Showing posts with label POLITIK. Show all posts
Showing posts with label POLITIK. Show all posts

Tuesday, 7 May 2013

Datuk Ahmad Yakob Menteri Besar Kelantan yang baru


Datuk Ahmad Yakob mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru dengan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah sebagai Timbalan Menteri Besar. Bekas Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasarudin Daud turut menyertai barisan Exco di samping Adun Demit yang baru, Mumtaz Md Nawi, Dr Ramli Mamat (Bunut Payong) dan Hanifa Ahmad (Pengkalan Pasir). 

Tidak ada dalam senarai Exco kali ini adalah Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS) walaupun menang di DUN Salor. Turut tidak ada adalah Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang berundur dan Datuk Takiyudin Hassan yang bertanding Parlimen Kota Bharu dan menang. Turut tidak termasuk dalam barisan exco yang baru adalah Wan Ubaidah Omar. 

Lain-lain barisan Exco Kelantan sesi ini adalah Datuk Anuar Tan, Datuk Md Anizan Ab Rahman, Datuk Fatah Mahmud, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Datuk Dr Fadzli Ahmad.

Sunday, 5 May 2013

Keputusan penuh kerusi Parlimen mengikut negeri


Berikut keputusan penuh bagi 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengikut pecahan negeri:

  • PERLIS (3): BN (3) 
  • KEDAH (15): BN (10), PKR (4), Pas (1) 
  • KELANTAN (14): BN (5), Pas (9) 
  • TERENGGANU (8): BN (4), Pas (4) 
  • PULAU PINANG (13): BN (3), DAP (7), PKR (3) 
  • PERAK (24): BN (12), DAP (7), PKR (3), Pas (2) 
  • PAHANG (14): BN (10), PKR (2), DAP (1), Pas (1) 
  • SELANGOR (22): BN (5), PKR (9), DAP (4), Pas (4) 
  • WP KUALA LUMPUR (11): BN (2), DAP (5), PKR (4) 
  • WP PUTRAJAYA (1): BN (1) 
  • WP LABUAN (1): BN (1)
  • NEGERI SEMBILAN (8): BN (5), DAP (2), PKR (1) 
  • MELAKA (6): BN (4), DAP (1), PKR (1) 
  • JOHOR (26): BN (21), DAP (4), PKR (1) 
  • SABAH (25): BN (22), DAP (2), PKR (1) 
  • SARAWAK (31): BN (25), DAP (5), PKR (1)

Kredit buat: Ustaz Cyber

Wednesday, 1 May 2013

PRU13: Amanat Dr. Asri Zainul Abidin.


Perkataan Amanat hanyalah daripada saya, atau dalam bahasa yang mudah, ia adalah ciptaan saya. Sengaja saya menggunakan perkataan Amanat agar terserlah mesej yang ingin disampaikan. Asalnya ia adalah sebuah artikel bertajuk Ubah, Ubah dan Ubah Lagi yang ditulis oleh seorang ulama dan pemikir, juga bekas Mufti Kerajaan Perlis, iaitu Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin(Dr MAZA).

Jadi, saya sekadar menyebar luaskan artikel ini untuk manfaat bersama. Moga mesejnya akan melebar tanpa sempadan dan meluas tanpa sekatan. Sesungguhnya Artikel ini amat menarik, sebagai Panduan Memilih Pemimpin. Selain itu, ia juga tidak memihak kepada mana-mana parti. Ubah dan Tukar yang diseru oleh Dr Asri benar-benar berpaksikan ilmu dan sememangnya perlu difahami dan dihayati oleh mereka yang mencintai politik berasaskan hujah dan idea.

Apa tidaknya, lihat sahaja pada perenggan terakhir Amanat tersebut:

Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada PR, ataupun PR kepada BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik baru sehingga kita menemui yang terbaik. Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek’, kita akan tukar lagi
Artikel asalnya, boleh sahaja langsung ke web site Dr Asri, lihat SINI 

AMANAT DR ASRI 

Manusia yang normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah kepada yang lebih baik. Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan manusia terpaksa mengalami kesusahan. Persis seperti orang yang berpindah rumah dari yang kecil kepada yang lebih besar, selesa dan baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak kesusahan di peringkat awal. Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum mampu membeli rumah baru yang besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang berat. Mungkin juga ada barang kesayangan yang terjatuh dan rosak. Terpaksa tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan pelbagai lagi. 

