Friday, 24 May 2013

Trip ke Kashmir.

Dal Lake-Srinagar, Kashmir

Ini adalah sambungan dari tajuk lepas

Kashmir terkenal dengan gelaran 'Paradise On The Earth'. Gelaran yang tentu sahaja membawa seribu erti dan sejuta makna. Tentu sahaja erti indah dan makna menawan. Jujur! secara peribadi, saya anggap Kashmir adalah wilayah yang paling istimewa di India. Istimewa kerana keindahan alam semulajadinya. Istimewa juga kerana warisan atau tinggalan sejarah dan paling istimewa ialah, kerana 95 peratus warganya adalah beragama islam. Kashmir juga jauh lebih bersih berbanding wilayah-wilayah lain di India.

Dal Lake, Srinagar Kashmir: Shikara

Dal Lake, bersama pemilik house Boat dan beberapa orang pelancong dari Malaysia,
 Aku: 3 dari kiri

Kashmir terletak di kawasan pergunungan Himalaya. Sebenarnya Kashmir terbahagi kepada tiga pentadbiran. Atau dengan istilah mudah, ia dipecahkan kepada tiga wilayah yang ditadbir oleh negara yang berbeza, Wilayah Jammu & Kashmir berada di bawah pentadbiran Kerajaan India. Azad Kashmir pula ditadbir oleh Kerajaan Pakistan, Manakala wilayah Aksai Chin pula ditadbir oleh Kerajaan China. Kashmir yang saya kunjungi tempoh hari adalah Jammu & Kashmir yang berada di bawah pentadbiran India, dan Kashmir inilah yang paling popular dan sentiasa mendapat tempat di hati pelancong. Ibu negerinya ialah Srinagar. 

Ketika kunjungan saya tempoh hari, Kashmir sedang berada di penghujung musim luruh, dan di kawasan berhampiran Gulmarg, salji sudah mulai mencurah.

Sebenarnya banyak lokasi yang menarik dan bertaraf ‘wajib’ kunjung andainya anda melancong ke Kashmir. Antaranya ialah Dal Lake, Gulmarg, Sonamarg, Pahalgam, Pari Mahal, Nishat Bagh, Shalimaar Bagh. 

Tapi kerana tempoh kunjunngan yang terhad, maka lokasi yang saya kunjungi turut menjadi terbatas, iaitu sekitar Dal Lake, Pari Mahal, Nishat Bagh dan Shalimar Bagh. Kunjungan ke Gulmarg juga terpaksa dibatalkan saat-saat akhir kerana 'sentuhan takdir' di luar duga. 

Ketika ke Gulmarg
Kalau tak silap aku, lokasi ini ialah Pahalgam dan
 Pergunungan Salji dibelakangku itu ialah Gulmarg.


Ingin saya tegaskan, entry ini adalah berdasarkan pemerhatian dan penelitian sepanjang kunjungan saya ke Kashmir. Selain itu, saya turut memuatkan fakta-fakta yang saya perolehi menerusi pembacaan. Syukur kepada Allah, kerana amat mudah untuk memperolehi buku-buku yang menceritakan perihal Kashmir, baik di airport mahupun di tepi-tepi jalan di Srinagar. 

Gambar-gambar yang saya paparkan/upload di sini pula adalah gambar-gambar yang saya rakam sepanjang berada di sana. Kecuali, gambar Condola dan Gulmarg yang saya perolehi dari google(akan saya nyatakan dalam ruangan kapsyen nanti). Ini memandangkan rancangan saya untuk ke Gulmarg terpaksa dibatalkan secara tiba-tiba lantaran masalah teknikal yang dihadapi oleh Gondola.

Pahalgam: kalau tak silap.


Dal Lake( Tasik Dal) merupakan lokasi wajib kunjung andainya melancong ke Kashmir. Ia terletak di ibu negeri Jammu & Kashmir, iaitu bandar Srinagar. Tenang dan mendamaikan, itulah kesimpulan saya tentang tasik ini. Selain panorama yang indah, Dal Lake juga terkenal dengan house boat dan Shikara(bot-bot kecil yang dihias berwarna warni). 

