Saturday, 24 April 2010

ceritera seorang NASIONALIS yang SAKIT JIWA


DIA saya kenali sewaktu saya sedang berjogging di sekitar Chemor Perak. Ada keistimewaan yang mendiami peribadi lelaki berusia 50-an itu. Dari segi penampilan terserlah dia seorang yang berpendidikan. Tapi, sejujurnya saya tidak pernah ambil tahu tentang apa kerjayanya. Sama ada kakitangan kerajaan , swasta atau berkerja sendiri. Sama ada masih berkihdmat atau telah bersara. Ikhlas saya tidak pernah bertanya semua itu.



Saya berbangga kerana mengenalinya. Jujur! Saya kagumi darah pejuang yang mengalir dalam jasadnya. Bagi saya dia adalah antara ratusan atau ribuan pejuang melayu tulen yang masih bersisa di bumi yang dahulunya dikenali sebagai TANAH MELAYU ini. Dalam beberapa hal saya tidak bersetuju dengan pendapatnya, tapi atas dasar menghormatinya saya tidak membantah kata-katanya( sekadar membantah di dalam hati sahaja )




Sepanjang perjalanan bersamanya( saya tidak berjoging kerana ingin melayannya berbual-bual) dapat saya kesan tentang pilu dan sendu yang bermukim di dalam hatinya. Pilu dan sendu dengan nasib malang yang menimpa bangsa melayu hari ini. Tangannya tak pernah henti menunjukkan kebun-kebun sayur di sekitar bukit Bangkong Tanah Hitam yang diusahakan oleh orang-orang Cina. Katanya, lama-kelamaan sedikit demi sedikit tanah-tanah di Perak akan akan habis diratah oleh orang-orang cina. Dengan penuh geram dia menyumpah penjajah British kerana membawa masuk orang-orang cina untuk mengusahakan lombong bijih timah. Katanya, kalau orang cina tak dibawa masuk sudah tentu orang Melayu akan menguasai negara secara total.


Di kutuk juga golongan yang mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru( DEB). Katanya, DEB adalah senjata ekonomi untuk orang melayu menyaingi kekuatan ekonomi bangsa-bangsa lain terutamanya orang-orang cina. Tanpa DEB, orang Melayu akan menjadi pengemis dan kerana DEBlah beberapa tokoh korporat melayu telah berjaya dilahirkan. Lebih kurang lima belas minit selepas itu, dimakinya pula golongan yang mempertikaikan kursus Biro Tata Negara(BTN). Dia bertanyakan saya, pernah atau tidak pernah mendengar lagu anak kecil bermain api ( lagu wajib ketika kursus BTN), dia menerangkan betapa lagu itu bukanlah berunsur perkauman tetapi untuk menyedarkan anak-anak melayu yang masih leka dan lena.


Turut dikecamnya ialah kerajaan Perak terdahulu, atau lebih tepat lagi kerajaan pimpinan Dato’ Seri Nizar bersama Pakatan Rakyat ( saya tak mau ulas dengan panjang lebar kerana tidak ingin berpolitik di dalam blog). Katanya, Nizar telah ‘menjual’ maruah orang Melayu kepada Cina.



Tidak terkecuali dari caciannya ialah golongan yang menentang/ mempersoalkan kewujudan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA.). Katanya, dia amat sedih apabila pertubuhan pembela dan penegak Ketuanan Melayu itu diperlekehkan oleh segelintir anak melayu. Dia amat terkilan apabila ada pihak yang mendakwa PERKASA sebagai pertubuhan pelampau Melayuyang persis Klu Klux Klan.



Saya bangga mengenalinya. Jatidiri Melayu saya semakin melonjak. Saya rasa semangat Hang Tuah, Tok Janggut, Dato’ Bahaman dan Dato’ Maharaja Lela telah meresap dan sebati dalam dirinya. Jujur! saya bangga mengenalinya.