Namun jika dia tidak pindah, taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan susah hidup dalam rumah yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan hidup yang lebih selesa dan persekitaran yang lebih nyaman. Manusia yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari hari ini. Mengubah persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah tabiat manusia bertamadun. Hanya yang kita tidak ubah ialah prinsip-prinsip kebenaran yang merentasi masa dan tempat. Pun begitu, cara melaksanakan prinsip-prinsip kebenaran itu juga kadang-kadang berubah. Cara menegakkan keadilan dalam masyarakat berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Pendekatan mencegah kezaliman juga berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun tanggungjawab menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga kiamat.

Manusia yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang tidak pasti asas ialah manusia yang dungu. Seseorang yang takut hendak belajar ke peringkat tinggi kerana bimbang dianggap sombong adalah orang yang membodohkan dirinya. Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan berpenyakit dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia akan makan nasi lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi. Dia lupa bahawa kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang mungkin dia tambah jika dia sihat. Demikian juga dalam politik. 
 
PINDAH

Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan. Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu. Kuasa politik juga demikian. Jika ia terlalu berada dalam genggaman seseorang, banyak keburukannya. Ketamakan, salahguna, keegoan, kesombongan dan sebagainya akan berlaku. Jika hal itu mula kelihatan pada seseorang atau sesuatu pentadbiran maka hendaklah kuasa itu dialirkan ke pihak lain agar dapat mengelakkan keadaan yang seperti itu. Di situ datangnya peranan pilihanraya dalam sistem demokrasi.

Dalam konteks Malaysia, perkara ini terpakai untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh BN ataupun PR. Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafii:

‘Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di satu tempat. Tinggalkanlah tanahair dan mengembaralah. Bermusafirlah, nescaya engkau dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah, kerana kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia tidak mengalir tidak baik’.

Hijrah dalam Islam mempunyai perlambangan yang tersendiri. Ia adalah perlambangan betapa perlunya kita berpindah kepada yang lebih baik. Negara kita tidak boleh berpolitik dengan tahap lama lagi. Kita perlukan politik masa depan yang lebih matang dan berkualiti. Kita tidak wajar membandingkan kehidupan kita dengan zaman Jepun makan ubi kayu. Mengapa kita tidak bandingkan kualiti integriti kepimpinan kita dengan Negara Jepun?! Media tidak wajar memperbodohkan akal rakyat dengan menemubual pakcik-pakcik kampung yang bercakap tentang zaman Jepun. Pemimpin sepatutnya berusaha mendidik rakyat maju ke hadapan, bukan melihat ke belakang. 

Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato:

 “Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka diciptakan bukan untuk zaman kamu”.

 Dalam kerangka politik, saya tidak menaruh penuh kepercayaan kepada BN ataupun PR. Saya tidak beriman kepada parti-parti itu bahawa mereka akan memenuhi segala maksud kebaikan untuk sebuah negara yang bernama Malaysia ini. Saya rasa tabiat politik antara keduanya masih banyak yang sama. Walaupun masing-masing ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mungkin ada beberapa tokoh dalam parti-parti itu yang berkualiti tinggi, namun kedua gabungan politik itu masih banyak yang terikat dengan ‘order lama’ politik. Lihat sahaja cara Dr Haron Din dan Karpal Singh membincangkan tentang isu hudud di waktu sepatutnya fokus rakyat kepada perkara-perkara yang lebih praktikal untuk masa ini. Lihat pula bagaimana BN mengendalikan media massa semasa pilihanraya ini.

Namun, saya percaya satu perkara; perubahan, pengaliran kuasa, penggiliran, menghadkan tempoh kekuasaan, memberi peluang kepada tawaran-tawaran baru untuk rakyat adalah satu cara untuk mematangkan politik dan membawanya ke arah yang lebih baik.

Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang terbaik, dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik. Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada PR, ataupun PR kepada BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik baru sehingga kita menemui yang terbaik. Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek’, kita akan tukar lagi. Kita tidak pentingkan nama parti, tetapi kualiti servis yang mampu diberikan! Kita sanggup menukar jika perlu tanpa mengira BN ataupun PR. Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga yang baik diperolehi. 

Monday, 29 April 2013

PRU13: Adik Beradik Berlainan Parti Mewarnai Politik Negara.


Selain persaingan yang sengit antara BN dan PR, PRU13 juga agak menarik kerana terdapat beberapa individu yang mempunyai pertalian darah yang amat rapat,iaitu sebagai adik beradik yang mewakili parti yang berlainan.

Tan Sri Shahrir Samad , bekas menteri dan calon ahli parlimen UMNO/BN. Namun, adiknya pula Ir Khalid Samad adalah adalah seorang pemimpin PAS. Selain menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, beliau juga merupakan salah seorang AJK PAS Pusat dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam.

Datuk Sahlan Ismail Nasution, adalah Setiausaha Politik( Setpol) kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib. Untuk PRU13 ini beliau akan bertanding di Parlimen Pokok Sena sebagai calon parlimen UMNO/BN dan akan berhadapan dengan Dato’ Mahfuz Omar,iaitu Naib Presiden PAS. Tapi berlainan pula dengan adiknya, Dato’ Saifuddin Nasution yang merupakan Setiausaha Agung PKR yang akan bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu. T

Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir kini dikenali sebagai aktivis pembangkang walaupun tidak akan bertanding dalam PRU13. Namun adiknya, Dato’ Abdul Aziz Syeikh Fadzir adalah calon ahli parlimen UMNO/BN di Parlimen Kulim-Bandar Baharu dan bakal berhadapan dengan Dato’ Saifuddin Nasution. 

Rasanya PRU13 akan lebih menarik andainya mereka yang mempunyai hubungan darah ini bertarung di gelanggang yang sama dengan menyarung jersi yang berbeza. Contohnya, Tan Sri Shahrir Samad, mewakili BN berhadapan dengan adiknya Ir Khalid Samad yang mewakili PAS di Parlimen Shah Alam atau kubu kuat Tan Sri Shahrir di Johor Bharu. Ataupun, Datuk Sahlan Ismail Nasution yang mewakili BN berhadapan dengan adiknya , Dato’ Saifuddin Nasution yang mewakili PKR di Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Tuesday, 23 April 2013

SEJARAH PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA


Sebelum Pilihan Raya Umum Ke- 13(PRU13) berlangsung pada 5. Mei.2013 ini, eloklah kita mengimbas kembali sejarah PRU yang lalu. Tidak sekadar untuk bernostalgia tapi sebagai bukti, sesungguhnya kita adalah warganegara yang cakna. Umum mengetahui, PRU yang bakal tiba ini adalah PRU yang ketiga belas, ini bermakna sudah dua belas kali PRU diadakan di Malaysia. Di sini saya sekadar memaparkan tarikh-tarikh Pilihan Raya Umum yang lepas serta keputusannya.

Dari seorang kenalan FB. Sekadar jenaka.



PRU PERTAMA(1959) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 27 Jun. Tarikh penamaan calon pula ialah 15 Julai, manakala hari pengundian ialah pada 19.Ogos. 1959. 

Keputusan PRU 1959, adalah seperti berikut:

  • Parti Perikatan(kini dikenali sebagai Barisan Nasional) : memenangi 74 kerusi. 
  • Parti Negara : memperolehi 1 kerusi 
  • Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP)- kini dikenali sebagai PAS : memperolehi 13 kerusi 
  • Barisan Sosialis : memperolehi 8 kerusi 
  • Parti Malaya : memperolehi 1 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 8 kerusi 

PRU KEDUA(1964)

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 1 Mac. Tarikh penamaan calon pula ialah 21 Mac, manakala hari pengundian pula ialah pada 25.April. 1964.

