Sunday, 24 January 2010

MERENTAS MASA


SEBELUM BERALIH ARAH
SEBELUM MENCARI ARAH
PASTIKAN ARAH YANG INGIN DITUJU
TAKUT NANTI..
KAU TERCARI-CARI DI DALAM TERANG
BIMBANG NANTI
KAU TERABA-RABA DI DALAM BENDERANG.


Lega rasanya apabila aktiviti merentas desa dapat diadakan dengan sempurna. 23. Januari 2010, tamatlah sudah satu aktiviti ko-kurikulum yang menjadi acara tahunan di sekolahku. Merentas desa menawarkan keseronakkan buat pelajar-pelajarku lantaran kebosanan dengan kerutinan dan kebiasaan di dalam kelas. Potret keriangan jelas terpamer pada wajahnya. Sungguh gembira mereka berlari meredah jalan dan denai, melewati beberapa perkampungan dan kawasan perumahan.
Itu tentang merentas desa. Tapi, bagaimana pula dengan merentas masa. Ia tidak sesusah merentas desa. Ia tidak memerlukan kita berjalan dan berlari tetapi ia memerlukan kita berfikir dan menghayati. Ia tidak memenatkan tapi agak mengerunkan.

Perlu sekali untuk para pelajar diajar untuk merentasi masa. Memang perlu, untuk membolehkan mereka berpijak di bumi yang nyata. Sangat perlu, agar mereka tidak berpaut di dahan yang rapuh. Terlalu perlu, supaya mereka tidak bersandar pada dinding yang rebah. Teramat perlu, semoga mereka tidak berpijak di lantai yang rekah. Mereka perlukan petunjuk agar tidak tersalah arah. Mereka perlukan panduan agar tidak tersasar tanpa pedoman. Risau, kalau tanpa petunjuk, mereka akan tercari-cari walaupun dalam terang. Takut, kalau tanpa panduan, mereka akan teraba-teraba meskipun dalam benderang

Sebelum lena ada baiknya membiarkan diri menerawang seketika. Ambilah sedikit masa untuk mengerti hakikat masa. Masa yang secara umumnya terbahagi kepada tiga. Masa silam yang telah dilalui, masa kini yang sedang dinikmati dan masa depan/hari esok yang belum pasti.

MASA SILAM

MASA SILAM yang kini tersimpan rapi di arkib ingatan. Tidak wajar untuk sekadar mengutip kenangan pada setiap detik yang telah kita kehilangan. Sewajarnya, kita turut memungut pengajaran untuk menjadikan kita lebih matang. Memang benar, kita tidak mampu menghalang larian waktu yang telah berlalu. Tapi, sekurang-kurangnya menolehlah buat seketika. Bukan untuk bernostalgia tapi untuk merenung dan menghayati. Cuba bayangkan betapa murahnya ‘harga’ untuk hidup beberapa tahun yang lalu, dalam lingkungan 15-20 tahun yang lalu ( Mungkin tika itu mereka yang bergelar pelajar masih lagi bertaraf bayi). Tidak kisahlah harga rumah, harga tanah, malah harga beras dan gula. Juga harga petrol dan lain-lain keperluan.

Tapi, sayang. Itu kisah beberapa tahun yang lalu. Jadi sejarahlah kini. Perubahan datang dan semua itu lenyap dimamah zaman. Tapi, harus disedari sesungguhnya sejarah ini akan berulang. Maksudnya, akan datang ‘harga’ untuk hidup semakin mahal. Mereka yang bergelar pelajar pada hari ini, kemungkinan akan melangkah ke alam dewasa lebih kurang 10 tahun lagi. Tika itu cuba bayangkan berapakah harga untuk sebuah rumah teres, atau pertanyaan paling bodoh, berapakah harga untuk sekilo gula? Masih adakah subsidi gula dan petrol seperti yang pernah dan sedang kita kecapi hari ini?


MASA KINI

MASA KINI yang sedang dihadapi. Kalau tidak cermat dan hati-hati dalam melayarinya, maka banyaklah impian yang tidak akan makbul. Banyak juga hasrat yang tidak akan tertunai. Tapi sayang, inilah yang sering pelajar buat tidak kisah dan tidak peduli. Inilah realiti yang saya perhatikan sepanjang bergelar guru. Paling saya terkilan dengan pelajar yang datangnya dari keluarga yang miskin tetapi ‘ miskin’ pula semangat juangnya untuk belajar. Dalam satu kes, bekas pelajar saya yang merupakan seorang anak yatim yang telah kematian ayah, ibu pula lumpuh dan adik beradiknya lebih kurang 11 orang. Memang meruntun hati tika saya ke rumahnya sekitar 2008. Tapi, yang dikesalkan kerana dia juga turut ‘miskin’ semangat juang dan ‘yatim’ cita-cita dan tujuan. Ke sekolah hanya kerana ingin berjumpa dan bersembang bersama teman-temannya. Ponteng kelas menjadi aktiviti rutinnya. Petang-petang pula asyik dengan aktiviti tak senonoh di taman rekreasi. Kesudahannya anak yatim ini kecundang dalam SPM. Itu sebahagian contoh yang mampu saya paparkan.

Terlalu banyak sebenarnya kes macam ini. Miskin tapi malas. Susah tapi culas. Tanpa sedar, mereka yang datang dari keluarga yang susah tapi culas ini, sebenarnya sedang merancang untuk mengulangi sejarah kesusahan keluarga mereka. Mereka gagal mengusir kemiskinan yang menghambat kehidupan lantaran culas dan malas. Sepatutnya mereka sedar sebelum mereka menukar arah( lari dari matlamat sebenar sebagai pelajar) sebabnya selepas ini mereka akan mencari arah(mencorakkan kehidupan). Jangan nanti arah yang dituju bagaikan api atau duri. Andai melangkah pasti terbakar atau terluka.


MASA HADAPAN
MASA HADAPAN yang kita tidak pasti. Tapi, lumrahnya formula untuk masa hadapan ialah 1+2=3. Walaupun ia tidak setepat dan setetap 1+2=3, lantaran adanya faktor nasib dan takdir. Tetapi Tuhan tidak pernah menzalimi hamba-Nya, jadi formula ini hampir tepat dan tetap. Sebagaimana orang yang makan akan berasa kenyang, orang yang mandi akan kebasahan, begitu jugalah untuk orang yang rajin berusaha maka hasilnya ialah kejayaan. Orang yang malas pula, hasilnya ialah kegagalan. Itulah formula yang lazim dan lumrah. Perlu sekali untuk pelajar dan ibu-bapa mengetahui sesungguhnya kehidupan akan datang amatlah mencabar. Kos hidupnya sungguh mencabar. Perlumbaan untuk memperolehi pekerjaan juga mencabar. Apa sahaja termasuklah kadar jenayahnya juga mencabar lantaran kehidupan yang mencabar.

Jadi, apakah persiapan anda untuk mendepani kehidupan yang serba mencabar ini. Tidak boleh lagi kita mengharapkan subsidi dan bantuan kerajaan sepanjang hayat. Mahu atau tidak mahu, kita terpaksa memperkasakan diri mulai hari ini/masa kini. Untuk pelajar, anda perlu belajar dan belajar dengan gigihnya demi kegemilangan hari esok. Untuk ibu bapa pula, perlulah sedar akan tanggungjawabnya demi kelangsungan hidup anaknya pada hari muka. Sebabnya kebiasaannya, formula ini agak tepat dan tetap seperti mana tepat dan tetapnya 1+2=3. Malah Pribahasa Melayu turut menyokong formula ini, Berakit-rakit dahulu, Berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, Bersenang-senang kemudian. Ia menepati formula 1+2=3.

