Showing posts with label BUKU DAN MAJALAH. Show all posts
Showing posts with label BUKU DAN MAJALAH. Show all posts

Saturday, 6 April 2013

REVIEW BUKU: INDAHNYA POLITIK CARA ISLAM.



Memandangkan parlimen baru sahaja dibubarkan dan PRU13 bakal berlangsung tidak lama lagi, jadi saya rasa amat wajar untuk memperkatan perihal buku ini di sini. Sebenarnya sudah beberapa bulan buku ini saya miliki dan sejak awal-awal lagi telah saya habiskan pembacaannya. 

Di sini saya bukanlah ingin memperkatakan perihal buku ini secara terperinci. Sebab matlamat saya ialah untuk ‘memujuk dan merayu’ anda agar membeli buku ini. Kemudian, bacalah buku ini dengan cermat dan teliti. Dan kalau boleh bacalah buku setebal 318 halaman ini berulang kali. Mudahan-mudahan ia dapat dijadikan sebagai panduan untuk memilih pemimpim 

Penulis buku ini iaitu Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkelulusan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya, Sarjana Syariah dari Universiti Al-Yarmouk, Jordan dan Doktor Falsafah (PhD) Syariah dan Kewangan Islam dari University of Wales, United Kingdom. Beliau kini Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ahli Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Menganggotai Majlis Penasihat Syariah di bank dan institusi seperti Al Rajhi Bank Malaysia, ACR ReTakaful Berhad dan ACR MEA Takaful, Bahrain. Beliau juga dilantik sebagai Perunding Syariah antaranya kepada UEM Land Berhad dan Siraj Capital Ltd, Jeddah. 

Buku setebal 318 halaman ini benar-benar merungkai salah faham terhadap politik yang selama ini membelit pemikiran segelintir umat islam di Malaysia. Masih ramai rasanya yang beranggapan politik itu hanyalah urusan memilih pemimpin tanpa mengambil tahu sesungguhnya ia adalah satu ibadah. Buku Indahnya Politik Cara Islam mengandungi 13 Bab. Dimulai dengan bab pertama, Takrif Siasah atau Politik dan akhiri dengan bab berjudul Budaya Kerja Islam: Kualiti Dan Produktiviti.

 Boleh dikatakan kesemua isu yang diutarakan oleh penulis buku ini amat menarik, namun saya hanya akan paparkan sebahagian sahaja yang benar-benar menarik pada pandangan saya, antaranya ialah perbahasan mengenai takrif negara islam yang dipaparkan pada Bab 3. Di sini, penulis telah mengemukakan beberapa pendapat atau pandangan tokoh-tokoh ulama muktabar,baik ulama silam mahupun ulama kontemporari. Antara ulama-ualam silam ialah Imam Abu Yusuf, Al-Khatib al-Baghdadi, Al-Imam Asy-Sya’ari , Imam Ibn Taymiyyah dan Imam Ibn Qayyim. Ulama-ulama kontemporari pula termasuklah Sayyid Qutb, Syeikh Said Hawwa, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Abu A’la al-Maududi dan Prof. Dr Muhd Salam Madkur. 

Begitu juga dengan perbahasan status Wanita Sebagai Pemimpin yang terdapat pada halaman 60. Umumnya, umat islam dihidangkan dengan kenyataan, wanita tidak harus menjadi pemimpin, namun harus juga diketahui pandangan atau pendapat yang menyalahi kelaziman ini. Apa yang pasti,golongan yang membenarkan wanita menjadi pemimpin ini tetap mengemukakan hujah dan dalil yang mantap. Antara ulama tersebut ialah Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusoff al-Qaradhawi. Bab ke 3, iaitu Islam dan Demokrasi juga amat menarik dan amat perlu untuk difahami oleh umat islam. Ini memandangkan terdapat jemaah tertentu yang mengharamkan penglibatan umat islam dalam sistem dmeokrasi termasuklah dalam proses pilihan raya, atas alasan demokrasi bukanlah berasal dari islam. Pandangan sebegini amatlh berbahaya namun ia tetap mempunyai pengikutnya yang tersendiri, termasuklah dari kalangan professional.Tahniah kepada Dr Zaharuddin Abdul Rahman kerana Berjaya merungkai isu ini dengan baik. 

