bergaya itulah pegangan hidup yang telah berdarah daging dalam hidupmu.

“Percayalah peningkatan harga akan terus berlaku pada masa akan datang. Harga minyak, tarif elektrik, harga barang dan segalanya akan terus meningkat.” Pesanku, untuk mengingatkan dirimu yang alpa.
“Inilah bebanan yang tidak berkesudahan.” Balasmu dengan nada cacian dan makian.
Itu sahaja yang kau tahu. Mencaci, memaki dan mengutuk. Teruskankah cacian dan makianmu.
Tapi yakinilah, ia tidak akan memberi sebarang makna. Cerminkanlah dirimu terlebih dahulu wahai sahabat. Tingkatkan harga otakmu supay kau boleh bernafas dengan aman. Otakmu terlalu murah, kerana ia otak manusia zaman batu yang primitif. Revolusikan mindamu agar mampu mendepani arus kehidupan yang semakin mencabar ini. percayalah, hanya minda yang telah mengalami proses evolusi sahaja mampu berhadapan dengan revolusi harga yang membebankan.
Biar papa asal bergaya, itu pegangan hidup yang sudah tidak releven untuk dianuti oleh manusia moden. Ia lapuk dan ketinggalan zaman. Ukurlah baju di badan sendiri, inilah prinsip hidup yang benar dan lurus serta selamat. Moga kau mengerti wahai sahabat.

ABADIKAH MAT JENIN

Cerpen saya ini telah disiarkan di dalam ahkbar Mingguan Warta Perdana, 7 Ogos 2005

TAJUK = ABADIKAH MAT JENIN
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL (SHAMEEL ISKANDAR)

Dahulu, kira-kira lima 15 tahun dahulu, sewaktu kanak-kanak, nenek sering bercerita kepadaku. Cerita tentang Mat Jenin. Kata Nenek, Mat Jenin seorang pemanjat kelapa yang gemar berkhayal dan bermimpi. Khayal jadi kaya dan bermimpi jadi ternama. Di alam realiti dia miskin dan lemah tetapi di alam khayal dia kaya dan hebat. Akhirnya khayalan tahap tinggi itu telah menamatkan riwayatnya.

Namun, riwayat Mat Jenin yang terkubur sejak sekian lama dalam mindaku telah dihidupkan kembali. Christy Veronica, dialah manusia yang bertanggungjawab memaksa aku menoleh ke belakang untuk mengenang kembali kisah Mat Jenin sekali gus memaksaku bernostalgia detik-detik indah bersama nenek. Bagaikan tayangan filem klasik yang sering diulang tayang, kisah Mat Jenin semakin nyata dan jelas dalam ingatanku. Dia memperkatakan tentang Mat Jenin yang sama. Ya, Mat Jenin yang pernah nenekku ceritakan. Cuma dia bercerita dengan nada dan tempo yang berbeza. Berbeza kerana bertentangan dengan kebiasaan dan menyalahi kelaziman.


“Apa pandangan awk tentang Mat Jenin.” Itulah soalan yang dia kemukakan kepadaku.

“Mat Jenin hanyalah mitos dan watak khayalan yang sengaja diadakan oleh generasi lampau. Ia berfungsi sebagai hiburan dan juga sindiran kepada masyarakat..” jawabku persis seoarang sejarahwan.

Christy Veronica, dia seoarng gadis berbangsa Inggeris. Tidak juga menjadi kesalahan jika aku istilahkan sebagai gadis berketurunan Eropah mahupun Barat. Perkenalan kami hanya kebetulan sahaja dan seminarlah yang mempertemukan kami. Seminar Memperkasakan Bangsa Melayu yang diadakan dua tahun yang lalu. Seminar yang menghimpunkan para sarjana dan cerdik pandai dari Timur dan Barat. Berhimpun untuk memperkatakan tentang Melayu dan Kemelayuan. Juga untuk menyelesaikan kekeliruan intelektual. Apa yang pasti mengenalinya telah menyemarakkan lagi percambahan minda dan pengkayaan ilmu dalam hidupku. Dia amat meminati Tamadun Melayu. Kesusasteraan Melayu, sejarah bangsa Melayu, perkembangan bahasa Melayu dan apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu dan Kemelayuan, kesemuanya berupaya menarik minatnya. Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat al-Nafis telah menjadi santapan mata dan mindanya. Minat itulah yang akhirnya menjadikannya seorang pengkaji Tamadun Melayu. Seperti mana Shellabear dan RO Winstedt.