Keputusan PRU 1964, adalah seperti berikut:
  • Parti Perikatan : memperolehi 89 kerusi. 
  • Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP)- memperolehi 9 
  • Barisan Sosialis : memperolehi 2 kerusi 
  • Parti Progresif Penduduk (PPP) : memperolehi 2 kerusi 
  • Parti Demokratik : memperolehi 1 kerusi 
  • Parti Tindakan Rakyat( PETIR) : memperolehi 1 kerusi 

PRU KETIGA(1969) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 20 Mac. Tarikh penamaan calon pula ialah 5 April, manakala hari pengundian pula ialah pada 10.Mei. 1969. Tempoh berkempen ialah selama 35 hari. 

Keputusan PRU 1964, adalah seperti berikut: 
  • Parti Perikatan : memperolehi 74 kerusi. 
  • Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP)- memperolehi 12 kerusi 
  • Parti Progresif Penduduk (PPP) : memperolehi 4 kerusi 
  • Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) : memperolehi 13 kerusi 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 13 kerusi 
  • Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) : memperolehi 8 kerusi 
  • Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP): memperolehi 5 kerusi 
  • Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) : memperolehi 9 kerusi 
  • Parti Pesaka Sarawak(PESAKA): memperolehi 2 kerusi 
  • Persatuan Cina Sabah (SCA) : memperolehi 3 kerusi 
  • Bebas: memperolehi 1 kerusi 


PRU KEEMPAT (1974)

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 31 Julai. Tarikh penamaan calon pula ialah 8 Ogos, manakala hari pengundian pula ialah pada 24. Ogos. 1974. Tempoh berkempen ialah selama 16 hari.

Keputusan PRU 1974, adalah seperti berikut: 
  • Barisan Nasional : memperolehi 135 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 9 kerusi 
  • Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) : memperolehi 9 kerusi 
  • Parti Keadilan Masyarakat Malaysia(PEKEMAS): memperolehi 1 kerusi 


PRU KELIMA (1978) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 12 Jun. Tarikh penamaan calon pula ialah 21 Jun, manakala hari pengundian pula ialah pada 8. Julai. 1978. Tempoh berkempen ialah selama 17 hari. 

Keputusan PRU 1978, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 130 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 16 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 5 kerusi 
  • Pertubuhan Rakyat Sarawak (SAPO): memperolehi 1 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 2 kerusi 

PRU KEENAM (1982) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 29 Mac. Tarikh penamaan calon pula ialah 7 April, manakala hari pengundian pula ialah pada 22. April. 1982. Tempoh berkempen ialah selama 15 hari.

Keputusan PRU 1982, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 132 kerusi.
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 9 kerusi
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 5 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 8 kerusi

PRU KETUJUH (1986) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 19 Julai. Tarikh penamaan calon pula ialah 24 Julai, manakala hari pengundian pula ialah pada 3. Ogos. 1986. Tempoh berkempen ialah selama 10 hari. 

Keputusan PRU 1986, adalah seperti berikut: 
  • Barisan Nasional : memperolehi 148 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 24 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 1 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 4 kerusi 


PRU KELAPAN (1990) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 4 Oktober. Tarikh penamaan calon pula ialah 11 Oktober, manakala hari pengundian pula ialah pada 21. Oktober. 1982. Tempoh berkempen ialah selama 10 hari. 

Keputusan PRU 1990, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 127 kerusi.
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 20 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 7 kerusi 
  • Parti Bersatu Sabah (PBS) : memperolehi 14 kerusi 
  • Parti Semangat 46 : memperolehi 8 kerusi
  •  Bebas : memperolehi 4 kerusi 


PRU KESEMBILAN (1995) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 6 April. Tarikh penamaan calon pula ialah 15 April, manakala hari pengundian pula ialah pada 25. April. 1995. Tempoh berkempen ialah selama 10 hari. 
Keputusan PRU 1995, adalah seperti berikut: 
  • Barisan Nasional : memperolehi 162 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 9 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 7 kerusi 
  • Parti Bersatu Sabah (PBS) : memperolehi 8 kerusi 
  • Parti Semangat 46 : memperolehi 6 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 4 kerusi 

PRU KESEPULUH (1999) 

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 10 November. Tarikh penamaan calon pula ialah 20 November, manakala hari pengundian pula ialah pada 29. Novemberl. 1999. Tempoh berkempen ialah selama 9 hari. 

