Sunday, 31 March 2013

PENGGANAS SULU MENYAMAR MENJADI ORANG TEMPATAN.



SEMPORNA - Saki-baki pengganas Sulu yang diburu pasukan keselamatan dikesan menukar strategi apabila kebanyakan mereka kini didakwa mengaku sebagai orang tempatan dan bercakap dalam loghat Bajau. Pengganas Sulu juga tidak akan membawa senjata ketika keluar di tempat awam seperti pasar dan pekan bagi menggelak mereka diketahui oleh orang awam dan juga pihak berkuasa yang kerap melakukan pemeriksaan. "Strategi baharu pengganas Sulu itu menyukarkan pihak berkuasa mengesan saki-baki pengganas Sulu," kata sumber itu.

Sumber: KOSMO

Saturday, 30 March 2013

PRU13: TAHNIAH BUAT DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN



Sejujurnya saya tidak sahaja menghormati, malah amat mengagumi pendirian Mantan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam isu politik. Tindakannya yang ingin kekal sebagai manusia bebas dan berada di luar lingkungan parti amatlah tepat. Sesungguhnya berpolitik tidak semestinya berparti. Dr Asri menegaskan, beliau menolak tawaran untuk menjadi calon mana-mana parti dalam PRU13 kerana ingin seimbang dan lebih adil dalam menilai isu berkaitan Pakaran Rakyat mahpun Barisan Nasional.


 

Sejujurnya, sejak dahulu lagi, saya amat menghormati keberanian dan ketegasan Dr Asri ‘menghalakan senjata’ dan ‘meledakkan peluru’ kepada sesiapa sahaja termasuk Raja-Raja Melayu dan ‘ Para Pembesar Agama’ dalam negara.( Lihat gambar di atas.)

Akhir sekali mari hayati segala PANDUAN MEMILIH PEMIMPIN yang telah dinyatakan oleh Dr. Asri Zainul Abidin, lihat --> SINI

Friday, 29 March 2013

Kiranya Kau Bisa Mendengar(Setelah Genap Setahun Pemergian Ayah Tercinta)

Di sinilah ayahku disemadikan
 
 
Entry ini sepatutnya saya tulis beberapa hari yang lalu, iaitu pada 25 MAC 2013. Namun, saya tiba-tiba rasa terpanggil untuk menulisnya hari ini setelah menziarahi pusara ayah pagi tadi. 

Sesungguhnya 25 MAC menjadi begitu segar di hati dan teramat bugar di sanubari. Ini kerana, 25 MAC, merupakan tarikh ayah saya dilahirkan, dan ia juga merupakan tarikh ayah saya menghembuskan nafas yang terakhir. 25 MAC 2012, pukul 5.00 pagi, detik yang pastinya kekal melekat di ingatan selagi hayat dipinjamkan Tuhan. 

Pantas benar larian waktu, namun segala-galanya masih segar dan bugar dalam ingatan. Ternampak-nampak dan terbayang-bayang seakan-akan baru sahaja berlalu dan berlaku. Iya, saya masih terkenang detik-detik saya memandi,mengkafan dan menyembahyangkan, serta mengebumikan jenazah ayah. Setiap kali mengimbas kembali segala susah payah dan perit getir yang arwah ayah lalui untuk menyara keluarga dan membesarkan anak-anak, pasti sahaja akan mengundang sebak di dada saya. Lagi mengharukan, kerana amat banyak episod-episod duka yang pernah ayah alami semasa hayatnya, tapi tersembunyi dari pengetahuan saya. Saya hanya mengetahui sesudah pemergiannya dan itupun setelah diberitahu oleh ibu dan mak saudara saya.

AYAH! kiranya kau dapat mendengar, aku ingin kau tahu, sesungguhnya kehilanganmu amat berat buatku. Ayah! kiranya kau dapat mendengar, ku ingin kau ketahui, segala kenangan bersamamu tidak akan sesekali terhakis dan terkikis dari ingatanku. Ayah! kiranya kau dapat mendengar, Aku ingin kau ketahui, rindu, kasih dan sayangku terhadapmu tidak pernah surut dan susut, malah sentiasa segar dan bugar. Terima Kasih Ayah. 

IMBAS KEMBALI 

“Esok arijadi ayh.genap 73 tahun.pakat doa biar ayah pnjg umur lg.” Itulah sms yang dihantar oleh abangku yang setia menemani ayah, sepanjang ayah menjadi warga Wad 8 Selatan. SMS tu dihantar pada pukul 10:08:07 malam, 24 Mac 2012.

Dengan penuh harap dan dengan penyerahan yang total, aku bersolat hajat sempena hari ulang tahun kelahiran ayah. Dengan harapan, mudah-mudahan ayah disembuhkan dari penyakitnya dan sekali gus dipanjangkan umur. Ya, tiada yang tidak mungkin dengan izin Allah dan tiada yang mustahil dengan kehendak Allah, namun kerja Allah tak siapa yang tahu. 

