Showing posts with label KELANTAN. Show all posts
Showing posts with label KELANTAN. Show all posts

Friday, 18 January 2013

Kosmo Anti - Kelantan: Mengapa Tonjol "Ustazah Kelantan" Bukan "Ustazah" Sahaja?

Berita asal boleh dibaca di sini SINI 



Saya tidak mahu ulas panjang-panjang. Cuma mahu mempersoal motif Kosmo menonjolkan perkataan "Kelantan" dalam berita di atas. Mengapa? Walhal bunyi tajuknya pelik apabila dimasukkan perkataan "Kelantan". 

Tidak pernah kita baca tajuk berita: "Cikgu Johor Belasah Murid" atau "Ustazah Negeri Sembilan Mendera Muridnya". Selain janggal, bunyinya memang pelik! 

Tajuk "Lengan Murid Lebam Dicubit Ustazah" sudah memadai dan tepat berbanding dengan tajuk yang digunakan di atas. Lagipun kejadian ini berlaku di Kelantan, bukannya di tempat lain. Jika di tempat lain pun, walaupun tertuduh berasal dari Kelantan, tindakan meletakkan perkataan "Kelantan" itu tetap tidak kena! 

Kredit buat :Dunia Caca Marba

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Kosmo Menghina Kelantan

Monday, 14 January 2013

KOSMO MENGHINA KELANTAN.


“Majoriti Orang Melayu adalah penagih dadah” Kenyataan sebegini tentu sahaja melukakan hati dan menimbulkan kemarahan seluruh umat Melayu. Percayalah, abang Ibrahim Ali ,PERKASA akan mengamuk sakan.

 “Majoriti Penagih dadah adalah Orang-Orang Melayu.” Kenyataan ini perlu diterima dengan redha walaupun ia amat bisa berbisa. Ini kerana, kenyataan ini menepati realiti. 

Mesej dari dua kenyataan di atas amatlah mudah, iaitu, kita perlu teliti dalam mengatur kata dan menyusun bicara. 

Tapi malangnya wartawan yang mandul akal dari akhbar tabloid Kosmo tidak teliti dalam isu ini. Perkataan Kelantan tidak perlu disensasikan. Sebab kejadian sebegini boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa megira lokasi, negeri mahupun bangsa serta agama. 


Negeri Si Bekas Suami/Penjenayah tidak perlu disensasikan.
Ini kerana perbuatan jenayahnya yang perlu difokuskan,
dan hukuman yang diterima olehnya pula perlu dijadikan pengajaran.

Sepatutnya berita tersebut bertajuk Penampar Mahal Bekas Suami, dan bukannya Penampar Mahal Lelaki Kelantan. Ini kerana, fokus utama yang perlu disensasikan ialah hukuman terhadap lelaki yang menzalimi bekas isterinya. Apabila perkataan Penampar Mahal Lelaki Kelantan disensasikan ia seakan-akan mengambarkan aktiviti tampar menampar dan pukul memukul itu adalah hobi atau aktiviti masa lapang para lelaki Kelantan. 

Gila dan memang gila, sebab banyak lagi kes-kes lain yang lebih teruk daripada kes ini seperti kejadian wanita di rogol oleh bekas suami dan kejadian wanita disimbah asid oleh bekas suaminya gara-gara wanita tersebut enggan dirujuk semula oleh bekas suaminya itu. Tapi tidak pula disensasikan negeri kelahiran penjenayah/bekas suami tersebut. Ini yang dikatakan Hairan bin Ajaib dan Bahlul binti Tolol. Wartawan dan editor Kosmo perlu membuka mata dan minda seluas-luasnya.

Kepada wartawan dan editor Kosmo,belajarlah dari apa yang berlaku di negara tetangga kita, Indonesia. Lihatlah bagaimana penerbit dan pengarah filem terkenal Hanung Bramantyo dikecam hebat kerana filemnya berjudul Cinta Tapi Beda telah menghiris hati dan mencalar perasaan etnik Minangkabau. Filem tersebut mengisahkan Diana, seorang gadis Katolik berketurunan Minangkabau yang bercinta dengan Cahyo seorang lelaki Muslim berketurunan Jawa.