Ketika kunjungan tempoh hari, saya memilih untuk bermalam di House Boat dan bukannya di hotel. Sepanjang pemerhatian juga, saya dapati ramai pelancong asing yang memilih untuk menginap di House Boat berbanding di hotel. Mungkin mereka inginkan pengalaman yang berbeza. Suhu memang sejuk terutamanya ketika malam dan awal pagi, tapi kesejukan itu dapat diusir melelaui heater yang disediakan. Di sini juga urusan jual beli rancak dilakukan di atas bot-bot yang dikenali sebagai Shikara.

Dalam Perjalanan ke Pahalgam dan Gulmarg. 
Walaupun Kashmir berada di penghujung musim luruh, 
namun di sesetengah tempat salji sudah mulai mencurah
 
Abadikan kenangan bersama salji yang baru nak mencurah

Gulmarg juga merupakan destinasi yang perlu dikunjungi andianya bertandang ke Kashmir. Ia terkenal sebagai destinasi untuk bermain ski . Diliputi salji yang memutih menjadkan Gulmarg sebagai lokasi yang amat indah dan menawan. 

Tapi, sayang, ketika kunjungan saya tempoh hari, saya dan rakan-rakan terpaksa membatalkan perjalanan ke Gulmarg. Ini kerana Gondola( Cable Car) mengalami masalah teknikal.

Untuk pengetahuan sahabat, Gondola yang digunakan di Gulmarg meruapakan Gondola yang terpanjang di dunia. Jujur! saya sangat terkilan dan sungguh kecewa, tapi saya yakin adanya hikmah yang tersirat di sebalik hakikat yang tersurat

Gambar ini dari google : Inilah Gondola untuk ke Gulmarg
.Kerana Gondola ada masalah teknikal, aku dan rakan-rakan tak dapat pergi ke Gulmarg.
Gambar ini dari Google : Gulmarg

Sekarang saya bercerita pula tentang taman-taman yang terdapat sekitar Kashmir. Tempoh hari, hanya tiga taman sahaja yang sempat saya kunjungi, iaitu Pari Maha, Nishat Bagh dan Shalimar Bagh. 

Pari Mahal merupakan sebuah taman yang perlu dikunjungi andainya anda ke Kashmir. Asalnya, ia adalah sebuah biara Budha, dan kemudiannya dijadikan sebagai balai cerap oleh Dara Shikoh, putera sulung pemerintah Mughal, Shah Jahan. Beliau kemudiannya turut membina sebuah pusat pengajian ilmu astrologi di kawasan ini.
Nishat Bagh pula dibina pada tahun 1633M oleh Asaf Khan, iaitu abang sulung Permaisuri Mughal, Nur Jahan. Ia terletak di tebing Tasik Dal dan berlatar belakangkan gunung Zabarwan.

Jika anda berkunjung pada musim bunga, saya syorkan agar berkunjung ke Siraj Bagh atau dikenali juga sebagai Indira andhi Tulip Garden. Ini kerana taman yang terletak kaki gunung Zabarwan ini meruapakan Taman Tulip Terbesar Di Asia.

Lain-Lain tentang Kashmir,biarlah gambar yang bercerita.


Pari Mahal

Pari Mahal



Pari Mahal
Dalam Perjalanan ke Pari Mahal
Nishat Bagh
Nishat Bagh
Nishat Bagh
Abadikan Kenangan di Nisha Bagh
Nisha Bagh


 Tajuk Lain Yang Berkaitan : Jaipur : The Pink City

Wednesday, 22 May 2013

Kes bunuh Sosilawati: N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya dijatuhi hukuman gantung



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga lain di Ladang Gadong, Banting pada malam 30 Ogos 2010. 

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes tertuduh. Selain Pathmanabhan, 44, , tiga yang lain ialah Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, R. Kathavarayan, 32. 

Mereka, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Sumber:Kosmo

Sunday, 19 May 2013

Keunikan Jaipur (The Pink City), Rajashtan, India

Hawa Mahal(dikenali juga sebagai The Palace Of The Winds)
Dibina pada tahun 1799 oleh Maharaja Sawai Pratap Singh.