Pukul 4.30 pagi, 25 Mac 2012, abangku menelefon memberitahu ayah dalam keadaan nazak. Aku mula gelabah dan terus bersiap siaga untuk pulang ke kampung. Setengah jam kemudian, abang mengkhabarkan berita duka, ayah sudah tiada….

 “Innalillahiwainna-ilaihirajiun."

Sedih, terkejut ,resah dan gelisah saling bertindih dalam jiwa. Sedih sebab aku tiada di sisi ketika ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Resah dan gelisah kerana keretaku masih kat workshop setelah terlibat dalam kemalangan, lantas aku meminta bantuan seorang sahabat untuk menghantarku ke stesen teksi di Terminal Bas Medan Gopeng.

Syukurlah ada teksi yang sudi ke Kelantan dengan tambang RM460.00. Juga resah dan gelisah, kerana takut tidak sempat menatap wajah ayah buat kali terakhir. Syukur kepada Allah, kerana aku sempat menatap dan mengucup dahi arwah ayah. Amat bersyukur kerana aku dan adik beradik sempat memandi,mengkafan dan menyembahyangkan, serta sama-sama mengebumikan jenazah ayah. Selamat Jalan Ayahku Tercinta, Semoga Damai Kau Di Sana.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu 

Artikel Sebelumnya: Dalam Dompet Seorang Ayah

Thursday, 28 March 2013

HARI INI DALAM SEJARAH: DUN NEGERI SEMBILAN TERBUBAR SECARA AUTOMATIK

Peta Negeri Sembilan



Sistem pentadbiran dan pilihan raya negara ini menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri hari ini. Mandat semasa kerajaan Negeri Sembilan berakhir tengah malam tadi, membolehkan pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari. 

Ini adalah kali pertama Dun sebuah kerajaan negeri terbubar dengan sendiri - berbeza dengan apa yang disaksikan sepanjang 12 pilihan raya umum yang lalu. Dun terbubar dengan sendiri di sebalik spekulasi berterusan Parlimen akan dibubarkan. 

Lebih Lanjut: Sinar Harian 

Info Tambahan: 

Hari ini dalam sejarah dan ia sewajarnya dikenang oleh rakyat Negeri Sembilan. Oleh itu, amatlah wajar jika 28 MAC dijadikan sebagai cuti umum di Negeri Sembilan.

Monday, 25 March 2013

Dr. Uthman El- Muhammady kembali ke Rahmatullah



Tokoh agama terkenal, Dr Uthman el-Muhammady kembali ke rahmatullah. Berita duka ini ,saya terima sekitar pukul 10.00 PM tadi, menerusi SMS. Sesungguhnya negara telah kehilangan seorang ilmuan islam yang telah banyak mencurahkan jasa. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang soleh. Al-Fatihah.


Biodata Ringkas Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady 

  • Ustaz Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady dilahirkan di Kampong Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan Darulnaim pada 1 Februari 1943 
  • Bermula pendidikannya dengan bersekolah Melayu, kemudian memasuki “Special Malay Class” tahun 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya menjadi Maktab Sultan Ismail, atau “ Sultan Ismail College” hingga ke Tingkatan 5.
  • Beliau kemudiannya mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star Kedah. 
  • Pada tahun 1963, beliau memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. 
  • Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969. Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 
  • Apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas. 
  • Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D.Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.

Friday, 22 March 2013

PRU13 :SEMAKAN PENDAFTARAN PEMILIH SECARA ONLINE

Ini saya punya.

Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13(PRU13) bakal menjelma bila-bila masa sahaja dari sekarang. Jadi mengetahui lokasi mengundi amatlah penting. Anda boleh membuat Semakan Daftar Pemilih di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya

Selain itu, anda juga boleh membuat semakan pemilih melaui SMS: Semakan Pemilih secara SMS:

 SPR SEMAK No.IC DAN HANTAR KEPADA 15888

Tuesday, 19 March 2013

JALAN- JALAN KE INDIA (DELHI,AGRA DAN JAIPUR)

Jama Masjid Delhi


Ini adalah sambungan dari tajuk lepas, lihat SINI 

Entry ini selayaknya saya istilahkan sebagai entry yang tertangguh, Ini kerana kunjungan saya ke India, iaitu ke Agra, Delhi dan Jaipur adalah pada 16 hingga 19 November 2012. Delhi, Agra dan Jaipur dikenali juga sebagai Golden Triangle. Ketiga-tiga destinasi ini merupakan antara lokasi ‘ wajib kunjung’ andainya melancong ke India. Ini kerana Golden Triangle menyajikan keunikkannya yang tersendiri.