Minatnya yang mendalam terhadap Melayu telah melahirkan kekaguman yang melimpah ruah di hatiku. Namun, kekaguman itu tidak lama menguasai diri. Kewarasan yang menguasai diri membolehkan aku menamatkan empayar taksub kepadanya. Aku mengusir perasaan itu sedikit demi sedikit. Untuk apa dihairankan dan untuk apa dibiarkan rasa keanehan bermukim di hati dan ketakjuban berdaerah di fikiran. Bukankah bangsa Eropah gemar mengkaji. Mereka dikuasai semangat ingin tahu yang menebal. Ini semua berlaku setelah mereka menamatkan riwayat zaman gelap yang penuh Dengan kebekuan dan ketandusan. Kebekuan minda dan ketandusan pemikiran, juga kekontangan intelektual. Sejak dari itu mereka menjadi bangsa yang tidak pernah puas dalam pencarian dan sentiasa ghairah dalam penerokaan. Mereka men jadi ‘gila’ dalam pengkajian. Kegilaan itu jualah yang menjadikan mereka gagah dan perkasa dalam mendepani arus.

“Jadi, bagi awak Mat Jenin tak pernah wujud.” Tanyanya lagi bagaikan menuntut sebuah kepastian dariku.

“ya, tak pernah wujud malah wataknya sengaja diwujudkan. Ia sekadar cerita penglipur lara.” Aku berhujah lagi untuk menyakinkannya.

Memang bagiku, Mat Jenin tidak pernah wujud. Kewujudannya tidak dapat dibuktikan secara ilmiha dan menyalahi disiplin ilmu. Apa nama penuhnya? Di manakah dia dilahirkan? Pada abad ke berapa dia dilahirkan? Dan siapakah sejarahwan yang pernah mencatatkan kewujudannya. Ini semua tidak mungkin dapat dijawab. Ajukanlah kepada sesiapa sahaja. Ahli akademik,sejarahwan, sasterawan mahupun budayawan. Yang pasti jawapannya satu sahaja. “ Tak tahu dan tak tahu.”

Andainya Mat Jenin pernah wujud, maka dia berhak untuk dibenci dan dicaci. Sebagaimana bencinya iblis kepada Adam dan bencinya Hitler kepada Yahudi.

“Ternyata awak seorang Melayu yang tidak prihatin. Terus terang saya katakana, Mat Jenin sebenarnya pernah wujud dan sentiasa wujud. Mat Jenin juga belum mati, tak pernah mati dan tak akan mati.” Dia berbicara lagi dengan lafaz bahasa yang sukar untuk dimengertikan.

“Maksudmu.” Aku bertanya ingin tahu. Memang aku tidak mengerti makna di sebalik kata-kata itu. terlalu sukar untuk ditafsirkan. Dalam kotak fikirku, aku tertanya-tanya. Gilakah dia? Mana ada manusia yang boleh hidup buat selama-lamanya. Ini bertentangan dengan hukum biologi dan bercanggah dengan fitrah manusia.

“Baiklah, biar saya berterus terang. Memang manusia Melayu yang bernama Mat Jenin telah mati dan mungkin juga nama itu tidak pernah wujud seperti dakwaan awak. Tetapi, manusia yang berwatak dan berciri serta bersifat Mat Jenin yang masih hidup dan wujud di kalangan bangsa Melayu.”

“Jadi Mat Jenin sentiasa wujud bersama wujudnya Melayu.” Kini giliranku untuk menuntut kepastian darinya.

“Ya, dan orang Melayu seharusnya menjiwai Mat Jenin.” Katanya lagi.
Jati diri kemelayuanku mula tercabar dengan dakwaan itu. Kegilaan apakah yang sedang melanda gadis Inggeris ini. Kegilaan mensinonimkan Mat Jenin dengan Melayu dan kegilaan menjadikan Mat Jenin sebagai tokoh yang harus diidolakan oleh Melayu..