Wednesday, 13 January 2010

Kegilaan Yang Menggila

Gula dan Gila.

Bukan gula-gula

Tidak juga gila-gila

Tapi, Inilah.....

kegilaan yang menggila

Kegilaan menaikkan harga gula

Dengan alasan yang gila,

Kononnya untuk mengurangkan kegilaan orang ramai terhadap gula

Kononnya kegilaan terhadap gula

Akan menyebabkan obesiti dan diabetes menggila

Tuesday, 5 January 2010

TENTANG GURU, APA YANG PERLU PELAJAR KETAHUI


TENTANG GURU, APA YANG PERLU PELAJAR TAHU.

(sebelah, gambar bersama-sama pelajar di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu)

“Dan IA telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda itu semuanya, jika kamu golongan yang benar. Malaikat itu menjawab: “ Maha Suci Engkau ( Ya Allah) kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang kau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, Lagi Maha Bijaksana.” (SURAH AL-BAQARAH , ayat ke-31-32)

Berdasarkan kalam Allah ini, jelaslah sejarah PEMBELAJARAN telah bermula sejak sekian lama. Allah yang MENGAJAR dan Adam(termasuk Malaikat) yang DIAJAR.

Kali ini, di ruangan yang terhad dan terbatas ini, saya ingin berbicara tentang golongan yang DIAJAR( boleh sahaja ditakrifkan sebagai pelajar, murid atau yang seerti dengannya). Ya, berbicara tentang apa yang perlu pelajar ketahui tentang gurunya.

Tentang biodata guru?
Jujur! itu amat tidak penting .

Tentang tarikh sambutan hari guru?
Ikhlas! Bukan itu yang harus diutamakan.
Jadi apa yang perlu mereka ketahui tentang gurunya?

SETIAP GURU INGINKAN KEJAYAAN PELAJARNYA.

Ini yang paling utama untuk seseorang pelajar ketahui. Ini visi dan misi seseorang guru sejak zaman berzaman-zaman. Inilah impi dan citra setiap guru di segenap penjuru dan ruang di buana ini.


Setiap guru pasti berbangga dengan kejayaan pelajarnya. Sebagai mana bangganya Imam Bukhari yang menjadi guru kepada Iman Tirmizi, hinggakan Imam Tirmizi menjadi Muhadithin yang terkenal. Malah dari segi kedudukan atau mutu, kitab Sunan al-Tirmizi yang dihasilkan oleh Imam Tirmizi merupakan kitab Sunan keempat daripada enam kitab Sunan yang. Malah, Imam Bukhari sendiri pernah mengatakan, Sesiapa yang menyimpan Sunan al-Tirmizi di rumahnya, seolah-olah telah menyimpan Nabi di rumah. Malah, Khatib al-Baghdadi menamakan Sunan al-Tirmizi sebagai al-Jami’ al-Sahih.

Jujur! setiap guru inginkan setiap pelajarnya berjaya melakarkan masa depan yang gemilang. Jangan ada suram dan jangan ada kelam, jangan ada hitam dan jangan ada mendung yang menabiri kehidupan pelajar-pelajarnya.


SETIAP GURU INGINKAN PELAJARNYA LEBIH BERJAYA DARINYA.

Selalu saya berkata kepada pelajar-pelajar saya. Kalau saya sebagai guru, kamu sekurang-kurangnya menjadi seorang pensyarah di IPTA/IPTS.

Dua kisah ingin saya paparkan sebagai renungan buat semua.

PERTAMA:
Ingin sekali saya paparkan kisah Alexander Graham Bell. Beliau adalah guru dalam
penciptaan telefon(kerana beliau adalah pencipta telefon). Memang dia dikenang sebagai manusia yang hebat dan berjasa kerana telah memperkenalkan telefon sebagai alat untuk beromunikasi. Tetapi, harus diakui ‘anak didiknya’ hari ini, iaitu pencipta telefon jauh lebih hebat daripadanya. Kalau beliau masih hidup tentu sahaja beliau terkejut dengan jecanggihan handphone yang terdapat di pasaran hari ini.

KEDUA.
Kisah Anne Sullivan! Dialah guru yang telah memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Tapi sejarah telah menjilidkkan, Hellen Keller kemudiannya terkenal seantero dunia dan jauh mengatasinya.
Begitu juga dengan saya( begitu juga dengan guru-guru yang lain), inginkan anak didiknya mengatasinya dari segi pencapaian dan kegemilangan hidup. Jurutera, arkitek, doktor, peguam, tokoh korporat dan pemimpin terkemuka, biarlah semua itu menjadi hak milik pelajarnya.
Bagaimanapun ini bukanlah bererti saya menghina pelajar-pelajar yang kecundang dalam akademik atau yang gagal meraih kerjaya yang profesional.
]ujur! meskipun anda hanya seorang penjual goreng pisang, petani, nelayan ataupun pekerja kilang. Namun, anda jauh lebih mulia berbanding seorang akauntan yang sanggup menggelapkan akaun orang lain demi menerangi akuannya.
Ikhlas! anda lebih suci berbanding segelintir profesional yang lena dan leka dalam dakapan rasuah.
Sejauh langit dari bumi, begitulah mulianya anda berbanding tokoh korporat yang menjadi keparat lantaran halobakan laba semata-mata.
Sejauh timur dari barat , begitulah sucinya anda berbanding segelintir politikus yang
sanggup melacurkan kebenaran demi kuasa.
Pokok pangkalnya anda jujur dan ikhlas. Jujur dan ikhlas yang mempunyai keterikatan dengan agama. Dan inilah yang ingin setiap guru nyatakan kepada pelajar-pelajarnya. Baik kepada yang bergelar jurutera, doktor dan arkitek. Mahu pun kepada pelajar yang telah dan bakal bergelar mekanik, penjual goreng pisang dan pekerja kilang.

PUTERI

Cerpen saya ini telah disiarkan di dalam Majalah Mingguan Wanita, Karangkraf ( 1- 7 Januari 2010 )


TAJUK = PUTERI
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.

Sejak dari tadi lagi dia termangu di jendela. Direnungnya dada langit dan ditatapnya wajah bulan. Namun, hati dan fikirannya tidak juga tenang. Dia benar-benar diburu penyesalan. Dia menghela nafas panjang dan seketika kemudian pandangannya beralih pula ke seberang jalan. Sekumpulan kelekatu yang mengerumuni lampu yang menerangi jalan, benar-benar menarik perhatiannya. Berapa ekor kelekatu yang bernasib malang, diperhatikannya dengan penuh belas kasihan.

Malang! Kerana terpaksa merayap di atas jalan, lantaran kepatahan sayap untuk terbang. Sungguh! Kelekatu itu telah tertipu dengan keindahan lampu, fikirnya. Ternyata! Dunia yang gelap di dalam tanah lebih baik buat kelkatu berbanding cahaya lampu yang menyebabkannya terkulai layu.


Puteri! Wajah pemilik nama itu tiba-tiba menyelinap datang dan memenuhi ruang ingatannya. Mengenangkan Puteri, dia merasakan dirinya teramat malang. Semalang kelekatu yang sedang merayap untuk menghabiskan sisa-sisa hayat setelah kepatahan sayap.