Akhir sekali,isu yang saya anggap menarik dan perlu difahami ialah isu undi calon atau parti. Ia dibincangkan dalam Bab 9 dalam buku ini. Mungkin kita terkeliru ketika ingin mengundi. Mungkin kita menyokong parti tertentu tetapi dalam masa yang masa tidak menyenangi calon yang mewakili parti tersebut. Apatah lagi, terdapat juga segelinitir ustaz di Malaysia yang mencadangkan agar memilih atau mengundi berdasarkan calon dan bukannya parti. Dalam buku ini, Dr Zaharuddin telah berjaya merungkai salah faham ini dengan menegaskan pemilihan atau undian berdasarkan parti hendaklah diutamakan, kecuali dalam keadaan tertentu. 

Sengaja saya tidak mengulas buku ini secara panjang lebar kerana matlamat saya satu sahaja iaitu, belilah buku ini dan hayatilah perbahasannya. Moga-Moga dengan ini, kita mampu menjadi pengundi yang bijak.

 Tajuk Lain Yang Berkaitan

Sunday, 3 March 2013

Menyelongkar sejarah Kesultanan Sulu dan tuntutan terhadap Sabah.



Kesultanan Sulu mula hangat diperkatakan apabila berlakunya insiden pencerobohan di Lahad Datu. Ini gara-gara tentera penceroboh mendakwa mereka adalah angkatan Tentera Diraja Sultan Sulu. Sebelum melanjutkan penulisan, ingin saya tegaskan, entry ini berdasarkan sebuah buku yang berjudul Tausug & Kesultanan Sulu yang ditulis oleh Asreemoro(Julasri Hajad). 

Buku setebal 216 halaman ini amat bererti dan bermakna untuk memahamkan kita akan sejarah Kesultanan Sulu. Walaupun begitu, saya tidak pula mendakwa buku ini sebagai ‘amat tepat dan sangat benar’ sebagaimana tepat dan benarnya jawapan untuk soalan satu tambah dua, iaitu tiga.

Terdapat banyak fakta-fakta ilmiah dan menarik yang dipaparkan di dalam buku ini, antaranya ialah tentang Salasilah Kesultanan Sulu, Wilayah sebenar Kerajaan Sulu, ‘Pergelutan’ kuasa antara keluarga KIRAM dan ARANAN, peristiwa pembunuhan Jabidah 1968, Perang Moro dan Isu tuntutan terhadap Sabah. 

Mungkin ada pihak yang tidak menyetujui dan sekali gus menganggapnya sebagai jenayah ilmiah, maka saya menyeru agar lakukanlah kerana ilmu dan atas kapasiti intelektual, jangan sekali-kali secara membabi buta dan membuta tuli. 

Selain itu, anda boleh juga menyelongkar sejarah Kesultanan Sulu dengan mengutip mutiara ilmu mengenai sejarah Kesultanan tersebut di blog milik penulis buku ini, iaitu Tausug Global 

P/S : lihat juga blog keturunan/keluarga KIRAM, iaitu Kiram Family. Ini kerana umum mengetahui ketua penceroboh di Lahad Datu yang mengistiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, iaitu Sultan Jamalul Kiram III adalah dari keluarga KIRAM. 
 

Saturday, 7 January 2012

ANDA BERTANYA USTAZ AZHAR IDRUS MENJAWAB.



Buku ini menjawab segala kemusykilan agama secara mudah dan ringkas. Untuk makluman, buku ini antara yang terhangat di pasaran. Menurut Pn. Ainon Mohd, pengasas PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd, dalam tempoh tidak sampai 100 hari buku ini terbit, sebanyak 70,732 naskhah terjual.

Fenomena Ustaz Azhar Idrus yang melanda negara memaksa buku ini dicetak buat kali yang kesembilan sejak terbitan pertama pada September 2011.

Tahniah buat Ustaz Azhar Idrus dan juga syarikat PTS. Dan paling utama, tahniah kepada mereka yang membeli dan memiliki buku ini. Ini kerana anda merupakan seorang yang cakna terhadap agama.