Tapi, sayang rasa bangga itu hanya seketika dan padam terus seminggu kemudiannya. Hari minggu , pada detik yang lain, ketika selesai jogging , saya ternampak dia tanpa segan silu sedang membeli nombor ekor di sebuah premis judi yang dimiliki oleh seorang lelaki Cina. Menurut beberapa orang member berbangsa Cina yang bersama-sama berjogging dengan saya, lelaki melayu yang berjiwa patriotik itu memang selalu membeli nombor ekor. Sungguh celaka, lelaki melayu yang kononnya berjiwa patriotik dan sering menyalahkan bangsa lain rupa-rupanya seekor kaki judi. Tiba-tiba saya rasa menyesal kerana mengaguminya. Lagi kesal kerana pernah berjabat tangan dengannya. Entah mengapa, tiba-tiba saya rasa lebih mulia andainya saya memeluk anjing daripada bersalam dengan lelaki melayu itu. Dan jauh di sudut hati, saya berkata, “ babi hutan pun jauh lebih mulia daripada melayu patriotik itu.”

Monday, 19 April 2010

sekadar bicara dari AKU

Di bawah langit yang meneduh.
Di atas bumi yang menadah.
Aku memerhati dengan hati yang luruh.

Bangsaku.
Agamanya kian terhakis.
Adatnya kian terkikis
Maruahnya kian menipis

Bangsaku
Tercari-cari arah
Ada yang kehilangan arah
Ramai juga yang tersesat di bumi yang bertuah.

Bangsaku
Dahulunya persis Hang Jebat
Kini kehilangan hebat
Dahulunya persis Hang Tuah.
Kini ibarat pokok yang tidak berbuah.
Dahulunya gagah meredah samudera.
Kini kudratnya kian tak terdaya.

Bangsaku
Jangan dilupa untaian sejarah.
Kerana kita bangsa yang gagah.
Jangan dilupa tali Allah.
Kerana dengannya kita takkan rebah.



Tuesday, 13 April 2010

menuju PUNCAK

( Detik menawan Puncak Kinabalu)


Dari pagi mudik ke hulu
Belayar tenang membelah samudera
Telah kutawan puncak Kinabalu
Gunung tertinggi di Asia Tenggara.




(Pendakian yang memenatkan)
-Gambar yg ni terpaksa copy dari google -


Penat tak Terkata
Letih tak Terkira
Namun kenangan amat berharga
Kekal mewangi sepanjang masa




(Pose istimewa kat sepohon kayu daunnya tak rimbun)




(Beberapa minit sebelum memulakan pendakian)


Segar di hati
Bugar di sanubari
Jika diizinkan Ilahi
Inginku daki lagi.




(Inilah Barisan kita penakluk puncak kinabalu)



Tuesday, 6 April 2010

Untukmu Wanita

Untukmu Wanita.
Jika tak mampu mencontohi isteri-isteri Nabi
Contohilah sahaja zainab al-Ghazali
Usah dtiru Fatima Mernissi
Usah diteladani Irshad Manji

Untukmu Wanita
Andai tersesat di belantara keliru
Andai hanyut di samudera celaru
Kembalilah kepada kalam Tuhanmu

Untukmu Wanita.
Telah padat dan sarat
Islam dengan formula hidup yang berkat
Usah ditimbang dan Jangan disukat
Sebab islam telah sempurna sifat
Jangan dipotong dan usah dikerat
Sebab islam satu pakej yang lengkap

p/s = Sekadar bicara untuk pejuang –pejuang Feminisme

Sunday, 4 April 2010

GUA BATU TULUG KINABATANGAN SABAH

(Cantikkan keranda ni)
Disebabkan sekarang ni muzium negara mengadakan pameran keranda, jadi saya pun nak bercerita juga perihal keranda. Tentang keranda, manusia melihatnya dari pelbagai sudut. Ada yang melihatnya dari sudut kesenian ,lantaran nilai estetika yang terdapat padanya seperti corak, ukiran dan macam-macam lagi. Namun, sewajarnya kita melihat dan memperkatakan perihal keranda dari kacamata kerohanian. Sebabnya keranda melambangkan kematian dan kaedah pengebumian. Setiap daripada kita pasti mati, itu pasti dan tidak dapat dielakkan lagi.