Keputusan PRU 10, pada tahun 1999, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 148 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 10 kerusi
  •  Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 27 kerusi 
  • Parti Bersatu Sabah (PBS) : memperolehi 3 kerusi
  •  Parti Keadilan Rakyat (PKR) : memperolehi 5 kerusi

PRU KESEBELAS(2004)

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 4 Mac. Tarikh penamaan calon pula ialah 13 Mac, manakala hari pengundian pula ialah pada 21. Mac. 2004. Tempoh berkempen ialah selama 8 hari. 

Keputusan PRU 11, pada tahun 2004, adalah seperti berikut:
  • Barisan Nasional : memperolehi 199 kerusi. 
  • Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 12 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 6 kerusi 
  • Parti Keadilan Rakyat (PKR) : memperolehi 1 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 1 kerusi 

PRU KEDUA BELAS (2008)

Tarikh pembubaran parlimen ialah pada 13 Febuari. Tarikh penamaan calon pula ialah 24 Febuari, manakala hari pengundian pula ialah pada 8. Mac. 2008. Tempoh berkempen ialah selama 13 hari. 

Keputusan PRU 12, pada tahun 2008, adalah seperti berikut:
  •  Barisan Nasional : memperolehi 140 kerusi.
  •  Parti Tindakan Demokratik(DAP) : memperolehi 28 kerusi 
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS) : memperolehi 23 kerusi 
  • Parti Keadilan Rakyat (PKR) : memperolehi 31 kerusi 
  • Bebas : memperolehi 1 kerusi


Maklumat Tambahan: 

Tarikh yang dipaparkan diatas hanya sesuai untuk digunapakai di Semenanjung Malaysia sahaja, ini memadangkan tarikh mengundi di Sabah dan Sarawak adalah berbeza dengan Semenanjung, baik untuk Dewan Rakyat(Parlimen) mahupun Dewan Undangan Negeri. 

Sebagai contoh, bolehlah rujuk kepada PRU 1969. Hari mengundi di Semenanjung telah ditetapkan pada 10 Mei 1969. Bagi negeri Sabah, tarikh pengundian berperingkat telah ditetapkan pada 10 sehingga 25 Mei 1969 dan tarikh pengundian berperingkat di Sarawak bermula dari 10 Mei sehingga 7 Jun 1969. 

Info Penting

  • Hanya bermula PRU ke-10 pada tahun 1999: Hari mengundi untuk kerusi Dewan Rakyat telah ditetapkan satu hari sahaja untuk seluruh negara iaitu pada 29 November 1999. Walau bagaimanapun PRU Ke-10 ini hanya melibatkan DUN-DUN di Semenanjung. DUN di Sabah dan Sarawak tidak terlibat dalam pilihan raya umum kali ini kerana ia diadakan secara berasingan.
  • Hanya bermula pada PRU 2004, buat pertama kalinya DUN Sabah menyertai pilihan raya umum bersama dengan DUN-DUN di Semenanjung. Dun Sarawak masih tidak terlibat dalam pilihan raya umum ini dan ia berkekalan hinggalah ke hari ini.
  • PRU 1969 juga merupakan PRU pertama yang melibatkan Sabah dan Sarawak, setelah terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Persekutuan Malaysia melibatakan Tanah Melayu/Malaya( sekarang dikenali sebagai Semenanjung Malaysia), Sabah,Sarawak dan Singapura.

Monday, 22 April 2013

FAKTA PENTING PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA




PILIHAN RAYA PERTAMA 

Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 Jun 1955 adalah pilihan raya pertama sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Seramai 129 orang calon yang bertanding untuk merebut 52 kerusi Parlimen. 

Keputusannya ialah Parti Perikatan( kini dikenali sebagai Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Manakala, baki 1 lagi kerusi dimenangi oleh Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP) –kini dikenali sebagai PAS. Lagi menarik , kerana kerusi yang dimenangi oleh PAS ialah di Kerian Perak dan bukannya di Kelantan.

PENGUNDI PALING RAMAI 

Kawasan Parlimen Kapar di Selangor memiliki bilangan pengundi paling ramai, iaitu seramai 112,224. Jumlah ini hampir menyamai jumlah pengundi di Perlis,iaitu seramai 120,081 orang.