Penyesalan

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Justeru, kamu akan bertanggungjawab terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinanmu. Seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin terhadap anggota keluarganya dan akan bertanggungjawab terhadap anggota keluarganya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan bertanggungjawab terhadap anak-anak dan pimpinannya. Khadam pula diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang berada di bawah pimpinannya.” Kata-kata Ustaz Khairi ketika kuliah maghrib beberapa minggu yang lepas kembali mengasak benaknya. Sejak tiga bulan yang lepas sebenarnya, dia mula berjinak-jinak dengan masjid. Dia ingin mencari penyembuh duka di institusi yang mulia itu. Duka lantaran dihempap segunung penyesalan.

“ Hadis riwayat Imam Bukhari ini telah mengiktiraf kita semua sebagai pemimpin yang mempunyai tanggungjawab, bidang kuasa dan wilayah pentadbiran masing-masing. Di akhirat nanti, kita semua akan disoal tentang pelaksanaan amanah yang kita pikul ini.” Tidak sekadar singgah di telinga, bicara yang menginsafkan itu turut meresap ke hati dan menyelinap ke seluruh jasadnya.

“Suami merupakan pemimpin utama dalam sesebuah rumahtangga. Dia bertanggungjawab terhadap anak dan isterinya. Ini semua telah dinyatakan oleh Allah S.W.T, dalam surah An-Nisaa’ ayat ke-34.” Jelas Ustaz Khairi lagi.

“Rumah tangga sebenarnya adalah sebuah kerajaan. Walaupun kecil dan sempit dari segi saiz, namun ia sangat besar dan amat luas dari segi kepentingan. Seperti mana pentingnya butiran pasir yang menjadi asas kepada pembentukan gunung yang tinggi. Saat dan detik yang menjadi asas kepada pembentukan tahun, kurun dan abad. Begitu jugalah dengan institusi keluarga yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat dan negara.” Astaghfirullahalazim, dia beristighfar perlahan. Dia benar-benar menyesal kerana terlalu menyempitkan horizon perkahwinan selama ini. Kini dia mengerti hakikat sebuah perkahwinan, yang tidak hanya untuk menghalalkan hubungan kelamin dan tidak sekadar untuk menyambung zuriat.

“Selaku pemimpin dalam rumahtangga, tanggungjawab seseorang suami sangatlah berat. Sebab itulah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, menganggap perkahwinan itu sebagai satu jihad. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dinyatakan betapa mulianya perjuangan seseorang suami yang mencari rezeki untuk menyara anak dan isterinya, hingga disamatarafkan dengan perjuangan seorang mujahid di jalan Allah.” Begitulah Ustaz Khairi menjelaskan.

Syukur! Dia sangat bersyukur, kerana kuliah itu telah mencairkan antartika kejahilannya selama ini. Kini dia memahami, tanggungjawab seseorang suami tidaklah semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga.

“Tanggungjawab seseorang suami selaku pemimpin rumah tangga bukanlah untuk membahagiakan anak dan isterinya di dunia sahaja, Lebih dari itu, adalah untuk membahagiakan anak-anak dan isterinya di akhirat kelak. Inilah yang dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahriim ayat ke-6, Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.”
Penjelasan itu bergema di telinganya. Terdengar-dengar dan terngiang-ngiang.

Dipejamkan matanya seketika. Perlahan-lahan dia cuba mengingat kembali segala tanggungjawab yang telah dia abaikan. Ternyata! Dia gagal menjadi suami yang baik. Gagal, lantaran halobakan kecantikan. Kecantikan yang diburu, menyebabkan dia lupa makna suami. Kejelitaan yang dikejar menyebabkannya lupa erti bapa.

“Ya Allah, ampunilah aku.” Doanya di dalam hati.

“Put, maafkanlah abang.” Hatinya berbisik perlahan.

Dia meraup wajah perlahan dan pandangannya dilontarkan kembali ke dada langit. Sekali lagi dia memandang bulan. Tapi kali ini, dia merasakan dirinya seperti seekor pungguk. Pungguk yang malang kerana hanya mampu melihat bulan dari kejauhan sambil mengharap dengan penuh kerinduan. Seperti si Pungguk , dia juga seorang perindu. Dia merindui saat-saat bahagianya. Tapi sayang, semua itu telah berlalu dan hanya menjadi sejarah yang tersimpan rapi di arkib kenangannya. Dia cuba mengingat kembali serpihan-serpihan kenangan yang dianggapnya sebagai membahagiakan, Bagaikan menerpa di ruang mata, dia ternampak-nampak saat dia dan Puteri diijabkabulkan.

“Aku terima nikahnya Puteri Masitah bt Megat Husain dengan mas kahwinnya lima ratus ringgit tunai.” Masih segar dalam ingatannya saat kalimah itu dilafazkan. Kalimah yang menobatkan Puteri sebagai permasuri hidupnya. Permaisuri kepada sebuah kerajaan yang bergelar rumah tangga. Permaisuri yang akan menemaninya untuk melakar hasrat dan mengukir impian di sepanjang hayat.

Rumah tangganya amat bahagia pada awalnya. Dia dan Puteri bersatu atas nama cinta. Mereka berpadu atas dasar kasih. Bahagia yang dicipta semenjak di kampus semakin terserlah setelah kelahiran anak sulungnya, Norlela. Tiga tahun kemudian, anak keduanya, Norfadzillah pula menyusul. Tapi sayang, hayat kebahagiaannya hanyalah seketika dan hayat perkahwinannya juga tidak lama. Dan, dialah puncanya.


Pertemuan


Pulau Perhentian. Di situlah segalanya bermula. Ya, dia masih ingat rantaian kisah itu dengan lengkapnya. Sungguh! Semua itu masih bugar di sanubarinya. Dia ke pulau peranginan itu untuk bercuti. Bercuti untuk merehatkan diri dari lelah akal dan penat fizikal lantaran kesibukkan meladeni tugasan harian. Ketika sedang mencicip bayu laut yang berhembus lembut, dia disapa oleh seseorang.

“Pertama kali ke sini?.” Si Jelita memulakan bicara.

“Ya.” Jawabnya ringkas sambil mencuri pandang ke arah Si Jelita.

Lantas Si Jelita itu memperkenalkan diri. Namanya Anita, seorang setiausaha di sebuah syarikat yang agak terkemuka di ibu kota.

Walaupun pertemuan di Pulau Perhentian hanyalah seketika, namun ia tidak berakhir setakat itu sahaja. Ia telah merintis kepada pertemuan-pertemuan yang lain. Pertemuan yang pada mulanya hanyalah jarang-jarang, tetapi kemudiannya bertukar menjadi kerap-kerap. Akhirnya dia dan Anita menjadi rapat dan akrab. Keakraban yang terlarang tetapi tetap juga diulang-ulang, menyebabkannya tersasar jauh dari tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa. Sungguh! Anita telah menyebabkan kasihnya berpaling dan cintanya berpindah.

Perubahan tingkahlakunya itu dapat dihidu oleh Puteri. Apa tidaknya, dia mula lewat pulang ke rumah dan adakalanya hingga lewat malam. Begitu juga dengan masa untuk bersama keluarga , semakin hari semakin kurang.

Namun, apabila Puteri meluahkan sangsi, pelbagai helah dan alasan yang diberi. Semata -mata untuk mewajar dan mewaraskan tindakannya itu. Akhirnya Puteri akur dengan alasannya, hinggakan tiada sekelumit pun kesangsian terhadapnya. Sungguh! Puteri benar-benar percaya dan betul-betul yakin terhadapnya. Percaya, dia benar-benar sibuk dengan tugasan harian. Yakin, dia tidak akan sesekali berlaku curang.