( Antara keranda yang harus diselamatkan daripada kereputan)
Gua Batu Tulug Kinabatangan, Sandakan Sabah menyimpan ratusan buah keranda lama yang dipercayai diperbuat daripada kayu belian(saya dimaklumkan species kayu ini hanya terdapat di kepulauan Borneo sahaja). Agop Batu Tulug dianggarkan berusia 20 hingga 25 juta tahun.Agop( ertinya Gua dalam bahasa suku kaum sungai yang banyak mendiami sekitar Kinabatangan). Manakala keranda-keranda di sini dikatakan hampir seribu tahun usianya. Sebenarnya ada cerita tersendiri disebalik keranda-keranda ini. Cerita mitos dan lagenda yang mengiringi kewujudannya sejak ratusan, malah mungkin juga ribuan tahun yang lalu. Pengkaji dari dari Barat, turut berminat untuk mengkaji dan seterusnya memperkatakan tentang keranda-keranda lama ini. Tak perlu dihairankan sebab ramai ilmuan dari Barat yang beragama Kristian dan Yahudi yang lebih mengetahui tentang sejarah dan kebudayaan Nusantara dan juga tentang islam berbanding orang islam sendiri. Di Universiti Leiden Belanda, contohnya berlambak manuskrip silam tentang Melayu dan Kemelayuan dan tentang Islam dan Keislaman yang masih tersimpan dengan rapinya


(Pose istimewa dari rakanku di depan keranda)


Antara pengkaji Barat yang mengkaji tentang keranda ini, ialah Tom dan Barbara Harrisson dalam buku mereka yang bertajuk "The Prehistory of Sabah" ratusan keranda kayu juga boleh ditemui di Agop Miasias di Sungai Lokan, Agop Gomantong, Tempadong, Madai, Baturong, Agop Kala Bugir, Agop Sapa Tareng, Agop Sarupi dan juga di beberapa Agop yang lain



(Di sinilah lokasinya, Gua Batu Tulug Kinabatangan, Sandakan, Sabah Bah)
Ketika ditemui keranda-keranda dalam keadaan berselerak di merata tempat gua dan ada juga yang masih utuh sementara yang lain sudah mulai reput, terdapat keranda terpisah antara badan dan penutupnya. Tidak kurang juga yang masih dalam keadaan tersusun rapi.



( Ni kat puncaknya)
Terdapat keranda-keranda di gua-gua tersebut adalah dalam rupa bentuk yang hampir sama. Ukiran yang amat terkenal terdapat pada kerana-keranda tersebut ialah kepala kerbau ataupun tempadau, buaya, ular, cicak, burung serta ukiran-ukiran yang sungguh menarik pada sebelah atas keranda (penutup keranda).


Tuesday, 30 March 2010

ayat-ayat CINTA


SERINGKALI kita lupa. Lupa akan ayat-ayat cinta yang begitu mengetarkan hati dan jiwa. Ayat-ayat cinta yang agak panjang (malah mungkin yang terpanjang) meskipun bukan berjela-jela. Bukan ayat-ayat cinta dari kekasih lama yang kini entah di mana, doakan sahaja kebahagiannya. Tapi, ayat-ayat cinta dari PENCIPTA kepada YANG DICIPTA. Ayat- ayat cinta yang dirakamkan di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 282, antara ayat terpanjang di dalam Al-Quran.

Hutang! itulah ayat-ayat cinta yang dimaksudkan. Kalimah yang mengundang gementar pada hati yang mengerti dan pada jiwa yang cakna. Betapa seriusnya persoalan hutang, hinggakan Allah s.w.t menjelaskannya dengan panjang lebar dalam kitab-Nya. Tetapi, harus juga diakui betapa sukarnya untuk menghindari hutang pada zaman sekarang. Ia seolah-olah satu kemestian untuk hidup. Apa tidaknya, tanpa berhutang dengan PTPTN, sudah tentu ramai yang tidak mampu melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Tanpa PTPTN, banyaklah mimpi-mimpi yang hancur. Tanpa PTPTN, banyaklah impian -impian yang lebur. Tanpa PTPTN, banyak hasrat-hasrat yang akan berkubur. Jujur! Tanpa PTPTN, gagasan yang ingin diukir dan wawasan yang bakal dilakar akan kekal terapung di wilayah ambisi.