UNDI ROSAK PALING SEDIKIT

Undi rosak paling sedikit dicatatkan ketika PRU 1959. Hanya 1.82% bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri(DUN) 

Agak menghairankan kerana jumlah undi rosak ketika PRU 2008 ialah sebanyak 175,680 untuk kawasan Parlimen dan 146,781 undi untuk DUN. 

Adakah ini bermakna rakyat pada tahun 1959 lebih cerdik dan berpendidikan berbanding rakyat pada tahun 2008. Atau ada maksud yang tersirat? 

TEMPOH KEMPEN PALING PENDEK.

Tempoh kempen paling pendek atau singkat ialah ketika PRU11 pada tahun 2004, apabila tarikh penamaan calon dan mengundi ditetapkan pada 13 dan 21 Mac 2004. Tempoh berkempen hanyalah selama 8 hari sahaja. 

P/S: PRU11 pada tahun 2004 juga menyaksikan BN menang besar dan parti pembangkang pula mengalami kekalahan yang amat teruk. PKR hanya memenangi Parlimen Permatang Pauh. PAS pula menyaksikan kekalahan beberapa orang pemimpin kanannya, termasuklah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang tewas di Parlimen Marang. Satu-satunya kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PAS di luar Kelantan ialah di Parlimen Pendang, Kedah. 

Lagi malang, PAS hampir-hampir kehilangan kuasa di Kelantan. Ini kerana PAS hanya menguasai 24 kerusi Dun dan BN pula 21 kerusi. Nasib PAS bertambah malang kerana jumlah kerusi yang dimenangi oleh PAS berkurang menjadi 23 kerusi apabila tewas kepada BN dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir. Akibatnya PAS mengusai Kelantan dengan 23 kerusi dan BN pula memperolehi 22 kerusi. Satu Kerusi sahaja yang menyelamatkan pemerintahan PAS di Kelantan.

CALON YANG TAK PERNAH KALAH.

Tun Ghafar Baba adalah satu-satunya calon yang sentiasa memenangi semua kerusi yang ditandingi. Beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) pada tahun 1955 dan 1964. Pada tahun 1969, beliau mula bertanding kerusi parlimen sehingga bersara daripada politik. 

PALING LAMA BERKHIDMAT 

Tengku Razaleigh Hamzah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama Sembilan penggal. Beliau bermula dengan memenangi kerusi Parlimen Kelantan Barat pada PRU 1974. 

UNDI PALING BANYAK

Majoriti undi paling banyak, iaitu sebanyak 54,073 undi diperolehi oleh Datuk Seri Shahrir Samad pada PRU 2004 bagi kerusi Parlimen Johor Bahru. 

UNDI PALING SEDIKIT

Calon bebas, Yusof Nasir memperolehi undi paling sedikit, iaitu sebanyak 9 undi dalam pertandingan merebut kerusi DUN Sukau, Sabah pada PRU 2008. 

CALON PALING TUA 

Calon paling tua ialah nenek Maimun Yusuf,89 tahun yang bertanding untuk kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU 2008. Beliau juga turut bertanding di Parlimen yang sama pada 5. Mei. 2013.

Sunday, 21 April 2013

Bila Artis Berpolitik

Dayangku Intan
PRU13 menjadi gelanggang bagi tiga orang artis untuk mencuba nasib sebagai seorang politikus. Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin bertanding mewakili parti PAS di Parlimen Jempol , Negeri Sembilan. Penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu bakal berhadapan dengan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad. Mungkin, sudah tiba masanya untuk Aishah memanfaatkan kelulusannya dalam ilmu sains politik yang beliau pelajari ketika di New Zealand dahulu. 

Artis seterusnya ialah Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid yang mewakili PKR , akan bertanding di Parlimen Pengerang Johor. Penyanyi terkenal era 1980-an ini akan berhadapan dengan calon BN, Datuk Azalina Othman.

Seorang lagi artis yang turut bertanding dalam PRU kali ini ialah Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi. Beliau bertanding atas tiket bebas di Parlimen Tanjung Karang dan akan berhadapan dengan Datuk Seri Noh Omar (BN) dan Mohd Rashidi Deraman(PAS).