Filem ini dikecam hebat bukan semata-mata kerana menghina etnik Minangkabau yang majoritinya beragama islam. Tapi disebabkan ia mensensasikan permasalahan etnik. Malah Hanung Bramantyo dinasihatkan agar hanya memaparkan isu cinta antara dua agama tanpa menyentuh mana-mana etnik.

Kepada Kosmo, harap dapat jadikan ini sebagai satu pengajaran dan janganlah terus terlena dalam dunia tolol dan bahlul. .

Saturday, 18 February 2012

Kerana Aku Anak Kelantan

Saya tidak berminat untuk berbicara isu-isu politik di blog saya ini. Tapi, isu-isu yang berlaku telah menjadi pendesak yang benar-benar mengasak saya untuk berbicara isu-isu berbaur politik.

Di sini saya berbicara selaku anak Kelantan. Saya ingin mempertahankan maruah Kelantan yang dipijak-pijak oleh Perdana Menteri Malaysia. Sesungguhnya menjadi kewajipan terhadap seluruh warga Kelantan untuk mempertahankan setiap inci bumi Kelantan. Tidak kira, apa parti sekalipun yang memerintah Kelantan, yang pasti Kelantan adalah Kelantan. Parti pemerintah negeri Kelantan( Parti yang membentuk Kerajaan Kelantan) boleh bertukar ganti tapi Kelantan adalah Kelantan dan tiada galang ganti. Dan, andainya Kelantan ditadbir oleh UMNO/BN, dan PAS/PR pula yang bertindak menghina Kelantan, percayalah PAS/PR pula akan saya tentang.


Tapi yang banggangnya UMNO/BN tidak boleh menerima kenyataan yang rakyat Kelantan tidak menerimanya. Sejak Kelantan merdeka dari penjajahan UMNO/BN, Kelantan tidak pernah sepi dari difitnah. Terbaru Haji Najib selaku suami kepada Hajjah Rasmah telah menuduh Kelantan sebagai negeri termiskin di Malaysia. Lihat :. --> SINI

Sebenarnya sejak 1990(tahun PAS memerintah Kelantan), Kelantan berkali-kali dituduh sebagai negeri termiskin. Padahal , sepanjang tempoh tersebut, Kelantan tidak selamanya berada dalam kedudukan teratas carta miskin tegar. Klip Video di bawah akan menjawab segala fitnah jahat pihak penjajah yang kini kehilangan kuasa.



Klip video di bawah pula menjelaskan betapa kejam dan jahatnya seorang Menteri yang berasal dari Kelantan. Beliau membuat pengakuan sesungguhnya dia telah mendera rakyat Kelantan dan menyekat sebarang peruntukan kepada Kelantan sejak kerajaan diambil laih oleh PAS pada tahun 1990. Beliau juga mengaku hanya setelah Pak lah mengambil alih jawatan Perdana Menteri, barulah hak Kelantan sebagai sebuah negeri di Malaysia turut diakui. Namun, dalam masa yang sama(era pemerintahan Pak Lah), terdapat juga segelintir menteri-menteri yang berasal dari Kelantan yang mendesak Pak Lah agar terus mendera Kelantan. Bagi mereka Kelantan perlu didera sehinggalah UMNO/BN berjaya memerintah Kelantan. Mujurlah Pak Lah tak sekejam itu. Sila hayati klip video di bawah:



Nasihat saya kepada UMNO/BN, akui sahajalah kalian tidak bijak mengatur strategi untuk merampas Kelantan. Kalian hanya menghulurkan bantuan bila berlakunya kematian wakil rakyat. Bila adanya pilihanraya kecil kerana kematian wakil rakyat, mulalah kalian masuk kampung hulur bantuan. Bantuan yang melimpah ruah dan tidka terjangkau oleh akal yang waras. Apa tidaknya, orang kampung yang bekerja sebagai ponoreh getah pun kalian bagi sumbangan jala dan perahu.