Mengapa harus mensinonimkan Mat Jenin dengan Melayu?

Mengapa dia tidak membuka mata dan hati untuk melihat kewibawaan Tun Perak sebagai negarawan unggul era Kesultanan Melayu Melaka. Mengapa harus dia membuatakan mata dan hati dari melihat kehandalan Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong yang mengabdikan diri dalam perjuangan sebagai mahar kedaulatan bangsa. Mengapa harus dia membisukan mulut dari berbicara tentang kegemilangan Sheikh Daud al-Fatani, Sheikh Abdul Samad al-Falimbani dan Tok Kenali sebagai ulama gemilang seantero nusantara. Mengapa harus Mat Jenin. Mengapa, mengapa dan mengapa?

“Christy, Mat Jenin bukanlah tokoh terbilang dan dia hanyalah tokoh yang terbuang. Dia hanya layak untuk dicaci dan dimaki dan amat tidak layak untuk diidolakan.” Kataku untuk memengertikan dia hakikat manusia Melayu yang bernama Mat Jenin. Harap-harap dia akan mengerti dan pandangannya tentang Mat Jenin dan Melayu akan berubah.

Biar dia tahu Mat Jenin hanyalah simbolik kepada manusia Melayu yang malas serta lemas dan hanyut dalam khayalan. Sepertimana penagih-penagih dadah yang berhabitat di lorong-lorong gelap. Syabu,morfin,heroin dan marijuana telah menjadikannya wira di alam khayal. Itulah Mat Jenin versi baru. Inikah yang dia mahu. Supaya bangsa Melayu berterusan khayal, malas dan juga mundur. Supaya senang untuk diperhambakan oleh bangsanya. Bangsa yang terkenal dengan slogan ‘Beban Orang Putih’

Dia ketawa dan kemudiannya tersenyum setelah mendengar hujah-hujahku. Mungkin baginya, segala hujahku itu setaraf dengan lawak jenaka yang mencuit hati dan tidak mampu mengugah minda.

Katanya lagi, persoalan menobatkan seseoarng sebagai wira atau penderhaka, perlu dipuji atau atau dicaci. Wajar dipuja atau dicerca tidak pernah memiliki jawapan yang tepat dan mutlak. Setepat dan semutlak 1+2=3. Hang Jebat juga ditafsirkan sebagai pejuang meskipun ada yang menganggapnya sebagai pengkhianat. Hitler yang dianggap kejam kerana misi korban Hollocoust terhadap puak Yahudi tetap dinobatkan sebagai wira oleh sesetengah pihak. Robin Hood yang diwartakan sebagai penjenayah tetap dijulang sebagai hero dan penyelamat.

“Mat Jenin mungkin penjenayah bangsa Melayu kerana telah mencemarkan imej bangsa Melayu. Namun, tidak menjadi kesalahan andainya saya beranggapan dia seorang wira yang telah menjulang nama Melayu.”

“Manusia yang hidup di alam khayalan, ingin awak nobatkan sebagai wira.” Tanyaku lagi.

“Mat Jenin bukanlah berkhayal tetapi dia memiliki impian yang tinggi dan gagasan yang murni. Dia berpandangan jauh dan ingin berjaya. Itulah sebabnya dia bekerja dan tidak menghabiskan masa di warung kopi.” Katanya lagi bagaikan seorang peguam bela yang sedang berhujah di mahkamah.

“Tapi Mat Jenin mati terjatuh dari pokok kelapa. Itu membuktikan dia berangan dan berkhayal. Jika tidak mustahil dia boleh terjatuh. Khayalan tahap tinggi yang beraja di minda telah menyebabkan dia lupa segalanya dan tidak berpijak di alam nyata.” Aku masih lagi mempertahankan dakwaan klasik zaman- berzaman.

“Kematian Mat Jenin disebabkan khayalan adalah andaian semata-mata. Terlalu bayak kemungkinan-kemungkinan yang menjadi faktor kematiannya. Tapi sayang, segala kemungkinan itu sengaja dinafikan.” Sekali lagi dia bertindak sebagai peguam bela Mat Jenin.