Derita Puteri


“Sampai hati abang buat Put macam ni. Inikah balasan abang terhadap kepercayaan dan kesetiaan Put selama ini.” Bicara Puteri tersekat-sekat sambil menangis teresak-esak. Dia tahu, Puteri sedang mengusung kecewa sambil menahan sebak di dada. Ya, dia ingat benar tika dan saat itu.

Tika dan saat Puteri berlinangan air mata, setelah dia dan Anita ditangkap berkhalwat dalam satu operasi pencegahan maksiat. Peristiwa itu telah menguburkan seluruh kepercayaan Puteri terhadapnya selama ini. Kekecewaan yang sendat di kalbu menyebabkan Puteri meminta agar dileraikannya dari ikatan perkahwinan.

Akhirnya perkahwinan mereka bubar dan kekosongan yang ditinggalkan itu diisi oleh Anita. Sangkanya Si Jelita itu akan memberikannya bahagia. Tapi sangkaannya tidak menjadi nyata. Rupa-rupanya Si Jelita itu racun berbisa yang akhirnya membunuh cinta dan kepercayaannya. Sungguh tidak disangka, Si Jelita itu telah mengkhiantinya. Anita yang disayangi dan dipuja-puja, telah bermain kayu tiga dan ditangkap berkhalwat dengan rakan sepejabatnya ketika dia bertugas di luar daerah.

Kenyataan itu sungguh memeritkan. Hatinya punah ranah. Jiwanya cedera parah. Namun, di sebalik hakikat yang tersurat itu, terselit juga hikmah yang tersirat. Sungguh! Kenyataan yang memeritkan itu telah mengajarnya seribu erti dan sejuta makna. Erti kecewa bila didustai dan makna terluka bila dikhianati. Selama ini, dialah pendusta dan pengkhianat terhadap cinta dan kepercayaan yang diberikan oleh Puteri. Kini, dia mengerti betapa deritanya Puteri selama ini.


Mencipta Bahagia


“Apa bezanya antara kau dan aku wahai kelekatu. Kita gagal menilai keberuntungan diri kita selama ini. Kita mengejar sesuatu yang kita anggap indah dan menawan. Tetapi, kita lupa ia sebenarnya merugikan, malah membinasakan. Betapa beruntungnya jika kau terus mendiami duniamu di dalam tanah. Kau tetap bahagia meskipun dalam gelita. Tapi, kau halobakan cahaya yang dipancarkan oleh lampu. Kau tertipu wahai kelekatu. Lampu itu telah membunuhmu.” Dia bersuara lirih sambil memandang ke arah kelekatu di seberang jalan.

“Begitu juga dengan aku. Betapa beruntungnya jika aku kekal bersama isteri dan anak-anakku. Tapi, kejelitaan yang dipancarkan oleh Anita telah membutakan mata hatiku. Aku tertipu. Kejelitaan Anita telah membinasakanku. Put! Maafkan abang.” Dia tidak mampu lagi menahan sebak didada, lalu air-air jernih mula membasahi pipinya.

“Put, masih adakah ruang dan peluang untuk kita bersama semula. Sudikah Put memaafkan dan menerima abang kembali.” Dia tertanya-tanya sendiri sambil membuang pandangannya ke arah bulan di langit yang tenang.

“Allah Maha Berkuasa. Sesungguhnya tiada yang tidak mungkin dengan izin Allah. Dan, tiada yang mustahil dengan kehendak Allah.” Bait-bait nasihat yang disampaikan oleh Ustaz Khairi dalam kuliah yang lepas telah menyuntikkan keyakinan ke dalam dirinya.

Dia ingin kembali kepada Puteri. Kembali mencipta bahagia yang telah hilang. Dia tahu, belum ada lelaki lain yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan olehnya. Nekad! Dia akan menemui Puteri dalam tempoh yang terdekat untuk menyatakan hasrat hatinya itu.

Mungkinkah Puteri akan memaafkan sekali gus menerimanya. Atau, Puteri sekadar memaafkan tetapi tidak dapat menerimanya. Mungkin juga Puteri tidak dapat memaafkan sekali gus tidak dapat menerimanya. Persoalan- persoalan itu terus menyendati benaknya. “Ahh! Segalanya mungkin.” Dia sedar, itulah jawapan yang paling tepat.


Cerpen Sebelumnya: Resah Seorang Isteri

Saturday, 2 January 2010

DALAM HATI SEORANG GURU

Cerpen saya ini telah disiarkan dalam Majalah e @ Siswa( edisi 29, Julai 2009)

(Ini sebuah kisah tentang kegigihan seorang Guru Pendidikan Khas.)

TAJUK = DALAM HATI SEORANG GURU
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.

Gementar! Entah mengapa perasaan itu begitu menebal dalam diriku. Jujur! Aku meragui keupayaanku untuk berbakti. Mampukah aku melaksanakan tangungjawab ini? Mampukah aku mempraktikkan segala teori yang telah dipelajari?


Teka-teki itu mula terjawab setelah beberapa hari aku berada di sini. Ternyata, mendidik pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia tidak semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga. Namun, aku yakin, di sebalik hakikat yang tersurat ini pasti adanya hikmah yang tersirat.

“Saya harap Cikgu Iskandar dapat sesuaikan diri dengan keadaan di sini.” Kata Tuan Haji Sarbani, selaku pengetua sewaktu aku melaporkan diri.

“Insya-Allah, saya akan cuba sesuaikan diri,Tuan Haji.” Jawabku sambil menganggukkan kepala . Ya, di mana sahaja ditempatkan, aku mesti membina zon selesa. Tidak wajar sama sekali seseorang guru selaku pendidik bersikap memilih lokasi untuk menyumbang bakti. Apatah lagi bagi guru-guru yang senasib denganku, yang berjaya mengikuti kursus KPLI setelah berkali-kali memohon.

“Pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini sebenarnya ada potensi. Tapi sayang, potensi itu terabai lantaran mereka kurang keyakinan diri. Jadi, cikgu buatlah yang terbaik untuk mereka.” Pengetua berbicara lagi . Ada nada pengharapan pada ungkapannya itu.


Kurang keyakinan diri. Itulah penyakit yang dihidapi oleh kebanyakkan OKU. Lebih teruk dari itu, ada juga segelintir OKU yang beranggapan kewujudan mereka ke dunia ini umpama melukut di tepian gantang. Masuk tidak menambah dan keluar pula tidak mengurang. Ada atau tiada, tidak memberi apa-apa kesan.


Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang bakal aku didik nanti? Adakah setebal antarika ketidakyakinan mereka? Jika ya, mampukah dicairkan antartika itu? Selagi tidak dicairkan, maka selagi itulah mereka akan kecundang. Selagi itu jualah walang hidup mereka akan berterusan.


“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik.”

Aku sedar tanggungjawab ini amat berat untuk digalas. Namun, inilah realiti yang harus aku depani. Jadi, semampu yang boleh dan sekudrat yang terdaya akanku usahakan. Akanku gilap potensi mereka dengan asuhan yang rapi. Akanku bimbing mereka untuk menerobos sempadan diri.