Sebenarnya saya ada beberapa data yang menunjukkan kroniknya masalah rasuah di Malaysia dan pincangnya beberapa perkara di Malaysia. Tapi saya tak sampai hati untuk paparkan kerana saya tak sanggup memburukan negara sendiri. Di sini saya hanya ingin menegur keceluparan Haji Najib, suami kepada Hajah Rasmah.

Ingin saya tegaskan sekali lagi, Parti yang membentuk Kerajaan Kelantan boleh bertukar ganti tapi negeri Kelantan tiada galang ganti. Dan, andainya Kelantan ditadbir oleh UMNO/BN, dan PAS/PR pula bertindak menghina Kelantan, percayalah PAS/PR pula akan saya tentang.

Sunday, 18 September 2011

Bual Bicara Bersama Bloggers Dan Facebookers



Ini adalah lanjutan atau sambungan daripada tajuk yang lepas, iaitu Satu Hari Di Hari Raya . Ini memandangkan ia berlangsung pada tarikh 2 september 2011(iaitu hari raya ke-4).

Sepatutnya entry ini telah lama saya tulis, tapi asyik tertangguh disebabkan ada beberapa entry lain yang saya rasa perlu didahulukan untuk dikongsi demi manfaat bersama.

Tanpa perancangan saya telah menghadiri Bual Bicara Bersama Bloggers Dan Facebookers yang diadakan pada 2 September 2011(hari raya ke-4). Majlis anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang bertempat di Balai Islam Kota Bharu, disedari oleh saya secara tak sengaja ketika saya merayau-rayau sekitar Kota Bharu pada sebelah siangnya.

Ingin saya tegaskan,Majlis Bicara Bersama Bloggers Dan Facebookers ini bukanlah sebuah medan politik tetapi medan bertukar fikiran dan gelanggang untuk melontarkan pandangan serta persoalan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan. Segala ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan Kelantan boleh dilontarkan di sini tanpa segan silu. Slogannya Anda Bertanya dan Mereka akan menjawab. Mereka yang dimaksudkan ialah MB Kelantan, YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat(TGNA), NAIB PRESIDEN PAS, YB HAJI HUSAM MUSA dan Setiausaha Agong PKR, YB Saifuddin Nasution. Tapi sayang, TGNA tidak dapat menghadirkan diri di atas sebab-sebab tertentu.








(dari kiri Aduka Taruna,Perisik Rakyat, Mustafa Kamal & Adik Aku)







Bual Bicara atau Dialog Bersama Bloggers Dan Facebookers ini sebenarnya terbuka kepada semua, terutamanya para bloggers dan facebookers dari semua pihak, baik dari Pakatan Rakyat, Barisan Nasional mahupun berkecuali. Inilah medan terbaik untuk merungkai salah faham terhadap Kerajaan Kelantan. Ia juga medan terbaik untuk menghentam Kerajaan Kelantan. Tapi sayang, setahu saya tiada seorang pun blogger Pro-BN yang hadir apatah lagi mengajukan tanya.







(antara yg mengikuti majlis dialog tersebut)




Sempat juga saya bertegur sapa dan bertanya khabar dengan beberapa orang blogger yang turut menghadiri Majlis ini. Antaranya ialah Aduka Taruna, Perisik Rakyat ( Topeng perak un-masked), Wan Ji Wan Hussin (al-Bakistani) dan Jiwa Hamba (Warung Kopi).

Aduka Taruna! Pasti ramai yang mengingati nama itu lantaran beliau pernah menghina bekas Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail. Saya tak nak berbicara soal itu. Itu kisah lepas dan jadikan ia sebagai pengajaran. Jadikan ia sebagai iktibar, agar kita semua tidak melatah dalam ‘menghala senjata’ baik di dalam blog mahupun facebook. Cuma, saya tertarik dengan soalan-soalan yang ditujukannya kepada Setiausaha PKR Saifuddin Nasution.