Ini adalah sambungan dari tajuk sebelumnya 

Jaipur adalah ibu negeri Rajashtan, iaitu sebuah wilayah padang pasir yang terletak di Utara India. Jaraknya sekitar 260 km dari New Delhi dan ia sememangnya sebuah destinasi yang unik dan menarik untuk dikunjungi andainya anda berkesempatan melancong ke India. 

Hawa Mahal, Jaipur.
Bersama seorang pelancong dari Malaysia

Jaipur diasaskan oleh Maharaja Jai Singh II, malah nama Jaipur sendiri adalah dari nama Maharaja tersebut . Beliau merupakan seorang pahlawan dan ahli astronomi, dan memerintah Jaipur antara tahun 1693 hingga 1743M. Pada bulan November tahun 2012, saya berkesempatan ke sana, dan entry ini adalah berdasarkan pemerhatian sepanjang saya di sana dan digabung dengan fakta-fakta dari pembacaan. 


Hawa Mahal, Jaipur

Jaipur terkenal dengan gelaran The Pink City. Ini memandangkan kebanyakkan bangunan di sini, terutamanya bangunan-bangunan lama di sini berwarna pink atau merah jambu. Gelaran Pink City ini ada sejarahnya tersendiri. Ia bermula ketika era pemerintahan Sawai Ram Singh II yang memerintah dari tahun 1835 hingga 1880. Beliau terkenal dengan jolokan Colourful Maharaja.

Hotel penginapanku di Jaipur ini adalah 
tinggalan istana/bangunan milik 
Thakur Bhgawat Singh Ji yang dibina pada tahun 1889.
 Abaikan beg-beg besar itu sebab ia bukan milik saya.


Maharaja Sawai Ram Singh II telah mengarahkan agar seluruh bandar diwarnakan dengan pink untuk menyambut kehadiran Prince Of Wales( yang kemudiannya dikenali sebagai King Edward VII ) pada tahun 1876. Tindakannya ini bukan sahaja menjadikan Jaipur sebagai sebuah bandar yang hebat, tapi turut mempunyai identiti dan penampilan yang tersendiri.Pemilihan warna pink juga bukanlah dilakukan secara semborono, tetapi melalui beberapa percubaan atau eksprimen yang bertujuan untuk mengurangkan silau dan panas terik matahari.

Amer(Amber) Fort, Jaipur




Di Jaipur terdapat beberapa lokasi yang bertaraf ‘wajib’ dikunjungi, antaranya ialah City Palace ( Chandra Mahal) atau Kompleks Kota Diraja. Ia terletak di tengah-tengah Kota Jaipur dan Keluasannya adalah sekitar 15 peratus daripada keseluruhan Kota Jaipur. City Palace dibina oleh Maharaja Jai Singh sekitar tahun 1729 hingga 1732. 

Amer(Amber) Fort


City Palace terkenal dengan keindahan dan keunikkan sebina yang terhasil daripada adunan senibina Rajput dan Mughal. Umum mengetahui, Rajput di bawah pengaruh agama Hindu dan Mughal pula berada di bawah 
pengaruh islam
Amer Fort


Hawa Mahal (dikenali juga sebagai The Palace Of The Winds) juga merupakan lokasi yang perlu dikunjungi andainya bertandang ke Jaipur. Ia sebenarnya adalah sebahagian daripada City Palace, dan mempunyai sejarah dan matlamat yang tersendiri di sebalik pembinaannya. Selain itu, ia juga menjadi mercu tanda Jaipur, sebagaimana Taj Mahal menjadi mercu tanda Kota Agra.


Amer Fort


Hawa Mahal dibina pada tahun 1799 oleh Maharaja Sawai Pratap Singh. Bangunan atau istana setinggi lima tingkat ini mempunyai 953 tingkap kecil. Tingkap-tingkap kecil ini digunakan oleh Royal Ladies( saya takrifkan sebagai puteri-puteri raja dan anak-anak gadis golongan bangsawan) untuk melihat dan memerhatikan kehidupan di luar istana, termasuklah segala aktiviti seperti perarakan atau apa-apa majlis yang dijalankan di luar istana. wanita-wanita ini dapat memerhatikan semua itu, tanpa perlu keluar dari istana.