Bagaimana pula dengan ‘masjid’ yang dimpikan. Jika tidak membuat pinjaman dengan mana-mana bank atau koperasi, pasti sukar untuk membina masjid yang diimpikan. Untuk menjadi raja sehari, bukanlah sedikit wang yang diperlukan. Baik wang hantaran mahupun untuk mengadakan walimah. Begitu juga dengan lain-lain urusan. Kesemuanya memerlukan biaya yang tinggi. Akibatnya, hidup dibayangi hutang. Walaupun setelah berbelas tahun ijab dan kabul, namun hutang masih lagi berbaki. Lagi malang, apabila usia hutang lebih panjang berbanding hayat rumah tangga yang didirikan.


Bagaimana pula dengan rumah untuk berlindung dan berteduh. Berlindung dan berteduh dari panas dan hujan. Urbanisasi dan modenisasi telah melonjakkan harga rumah. Hari ini, jarang benar harga rumah di bawah paras RM 100 ribu( yang pastinya membebankan golongan yang berpendapatan rendah). Hari ini lazimnya, 25 tahun diperlukan untuk melangsaikan hutang-hutang ‘habitat’ sementara ini. Ramai juga yang terpaksa berpindah ‘rumah’ sebelum sempat melunaskan hutang piutang rumahnya. Berpindah ke rumah yang lebih kecil dan sempit. Yang panjangnya sekitar tujuh atau lapan kaki. Lebar pula empat kaki dan dalamnya lebih kurang enam atau tujuh kaki. Tentang ‘rumah’ yang baru ini, Nabi s.a.w telah bersabda,“ Kubur itu satu taman dari taman-taman syurga atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.”

Berhutang untuk melanjutkan pelajaran, perkahwinan dan membina rumah, juga untuk memiliki kenderaan yang sesuai adalah satu kemestian yang tak dapat dielakkan. Tapi, bagaimana pula dengan hutang-piutang yang lain? Hutang piutang yang disengajakan meskipun tidak ‘diwajibkan’ demi menjenamakan hidup. Risaunya kalau ditakdirkan mati sebelum sempat dilunaskan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi dalam kitabnya Sunan al-Tirmizi, ada dinyatakan, roh orang mukmin yang mati akan tergantung lantaran hutangnya yang belum dijelaskan.

Sunday, 28 March 2010

anak HARAM



SERAMAI 17,303 Orang anak luar nikah berbangsa Melayu yang dilaporkan sepanjang tahun 2009. Ini peningkatan yang amat menggerunkan berbanding hanya 16,541 orang pada tahun 2008. Lagi menggerunkan kerana sepanjang lima tahun yang lalu, seramai 74,723 orang anak luar nikah yang terhasil dari benih lelaki dan perempuan Melayu. Itulah statisitk yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah jabatan Pendaftran Negara. Ini sungguh membimbangkan, kata Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak dalam Mingguan Malaysia hari ini(28.3.2010.).




SIAPAKAH yang harus dipersalahkan atau dijadikan sebab atau punca semua ini. Terlalu banyak untu kdisenaraikan. Tapi, Kalau kita perhatikan kepada realiti dan kita telitikan fakta dalam Hadis Nabi, ternyata ibu-bapa merupakan salah satu faktor yang mewujudkan masalah ini. Saya ulangi, salah satu faktor dan bukan satu-satunya faktor..

“Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)
Hadis ini jelas menerangkan peranan ibu bapa untuk mencorak dan melakarkan kehidupan anak-anak dari aspek kerohanian.

Kata orang, anak-anak itu merupakan bayangan ibu-bapanya. Dan harus diketahui apakah sifat bayang-bayang. Kayu yang bengkok tidak akan sesekali menghasilkan bayang yang lurus. Lumrahnya, kalau ibu bapa itu jauh dari agama, maka anak-anaknya juga akan mencetak watak yang sama. Lazimnya, jika ibu-bapa itu cakna agama, maka anak-anaknya akan menyalin kecaknaan tersebut.