Sebagai warga sebuah negara demokrasi, kita seharusnya menghormati pendirian dan keputusan artis-artis tersebut. Biarkan mereka melompat lebih tinggi untuk memetik bintang. Mereka sebenarnya berupaya menjadi politikus terbilang, andainya bijak percaturan. 

Dalam konteks Malaysia, mungkin ia masih baharu, tapi tidak dalam konteks antarabangsa. Lihat sahaja Ronald Reagan. Beliau asalnya adalah pelakon koboi dan akhirnya berkecimpung dalam politik, dan akhirnya berjaya menjadi Presiden Amerika ke-40 pada tahun 1981. 

Begitu juga dengan Arnold Schwarzenegger, seorang artis yang akhirnya Berjaya mejadi Gabenor California dari tahun 2003 hingga 2011.

Di India pula, Marudhur Gopalan Ramachandran atau lebih dikenali sebagai MGR yang terkenal sebagai pelakon, pengarah dan penerbit filem akhirnya turut berkecimpung dalam kancah politik. Beliau meraih kejayaan yang luar biasa, apabila berjaya menjadi Perdana Menteri Tamil Nadu. 

Di Filipina, Joseph Estrada adalah seorang artis yang berjaya. Sepanjang 33 tahun bergelar artis dan berlakon dalam lebih 100 filem, akhirnya beliau turut bertanding dalam pilihan raya. Kemuncaknya beliau Berjaya menjadi Presiden Filipina yang ke-13 bermula dari tahun 1998 hinggalah 2001. 

Jadi, hormatilah artis-artis kita yang ingin mencuba nasib sebagai politikus. Jangan mencela dan usah dihina, kerana kita adalah warga di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Wednesday, 17 April 2013

INFO PENTING PRU13


KERUSI REBUTAN 
  •  222 Parlimen
  • 505 Dun (Kecuali Sarawak)

TEMPOH PENTING PRU13
  •  3 April 2013(Rabu) : Bubar Parlimen
  •  11 April 2013 ( Khamis): Keluar Writ 
  • 12 April 2013 (Jumaat) : Notis Praya 
  • 20 April 2013(Sabtu) : Penamaan Calon 
  • 30 April 2013 (Selasa) : Pengundian Awal 
  • 5 Mei 2013 (Ahad) : Pengundian Biasa 
DAFTAR PENGUNDI
  •  13,268,002 Layak Mengundi 
  • 2,566,948 Pengundi Baru 
  • 12,992,661 Pengundi Biasa 
  • 161,251 Tentera dan Pasangan 
  • 111,136 Polis, Pasangan dan Polis Gerakan Am(PGA)
  •  2,954 Pengundi Tidak Hadir(PTH) Luar Negara 
 PENGUNDIAN AWAL. 
  • 544 Pusat Mengundi 
  • 882 Tempat Mengundi Dibuka 

PENGUNDIAN BIASA 
  • 8,245 Pusat Mengundi
  • 25,337 Tempat Mengundi Dibuka


Tajuk Lain Yang Berkaitan: 

Sunday, 7 April 2013

FUTSAL : PAS VS UMNO


Perlawanan futsal persahabatan  antara Pemuda UMNO dan 
Dewan Pemuda PAS kawasan Rantau Panjang, Kelantan


Sana Barisan.
Sini Pakatan.
 Hari Ini Kita Berlawan.
 Esok Pula Kita Berkawan. 
Tidak Dapat Bersatu 
Bukannya Bererti 
Tidak Dapat Bersama. 

Wednesday, 3 April 2013

MEDIA BARU DAN PENGARUHNYA TERHADAP PRU-13



Dalam entry ini saya tidak berminat untuk membicarakan secara panjang lebar tentang definisi atau takrif Media Baru. Apa yang pasti, media baru amat berkait rapat dengan penggunaan internet, malah internetlah yang menjadi denyut nadi dan degup jantung kepada kewujudan media baru. Dan, yang pasti juga, media baru kini sedang menjajah dunia. Blog, web site, laman sosial, You Tube dan juga portal berita, merupakan sebahagian daripada media baru. 