Anne Sullivan! Mungkin ada sesuatu yang boleh aku garap dari sejarah hidupnya. Sebagai pedoman, panduan dan juga sebagai pengajaran. Dalam hal ini, dia memang layak untuk dikagumi. Apa tidaknya. Sebab dialah yang memerdekakan Hellen Keller dari belenggu ketidakyakinan diri. Tidak sekadar memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Lebih dari itu, dia turut menjadi mentor yang setia hinggakan Hellen Keller menjadi terkenal seantero dunia.

Mampukah aku mencontohinya?

Dapatkah aku mengambil manfaat dari kisah perjuangannya?


*** ************************************************************************

Di sini, aku ditugaskan untuk mengajar subjek sejarah dan perdagangan. Syukur kepada Allah, kerana aku tidak disuruh mengajar kelas-kelas peperiksaan. Syukur juga kerana bilangan pelajar di dalam setiap kelas tidaklah ramai, lebih kurang lima orang sahaja. Paling aku syukuri kerana diwujudkan program integrasi pendidikan khas di sekolah ini. Jika tidak, pasti sukar untuk pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini menimba ilmu.


Hari pertama di kelas, aku manfaatkan untuk saling mengenali. Dari sinilah aku mula mengenali mereka dengan lebih dekat. Latar belakang mereka aku selami. Tahap kurang kemampuan mereka juga aku terokai. Hari-hari yang mendatang nanti, akanku selongkar pula sikap dan perwatakkan mereka. Kalau boleh, aku ingin mengenali mereka sedekat-dekat dan sedalam-dalamnya.


Sebenarnya tidak semua pelajarku ini yang pendengarannya cacat seratus peratus. Masih ada dalam kalangan mereka yang mempunyai sisa-sisa pendengaran. Maksudnya, mereka masih boleh mendengar tetapi dalam keadaan yang sangat terhad dan amat terbatas. Jadi perlulah dikuatkan suara apabila berbual atau ketika mengajukan tanya. Walaupun begitu, penggunaan bahasa isyarat tetap diutamakan. Ia dimanfaatkan semaksimum mungkin kerana ia merupakan medium utama dalam penyampaian ilmu di samping kaedah-kaedah yang lain.


Usai sesi perkenalan, aku titipkan pula sedikit nasihat kepada mereka. Harap-harap nasihat itu berbekas di hati lantas berdarah daging dalam jasadnya. Aku ingin mereka mengerti, sesungguhnya kewujudan mereka ke dunia ini bukanlah untuk dikesali. Jauh sekali untuk diratapi. Tetapi untuk dinikmati seperti mana insan-insan yang lain.


Aku ingin mereka faham, sesungguhnya mereka bukanlah golongan ‘hapus kira’ yang telah diprogramkan untuk malang sepanjang hayat. Aku mahu mereka memandang masa depan dengan wawasan dan harapan. Mereka harus sedar, masa depan yang gemilang bukanlah sebuah khayalan.


Paling penting, mereka perlu kembali ke perdu dan akar punca. Mereka perlu menjadi Orang Kuat Usaha meskipun pada hakikatnya mereka tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya. Mereka mesti menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi ilmu di dada. Ilmu amat berharga. Ilmulah yang diwariskan oleh nabi kepada umatnya dan bukannya dirham dan dinar atau harta benda. Ilmu jualah yang dapat mengangkat darjat seseorang ke tahap yang lebih mulia. Lihat sahaja ulama terbilang atau saintis ternama. Atau ilmuan besar dalam pelbagai bidang. Kesemua mereka adalah pemburu ilmu yang setia.


Kepada mereka aku ceritakan juga kisah-kisah OKU yang berjaya. Sengaja aku berbuat begitu supaya mereka tidak lesu dan jemu terhadap ilmu. Prof Dr Ismail Mohd Salleh aku ‘perkenalkan’ kepada mereka. Biar mereka mengerti, sesungguhnya lelaki yang siangnya gelap dan malamnya gelita itu bukanlah pengemis di kaki lima. Biar mereka faham, lelaki buta itu merupakan seorang tokoh akademik yang ternama dan banyak berjasa.


*******************************************************************

Dunia perguruan ada manisnya. Namun, ada juga pahitnya. Jujur! aku juga pernah kecewa. Kecewa dengan segelintir pelajarku. Apa tidaknya, walaupun dijelaskan berkali-kali dan diterangkan berjela-jela namun mereka masih macam itu juga. Masih .tidak mengerti dan tetap tidak faham. Aku rasa sia-sia sahaja segala ilmu yang aku curahkan, umpama mencurah air ke atas daun keladi. Apakah puncanya? Di manakah silapnya?


“Cikgu kena banyak bersabar. Tugas pendidik memang macam ni. Terlanjur jadi pendidik terpaksalah kita gagahi.” Itu nasihat Ustaz Mustafa tatkala aku meluahkan kekecewaan yang terbuku di hati sewaktu kami bersarapan di kantin.

"Pendidik dan kesabaran adalah dua unsur yang sangat sebati. Seperti gula dengan manisnya dan garam dengan masinnya, begitu jugalah antara pendidik dengan sikap sabarnya.” Jelas Ustaz Mustafa dengan panjang lebar. Aku pula sekadar anggukkan kepala tanda akur dengan penjelasan yang diberi.

“Dalam sebuah hadis ada diceritakan, kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa dan dianugerahkan syurga lantaran membantu anjing yang dahaga. Berbakti kepada anjing pun begitu hebat ganjarannya, apatah lagi kalau berbakti kepada manusia. Tambahan lagi kepada manusia yang istimewa.” Kata Ustaz Mustafa lagi setelah jeda seketika.

“Astaghfirullahalazim.” Aku beristighfar perlahan sambil menghela nafas panjang. Kata-kata ustaz kelahiran Terengganu itu telah mengembalikanku ke paksi wajar. Cepat-cepat aku cantas rasa kecewa yang baru bertunas. Aku sedar, mendidik itu satu perjuangan. Perjuangan pula memerlukan kekentalan. Kekentalan untuk meredah lautan dugaan. Aku juga sedar, seperti pelacur di dalam hadis nabi, aku di sini juga si penghilang dahaga. Dahaga pelajarku terhadap ilmu dan masa depan yang sempurna. Dahaga ibu –bapa mereka terhadap kejayaan dan kebahagiaan mereka.

Betapa berdosanya jika tanggungjawab ini aku abaikan. Berdosa terhadap pelajar-pelajarku. Terhadap ibu bapa mereka. Paling tidak pun terhadap puluhan ribu siswazah yang sedang menganggur. Aku telah merampas hak mereka. Mereka mungkin benar-benar berminat untuk menceburi profesion keguruan. Mereka mungkin betul-betul jujur dan ikhlas ingin membantu insan-insan yang dahaga ini. Tapi nasib tidak menyebelahi. Mereka kecundang dalam permohonan KPLI.



************************************************************************

Mungkin ada benarnya kata-kata Jean Jacques Rousseau, si arkitek Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette. Katanya “Kita belajar bersama hidup. Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”

Ya, kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik. Syukur kepada Allah kerana telah menemukanku dengan ‘guruku’ ini. Aku menemuinya setelah semalaman aku mencari. Mencari dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati. Hatiku berbisik. Katanya, ketidakfahaman pelajarku itu mungkin berpunca dariku. Mungkin pendekatanku selama ini kurang berkesan. Mungkin proses pengajaran dan pembelajaran( P&P) yang aku kendalikan itu membosankan. Segalanya mungkin. Ya, aku perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik. Mereka memerlukan metod yang tepat agar ilmu dapat dicerna dengan mudah dan cepat.