Namun kita kena akur, dalam kes-kes tertentu( yang mungkin jarang berlaku) terdapat peristiwa yang menyanggahi kelaziman dan menyalahi lumrah atau kebiasaan. Ya, menyalahi kelaziman kerana seseorang bapa yang kufur adakalanya ‘menghasilkan’ anak yang beriman seperti kes Nabi Ibrahim a.s. Menyanggahi lumrah dan kebiasaan, apabila terdapat anak yang kufur yang lahir dari zuriat insan yang soleh seperti dalam kes Nabi Nuh a.s. Itu kuasa Allah dan tidak perlu kita pertikaikan. Cuma, di sini saya berbicara tentang perkara yang bersifat lumrah, lazim dan kebiasaan.


Ada cerita yang ingin saya kongsi. Cerita benar yang benar-benar terjadi. Cerita tentang maksiat yang kini dijadikan hobi oleh sesetengah muda-mudi. Juga cerita tentang ibu bapa yang merestui maksiat ini. Pernah seorang sahabat saya, juga seorang guru menegur pelajarnya yang baru berusia 16 tahun kerana sering berdua-duaan dengan teman lelaki. Bukan setakat berdua-duaan, malah pelajarnya itu, dilihat dan dilaporkan oleh banyak pihak telah pun berbuat serba serbi, di sana-sini dan begitu –begini. Tapi jawapan pelajarnya itu amat menarik untuk direnungi. Kata pelajar tersebut, “Cikgu, walaupun mak saya hanya bersekolah sampai tingkatan dua, tapi mak saya sangat matang. Dia tak pernah halang saya bergaul dengan mana-mana jantan. Apa hak cikgu nak campuri urusan saya kat luar sekolah. Mak saya yang berusah payah mengandungkan saya pun tak bising-bising. Ni , cikgu yang takde kena mengena pulak nak bising” Dan daripada sumber yang didapati, mak gadis tersebut sememangnya baik hati, bukan setakat tidak menghalang anaknya di bawa keluar malam-malam oleh jantan, malah turut membenarkan jantan tersebut( yang merupakan teman lelaki anaknya itu) bermalam di rumahnya. Peristiwa gila yang kedua pula berlaku di sebuah sekolah(saya rahsiakan nama sekolahnya demi kebaikan semua pihak). Ibu dan bapa kepada seorang pelajar tingkatan satu telah dipanggil untuk dimaklumkan yang anaknya sudah bertaraf ‘kelapa ditebuk tupai’. Maka berkatalah si bapa yang gila itu “ Cikgu, saya dah lama tahu semua tu. Kalau cikgu nak tahu, kakak dia lagi teruk. Saya tak kisah cikgu, yang penting dia tak bunting.” Masya-Allah, inilah penyakit gila yang melanda segelintir ibu-bapa. Kepada rakan-rakan guru, jangan sesekali alpa, tugas kita hanyalah di sekolah. Kalau pelajar kita merompak atau membunuh, itu tugas polis untuk menyelesaikan. Kalau pelajar kita bersekedudukan, itu tugas pencegah maksiat. Tolong jangan masuk campur, nanti anda akan ‘ditembak’ oleh mak-bapak dan masyarakat.














SEJUJURNYA! NAK salahkan ibu bapa seratus peratus pun tak boleh juga. Banyak juga faktor lain yang perlu diambil kira. Pernah dahulu, seorang artis wanita mengatakan para artis tidak boleh dijadikan ikon atau idola masyarakat. Maka melentinglah sesegelintir artis. Tetapi masyarakat tidak buta dan pekak dengan realiti semasa. Berpeluk-pelukan dah jadi ‘sunnah’ para artis. Lagi gila ‘sunnah’ ini direstui oleh media sebagai lumrah dan kebiasaan pasangan yang bercinta. Artis /penyanyi lelaki yang langsung tak popular telah mencium pipi artis wanita yang masih lagi bergetah, atas alasan menganggapnya sebagai ciuman mesra dari seorang anak kepada ibu angkatnya. Lepas tu, artis perempuan yang baru nak mencipta nama berpelukan mesra dengan teman lelakinya ketika berbaris membeli tiket di sebuah pawagam. Bila ditanya, maka inilah jawapannya “ secara jujurnya saya juga ingin dibelai mesra seperti insan lain yang bercinta.” Ada juga kes artis perempuan yang langsung tak dikenali, begitu asyik bermesra dengan seekor anjing. Lepas tu bila ditanya oleh wartawan, maka dengan bangganya dia mempertahankan perbuatannya. Meskipun isu anjing/ termasuklah babi masih khilaf antara ulama, namun dalam konteks Malaysia, amat tidak sesuai untuk bermesra dengan anjing. Dalam pancaindera hari ini pulak tentang seorang artis perempuan yang amat berbangga dengan darah Arabnya suatu ketika dahulu, telah bergambar hampir separuh bogel. Namun, berdasarkan jawapannya kepada wartawan, ternyata dia tak rasa bersalah malah berbangga dengan tindakannya itu. Lagi menghairankan, tidak bolehkah digubal satu enakmen untuk mendakwa artis yang tak bemoral ini ke mahkamah syariah atas alasan menghina agama apabila berkelakuan gila macam kera ini.