“Maksudmu.” Tanyaku untuk meleraikan kekeliruan.

“Dia terbunuh mungkin disebabkan batang kelapa yang licin, gigitan serangga berbisa dan sengatan lebah. Terlalu banyak kemungkinan. Lagipun tidak dapat dibuktikan dia mati kerana berkhayal.”

Katanya lagi, andainya memiliki impian dan cita-cita itu satu kesalahan, wujudkanlah akta dan enakmen untuk mendakwa mana-mana manusia yang mempunyai cita-cita dan impiam. Hukumlah para pelajar kerana mereka berimpian ingin meraih kegemilangan dalam akademik. Penjarakan para siswazah kerana mereka terlalu berimpian memperolehi pekerjaan hinggakan berleluasanya pengangguran.

Aku betul-betul tewas dan kehilangan kata. Tidak mampu lagi aku pertahankan pandangan konvensional terhadap Mat Jenin.

Dia kemudiannya menghadiahkan sebuah buku kepadaku. Buku berjudul Pemurnian Kisah Mat Jenin. Buku hasil karangan Christy Veronica. Ya, hasil karangan dia, seorang pengkaji dari Barat yang mengkaji ketamadunan Melayu.

“Terimalah pemberian ini sebagai tanda kenang-kenangan.” Katanya kepadaku. Memang aku akan menghargai pemberiannya itu,bukan sekadar untuk mengilmiahkan diri tapi lebih dari itu untuk memastikan kenangan tetap abadi. Abadi hingga segar di hati dan bugar di sanubari. Kerana selepas ini dia akan kembali ke negara asalnya atau lebih tepat lagi kami akan berpisah.

Katanya lagi, dengarlah apa yang dikata tanpa melihat siapa yang mengata.
Sungguh aku tidak menafikan dan sungguh aku mengkaguminya. Kagum akan kehebatannya. Kehebatan membedah siasat sejarah sialam Mat Jenin dari kekotoran prasangka. Namun secara jujur, aku tidak dapat menilai mana yang benar. Mat Jenin yang telah disebatikan zaman- berzaman atau Mat Jenin ‘baru’ yang diketemui oleh Christy. Aku tidak ketemui jawapannya setepat dan semutlak 1+2=3. Biarlah para ilmuan dan cerdik pandai yang menentukan.




Friday, 25 December 2009

Post- Mortem

Cerpen saya ini telah disiarkan di dalam ahbar Berita Minggu (Ahad 26. Jun .2005)

POST- MORTEM.
Tn. Iskandar Ismail( Shameel Iskandar)

Kau memang hebat. Dirimu memang genius. Itulah anugerah Tuhan kepadamu. Berbekalkan genius jualah, kau mengejutkan dunia yang sedang lena. Kau mendakwa menemui sejenis baru yang telah tersedia wujud sejak jutaan tahun dahulu. Kau namakan ia sebagai virus kebinatangan. Virus ini katamu, akan menyerang sel-sel kemanusiaan yang ada dalam jasad manusia dan akhirnya ia akan berhabitat dalam jasad tersebut. Bila ini berlaku segala sifat dan sikap manusia akan bertukar menjadi sifat dan sikap binatang. Ia akan mengubah watak dan perwatakan manusia kepada watak dan perwatakan binatang. Atau dengan kata lain, segala aktiviti manusia adalah penzahiran dan cerminan kebinatangan.


Akibatnya dunia mencacimu dan manusia memakimu. Pelbagai tohmahan dilemparkan. Kata mereka: Kau terkena badi mayat kerana terlalu mengabdikan diri bersama mayat yang kaku dan beku. Ada juga yang mengatakan kau cuba menghidupkan kembali teori evolusi Darwin. Tidak kurang juga yang mendakwa dirimu terpesong mimda dan akidah kerana membinatangkan manusia melalui kondep “Tajalli” manusia dengan binatang. Namamu disamatarafkan dengan Mirza ghulam Ahmad, Dr Rashad Khalifa, Salman Rushdie, Taslima Nasreen, Amina Wadud dan lain-lain tokoh yang menodai kemurnian islam.


