YAHUDI DAN ZIONIS.
Kecoh sekecohnya, apabila Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengatakan tidak salah untuk umat islam berurusniaga dengan orang-orang Yahudi. Apabila membaca hujah yang dilontarkan untuk mengutuk kenyataan Presiden PAS, baik di dada akhbar mahupun di laman-laman sosial termasuklah di blog, ternyata ia amat melucukan. Sesetengahnya berhujah dengan nada yang amat racis, seracis Hitler yang terkenal dengan misi Holocaust dalam memerangi orang-orang Yahudi. Sesetengah pulak berhujah persis orang mandul akal.
Jika tadi saya bawa perumpamaan Durian dan Buah-Buahan, sekarang saya ingin tonjolkan perkaitan antara Yahudi dan Zionis. Yahudi merujuk kepada orang, manusia, individu, bangsa dan sering juga dirujuk sebagai anutan. Manakala Zionis pula merujuk kepada sebuah pertubuhan, pergerakan dan fahaman/isme. Kesimpulannya mudah sahaja, Yahudi tidak semestinya Zionis, meskipun Zionis dianggotai oleh orang-orang Yahudi, sebagaimana durian yang merupakan sebahagian daripada buah-buahan, namun buah-buahan tidak semestinya durian.
Memang islam mengajar kita agar sentiasa berwaspada dengan yahudi dan nasrani namun dalam masa yang sama Allah menganugerahkan
‘sedikit keistimewaan’ dalam berinteraksi antara umat islam dengan penganut yahudi dan nasrani. Keistimewaan yang saya maksudkan ialah, umat islam dibenarkan memakan sembelihan ahli kitab dan mengahwini wanita ahli kitab. Pasti sahaja ada yang tertanya-tanya, masih wujudkah ahli kitab hari ini. Maaf saya tidak berminat untuk membincangkan isu ini secara panjang lebar di sini, Insha-Allah akan saya perincikan dalam entry akan datang. Cuma, secara ringkas, ingin saya jelaskan, jumhur(majoriti) ulama berpendapat ahli kitab masih wujud hingga ke hari ini meskipun mereka beriman dengan kitab(Taurat dan Injil) yang telah diubah. Cuma, para ulama berbeza pendapat dari segi keturunannya sahaja.
Malah, Lokman Ab. Rahman, seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) dan juga Presiden Persatuan Eksekutif Halal Malaysia menjelaskan, pada zahirnya ahli kitab yang masih mempertahankan peraturan kitab mereka(tentu sahaja kitab yang telah diubah- tambahan dari saya) hingga ke hari ini ialah kaum Yahudi jika dibandingkan dengan Nasrani(sila rujuk majalah al-islam, disember 2011, m/s:23)
Wajarkah kita memusuhi keseluruhan orang Yahudi?
Hari ini jumlah bangsa Yahudi di seluruh dunia hanyalah sekitar 12 atau 14 juta orang. Hampir 6 atau 7 juta orang mendiami Israel dan saki baki yang lain pula bertebaran di seluruh dunia terutamanya di benua Eropah dan Amerika.
Tentu sekali tidak wajar dan tidak waras untuk kita memerangi keseluruhan orang Yahudi, sebab tidak kesemua mereka ini menyokong perjuangan Zionis. Malah, terdapat juga orang-orang Yahudi yang mengutuk kekejaman terhadap Palestin. Malah, tidak kurang juga yang turut membantah pencerobohan tentera Amerika Syarikat ke atas Afghanistan dan Iraq.
Begitu juga dengan orang-orang Yahudi di Maghribi satu ketika dahulu. Mereka saling berinteraksi dengan umat islam di Maghribi dan hidup sebagai warga Maghribi yang baik. Jutaan terima kasih kepada
Saudara Nazel Hashim Mohamed kerana telah menulis sebuah cerpen yang hebat berjudul
Bertemu Zulaikha Di Kasbah Des Oudayas. Cerpen tersebut turut membicarakan isu kaum Yahudi di Maghribi menerusi watak Ra’il seoarang wanita Yahudi kelahiran Casablanca.
PANDANGAN TOKOH-TOKOH AGAMA TENTANG HUKUM BERURUSNIAGA DENGAN ORANG-ORANG YAHUDI.
Pandangan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat(TGNA)Di dalam hadis ada menjelaskan, bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga.
Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW.
Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi?
Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam. Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.
Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan.
Kenyataan penuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz boleh rujuk :-->
SINIApa yang pasti,
Presiden PAS hanya mengatakan boleh berurusniaga dengan orang Yahudi dan bukannya dengan Zionis, tapi Kerajaan Malaysia sudah sekian lama menjalin hubungan dagang dengan Zionis. Ini adalah jawapan daripada Menteri Kewangan Malaysia terhadap soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012.
".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. … (
tolong perhatikan perkataan yang saya boldkan itu)
Pasti akan ada yang mempertikaikan pandangan TGNA, dengan alasan TGNA tu Mursyidul Am PAS dan sudah tentu akan menyebelahi Presiden PAS. Tidak mengapa saya paparkan pula pandangan ulama di luar lingkungan parti.
Pandangan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin:Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tidak salah bagi umat Islam untuk berurusan dengan bangsa Yahudi yang tidak bermusuhan dengan Islam.
Mengulas polemik berikutan pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa berurusniaga dengan Yahudi dibenarkan tetapi bukan dengan Zionis, Asri berkata,
"maka, kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan (dengan) Yahudi yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar."
Bagaimanapun menurut beliau, pihak yang memerangi Islam, maka "dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya."
Kenyataan beliau ini boleh dirujuk:-->
SINIPandangan Dr Zaharuddin Abd Rahman:Allah SWT menghalalkan lelaki Islam untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab yang suci dan baik dengan syarat ia bertujuan kebaikan kepada wanita tersebut. Perihal halal berkahwin dan makan sembelihan ahli Kitab termasuk Yahudi ini disebut dengan jelas dalam ayat kelima surah Al-Maidah.
Jika perkahwinan dibenarkan, sudah tentu jual beli lebih lagi akan termasuk dalam kategori dibenarkan oleh Islam (selagi mana menurut syarat jual beli Islam).
Telah ijma' atau sepakat seluruh umat islam keharusan urusan dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka " ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
Justeru, telah ijma' berkenaan keharusan membeli dan menjual samada kepada Yahudi, Nasrani (Kristian), Buddha, Hindu dan lain-lain selagi mana mereka tidak terlibat secara langsung (dan rasmi) memerangi Islam.
Artikel penuh dari Dr Zaharuddin,sila rujuk:-->
SINIAda satu perkara yang menghairankan saya, iaitu kritikan terhadap kenyataan Tuan Guru Haji Hadi turut disebarkan menerusi Facebook. Mungkin mereka terlupa Facebook juga merupakan hasil ciptaan seorang anak muda Yahudi bernama Mark Zuckerberg.