Jama Masjid Delhi
  

Sebelum melanjutkan bicara, saya paparkan sedikit info penting: 
  • Penerbangan dari KLIA ke Indira Gandhi International Airport, Delhi mengambil masa lebih kurang 5 jam 30 minit. Setakat ini, Air Asia belum lagi memulakan destinasi penerbangan ke Delhi, jadi terpaksa menggunakan pesawat MAS. 
  • Beza waktu antara Malaysia dan India ialah dua jam tiga puluh minit. Jika di Malaysia 10.00 AM, maknanya di India baru pukul 7.30 AM
  • Kadar tukaran asing ketika kunjungan saya tempoh hari pula ialah, 1.00 MYR=17.3376INR


Mengabadikan kenangan di Jama Masjid. Aku- dua dari kiri

Delhi merupakan lokasi pertama yang saya dan rakan-rakan kunjungi. Bandaraya ini dianggap sebagai Jantung India (Heart Of India), bersesuaian dengan statusnya sebagai ibu negara India. Ia dihuni oleh 6.5 juta orang dan sekali gus menjadi antara lokasi terpadat di India. Terdapat beberapa destinasi menarik di Delhi, antaranyanya Jama Masjid, Red Fort, Qutb Minar dan India Gate. Namun, sepanjang di Delhi, saya hanya mengunjungi Jama Masjid dan India Gate. 

Jama Masjid Delhi


Jama Masjid meruapakan antara masjid terbesar dan paling mempersona di India. Ia dibina oleh Shah Jahan pada tahun 1656M. Baginda merupakan Maharaja Mughal yang kelima, yang memerintah empayar Mughal dari tahun 1628M hingga 1658M.

Shah Jahan jualah yang membina monumen cinta yang terkenal, Taj Mahal. Jama Masjid memang besar dan luas hingga ia mampu memuatkan 20 ribu jemaah dalam satu-satu masa. Untuk merakam gambar atau membawa masuk kamera, para pengunjung dikenakan bayaran atau tiket. Maaf, saya terlupa jumlah bayarannya.

India Gate pula merupakan sebuah binaan atau lebih tepat lagi gerbang yang dibina bagi memperingati 90 ribu orang tentera India yang terkorban dan hilang semasa Perang Dunia 1( World War I) 

Abadikan Kenangan di Taj Mahal, Agra


Agra pula terletak di Uttar Pradesh. Kota Agra dianggap sebagai Heart of Mughal Empire. Gelaran ini mungkin kerana Kota Agra menjadi pusat pentadbiran Maharaja-Maharaja Mughal, dan hingga ke hari ini sisa-sisa peninggalan empayar Mughal masih lagi utuh di Agra. Antara peninggalan atau warisan empayar Mughal yang terdapat di Agra ialah Taj Mahal, Agra Fort dan Fatehpur Sikri.

Taj Mahal: Bersama rakan-rakan.Aku: Dua dari kiri


Umum mengetahui akan Taj Mahal. Selain monumen cinta, ia juga salah satu daripada tujuh keajaiban dunia. Taj Mahal dibina oleh Maharaja Shah Jahan sebagai tanda ingatan terhadap isterinya, Mumtaz Mahal yang meninggal semasa melahirkan anaknya yang terakhir. Proses pembinaan Taj Mahal mengambil masa selama 22 tahun dan melibatkan 20 ribu orang tenaga pekerja. Bayangkanlah, mereka menggunakan jari- jemari tertentu(berdasarkan penerangan yang disampaikan kepada saya) selama 22 tahun. 

Kubur/Makam Akbar


Taj Mahal sememangnya menjadi lokasi kunjungan yang amat popular, baik dalam kalangan pelancong asing mahupun tempatan. Dikatakan lebih 650 ribu pengunjung yang menziarahi Taj Mahal saban tahun.

Untuk memasuki perkarangan Taj Mahal, para pengunjung diwajibkan memakai atau mengenakan sarung kaki pada kasutnya. Ini bertujuan memelihara kebersihan Taj Mahal. Namun kebanyakkan pelancong tempatan lebih selesa berkaki ayam dan menanggalkan kasut atau sandalnya di kawasan yang dikhaskan.

Di sini juga aktiviti fotografi ada had dan batasannya. Sebabnya di sudut-sudut tertentu, terutamanya di makam Shah Jahan dan Mumtaz Mahal, segala aktiviti fotografi dilarang sama sekali.

Agra Fort


Agra Fort pula merupakan sebuah kota yang digunakan oleh para pemerintah empayar Mughal.Ia didiami dan seterusnya dijadikan sebagai pusat pentadbiran oleh beberapa orang Maharaja Mughal, antaranya ialah Babur, Humayun, Akbar, Jehangir, Shah Jahan dan Aurangzeb . Kini ia merupakan sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia, UNESCO. Kota ini terlalu besar dan luas, lantas menatijahkan kegagalan untuk saya menyelongkar dan menerokainya. Hanya sudut dan perkarangan tertentu sahaja yang sempat saya dan rakan-rakan kunjungi. 

Agra Fort


Lokasi terakhir yang saya kunjungi di Agra ialah Fatehpur Sikri. Tapi sayang, kunjungan dilakukan pada waktu malam, jadi tiada gambar yang sempat saya rakam.