“Benarkah dakwaan itu.” aku tertanya-tanya pada diri dan juga pada hati. Apa yang pasti, aku hanya mengenalimu sebagai seorang ahli forensik yang sentiasa bergelumang dengan kerja-kerja membedah mayat dan kaku lagi beku.


Aku masih lagi teringat, waktu kau dalam keraguan dan kekeliruan. Ragu dan keliru antara agama dan kerjaya. Keraguan yang berupaya memusnahkan cita-citamu. Aku juga masih lagi mengenang pertanyaanmu pada tika dan saat itu.

“Apa hukumnya post-mortem mayat dari sisi agama islam.?”

Begini kawanku, ini jawapannya. Majlis Fatwa Kebangsaan pada 24 September 1984, telah memutuskan : Pembedahan mayat orang islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan seperti terlibat dalam kes-kes jenayah. Fatwa kedua pula lagi rajah dan datangnya dari Imam Nawawi dalam kitab Majmu: Kiranya ditelan oleh orang mati akan sebutir permata kepunyaan orang lain dan dituntut oleh tuannya, maka ketika itu harus dibedah perutnya bagi mengembalikan permata itu kepada tuannya, dan sekiranya meninggal seseorang perempuan yang mengandung dan anak dalam kandungannya masih hidup maka harus dibedah perutnya untuk menyelamatkan anaknya. Fatwa ktiga pula dari Al- Sheikh Muhammad Makhluf yang: Harus mayat iyu dibedah bagi kegunaan ilmu perubatan atau bagi hal-hal jenayah.


Kau bertanyakan lagi pendapat ulama-ulama ,uktabar yang lain. Ternyata kau seorang yang cakna terhadap agama.


“Maaf, itu aku tidak tahu.” Jawabku ringkas. Memang secara jujur dan ikhlas aku akui tidak mengetahui apa pandangan Al-Qardhawi, Dr Wahbah Zuhaili, Sheikh Atiyyah Saqar, Sheikh Muhammad al-Ghazali, Sheikh Bin Bazz, Sheikh Solleh Al-Uthaimin, Sheikh Nasiruddin al-Albani dan lain-lain tentang hokum ‘post mortem’ mayat.
Katamu, Virus ini telah tersedia wujud dan insan pertama yang dijangkitinya ialah Qabil. Sejarah telah menjilidkan ini semua. Dia sanggup membunuh Habil kerana seluruh watak dan perwatakannya telah dipengaruhi binatang. Kemanusiaan warisan Adam dan keinsanan warisan Hawa telah dinodai virus kebinatangan tersebut. Aku teruja dengan dakwaanmu itu.


“Kau mendakwa virus kebinatangan telah lama wujud. Namun mengapa ia tidak pernah ditemui ahli-ahli perubatan selama ini?” tanyaku inginkan penjelasan.
Takkanlah Marrie Sklodovska, si saintis kelahiran Poland yang pernah memenangi hadiah Nobel Fizik dan Kimia itu tidak pernah menemui virus ini. Sedangkan dialah manusia yang mencipta Radioterapi untuk penyakit barah. Tidak terhapuskah virus kebinatangan ini dengan radioterapi. Setahu aku, dia merupakan ilmuan terbilang yang mengabdikan dan kehidupan dalam penyelidikan. Serta mewakafkan setiap denyutan nadi dan hembusan nafas dalam bidang perubatan.


“Andainya dia gagal, ingin aku bertanya apakah mikroskop yang kau gunakan hingga dapat mengesan kewujudan virus ini?” tanyaku lagi.
Kau ketawa dan terus ketawa dan kemudian mengatakan. “Virus ini hanya boleh dilihat melalui mata hati yang suci dan mata hati yang suci hanya dimiliki insan yang memiliki kemewahan simapati dan kekayaan kasih sayang.”


Kau bercerita lagi mengenai kronologi penemuan virus yang berbahaya itu. Kononnya ia ditemui setelah kau mengadakan post-mortem ke atas mayat seorang gadis mangsa rogol. Dia dirogol dan mayatnya dicampak ke dalam belukar. Aku lihat ada air jernih di pipimu tatkala kau menceritakan kisah yang sayu itu. Ternyata kau seorang ahli forensik yang mudah bersimpati.