Tapi, agak sedih juga, apabila ada pihak tertentu yang melabelkan Ustaz azhar sebagai AGEN IBLIS. Sila lihat :> SINI

Monday, 19 July 2010

MAJALAH SOLUSI




Di negara kita hanya 93.2% sahaja yang celik huruf. Ternyata ‘roh Iqra’ yang ditekankan di dalam wahyu pertama tidak dipedulikan. Daripada 93.2 % itu pula, entah berapa peratus yang celik pengetahuan yang berguna termasuklah pengetahuan agama. Rasanya terlalu kerdil jumlah ini( terutamanya yang celik agama) jika nak dibandingkan dengan celik seks dan tahyul.
Di pasaran terlalu banyak lambakan Majalah. Ada yang bermanfaat dan ada yang memudaratkan. Namun, majalah yang memudaratkan jauh lebih banyak dan mengatasi majalah yang membawa manfaat. Cerita tentang artis dan kisah tentang hantu dan puaka begitu laris di pasaran. Inilah mentaliti orang-orang kita, jadi tak menghairankan jika majalah yang amat ilmiah seperti Majalah Massa telah berkubur kerana isi kandungannya tidak memuatkan cerita tentang artis perempuan yang berkelahi berebut suami orang.

Mungkin juga majalah Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya akan mengalami nasib yang sama, jika tidak dimuatkan kisah anak toyol yang merayau-rayau. Sejujurnya, Saya pernah mengajukan soalan kepada seorang pelajar perempuan tingkatan lima. Soalan yang amat mudah, iaitu siapakah nama bapa kepada Nabi Muhammad s.a.w ? Sungguh memeranjatkan kerana pelajar tersebut tidak tahu jawapannya. Tapi dalam masa yang sama, pelajar tersebut memiliki satu nota kecil yang mengandungi maklumat/biodata tentang artis-artis kesayangannya.


(Manusia yang dijangkiti virus kebinatangan
akan hilang kemanusiaan dan keinsanan.
Hanya agama yang dapat dijadikan vaksin untuk membunuh virus ini)


Kembali kepada tajuk, Majalah Solusi merupakan majalah terbitan Telaga Biru. Setakat ini, keluaran terbarunya ialah isu no. 21, iaitu Melebur Takbur. Secara peribadi, majalah ini sangat bagus dan amat sesuai untuk mencairkan antartika kejahilan dan seterusnya memperluaskan ufuk pemikiran. Anggaplah ia sebagai IKS( ilmu kecil sederhana) untuk mematangkan kita dalam beragama. Ilmu agama dan seterusnya kefahaman dalam beragama amatlah penting sebagaimana dinyatakan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim “ Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.”

Ketua Editor Majalah ini ialah Pahrol Mohammad Juoi, seorang ‘ustaz cinta’ yang tidak asing lagi. Bukunya berjudul Nota Hati Seorang Lelaki, amat wajar dibaca oleh setiap lelaki untuk mengembalikan kelelakiannya. Bukan kelelakian yang biasa tapi kelelakian yang sungguh luar biasa. Kelelakian yang biasa, umumnya telah mengetahui seperti mana yang sering diulas oleh Dr. Ismail Thamby. Kelelakian yang luar biasa ialah mengerti tentang firman dan mengetahui tentang sabda dengan menjadikan Muhammad S.A.W sebagai qudwah atau contoh lelaki sejati dalam pelbagai aspek. Editornya pula ialah Ustaz Ahmad Baei Jaafar, yang dahulunya editor Majalah Dewan Agama dan Falsafah( terbitan kumpulan Karangkraf). Para kolumnisnya juga hebat-hebat belaka. Antaranya, Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman, Dato Ismail Kamus, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil(yg terkenal dgn AKU TERIMA NIKAHNYA), Ustaz Muhammad Gunawan, Dr. Abd Basit Abd Rahman( sekadar menyebut beberapa nama).

Sebenarnya terdapat beberapa Majalah berbentuk keagamaan yang boleh dibaca demi kematangan dalam beragama. Antaranya, majalah Anis yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu, Majalah I yang diterbitkan oleh karangktaf dan Majalah Al-Islam terbitan Kumpulan Utusan. Namun secara peribadi, saya pernah memboikot Majalah Al-Islam kerana ia dijadikan wasilah untuk menyebarkan ajaran islam liberal oleh editornya yang bernama Astora Jabat.

Jadi, marilah kita jadikan Majalah-majalah keagamaan ini sebagai bahan bacaan wajib kita selain daripada bahan-bahan bacaan yang rutin.