Sebenarnya Fatehpur Sikri ini mempunyai perkaitan yang rapat dengan seorang tokoh sufi, iaitu Sheikh Salim Chistie. Beliau dianggap sebagai Holly Man atau istilah mudahnya keramat. Beliau dikunjungi Maharaja Mughal yang ketiga, iaitu Akbar yang memerintah sekitar 1556M hingga 1605M. Mungkin ramai yang tahu tentang Akbar gara-gara filem Jodha Akbar lakonan Hrithik Roshan and Aishwarya Rai. Malah, ramai juga yang menyanjung usaha-usaha Akbar lantaran terpengaruh dengan filem tersebut, padahal Akbar adalah seorang manusia yang telah menodai kesucian agama islam demi kelangsungan pemerintahannya. 

Agra Fort
  

Akbar mempunyai tiga orang isteri atau permaisuri. Permasuri pertamanya beragama islam yang dikatakan berasal dari Istanbul Turki. Permaisuri kedua pula beragama Kristian dan berketurunan Portugis dari Goa India, manakala permaisuri ketiganya pula beragama Hindu, puteri Raja Rajput. Malangnya Akbar tidak memperolehi sebarang zuriat walaupun memiliki tiga orang permaisuri.

Jalan terakhir, Akbar menemui Sheikh Salim Chistie dan memohon agar tokoh Sufi itu mendoakan agar beliau diangerahkan zuriat. Dengan izin Allah, doa Sheikh Salim Chistie dimakbulkan dan Akbar beroleh zuriat dari isteri atau permaisuri yang beragama Hindu. 

Agra Fort : Bersama seorang pelancong Malaysia. Aku : Kiri





Sejak detik itu, Akbar mulai rapat dan akrab dengan Sheikh Salim Chistie. Malah, setelah kematian Sheikh Salim Chistie, kuburnya dipuja dan dikeramatkan oleh segelintir umat islam di India.

Ketika berkunjung ke Fatehpur Sikri, saya sempat menziarahi makam atau kuburnya, dan amat menyedihkan kerana ramai umat islam di sini yang rosak akidahnya kerana terlibat dengan amalan ‘penyembahan’ kubur. Apa tidaknya, sesiapa yang berhajatkan sesuatu diminta menulis hajatnya pada sehelai kertas dan kertas itu akan diberikan kepada penjaga makam Sheikh Salim Chistie untuk didoakan. Bukan itu sahaja, malah air hujan dan embun yang menitis di atas bumbung makam Sheikh Salim Chistie akan dianggap sebagai Holly Water dan begitu juga dengan air mengalir dari bumbung makam tersebut ke sebuah kolam berhampiran. Amalan syirik ini amat menyakitkan hati tapi sayang ia begitu menebal di kalangan seglintir umat islam di India. 

Amer Fort, Jaipur


Kembali kepada tajuk, destinasi terakhir yang saya dan rakan-rakan kunjungi ketika di India ialah Jaipur. Ia merupakan ibu negeri Rajasthan, sebuah wilayah yang terletak di Utara India. Kota Jaipur juga dikenali sebagai The Pink City, ini memandangkan kebanyakkan bangunan di sini berwarna pink. Terdapat beberapa lokasi menarik di Jaipur, antaranya ialah Hawa Mahal(Palace Of Winds)dan Amer Fort. Menariknya perjalanan di Amer Fort persis mendaki Tembok Besar China walaupun tidak sepanjang itu jarak atau panjangnya. Menarik juga, kerana perjalanan untuk meneroka Amer fort adalah dengan menggunakan gajah.

Friday, 15 March 2013

AGBIMUDDIN KIRAM BERJAYA MELARIKAN DIRI KE FILIPINA


Pihak berkuasa keselamatan negara yakin telah melumpuhkan kumpulan penceroboh pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, dengan ketua kumpulan itu dipercayai melarikan diri ke Filipina. Gerakan ofensif pasukan keselamatan negara terhadap kawasan kubu pengganas di Kampung Tanduo sejak 11 hari lepas menyebabkan ketua kumpulan penceroboh itu, Azzumudie Kiram, yang turut dikenali sebagai Agbimuddin Kiram, meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu. Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, 12 March 2013

Keputusan STPM 2012 akan diumumkan Isnin depan.



Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 akan diumumkan Isnin depan.

Menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) semalam, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT < jarak > No.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888. Keputusan juga boleh diperoleh dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari, hari yang sama.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan jam 12 tengah hari pada hari sama di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor. Pada 2012, seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan STPM di 760 pusat pemeriksaan pada 2012 dan daripada jumlah itu, 47,708 calon sekolah kerajaan, 1,112 sekolah swasta, 2,795 persendirian dan 58 calon sekolah kerajaan negeri.

Sumber: Metro

Monday, 11 March 2013

Pencerobohan di Lahad Datu: Komander Musa disahkan terbunuh



Satu daripada 18 mayat penceroboh militan yang dihantar ke Hospital Lahad Datu malam tadi, dipercayai ketua kumpulan itu berpangkat jeneral yang dikenali sebagai Komander Musa. "Satu mayat itu macam rupa Komander Musa," kata Ketua Forensik Operasi Daulat ASP Hussien Omar Khan. Beliau berkata mayat yang dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu di Felda Sahabat, kira-kira 130km dari sini, telah reput dan proses bedah siasat akan dibuat pakar patologi dari Hospital Pulau Pinang. Musa, yang mengetuai kumpulan pengganas Sulu dikatakan melarikan diri dari Kampung Tanduo dan memasuki Kampung Tanjung Batu sebelum terbunuh dalam pertempuran yang turut menyaksikan 31 pengganas Sulu maut. 