“Siapa sebenarnya perogol?” Satu persoalan kau kemukakan kepadaku. Aku tak pasti sama ada kau tidak memahami takrif perogol atau sengaja ingin menguji diriku.
“Kenapa mereka jadi begitu?” tanyamu lagi tanpa memberikanku peluang untuk menjawab soalan yang pertama tadi. Pada hakikatnya aku juga tertanya-tanya mengapakah mereka sanggup bertindak kejam dengan merogol dan membunuh tanpa belas kasihan.


“Perogol adalah manusia yang telah dijangkiti virus kebinatangan dan segala watak dan perwatakannya adalah binatang dan kebinatangan. Manakala sifat dan sikapnya pula adalah haiwan dan kehaiwanan. Atau definisi yang lebih tepat; perogol adalah haiwan yang berwajah manusia.” akhirnya kau menjawab segala persoalan yang kau kemukakan.
Kau kemudiannya meceritakan kes-kes rogol yang berlaku di Negara kita. Datuk rogol cucu, bapa rogol anak, abang rogol adik, guru rogol pelajar. Pendek kata, semuanya berkaitan rogol,rogol dan rogol. Kemudian dengan penuh simpati kau menyebut satu persatu nama-nama mangsa rogol.


“Cukup dan jangan lagi disebut nama.” Pintaku kepadamu. Tak sanggup aku mendengar nama insan-insan malang yang menjadi mangsa mahluk durjana bernama perogol itu. Mengenangkan mereka pasti mengundang sebak dalam rindu, meskipun tiada ikatan yang mempertalikan antara aku dengan mereka. Mengimbas kembali kisah mereka, pasti ada jiwa yang menangis dan hati yang berduka. Biarlah mereka bersemadi dengan aman.
“Kau ada baca, laporan kes rogol di Malaysia?” tanyamu kepadaku.

Aku gelengkan kepala dan dengan nada yang sayu lagi sendu aku berkata, “Belum, sebenarnya sudah lama aku tidak menyentuh buku dan akhbar.” Memang aku ketandusan dari segi pengetahuan dan kekontangan dari segi ilmu lantaran kurangnya pembacaan. Hasil penemuan Prof Atan Long; purata rakyat Malaysia hanya membaca dua halaman buku setahun amat relevan dan aku adalah sebahagian daripada mereka.

“Mengapa?” tanyaku ringkas.

Kau mula bercerita tentang kes-kes rogol di bumi bertuah bernama Malaysia. Katamu; di negara kita setiap enam jam akan terdapat seorang mangsa rogol, atau dengan kata lain empat orang akan menjadi mangsa rogol setiap hari. Perangkaan polis menunjukkan 1,210 orang dirogol pada tahun 2000, dan jumlah ini meningkat kepada 1,354 pada tahun 2001 dan ia terus meningkat kepada 1,418 pada tahun 2002.


“Aku amat menyakini jumlah ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.” Laksana Nostrodamus, kau cuba meramalkan apa yang bakal berlaku untuk esok hari.
Wahai perogol laknat, bogelkanlah sesiapa sahaja yang kau mahu, telanjangkanlah gadis-gadis itu, Cuma inginku berpesan kepadamu dan harapanku, sudilah jua kau mendengarkannya wahai makhluk laknat. Dengarlah dengan telinga hatimu kerana telinga zahirmu telah lama rosak hinggakan tiada bersimpati dengan teriakan dan tangisan mangsa-mangsa kebuasan nafsumu. Begini pesanku, bersediakah engkau tatkala dosamu dibogelkan dan nodamu ditelanjangkan di mahkamah keadilan Tuhan nanti. Wahai perogol laknat, carilah kain penutup diri, moga kau tidak telanjang seperti haiwan atau matimu tidak berkapan.


Hei, perogol!, andainya tika dan saat ini kau berada di hadapanku, inginku bertanya: “ Apakah perasaanmu jikalau adik perempuanmu atau anak perempuanmu ataupun ibumu dirogol dan dibunuh?”

Tentu ini jawapan yang kau berikan kepadaku: “ Akan aku hapuskan mereka. Akan kucincang mayat mereka hingga hancur lumat.”