Hari ini aku sepi tanpa mereka. Cuti panjang akhir tahun ini benar-benar mendera diriku. Jujur! Aku merindui mereka. Satu persatu wajah mereka menerpa di ruang ingatanku. Ternampak-nampak, terbayang-bayang dan teringat-ingat.


Azami dan Khairi. Mereka berdua adalah sebahagian daripada pelajarku. Pelajar yang ‘istimewa’ di kalangan pelajar-pelajar istimewa. Istimewa kerana merekalah yang paling lambat mencerna ilmu yang aku curahkan. Namun, sejak akhir-akhir ini mereka mula menunjukkan peningkatan. Ya, dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini mereka telah membuktikan kehebatan diri. Aku yakin, mereka mampu memetik kejayaan dalam SPM nanti.


Jauh di sudut hati aku menaruh harapan, agar kejayaan N Aghilan, pelajar cacat pendengaran yang memperolehi 12A dalam SPM 2008 akan berulang lagi. Kalau boleh biarlah di kalangan pelajarku ini. Dalam hati juga aku berdoa, agar Allah memberikanku kekuatan dan ketabahan untuk terus berbakti. Ya, itulah yang terpendam dalam hatiku kini. Dalam hati seorang guru.






TENTANG GURU, APA YANG PERLU GURU KETAHUI


APA YANG GURU PERLU TAHU TENTANG GURU
(Gambar sebelah, dari kiri: aku dan syidi )

Awaluddin makrifatullah (awal-awal agama ialah mengenal ALLAH). Saya begitu tertarik dengan perkataan MENGENAL yang terdapat di dalam hadis ini. Kenal -mengenali amatlah penting. Sebab itulah wujudnya kalimah ,Tak kenal Maka Tak Cinta. Tapi, di sini bukanlah matlamat saya untuk berbicara tentang kaedah mengenali Allah. Saya bukanlah ingin membicarakan isu Sifat 20 puluh atau Tauhid 3 serangkai( uluhiyyah, rubbubiyyah dan asma wa sifat). Yang ingin saya bicarakan di sini ialah ISU KENAL- MENGENALI yang menjadi asas kepada CINTA(kerana kalau tak kenal maka tak cinta).


Apa yang perlu dikenali oleh seseorang guru agar dia mencintai profesion keguruan?
Profesion yang menjanjikan lautan duga, yang adakalanya kita lemas tika meredahnya. Profesion yang menyajikan hidangan mehnah dan tribulasi yang sukar untuk dihadam dan dicerna.


PERTAMA(1),


Seseorang guru perlu tahu dia adalah guru. Iaitu seorang manusia yang diamanahkan untuk mendidik(walaupun saya lebih gemar menggunakan perkataan mengajar) insan yang DIAMANAHKAN kepadanya.
Sengaja saya fokuskan perkataan AMANAH kerana Insan Mulia(Nabi SAW) mengingatkan kita, “Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Justeru, kamu akan bertanggungjawab terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinanmu….(hadis panjang sebenarnya).”


Hadis riwayat Imam Bukhari ini telah mengiktiraf kita semua sebagai pemimpin yang mempunyai tanggungjawab, bidang kuasa dan wilayah pentadbiran masing-masing. Di akhirat nanti, kita semua akan disoal tentang pelaksanaan amanah yang kita pikul ini.


Jadi semua guru hendaklah sedar hakikat ini. Tidak seharusnya seseorang guru menjadikan kerjaya ini untuk memerdekakan diri dari penjara pengangguran. Amat tidak wajar juga, jikalau ada yang menjadikan kerjaya ini sebagai ‘pelarian’ setelah penat dan bosan dengan kerjaya lain. Lagi tidak wajar apabila profesion ini dijadikan seperti ‘habis sepah madu dibuang’ apabila profesion ini dimadukan dengan profesion lain. Tidak salah bermadu tetapi kena adil. Hari ini ramai guru yang ‘bermadu’. Maksud saya bermadu kerjaya lantaran desakan hidup. Ada yang madunya (part-timenya) sebagai ejen insurans, MLM, mengajar tuisyen dan macam-macam lagi.

Tapi , teramat malang kerana terdapat segelinir guru yang lebih utamakan madunya.
Mereka lebih utamakan kerjaya sebagai ejen insurans, MLM dan lain-lain lagi.
Ada kes tertentu, seseorang guru mengajar acuh tak acuh di dalam kelas dan apabila tamat sesi pengajaran dia memberi peringatan kepada muridnya “ kalau nak faham kenalah ikuti kelas tuisyen yang saya buat.” Kepada guru seperti ini, cuba ingat kembali ungkapan klasik zaman berzaman “ Kera di hutan disusukan dan anak sendiri dibiarkan mati kelaparan.”


Kepada guru-guru seperti ini lebih baik anda talakkan sahaja kerjaya sebagai guru kerana anda tidak mampu berlaku adil.


Perlu sekali kita memungut pengajaran dan mengutip pengalaman yang telah dirintis oleh tokoh-tokoh pendidik yang telahpun berjaya meredah lautan duga dalam kerjaya keguruan. Mereka telahpun sampai ke pulau kejayaan setelah dilambung gelombang halangan tika mendidik anak bangsa. Kisah mereka perlu kita garap agar dapat kita berpaut nanti kala karam di lautan duga.


Pungutlah pengajaran dan kutiplah teladan dari kisah kejayaan Sheikul Islam al-Imam Ibn Taimiyah yang berjaya melahirkan anak didik sehebat Imam Ibn Qayyim dan Imam Ibn Kahtir. Atau Imam Bukhari yang turut melahirkan anak didik sehebat Imam Tirmidzi. Atau Anne Sullivan! yang telah memerdekakan Hellen Keller dari belenggu ketidakyakinan diri. Tidak sekadar memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Lebih dari itu, dia turut menjadi mentor yang setia hinggakan Hellen Keller menjadi terkenal seantero dunia.


KEDUA(2),


Seseorang guru selaku pendidik perlu tahu kelemahan dan kekuatannya. Jean Jacques Rousseau, si arkitek Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette. Katanya “Kita belajar bersama hidup. Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”


Ya, kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik. Carilah ‘guru’ ini. Carilah di dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati. Di situ kita akan menemui jawapannya.


KETIGA(3),


Seseorang guru perlu tahu hakikat dosa dan pahala, juga syurga dan neraka. Yakinilah kebaikan dan kejahatan meskipun sebesar zarah akan dipamerkan di akhirat nanti. Cuba renung kembali kisah seorang pelacur yang dimasukkan ke dalam syurga lantaran membantu seekor anjing yang dahaga. Manusia yang hina(pelacur) yang membantu binatang yang keji(anjing) tapi kesudahannya ialah syurga. Apatah lagi kita yang jauh lebih mulia dari pelacur dan membantu golongan yang jauh lebih mulia dari anjing.

RESAH SEORANG ISTERI

Cerpen saya ini telah disiarkan dalam Majalah Mingguan Wanita,( 13-19 Febuari 2009.)

TAJUK = RESAH SEORANG ISTERI
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL. (SHAMEEL ISKANDAR)

Malam terus berlabuh. Hujan pula semakin melebat. Dingin dan sejuk juga semakin menggigit. Namun dia tidak dapat melelapkan mata. Ada resah yang bergayut di hati. Ada gelisah yang merajai diri. Kenapa suaminya belum pulang? Itulah persoalan yang mengasak benaknya. Berkali-kali dia menghubungi telefon bimbit suaminya. Tapi hampa, tiada sebarang jawapan.