Ia juga dikatakan dijadikan tempat oleh wanita-wanita istana ini mengintai putera-putera raja yang berjalan dan keluar dari istana. Jadi, mereka dapat memerhati dan meneliti tanpa disedari oleh ‘mangsanya’.

Tapi, sayang, kita tidak dibenarkan sama sekali untuk ‘menyelongkar’ Hawa Mahal secara terperinci. Ini kerana segala aktiviti termasuklah merakamkan gambar hanya dibenarkan di luar sahaja. Jadi, kita tidak dapat menghayati keindahan dengan lebih mendalam. 

Amer Fort



Satu lagi lokasi yang bertaraf wajib kunjung di Jaipur ialah Amer Fort( disebut juga sebagai Amber Fort). Ia terletak kira-kira 10 atau 11 km dari Jaipur. Amer(Amber) Fort merupakan kompleks istana yang terletak di atas bukit.

Amer Fort
  

Amer Fort dibina oleh Raja Man Singh pada tahun 1592. Ia dikatakan didiami oleh Maharaja Rajput dan ahli keluarganya.Sekilas pandang, ia persis tembok besar china, walaupun tidak sepanjang tembok tersebut. 

Untuk ke Amer(Amber)Fort ini, pelancong bolehlah menaiki gajah yang disediakan. Berdasarkan pengalaman saya, para pelancong terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran untuk menaiki gajah dan seterusnya menerokai Amer Fort. 


Amer Fort


Sepanjang perjalanan(menaiki gajah) menuju Amer Fort, para pelancong berkesempatan menikmati keindahan yang terbentang di sekitar kompleks tersebut. Aktiviti meneroka dan menyelongkar keunikkan Amer Fort secara tuntas pula hanya bermula setelah perjalanan( menaiki gajah) tiba ke destinasinya. Bermula dari situ, kita akan dibawa melihat setiap sudut dan bangunan yang tersergam indah. Jujur! ia memang indah dan unik. 

Keunikan dan keindahan Amer Fort ini kerana senibinanya yang mempunyai pengaruh senibina Hindu dan Islam. Jadi, pastikan, anda merakam segala keindahan yang terhidang untuk dijadikan kenangan terindah dalam hidup anda. 

Di bahagian dalam Amer Fort terdapat beberapa buah bangunan yang cantik dan terkenal seperti Diwan-i-Aam (Hall Of Public Audience). Corak dan ukirannya seakan-akan ukiran yang terdapat pada istana-istana dinasti Mughal. Ia digunakan oleh Maharaja untuk aktiviti-aktiviti tertentu termasuklah untuk meraikan perayaan dan mengadakan sambutan sempena kemenangan.

Aku di  Amer Fort
Amer Fort
Amer Fort



Kesimpulannya mudah sahaja, andainya anda berkesempatan melancong ke India, cuba-cubalah intai ruang dan mencari peluang untuk berkunjung ke Jaipur. Saya yakin, anda akan berpuas hati dengan kunjungan tersebut. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan:  

Thursday, 16 May 2013

Faktor Penderaan Terhadap Kanak-Kanak.

Punca Penderaan Ke atas kanak-kanak
Anak adalah anugerah Allah kepada setiap suami-isteri. Ia seharusnya disyukuri, sebab agak ramai pasangan yang telah lama berkahwin tetapi tidak dianugerahkan zuriat. Kehadiran anak-anak sebagai tetamu dunia adalah lambang penyatuan dan perpaduan antara dua insan. Bersatu dan berpadu atas dasar cinta, kasih dan sayang. Bersatu sebagai suami dan isteri, dan berpadu dalam ikatan perkahwinan. Jadi, hasil penyatuan dan perpaduan itu perlu disyukuri, dihargai dan dibelai dengan penuh kasih dan sayang. 