Perisik Rakyat (Topeng Perak Un-Masked) merupakan blogger Pakatan Rakyat yang disegani. Juga. Sebaris dengan Milo Suam dan KELAB GREENBOC. Tapi, dalam majlis ini beliau lebih fokuskan kepada kerja-kerja fotografi.

Jiwa Hamba(Warung Kopi), rasanya dia ni blogger Pro-Pakatan Rakyat yang masih baru. Katanya, dia pernah beberapa kali meninggalkan komen dalam entry-entry tertentu di blog saya. Lantas saya memeriksa balik beberapa entry yang pernah saya hasilkan, ternyata ada beberapa komen dari Jiwa Hamba. Setelah menerjah blognya, saya dapati, penulisannya agak bernas.

Wan Ji Wan Hussin seorang blogger yang agak terkenal. Beliau juga seorang penulis dan aktivis PAS. Kalau tak silap saya, dia sekarang ni sedang melanjutkan pengajian (saya tak pasti sama ada peringkat master atau PhD dalam bidang Pengajian Islam-Maqasid Syariah) di sebuah universiti tempatan. Alang-alang bercerita tentang Wan JI, elok juga kita lihat debat ilmiah antara beliau dengan Ulama Muda Umno, Ustaz Fathul Bari( lihat SINI).

Tiba-tiba saya teringat pesanan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang“wajib mengambil peluang dari perkembangan teknologi ini dan perlu dilakukan dengan penuh berkakhlak.tulisan di blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela islam, tapi boleh jadi racun berbisa jika disalah guna.”

Dan pesanan Tuan Guru Haji Hadi itu saya sebarluaskan kepada sahabat-sahabat blogger yang sudi berkunjunga ke blog saya. Bukan apa, sebab semalam, saya ada berkunjung ke blog seorang blogger. Terkejut saya bila gambarnya sedang berada dalam pelukan dan atas ribaan teman lelakinya dipaparkan kat blog. Kenapa harus berbangga dengan dosa hingga dengan beraninya ditunjukkan kepada umum.






Wednesday, 7 September 2011

Satu Hari Di Hari Raya



Sebagaimana Hari Raya pada tahun-tahun yang lepas, begitulah jugalah aktiviti rutin hari raya saya pada tahun ini. Solat sunat Aidillfitri(sepatutnya Idul Fitri), menziarahi tanah perkuburan dan berkunjung ke rumah saudara mara adalah antara aktiviti rutin yang dilakukan. Di sini ingin saya paparkan, satu lagi aktiviti rutin yang saya lakukan saban tahun ketika menyambut Aidil Fitri, iaitu mengunjungi rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat(TGNA).



Ingin saya tegaskan di sini, kunjungan tersebut adalah kunjungan seorang rakyat Kelantan ke rumah Menteri Besar Kelantan dan bukannya kunjungan ke rumah Mursyidul Am PAS. Memang jasad yang sama dan rumah yang sama, tapi jawatan Menteri Besar dan Mursyidul Am adalah tak sama. Menteri Besar dipilih oleh rakyat dan direstui oleh Sultan, manakala Mursyidul Am pula selaku Ketua Kerohanian adalah atas kehendak para pemimpin PAS berdasar keilmuan Tuan Guru Nik Aziz dalam persoalan agama. Ini dua perkara yang berbeza dan mesti difahami. Tuan Guru Nik Aziz adalah Menteri Besar yang dipilih oleh majoriti rakyat Kelantan. Ini mesti di hormati oleh semua pihak. Tuan Guru Nik Aziz adalah Menteri Besar saya dan Dato' Sri Najib Tun Razak pula adalah Perdana Menteri saya. Harap jelas dan seterusnya saya pohon, janganlah anggap ini sebagai entry politik.