Kes penzinaan dan seterusnya melahirkan anak luar nikah juga tidak hanya berlaku dalam kalangan budak2 hingusan, malah golongan dewasa pun tidak terkecuali. Tidak salah rasanya, faktor kesukaran untuk mendirikan rumah tangga turut menjadi punca penzinaan. Jujur! hari ini terlalu sukar untuk berkahwin tetapi terlalu mudah untuk berzina. Semua pihak kena akui, hari ini pintu untuk pernikahan seolah-olah tertutup rapat tetapi pintu untuk perzinaan seakan-akan terbuka luas.


Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’


Dua hari yang lepas, ketika sedang minum di sebuah warung, pelbagai topik kami perkatakan. Dari topik politik yang kian menggila hinggalah ke topik kesukaran mendirikan rumah tangga. Seorang rakan saya yang agak berusia berkata “Kalau takde RM10 ribu sebagai wang hantaran, jangan harap nak pinang anak dara orang. Kalau takde RM30 ribu jangan mimpi nak nikah.” Seorang rakan yang masih muda, berusia 22 tahun bertanya sambil melawak “ Kalau RM 5 ribu tak cukup ke sebagai wang hantaran.” Lalu seorang lagi rakan saya yang berasal dari kuala kangsar dan pernah berkhidmat di perkampungan orang asli Lasah Sungai Siput menjawab, “ Kalau setakat RM5 ribu tu, nak pinang anak orang asli pun tak layak. Nanti orang asli akan jawab, Aku jual tupai dan kera pun dah lebih dari RM5 ribu sebulan.”
Lalu dinyatakan tentang perbelanjaan yang perlu agar walimah itu dianggap bermaruah dan dikagumi para hadirin. Antaranya, kelengkapan untuk persandingan mestilah hebat dan gah, Kugiran yang diundang pula mestilah boleh menyampaikan lagu dan bermain alat muzik dengan baik, kad undangan juga mestilah cantik dan kalau boleh mesti ada keunikkan yang tersendiri hinggakan dikenang oleh orang yang bertandang. Pendek kata, kena ada paling kurang RM30 ribu kalau nak kahwin.
Dalam asyik bersembang, saya terkenangkan kata-kata Datuk Seri (skrg Tan Seri) Harussani yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 18.7.2003. Katanya “ Hantaran perkahwinan yang tinggi adalah punca ramai lelaki sukar kahwin.”

Cuba sahabat bayangkan. Pasangan muda yang baru bekerja( paling awal pun berusia 23 atau 24 tahun, kerana itu usianya bagi yang baru menamatkan pengajian di IPT. Dan itupun kalau terus dapat kerja kerana lumrahnya terpaksa menganggur terlebih dahulu) di manakah dia nak mencari wang sebegitu banyak. Bank Rakyatkan ada, mungkin itu jawapannya. Tapi jangan lupa dgn bayaran PTPTN, bayaran ansuran kereta dan macam2 lagi. Kalau pasangan yang lemah iman tetapi perkasa nafsu, pasti sahaja mereka terjerumus ke kancah penzinaan. Berzina kerana terpaksa lantaran perkahwinan yang sudah bersifat urus niaga. Perkahwinan yang diwajibkan “berjenama” dan mesti dikenang selagi hayat bersisa telah mengundang sengsara kepada pasangan muda. Maka berzinalah jawapannya. Berzina juga semakin mudah kerana pil perancang dan kondom ada dijual merata-rata dan di mana-mana.