Dia bangkit dari sofa dan perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke jendela. Dia ingin menikmati panorama di luar rumah tatkala sunyi menyelimuti malam. Mudah-mudahan dengan itu dia dapat mengusir resah dari berterusan bermaharajalela. Sesekali angin sejuk menjamah tubuhnya, sungguh menyegarkan.

“Menjadi tanggungjawab suami untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Berdosa hukumnya jika diabaikan. Ia termasuklah menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal, berdasarkan kemampuannya.” Kata-kata Ustazah Zabidah, sewaktu bertandang ke rumahnya tiga hari yang lepas kembali menerjah ingatannya. Dia cuba mengingat kembali setiap nasihat dan saranan daripada ustazah yang berkelulusan syariah dari Universiti Al-Azhar itu. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan dalam melayari kehidupan.


Dia ingat benar tatkala ustazah itu berkisah perihal Hindun yang diizinkan oleh Rasulullah untuk mengambil harta suaminya, Abu Sufyan lantaran pengabaian nafkah oleh suaminya itu. Betapa pentingya pemberian nafkah hinggakan Hindun dibolehkan mengambil harta tersebut walaupun tanpa pengetahuan suaminya.


Dia juga difahamkan oleh ustazah itu tentang sepotong hadis nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, tentang murninya perjuangan mencari nafkah untuk keluarga hingga disamatarafkan dengan perjuangan seorang mujahid di jalan Allah.

“Tapi, adakah isteri dilarang sama sekali untuk bekerja.” Dia melontarkan kemusykilan yang telah sekian lama berdaerah di hatinya.

“Walaupun menjadi tanggungjawab suami untuk memberikan nafkah, tapi tidaklah berdosa sekiranya isteri turut bekerja. Sekurang-kurangnya ia boleh meringankan bebanan suami. Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang memerlukan kewangan yang kukuh untuk hidup yang sempurna.”


Ditatapnya wajah ustazah itu sungguh-sungguh dan lama. Dia inginkan penjelasan dan pemahaman yang lebih untuk merungkai segala keraguan yang membelit dirinya selama ini. Ustazah yang berwajah tenang itu bagaikan dapat menduga isi hatinya, lantas dibacakan kepadanya sepotong ayat Al-Quran, surah Al-Maaidah ayat kedua:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.”


“Maksud ustazah, berkerja untuk membantu ringankan bebanan suami.” tanyanya lagi inginkan kepastian.

“Ya. ” ustazah Zabidah menjawab ringkas.

“Apapun mesti dapat keizinan suami terlebih dahulu. Jadi eloklah Nurul bawa berbincang dengan suami.” sambung Ustazah Zabidah lagi. Dia anggukkan kepala tanda faham dengan penjelasan yang diberikan.


Rasa bangganya terhadap wanita semakin menggunung tatkala Ustazah Zabidah menceritakan kehebatan wanita-wanita islam pada zaman silam. Walaupun musim terus beredar dan hari terus berganti, namun peranan mereka masih lagi yang terindah untuk dikenang.

Dia amat mengagumi kehebatan Siti Khadijah yang bijak menguruskan perniagaan. Dia sungguh takjub dengan Aisyah, yang begitu banyak meriwayatkan hadis nabi dan menjadi rujukan para sahabat dalam persoalan agama. Juga mahir dalam ilmu perubatan tradisional. Dia terpegun dengan keberanian Malahayati, satu-satunya laksamana dari kaum hawa yang telah menghimpunkan para janda di Acheh untuk menentang Portugis dan Belanda yang cuba mencabul kedaulatan Acheh. Dia terpesona dengan kebijaksanaan Cut Nyak Dhien, srikandi Acheh yang begitu pintar merancang strategi perang, meskipun setelah hilang penglihatan.


***

“Apa kata kalau Nurul cuba mohon KPLI atau jadi guru GSTT dahulu. Manalah tau kalau ada rezeki. Lagipun kerja sebagai guru ni sangat sesuai untuk orang perempuan. Masa kerjapun tak lama dan cutipun banyak. Jadi banyak masa yang boleh diluangkan bersama keluarga.” cadang Ustazah Zabidah setelah jeda seketika.

“ Jadi guru?”

“Astaghfirullahalazim!” Dia beristighfar sambil menarik nafas dalam-dalam. Guruh yang tiba-tiba berdentum telah membunuh lamunannya. Dia menyusun jejak dan kembali melabuhkan punggung di sofa yang didudukinya tadi. Matanya dipejam rapat-rapat, dan dia kembali teringat serpihan-serpihan kenangan yang dianggapnya sebagai membahagiakan. Lima tahun dahulu, usai menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, dia memulakan kerjayanya sebagai seorang akauntan di sebuah firma swasta.

Dia amat berbangga dengan kerjaya itu. Kerjaya yang dicita-citakannya sejak di bangku persekolahan lagi. Tapi sayang, semuanya hanya tinggal kenangan. Hayat kerjayanya tidak lama. Tiba –tiba pipi gebunya mulai basah. Ternyata dia tidak berupaya lagi untuk menghalang air-air jernih yang mula mengalir dari tubir matanya.

“Abang nak Nurul berhenti kerja. Abang nak Nurul jadi surirumah sepenuh masa.”

“Tapi, kenapa bang.” dia meluahkan sangsi.

“Abang nak Nurul duduk kat rumah dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga Biar abang seorang saja yang bekerja, Nurul pula mengemas rumah dan memasak.” ujar suaminya tegas.

“Tapi bang, Nurul boleh lakukan semua tu walaupun bekerja.” sedaya yang boleh dia cuba untuk bertahan.

“Abang tak nak urusan rumah tangga kita terabai sebab Nurul sibuk bekerja. Abang tak nak anak-anak kita nanti terbiar tanpa perhatian kerana ayah dan ibunya sibuk mengejar harta Lagipun, telah jelas dalam agama, tugas suami yang memberi nafkah dan tugas isteri adalah kat rumah” jelas suaminya lagi.

“Tapi, bang”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Nekad dan muktamad abang nak Nurul berhenti kerja. Nurul pilih antara dua, Abang atau kerja.” Begitulah suaminya memutuskan.

Akhirnya dia mengalah. Demi suami dia korbankan kerjaya. Meskipun ada rasa terkilan, namun sekudrat yang boleh, dia cuba memujuk hati agar reda dan pasrah.

Sebenarnya dia sendiripun tidak pasti apakah puncanya larangan itu. Adakah berdasarkan sebab-sebab yang munasabah dan alasan yang berasas. Benarkah kerana suaminya bimbang berlakunya pengabaian terhadap rumah tangga? Betulkah kerana tidak selaras dengan tuntutan agama? Atau kerana sebab-sebab yang lain.

Setelah setahun berlalu, barulah teka- teki itu terjawab. Itupun setelah diberitahu oleh kakak iparnya. Kata kakak iparnya pada satu petang, suaminya malu kerana pendapatannya sebagai akauntan jauh melebihi pendapatan suaminya, seorang guru di sekolah kebangsaan. Suaminya tidak mahu dianggap dayus kerana menumpang tuah isteri. Penjelasan kakak iparnya itu benar-benar menghiris hatinya. Bagaikan dihiris belati, luka di hatinya amat parah sekali. Kadangkala dia tertanya, adakah suaminya terlalu jumud atau terlampau ego. Tapi akhirnya dia akur juga, lantas mewajarkan semua itu sebagai takdir. Sekali lagi dia redha dan pasrah.