Wahai perogol laknat!. Mengapa kau marahkan mereka yang merogol keluargamu. Bukankah kau dan mereka mempunyai hobi yang sama, iaitu merogol dan kemudiannya membunuh. Kau mengingatkan aku kepada George Bernard Shaw, si pemikir tersohor dari Barat. Baiklah aku ingatkan kau tentang kata-kata George Bernard Shaw: “ Jikalau manusia membunuh harimau ia dinamakan olahraga tetapi jika harimau membunuh manusia ia dinamakan keganasan.” Harap kau mengerti, jikalau kau masih lagi bergelar manusia.


Eh, Wani! di manakah kau sekarang? Kau masih mentah. Baru berusia 17 tahun. Usia yang hangat di pasaran. Berhati-hati selalu wahai adikku sayang, dirimu sentiasa diperhatikan oleh makhluk jelmaan binatang. Renungan mata mereka terlalu tajam hinggakan menembusi apa yang tersirat di sebalik pakaianmu. Derianya pula terlalu hebat mengalahkan deria anjing pengesan. Mereka boleh menghidu manisnya daramu. Jangan sesekali kau alpa. Jika itu berlaku padamu, aku akan jadi gila dan nanar sepanjang hayatku. Aku akan menjadi insan yang menangisi sepanjang malam dan meratapi sepanjang siang. Berhati-hatilah selalu, wahai adikku sayang.


“Terserah kepada masyarakat untuk menilai siapa aku.” Katamu setelah jeda seketika, sekali gus melenyapkan khayalan simpatiku terhadap mangsa rogol. Perbincangan kami usai di situ. Namun, aku tertanya-tanya hingga ke detik ini. Benarkah kawanku ini terkena badi mayat atau dia seorang ahli forensik yang telalu dikuasai simpati. Aku juga masih belum mengerti, sesat atau menyelewengkah sahabatku ini atau khalayak yang tersalah membuat tafsiran.

Wednesday, 11 November 2009

AGAMA BKN CANDU UTK MENGKHAYALKAN ORG MISKIN

Assalamualaikum.

Ini adalah artikel dari bog DRMAZA. Saya amat berminat dgn artikel ini, malah saya pernah mmebacanya dalam majalah I( terbitan karangkraf) tahun lalu. Jujr ,saya amat menggagumi keberanian Dr Asri. saya juga amat kesal dgn segelintir ustaz/ustazah/penceramah agama kita yg mnejadikan agama sebagai utk mencandui golongan marhaein.

Disiarkan pada Nov 11, 2009 dalam kategori Isu Semasa |
(Antara artikel lepas (Jun 2008) yang menyebabkan Dr. Asri tidak disenangi oleh sesetengah pihak agama dan politik)

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).
Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.


Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.
Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).


Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.
Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.


Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.
Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.


Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.
Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.
Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).


Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.
Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.
Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?
Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.


Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.
Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.
Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.


Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.
Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.


Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.


Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).


Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).
Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.


Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.
Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?


Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.


Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.


Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?


Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.


Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Thursday, 18 June 2009

LELAKI ITU

LELAKI ITU
(Tentang Prof Datuk Dr Ismail Mohd Salleh sebagai renungan buat adik-adik di Sekolah Pendidikan Khas)

Lelaki Itu
Bukanlah Pengemis dan Peminta
Walaupun siangnya gelap
Meskipun malamnya gelita

Lelaki Itu
Bukanlah penagih simpati di kaki lima
Tapi pemberi ilmu yang setia
Menabur budi di puncak menara

Lelaki Itu
Tidak pernah mengalah dengan suratan yang menimpa
Tidak pernah tewas dengan peningkatan usia
Dia tetap gagah dan perkasa
Demi kecemerlangan bangsa
Demi kegemilangan Negara

Lelaki Itu
Contoh yang nyata
ORANG KURANG UPAYA
Mampu Berjaya dan Ternama
Jika menjadi
ORANG KUAT USAHA.