Pendikir Tak Bermoral Mencemari Kelantan



Memalukan bila menonton dikir barat sekarang ni. Setaraf dengan tarian tiang, malah seakan-akan aksi bintang porno. Harap-harap semua pihak yang cakna agama dan adat berganding bahu membasmi gejala tak bermoral dan tak bermaruah ini. 

Semoga Allah memberikan hidayah kepada pendikir-pendikir tak bermoral ini. 

Lihat dan nilailah sendiri betapa gilanya pedikir-pendikir tak bermoral ini.


 

Hentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu



Peguam Karpal Singh berkata kerajaan harus segera menghentikan bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada individu yang mendakwa diri keturunan Kesultanan Sulu. Karpal berpendapat bayaran itu adalah suatu kesilapan terutama selepas Sabah mencapai kemerdekaan dan berkata keturunan Kesultanan itu tidak mempunyai locus standi bagi menerima bayaran berkenaan. 

 "Hanya kerajaan Filipina mengambil beberapa langkah dalam membuat tuntutan ke atas hak wilayah Sabah kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), namun selepas lawatan rasmi bekas Presiden Ferdinand Marcos pada lewat 1960-an dan perlakuan pentadbiran selepas beliau, mereka sudah mengetepikan tuntutan itu. 

 "Ini boleh dilihat dengan jelas daripada tindakan kedua-dua kerajaan yang bersetuju mempertingkat hubungan diplomatik daripada status konsulat kepada duta, (yang membuktikan bahawa) kemerdekaan Sabah diiktiraf kerajaan Filipina," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Karpal juga berkata beliau bersetuju dengan pendirian tegas kerajaan yang tidak mahu berunding dengan penceroboh dan penggunaan kekerasan bagi mengusir mereka dari Sabah. "

Pasukan keselamatan tidak seharusnya membenarkan sebarang kesilapan keselamatan selanjutnya dengan bertindak segera menghapus segala unsur ekstremis yang mungkin masih wujud di Sabah," katanya. – 

Sumber:Sinar Harian 

Info Tambahan:
Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira parti perlu menyokong cadangan ini.

Bapa Saiful Bukhari sertai PKR


Bapa kepada Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim dijangka akan menyertai PKR selepas menyerahkan borang secara rasmi untuk menjadi ahli di sekretariat parti tersebut di Petaling Jaya hari ini. 

Dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR selepas menyerahkan borang itu, Azlan berkata beliau sudah lama menjadi penyokong PKR dan kini akan menyertai parti itu bawah pimpinan Anwar. Azlan dalam kenyataannya dua hari lalu mendakwa anaknya Saiful Bukhari dipergunakan oleh "seseorang dalam pejabat perdana menteri" untuk memburuk-burukkan Anwar. 

Sumber : Malaysiakini 

Info Tambahan: Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan kita bebas memilih parti mana yang ingin dijaidkan sandaran perjuangan. Hormatilah pendirian En.Azlan Mohd Lazim. P/S: Saya belum lagi menjadi ahli kepada mana-mana parti dan tidak akan sesekali menyertai mana-mana parti.Berpolitik tidak semestinya berparti.

        

Friday, 8 March 2013

SETELAH HUJAN MEMBASAHI



Agak lama saya tak memegang kamera, lebih kurang lima bulan dah. DSLR saya simpan jer dalam dry box. Tiba-tiba gatal tangan nak shoot gambar titisan embun pada ranting bunga.

Thursday, 7 March 2013

PENCEROBOHAN DI LAHAD DATU: DALANG PENCEROBOHAN DITANGKAP


(Harian Metro: Jumaat, 8. Mac .2013, M/S :8)


Mat Bom adalah nama yang disebut-sebut sebagai dalang dan disyaki sebagai mahkluk paling ghairah mengundang ‘Tentera Diraja Sulu’ ke Lahad Datu Sabah. Sesungguhnya Mat Bom bertannggungjawab di dunia dan akhirat di atas setiap titis darah perajurit yang menitis dalam kes ini.

Tahniah kepada PDRM,ATM atas kejayaan ini. 

Mungkin, masih ada yang tertanya-tanya siapakah Mat Bom dan ingin mengenali Mat Bom secara menadalam, jadi langsung sahaja ke -->: SINI

GAMBAR-GAMBAR MAYAT PENCOROBOH DI LAHAD DATU

Walaupun perjuangan mereka bercanggah dengan islam, namun terdapat
segelintir umat islam di Filipina yang mengistiharkan mereka 
sebagai syuhadah atau Tausug Syahid


Sehingga kini di khabarkan bahawa pihak polis dan tentera serta pihak penyiasat sedang membuat rondaan dan siasatan terus menerus bagi memastikan tiada stu pun pengganas atau pencoroboh yang masih menyorok di dalam hutan tersebut. 