Berdasarkan Bancian- BH Online, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak, iaitu: 
  • Ragam kanak-kanak yang nakal dan hiperaktif dikatakan menjadi punca utama berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak. 
  • Tekanan kerja yang dihadapi oleh ibu-bapa yang bekerjaya juga turut menjadi faktor penderaan kanak 
  • Sejarah silam ibu-bapa yang pernah didera ketika zaman kanak-kanaknya, lantas mereka mengulangi perbuatan yang sama terhadap anak-anaknya 
  • Terlalu membebankan pengasuh/amah. Ini kes didera oleh pengasuh/amah ni. 
  • Anak mempunyai rupa paras yang kurang menarik. Mungkin kerana kecacatan yang dialami oleh anak-anak tersebut.
 
Tajuk Lain Yang Berkaitan: Melahirkan Anak, Adalah Pertarungan Maut

Tuesday, 14 May 2013

PERAK MAN KEMBALI KE LENGGONG.



Walaupun lima tahun saya mendiami negeri Perak dan Lenggong menjadi laluan wajib setiap kali saya pulang ke kampung di Kelantan, namun ‘hubungan’ saya dengan Perak Man tidaklah akrab. Tidak pernah saya berkunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong dan tidak pernah saya melihat rangka Perak Man yang ditempatkan di Muzium tersebut. 

Sebenarnya, rangka tersebut hanyalah sekadar replika, sebab rangka Perak Man yang sebenar ditempatkan di Muzium Negara di Kuala Lumpur. Perak Man ialah rangka manusia paling tua di Malaysia, malah ada yang mengatakan tertua di Asia Tenggara. Rangka manusia zaman Paleolitik ini diketemui oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia(USM), di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak pada tahun 1990( buku teks sejarah tingkatan 1, m/s:23

 

Penemuan tersebut,di samping penemuan-penemuan lain sekitar Lenggong, termasuklah di Kota Tampan, telah membuktikan Malaysia antara negara terawal yang melalui zaman Prasejarah dunia. Walau bagaimanapun, penempatan rangka Perak Man di Muzium Negara, Kuala Lumpur sejak tahun 2006 tidak dapat diterima dengan senang dan tenang oleh segelinitir penduduk tempatan. Sebab itulah terdapat pihak-pihak tertentu yang menuntut agar rangka Perak Man dikembalikan ke lokasi asalnya. Lagipun, Lembah Lenggong telahpun diistiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan,Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). 

Khabar terbaru, ialah sebuah khabar gembira buat seluruh warga Lenggong dan Perak keseluruhannya. Ini kerana, Rangka Perak Man akan dikembalikan ke Lenggong dan akan ditempatkan di Muzium Arkeologi Lenggong

Sebelum ini, rangka( mungkin istilah jenazah lebih sopan untuk digunakan walaupun hanya saki-baki tulang) dua orang tokoh pembesar Melayu Perak telah berjaya dikembalikan ke bumi Perak Darul Ridzuan.

Tokoh yang dimaksudkan ialah Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Laksamana Wan Muhammad Amin. Kedua-dua tokoh tersebut merupakan sebahagian daripada Pembesar Perak yang dibuang bersama Sultan Abdullah ke Pulau Seychelles kerana terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W Birch, Residen British Pertama di Perak juga di Tanah Melayu pada 2 November 1875. 

Ngah Ibrahim telah menetap di Singapura setelah 12 tahun berada di Pulau Seychelles dan meninggal dunia pada 4 Febuari 1895, lalu dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Juned. Dan, pada 9 September 2006, jenazahnya dipindahkan ke Kompleks Sejarah Matang(dikenali juga sebagai Kota Ngah Ibrahim) Taiping, Perak. Laksamana Muhammad Amin pula meninggal dunia di Singapura pada tahun 1908, dan jenazahnya dipindahkan ke Perkuburan Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak pada 9. November 2006.