Tn. Iskandar Tn. Ismail
Pantai Irama Bachok Kelantan

Tuesday, 16 June 2009

RUMAH YANG KUIMPIKAN

Manusia dianggap bertamadun bila hidup menetap. Malah, rumah atau tempat tinggal telah diiktiraf sebagai satu keperluan asas yang dimestikan ada.
Menyediakan tempat tinggal/ rumah( sendiri atau sewa) adalah satu kemestian. Bagi seseorang lelaki/suami ia adalah kewajipan berdasarkan kemampuannya. Rujuklah mana-mana kitab fiqh dalam mana-mana mazhab , pasti jawapannya sama sahaja. Iaitu wajib seseorang suami menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya berdasarkan kemampuannya(ia termasuklah makanan, pakaian dan tempat tinggal).


Dulu sewaktu belajar di pondok terusan pasir tumboh(sewaktu cuti semester universiti ), sempat saya mmepelajari beberapa kitab, antaranya, sebuah kitab yang berjudul Idhahul Babايضاح) (البابyang ditulis oleh Shiekh Daud bin Abdullah al-Fatani. Dalam kitab tersebut dinyatakan secara terperinci tentang tanggungjawab seseorang suami termasuklah menyediakan tempat tinggal yang sewajarnya untuk isteri dan anak-anaknya.


Apapun rumah yang ingin dibina. Besar atau kecil. Kos sederhana atau mewah. Tapi, jangan dilupa satu perkara. Renunglah sabda Nabi s.a.w “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu seumpama perkuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”(H/R muslim, Ahmad, al-Tirmizi dan Nasaii). Jadi, sedaya yang mampu dan sekudrat yang boleh pastikanlah ayat-ayat suci al-Quran sentiasa dibibir setiap penghuni rumah tersebut. Tak memadai sekadar gantung di dinding kerana ayat-ayat suci hendaklah dibaca, dihayati dan diamalkan. Tak ada masa, bodoh betul jika itu dijadikan alasan. Al-Quran mengandungi 6,236 ayat( dahulu ada yang mendakwa 6,666 ayat, tapi ia tidak tepat). Jadi, lazimkan membaca 10 ayat sehari(lepas solat maghrib 5 ayat dan lepas solat isyak 5 ayat). Ini bererti keseluruhan ayat al-Quran dapat kita selesaikan dalam tempoh 624 hari bersamaan 21 bulan atau 1 tahun 9 bulan. Di samping itu lazimkan dengan kitab Tafsir, paling senang ialah tafsir Pimpinan Al-Rahman.


‘Rumah’ kedua yang pasti kita diami ialah KUBUR. Mati itu pasti dan kita pasti merasainya nanti. Nabi s.a.w ada bersabda “ Kubur itu satu taman dari taman-taman syurga atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka”(H/R Al-Tabarani). Bagaimanakah ‘rumah’ kita ini. Taman syurgakah ia atau ia akan menjadi lubang-lubang neraka. Adakah ia akan diluaskan seluas mata memandang atau disempitkan hingga berselisih segala tulang. Ingatlah, kalau seseorang itu terlepas dari azab kubur maka akan mudahlah urusannya di akhirat nanti. Tapi, jika diazab di dalam kubur maka lebih teruklah azab yang bakal diterima di akhirat nanti. Samaada taman syurga atau lubang neraka, kita berhak memilihnya sewaktu nyawa masih dipinjamkan Tuhan kepada kita.

‘Rumah’ ketiga yang bakal kita diami dan kekal abadi menghuninya ialah alam AKHIRAT. Itulah distinasi terakhir kita. Kita hanya diberi dua jenis kediaman sahaja di sana. Bukan rumah pangsa, teres atau apa sahaja. Tapi, ia adalah SYURGA dan NERAKA. Kepada semua(terutamanya sahabatku yang telah dan bakal mendirikan rumahtangga) ingatlah, Allah berfirman “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” surah At-Tahrim, ayat ke-6.


Saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada semua sahabat. Janganlah hanya memikirkan tengtang saiz rumah yang ingin dibina. Jangan juga sekadar memikirkan perabot, langsir dan lain-lain keperluan yang bersifat dunia. Fikirkanlh juga tentang pengisian rohani di dalam rumah yang dibina agar kita terus selesa apabila berada di ‘rumah’ yang kedua(kubur) dan ketiga(akhirat) nanti.