Ini antara gambar-gambar mayat pencoroboh yang telah polis sebarkan di seluruh rancangan tv petang tadi 6 mac 2013.

Mati secara sia-sia



Mayat-mayat penceroboh yang bergelimpangan
   


Gambar-gambar diambil dari: myinfo4u

Terkini di Lahad Datu:52 pengganas Sulu disahkan mati setakat ini - KPN



LAHAD DATU 7 Mac - Sebanyak 52 pengganas Sulu disahkan mati setakat ini, termasuk 32 orang dengan seorang berpangkat jeneral berjaya ditembak hari ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. 

Menurut beliau, jumlah itu tidak termasuk musuh yang dilaporkan cedera manakala ada sebahagiannya telah dikebumikan. -

Wednesday, 6 March 2013

Pencerobohan Lahad Datu : Pasukan Keselamatan menemui kubur yang besar menempatkan mayat penceroboh


Pasukan keselamatan Malaysia membongkar sebuah kubur besar yang menempatkan sembilan mayat penceroboh di Kampung Tanduo. Gambar-gambar mayat dan operasi berterusan yang dikendalikan di tempat kejadian dipaparkan oleh Menteri Pertahanan pada Rabu. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan bersenjata berjaya merampas senjata-senjata semasa operasi tersebut. “Ini membuktikan, mayat yang kami peroleh dikumpulkan, dan kami dalam proses untuk mengumpulkan lebih banyak mayat,” katanya pada sidang media secara langsung di TV3 di Felda Sahabat di di sini



Kementerian turut mengesahkan bahawa 13 mayat dijumpai semasa operasi itu. Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada anggota keselamatan Malaysia yang cedera dalam operasi berkenaan. “Kami menjalankan bedah siasat sepenuhnya terhadap mayat bagi mengenal pasti bagaimana mereka mati,” katanya. Kedua-dua menteri itu turut menunjukkan gambar-gambar senjata yang dirampas di tempat kejadian dan mayat seorang lelaki bersenjata yang ditembak dan mati pada pukul 6.45 pagi.

 SUMBER

Tuesday, 5 March 2013

EKSTRADISI JAMALUL KIRAM III KE MALAYSIA UNTUK DIADILI



Pelbagai pihak hari ini meminta Kementerian Luar mendesak kerajaan Filipina menyerahkan Jamalul Kiram III untuk dibicarakan di negara ini kerana dipercayai telah mengarahkan pencerobohan bersenjata di Sabah sehingga mengorbankan lapan anggota polis Malaysia. 

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, walaupun Jamalul Kiram tidak menyertai pencerobohan di Lahad Datu dan berada di Filipina, namun sejak peristiwa itu, dia menunjukkan sokongan melalui beberapa kenyataan. "Jamalul Kiram tidak menyertai pencerobohan di Lahad Datu, namun ia tidak bermakna dia tidak buat kesalahan sebab dalam undang-undang kita, dia tetap bersubahat melakukan satu kesalahan," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata, adalah wajar jika kerajaan memohon Filipina mengekstradisi Jamalul Kiram, yang mendakwa dirinya 'Sultan Sulu', untuk dibicarakan di mahkamah negara ini.

Penganalisis politik Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pada dasarnya bersetuju dengan desakan itu, namun mahu pertuduhan kukuh berlandaskan undang-undang dikaji terlebih dahulu. "Pakar undang-undang di Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Luar perlu main peranan dalam hal-hal diplomasi dan mengkaji hal berkaitan undang-undang antarabangsa supaya pertuduhan kukuh dapat dibuat," 

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan berkata pencerobohan itu mengakibatkan kekejaman di wilayah berdaulat, dan ini tidak boleh diterima. "Tindakan itu begitu ganas, ia dilakukan dengan mendapat sokongan daripada Jamalul Kiram, dan sokongan itu membawa kepada kematian lapan anggota polis walaupun pada hakikatnya polis telah menawarkan untuk berunding," jelasnya.

Dekan Kolej Undang-Undang dan Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Muhamed pula berkata dari sudut hubungan diplomatik, kerajaan Malaysia boleh meminta kerajaan Filipina mengekstradisi Jamalul Kiram. Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara (Respa) Datuk Mohamad Jamil Mohamad Hassan bersetuju supaya peruntukan undang-undang antarabangsa dikaji, terutama yang melibatkan soal ekstradisi.

Sumber:Sinar Harian

INFO TAMBAHAN:
Elok benar kalau Sultan Sulu Jadi-jadian ini di ektradisi ke Malaysia. Teringinya nak terajang kepala ‘Sultan’ yang tolol lagi bahlul ni.

Terbaru di Lahad Datu:Polis tak umum jumpa mayat



Drama pencerobohan kumpulan pengganas Sultan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah mencapai kemuncak semalam apabila pasukan keselamatan melancarkan serangan melalui Ops Daulat secara besar-besaran di kawasan yang ditawan sejak 22 hari lalu. Gerakan pukul 7 pagi itu bermula dengan serangan bom MK81 seberat 113 kilogram sebutir itu berlangsung hampir 30 minit membabitkan lapan jet pejuang masing-masing tiga buah F/A-18D Hornet dan lima buah Hawk 208. 