INFO PERAK MAN 
  • Ditemui di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak
  •  Kerja-kerja penyelidikan tulang Perak Man dimulakan pada tahun 1990 oleh Pasukan Arkeologi Universiti Sains Malaysia(USM) serta Jabatan Muzium dan Antikuiti 
  • Kajian mendapati Perak Man merupakan rangka manusia yang hidup pada zaman Paleolitik dan ditemui dalam keadaan rangka yang begitu lengkap. 
  • Ia dikebumikan dalam keadaan kaki terlipat( buku teks sejarah ting. 1. m/s 23) 
  • Perak Man dipercayai hidup sekitar 10 ribu hingga 11 ribu tahun dahulu 
  • Perak Man dipercayai meninggal dunia dalam lingkungan umur 40 hingga 45 tahun. 
  • Jangka hayat manusia ketika itu ( Zaman Paleolitik) ialah sekitar 20 hingga 30 tahun sahaja., 


Tajuk Lain Sebelumnya :Hutan Paya Laut Matang

Sunday, 12 May 2013

Terima Kasih Ibu


Mengandung dan melahirkan anak, tidaklah sesenang yang diduga dan tidaklah semudah yang disangka. Sejak zaman berzaman lagi, ibu-ibu yang sedang bertarung melahirkan anak diibaratkan sedang bertarung dengan ajal. 

Benar! zaman telah berubah dan kemajuan dalam bidang perubatan amat membanggakan. Namun, ibu-ibu tetap berisiko untuk kehilangan nyawa semasa melahirkan anak.

Benar! ia berjaya dikurangkan tapi tidak untuk disifarkan. 


Di Malaysia, data dari kongres Saintifik Antarabangsa, Kolej Obstetrik dan Ginekologi(RCOG) 2012, menunjukkan: 

  • 200 wanita negara ini meninggal dunia setiap tahun semasa melahirkan anak. 
  • Dari segi nisbah, ia bersamaan 27 kes untuk 100,000 kelahiran (27: 100K

Di Negara Maju pula( pasti sahaja amat berkualiti dalam aspek perubatan dan kemudahan kesihatan), data dari RCOG,2012 menunjukkan:
  •  Dari segi nisbah , terdapat 10 kes kematian bagi setiap 100,000 kelahiran( 10:100K
Kesimpulannya, semaju mana sekalipun sesebuah negara dan sehebat mana sekalipun pencapaian dalam bidang perubatan, ibu-ibu tetap bertarung nyawa untuk melahirkan anak-anaknya. 

Moga data-data yang dikemukakan ini mampu mengetuk pintu sedar pada diri masing-masing, dan sekali gus kita akan lebih menghargai, menyayangi dan mengasihi ibu tercinta.

Wednesday, 8 May 2013

(Sesat Dan Kufur) Apabila Kitab-Kitab Hadis Dianggap Sebagai Buku Olahan Manusia.


Perbuatan menganggap hadis sebagai buku olahan manusia amatlah biadap dan boleh menyebabkan kekufuran. Mungkin bagi manusia yang bernama Saiful Bakhtiar Hashim, kitab-kitab hadis termasuklah kitab Sunan Sittah itu setaraf dengan majalah Mangga dan URTV. Mungkin bagi dia, ulama-ulama hadis,termasuklah Imam Bukhari dan Muslim itu setaraf dengan wartawan Majalah Hiburan. Ulama-ulama hadis telah mewakafkan hidup dan kehidupannya untuk mempelajari dan mengkaji hadis termasuklah menkaji sanad dan matan hadis dan menguasai pelbagai disiplin ilmu hadis termasuklah ilmu Al-Jarh wa al-Ta’dil. Tapi dengan penuh kebiadapan, dia samatarafkan hadis tersebut dengan buku olahan manusia. 

Sejujurnya, saya pernah meneroka dan menyelongkar ke akaun Facebooknya, ternyata dia ni amatlah cakna terhadap masalah dan permasalahan orang Melayu. Dia lantang mengutuk pihak-pihak yang menggugat Ketuanan Melayu,termasuklah DAP. Tahniah perlu diucapkan kerana dia sangat prihatin terhadap isu melayu dan kemelayuan, namun takziah lebih utama untuk diucapkan sebab dia terbabas dan tergelincir dari sudut islam dan keislaman. 

Menolak hadis yang sahih( baik mutawatir mahupun Ahad), hukumnya adalah kufur. Dan, sebagai umat islam, kita seharusnya menerima hadis-hadis yang sahih dan hasan. Lainlah kalau hadis bertaraf Dhaif. Itupun masih boleh diterima untuk kelebihan amal, selagi tidak terlalu Dhaif(dhaif jiddan) ataupun hadis palsu (maudhu') yang perlu ditolak secara total.