Media baru mula mendapat perhatian masyarakat kerana penggunaannya yang mudah serta senang diakses. Mungkin, bagi sesetengah orang, media baru terutamanya Facebook sekadar medium untuk mengisi kekosongan waktu, namun sangat ramai sebenarnya pengguna media baru yang terdiri daripada manusia-manusia yang tidak ingin berterusan dalam keadaan ‘pekak dan buta’, lantas mereka menjadi penagih maklumat dan pencinta fakta. 




Di Malaysia, jumlah rakyat yang mendapatkan maklumat menerusi laman sosial terutamanya Facebook ialah seramai 13 juta orang. Jumlah ini jauh mengatasi, bilangan rakyat yang mencari maklumat menerusi TV, iaitu sekitar 3 juta orang dan menerusi surat khabar, seramai 2.5 juta orang.


Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz sendiri turut mengakui kuasa dan kekuasaan media baru, termasuklah dalam memperkuatkan jentera sesebuah parti. Katanya lagi. semua ini berlaku kerana Malaysia mencatatkan kira-kira 13 juta pengguna Facebook dan dua juta pengguna Twitter.

Di pihak Pakatan Rakyat, Ustaz Tuan Ibrahim bin.Tuan Man, awal-awal lagi telah menyeru agar semua pihak dalam PAS dan Pakatan Rakyat, sama ada di peringkat dewan-dewan dan kawasan-kawasan, agar memanfaatkan media baru dengan sebaik mungkin bagi menumbangkan BN pada PRU-13 yang akan datang

Begitu juga dengan populariti YouTube yang mencatatkan lebih 1 bilion pengunjung setiap bulan bagi menonton pelbagai klip video. Hari ini, ia menjadi platform paling berpengaruh dalam landskap media hari ini, selain Facebook( lihat Sumber).

Perlu difahami, sesungguhnya media baru amat kuat pengaruhnya. Ini kerana maklumat yang disampaikan menerusinya mampu melebar tanpa sekatan dan meluas tanpa sempadan. Lihat sahaja apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir, betapa kuat dan meluasnya pengaruh facebook dan Twitter, sehingga ia mampu menoktahkan hayat politik Hosni Mubarak di Mesir dan Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia. Lihat juga apa yang berlaku dalam negara, atau lebih tepat lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-12(PRU-12). Betapa hebatnya media baru hingga ia mampu mengubah landskap politik negara. Tsunami politik yang berlaku ketika PRU-12, pasti sahaja menjadi mimpi ngeri buat penguasa Putrajaya. Dan, menjelang PRU-13 yang bakal menjelma tidak lama lagi, media baru pasti sahaja akan dimanfaatkan semaksimum mungkin.








Media Baru Dan PRU-13.


Selain portal berita, Blogger dan Facebooker turut memainkan peranan untuk menyebar maklumat dan membeli sokongan orang ramai. Baik Barisan Nasional(BN) mahupun Pakatan Rakyat(PR), masing-masing mempunyai ‘tentera’ yang terdiri daripada blogger dan facebooker. PapaGomo dan kickdefella adalah antara blogger yang menjadi pejuang Barisan Nasional. MiloSuam, Perisik Rakyat, Kelab Greenboc dan Tukar Tiub adalah Mujahid Pakatan Rakyat. Sama ada blogger BN mahupun PR, masing-masing cuba mempamerkan siapa DEWA PENYELAMAT dan mendedahkan siapakah IBLIS LAKNAT.

Berpaksikan waras dan wajar yang dipandu oleh ilmu dan iman, umat islam mestilah berhati-hati dalam membuat pengundian. Jadilah pengundi yang bijak. Pelbagaikan bahan bacaan dan lihatlah sumber yang pelbagai untuk memperluaskan horizon pemikiran, dan seterusnya membolehkan kita ‘berijtihad’ untuk memilih pemimpin. Ucaplah selamat tinggal kepada budaya membaca Utusan Malaysia dan Berita Harian, Harakah dan Suara Keadilan semata-mata atau menonton berita di TV1,TV2 dan TV3 sahaja. Itu budaya masyarakat paleolitik dan hanya sesuai untuk Perak Man yang 'bersemadi' di Muzium Arkeologi Lenggong.

P/S: Sila tonton klip video di bawah untuk mengikuti pandangan Dr Asri Zainul Abidin tentang peranan Media Baru dalam arena politik.