Sebaik serangan udara yang dibuat dalam lingkungan empat kilometer di kampung itu tamat, pasukan infantri Rejimen Askar Melayu Diraja pula melepaskan tembakan mortar untuk melumpuhkan saki-baki musuh. Selepas itu, anggota komando Tentera Darat dan polis bersama kenderaan perisai Condor memasuki lokasi serangan untuk operasi penggeledahan kawasan yang diserang.

 Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi, polis mahupun pihak tentera tidak mengumumkan mengenai penemuan mayat atau senjata api puak pengganas. KUALA LUMPUR - Drama pencerobohan kumpulan pengganas Sultan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah mencapai kemuncak semalam apabila pasukan keselamatan melancarkan serangan melalui Ops Daulat secara besar-besaran di kawasan yang ditawan sejak 22 hari lalu. 

Gerakan pukul 7 pagi itu bermula dengan serangan bom MK81 seberat 113 kilogram sebutir itu berlangsung hampir 30 minit membabitkan lapan jet pejuang masing-masing tiga buah F/A-18D Hornet dan lima buah Hawk 208. Sebaik serangan udara yang dibuat dalam lingkungan empat kilometer di kampung itu tamat, pasukan infantri Rejimen Askar Melayu Diraja pula melepaskan tembakan mortar untuk melumpuhkan saki-baki musuh. 

Selepas itu, anggota komando Tentera Darat dan polis bersama kenderaan perisai Condor memasuki lokasi serangan untuk operasi penggeledahan kawasan yang diserang. Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi, polis mahupun pihak tentera tidak mengumumkan mengenai penemuan mayat atau senjata api puak pengganas. 

Sumber:Kosmo

Insiden di Lahad Datu: Membongkar dalang di sebalik pencerobohan

Manila Bulletin


Siapakah yang menjadi dalang di sebalik pencerobohan di Lahad Datu oleh lanun-lanun yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu. Inilah yang menjadi teka-teki yang amat merimaskan. Semua pihak tertanya-tanya dan samapi ke hari ini belum ada jawapan yang tetap dan tepat. Walaupun begitu, sebagai manusia yang waras, kita pastinya ingin mengetahui jawapan disebalik teka-teki ini. Meskipun jawapan itu tidaklah teramat tepat dan tersangat benar serta terlampau sahih sebagaimana tepat, benar dan sahihnya jawapan untuk soalan satu tambah dua, jawapannya tiga. 

PM,Najib bersama Sultan Esmail Kiram


MEDIA ASING YANG MAHA BERKUASA. 


1. Anwar Ibrahim Adalah Dalang Utama. 

Tersebar dalam media Filipina, kononnya Ketua Pembakang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi dalang utama di sebalik pencerobohan Tentera Diraja Kesultanan Sulu. Berita ini kemudiannya disebarluaskan oleh media-media Malaysia, terutamanya Utusan Malaysia dan TV3. Seantero Malaysia cuba diyakinkan Anwar Ibrahimlah manusia yang bertanggungjawab ‘menjemput’ penceroboh datang ke Lahad Datu. 

Akibatnya mengamuklah sesetengah NGO dan mereka menuntut siasatan dijalankan sesegera mungkin. Malah, ada segelintir manusia terlampau, termasuklah seorang ustaz yang ‘berfatwa’ Anwar Ibrahim layak dipenggal kepala kerana bersubahat dengan penceroboh dan mengkhinati negara.

P/S: Golongan manusia terlampau ini saya ketemui ketika sedang minum di sebuah restoran di Kota Bharu. Perbualan mereka amat menarik perhatian saya,lantas saya mendengarnya dengan cermat dan teliti. 

Begitulah hebatnya media asing. Telampau hebat hinggakan kandungan atau laporannya dianggap benar dan sahih sesahih Al-Quran. Isi kandungan media asing pula dianggap bebas dari kepalsuan sebagaimana kitab Sahih Bukhari. Wartawan-wartawan dan editor-editor media asing pula dianggap boleh dipercayai setaraf Imam Bukhari dan Muslim. Tulisan-tulisan mereka samataraf dgn riwayat bertaraf Muttafaqun alaih. 

Walau bagaimanapun Kesultanan Sulu menafikan dakwaan penglibatan pembangkang Malaysia dalam insiden di Sabah. “Kami tiada hubungan dengan pembangkang Malaysia. Kami tidak adakan perbincangan dengan mereka,” kata Puteri Jacel Kiram, anak kepada Sultan Jamalul Kiram III  dipetik dari interaksyon.com bertarikh 4 Mac lalu.


2. PM,Datuk Seri Najib Tun Razak Dalang Pencerobohan.

Janji manismu dan janji tinggal janji atau lebih tepat lagi janji tidak ditepati dikatakan menjadi punca pencerobohan Tentera Diraja Kesultanan Sulu. Siapa yang berjanji dan apa yang dijanjikan. Ini yang menyebabkan isu ini menjadi semakin menarik dan menawan.