***

Kehidupan sebagai surirumah sepenuh masa, pada mulanya amatlah membosankannya. Tapi itu semua untuk seketika cuma. Hari demi hari, dia mula membiasakan diri dengan kehidupan sebegitu. Akhirnya dia serasi dengan kerja-kerja memasak dan mengemas rumah. Masalah kewangan walaupun ada namun tidaklah ketara.


Meskipun pendapatan semakin surut dan susut, tapi kebijaksanaan merancang perbelanjaan membolehkan mereka hidup bahagia. Ternyata ilmu perakaunan yang dipelajarinya di kampus dahulu benar-benar bermanfaat kepadanya .

Kelahiran anak sulungnya, Fadzillah telah memulakan episod baru dalam hidupnya. Dia tidak lagi kesunyian sewaktu bersendirian di rumah. Lebih penting lagi, kehadiran Fadzillah semakin memahamkannya makna seorang isteri dan erti seorang ibu. Sekali gus mengeratkan lagi hubungannya dengan suami.

Dua tahun selepas itu, anak keduanya, Norzilah mula menjadi tetamu dunia. Dia benar-benar bahagia. Segala kekecewaan lantaran terpaksa berhenti kerja lenyap begitu sahaja. Keletah anak-anaknya bagaikan penawar lara dan penyembuh duka. Walaupun begitu, perbelanjaan mereka sekeluarga semakin meningkat lantaran tanggungan yang kini bertambah.


Dia perlukan biaya yang lebih untuk memenuhi keperluan anak-anaknya seperti susu tepung, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan. Situasi yang sebegini telah memaksa suaminya membuat kerja-kerja sampingan, termasuklah berniaga kecil- kecilan. Sebelah petang, suaminya menjual burger. Sebelah malam, berniaga di pasar-pasar malam. Adakalanya setelah lewat malam barulah suaminya pulang ke rumah. Pernah juga suaminya mencuba nasib sebagai ejen insuran dan terlibat dengan jualan langsung. Namun nasib tidak menyebelahi. Suaminya tiada kepakaran dalam semua itu.

Kekadang gundah bertamu juga di hatinya tatkala memikirkan masa depan anak-anak. Pasti sahaja, mereka memerlukan kewangan yang lebih apabila mula bersekolah nanti. Rasa pilu seringkali menyerbu tatkala dia menonton di kaca televisyen atau membaca di dada akhbar, tentang kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan alam persekolahan lantaran masalah kewangan yang menghimpit. Dia tidak mahu nasib malang sebegitu berjangkit kepada diri dan keluarganya.

Keperitan hidup semakin terasa lantaran kenaikan harga barang yang semakin ketara. Begitu juga dengan sewa rumah. Sudah tiga kali dinaikkan sejak dia mula menyewanya lima tahun dahulu. Dia amat yakin sewa rumah akan dinaikkan lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Memikirkan semua itu membuatkannya binggung. Terdetik juga di hatinya untuk memiliki rumah sendiri, sebagai tempat untuk berlindung dan berteduh dari hujan dan panas. Namun dia tidak pasti bilakah impiannya itu akan menjadi nyata. Apatah lagi, harga rumah semakin meningkat sejajar dengan peningkatan harga tanah, simen, besi dan kos pengangkutan. Apa yang pasti, suaminya belum berkemampuan untuk merealisasikan hasratnya itu.

Lebih merisaukan, pendapatan suaminya tiada lagi berbaki setelah ditolak segala perbelanjaan. Lantas simpanan mereka sifar. Terlintas juga di kotak fikirnya, apakah yang harus dilakukan andainya keluarganya ditimpa bencana, seperti sakit atau demam. Perlukah mereka berhutang dengan saudara mara dan rakan taulan. Perlukah ditebalkan muka untuk meraih simpati orang. Bukannya dia ingin menafikan hakikat rezeki sebagai ketentuan Tuhan. Tetapi dia amat meyakini rezeki harus diusahakan. Dia sangat faham bahawa yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

Sering kali juga dia terfikir, wajarkah dia membatukan diri dan merelakan segala kesulitan dan keperitan itu. Atau perlukah dia berusaha untuk menghambat segala kesulitan yang menimpa. Acap kali juga dia tertanya-tanya kepada diri sendiri, tidakkah suaminya menjangkakan masalah ini sewaktu mendesaknya berhenti kerja dahulu. Semakin difikirkan, semakin serabut pula fikirannya. Sebenarnya, apa yang dia inginkan hanyalah kesempurnaan hidup dan bukannya kemewahan.

***

Dia mengeluh panjang seolah-olah melontarkan segala kerisauannya ke dada langit. Kalau boleh biarlah kerisauan itu menjauh. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat.

“Assalamualaikum.” Jelas kedengaran suara dari luar rumah sejurus loceng rumahnya dibunyikan. Dia yakin, suara itu milik suaminya. Lantas dia bangkit dari sofa dan bergegas menuju ke pintu seusai sahaja membalas salam.

“Abang minta maaf banyak-banyak sebab lewat pulang . Van rosak tadi. Abang bukannya tak nak bagitau Nurul, tapi telefon abang habis bateri. Nasib baik ada kawan abang yang kebetulan lalu kat situ. Dialah yang tumpangkan abang balik.”

“Nurul risau sangat tadi. Nurul bimbangkan abang.” dia meluahkan kerisauan yang terpendam di dada.

“Mesti abang penatkan?” Soalnya kemudian, tanda cakna yang bugar di jiwa.

"Tak apa. Penat abang akan hilang bila lihat senyuman Nurul.” jawab suaminya dengan nada bergurau.

“Abang ni!” Balasnya manja sambil menguntum senyum di bibir.

“Nasib baiklah van tu rosak tak jauh dari balai polis. Abang pun dah maklumkan kat pegawai polis di balai tu. Insya-Allah, selamat.” Jelas suaminya lagi.

“Abang mandi dulu ya. Takut demam sebab tadi kena hujan.”

Dia anggukan kepalanya perlahan. Nasib baik esok hari minggu. Kalau tak, tentu suaminya akan telewat ke sekolah. Dia terkenang saranan Ustazah Zabidah tempoh hari agar dirinya memohon KPLI. Esok dia mesti berbincang dengan suaminya. Harap-harap suaminya mengerti. Moga-moga suaminya faham. Mudah-mudahan suaminya tidak keberatan untuk mengizinkan.

“Sama-sama guru, jelas sekufu.” Bisiknya dalam hati.



Info Tambahan:

  • Kerana kesilapan pihak editor Mingguan Wanita, cerpen ini tidak tertera nama saya sebagai penulisnya, tapi nama Zakiah Abd. Ghafar. Namun, pada cek yang dihantar oleh pihak karangkraf,tertera nama saya juga judul cerpen ini serta tarikh ia disiarkan.
  • Watak-watak dalam cerpen ini merupakan orang-orang di sekitar saya, termasuklah rakan-rakan guru/guru gstt. Atas dasar ini(disertakan dengan bukti cek pembayaran dari karangkraf), saya berhak untuk bertegas, cerpen ini adalah hak cipta saya meskipun pada majalah Mingguan Wanita tersebut terpapar nama Zakiah Abdul Ghafar sebagai penulis.
  • Cerpen ini juga turut dimuatkan bersama dalam koleksi Cerpen Istimewa Wanita(Komplikasi Majalah Mingguan Wanita) terbitan Kumpulan karangkraf.