Pada 21 Febuari 2013, portal berita Filipina (lihat gambar paling atas) mendedahkan sebab mengapa Tentera Sultan Sulu menceroboh Sabah. Manila Bulletin telah memetik kenyataan oleh Nur Misuari , pengerusi Moro National Liberation Front (MNLF) yang mendakwa Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia ada menjanjikan tanah atau penempatan di Sabah kepada tentera Sultan Sulu. Rupa-rupanya, mereka datang untuk menuntut perkara yang dijanjikan terhadap mereka oleh Presiden UMNO.

Jadi, ke manakah menghilangnya segelintir NGO yang selama ini menjadikan laporan media asing sebagai rukun iman yang ke tujuhnya. Mengapa mereka tidak mendesak agar Najib disiasat dan dibicarakan atas kesalahan bersubahat dengan penceroboh sekali gus menjadi punca pertumpahan darah di Lahad Datu dan Somperna. Mengapa NGO-NGO ini berdiam diri atau mereka telah bertukar status menjadi GRO. Mengapa pula TV3 tidak menyiarkan semua ini. Inilah sepak terajang politik.


PENDEDAHAN MUTALIB M.D

Mutalib M.D adalalh mantan Setiausaha Eksekutif UMNO Silam, dan kini merupakan antara penulis terkenal di Sabah. Dia seorang yang sangat berani dan telah banyak membuat pendedahan berkaitan isu-isu sekitar Sabah termasuklah isu kewarganegaraan segera terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) di Sabah. Keberaniannya terbukti apabila beliau menulis sebuah artikel tentang Dr Rais Yatim(kes rogol amah), akibatnya beliau di saman oleh menteri tersebut. Jadi, artikelnya tentang dalang di sebalik pencerobohan di Lahad datu perlu diambil perhatian. Ini kerana, artikel tersebut adalah artikel berani mati dan tindakannya menulis artikel tersebut merupakan perbuatan ‘membunuh diri’ andainya tidak disertai dengan fakta dan data yang kuat, sahih dan menyakinkan.

Lagi menarik  pendedahannya itu adalah berdasarkan pengalaman peribadinya serta maklumat risikan petugas SabahKini. Lebih lanjut tentang pendedahan itu, langsung sahaja ke -->SINI 

Jika kita ikuti kronologi pencerobohan Tentera Diraja Kesultanan Sulu dari awal lagi, kita dapati mereka juga ingin menziarah individu tertentu yang terlantar sakit di Hospital Lahad Datu. Malangnya,identiti individu tersebut tidak disebarluaskan oleh media, lalu ia menjadi sebuah tanda tanya. Dan, di sinilah seluruh warga Malaysia perlu berterima kasih kepada Mutallib M.D kerana beliau telah mendedahkan indentiti invidu yang ingin diziarahi oleh penceroboh Sulu ini. Individu tersebut bernama Ahmad Malandi(Mat Bom),iaitu Ketua Cawangan UMNO Sungai Nyamuk. 

Menurut beliau, Perisik Sabahkini.net di Tanduo mengesahkan bahawa kunjungan 'Tentera Sultan Sulu' ini atas jemputan Ahmad dan anaknya Mohd Ali. Tambahan pula, Haji Musa yang merupakan pemimpin Nombor 2 dalam rombongan tentera berkenaan adalah besan Ahmad kerana anaknya, Mohd Ali bernikah dengan anak Haji Musa. Manakala pemimpin Nombor 1 kumpulan tersebut, Datu Ibrahim @ Datu Kuin Jamalul Kiram pula bernikah dengan anak Ketua Cawangan UMNO Sungai Bilis 2, Hussin Oyung. Agak mengejutkan kerana saya mendapat tahu anak Datu Ibrahim @ Amirul Kiram di Malaysia iaitu Datu Amir Datu Amirul, ialah Ahli UMNO Cawangan Sungai Bilis 2. 

Jujur dan ikhlas, naluri saya seakan-akan berbisik, pendedahan Mutallib M.D adalah benar. Ini kerana pendedahannya ini adalah bersifat berani mati memandangkan beliau pernah dikenakan tindakan undang-undang sebelum ini gara-gara artikelnya tentang Dr Rais Yatim. Dan, beliau bakal mengulangi episod celaka andainya pendedahannya ini palsu. Lagi menarik, sebab semalam, kenalan saya di Lahad Datu mengakui pernah mendengar kisah Mat Bom ini dan Mat Bom agak popular dalam kalangan warga felda Sahabat Lahad Datu. Kenalan saya juga memaklumkan Mat Bom kini dalam keadaan tenat. 

Jadi apa cerita sekarang ini. Mana satu yang benar dan satu yang palsu. Diharapkan siasatan diadakan sesegera mungkin dan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap dalang pencerohan tersebut. Tak kisahlah, sama ada Anwar atau Najib mahupun Ahmad Malandi(Mat Bom).