(Org bukan islam juga tidak
melepaskan peluang utk beraya bersama TGNA)


Tapi sayang, raya kali ini saya terlewat ke rumah Tuan Guru Nik Aziz, disebabkan keralitan bersembang dengan rakan-rakan yang berkunjung ke rumah saya. Waktu saya sampai ke rumahnya, Tuan Guru Nik Aziz sudah masuk ke biliknya untuk merehatkan diri. Agak terkilan sebab tidak dapat bersalaman dengan Tuan Guru Nik Aziz, tapi saya tidak boleh menyalahkannya, sebab Tuan Guru Nik Aziz tentu sahaja kepenatan setelah melayan tetamu dari awal pagi selain mengimani solat sunat Idul Fitri.







Jadi gambar-gambar tahun lepas ketika berhari raya di rumah Tuan Guru Nik Aziz , saya paparkan kat sini sebab tiada ruang dan peluang untuk merakam gambar berhari raya bersamanya tahun ini. Setakat gambar tetamu sedang makan dan minum adalah, tapi tak perlu rasanya untuk dipaparkan gambar itu.





Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon jutaan maaf kepada sahabat blogger dan sesiapa sahaja yang berkunjung ke blog saya. Maaf di atas kekasaran bahasa dan keterlanjuran kata ketika menulis dan memberi komen.





( Lelaki Arab itu ialah cucu kpd Ulama terkenal dan tokoh Ikhwan Muslimin tersohor,
iaitu Sayyib Sabiq. Antara karya Sayyid Sabiq ialah kitab fiqh Sunnah
yg digunapakai oleh umat islam di seluruh dunia.)










Saturday, 20 August 2011

Jalan Tok Guru- Untuk Apa Dipertikaikan



Saya benar-benar hairan dengan tindakan segelintir manusia yang mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu(MPKB), menukar nama Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru. Macam-macam alasan yang diberi.

Ada yang mempertikaikan dengan penuh emosi. Katanya, apa relevennya MB Kelantan diabadikan kepada nama jalan. Masya-Allah, kemajuan teknologi maklumat semakin menyerlahkan kemandulan akal bangsa Melayu yang majoritinya beragama islam. Tok Guru bukanlah merujuk kepada Tok Guru Nik Aziz, tapi ia merujuk kepada para ulama dan institusi pengajian agama islam di Kelantan. Dengan kata lain, ia turut merangkumi Tok Kenali, Tok Bachok ,Tok Selehor, Tuan Tabal dan ribuan ulama-ulama yang pernah lahir dan menyumbang bakti di bumi Kelantan.

Istilah Tok guru adalah satu gelaran untuk ulama di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Selatan Thailand( terutamanya wilayahPattani). Kalau di Indonesia, para ulama biasanya dipanggil Kiai. Di Afghanistan, Pakistan dan juga Iran para ulama di gelar sebagai Mullah. Jadi Tok Guru itu bukan bermaksud MB Kelantan, Cuma MB Kelantan itu adalah sebahagian daripada Tok Guru- Tok Guru yang wujud di Kelantan.

Yang menghairankan saya, kenapa harus melenting dan melatah bila institusi ulama dimuliakan dengan diabadikan kepada jalan. Tapi dalam masa yang sama, kenapa tidak melatah apabila nama-nama artis –artis diabadikan pada jalan seperti Jalan P Ramlee.









Tok Kenali, salah seorang Tok Guru di Kelantan)



Ada juga yang mempertikaikan penamaan Jalan Tok Guru pada lokasi tersebut kerana di sepanjang jalan tersebut tidak pernah mencatatkan kemunculan institusi pondok. Ini kerana di institusi pondoklahlah gelaran Tok Guru digunakan bagi merujuk kepada tenaga pengajar utama di situ. Jadi, saya juga ingin bertanya, kenapa pula Jalan P Ramlee di abadikan di Kuala Lumpur, sedangkan semua tahu P. Ramlee dilahirkan di Pulau Pinang dan terlebih dahulu mencipta nama dengan syarikat rakaman di Singapore. Kenapa ?

Bagi saya, tindakan menukar nama jalan pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru adalah satu langkah yang terbaik untuk mengembalikan jati diri anak-anak Kelantan. Anak-anak Kelantan perlu tahu, suatu ketika dahulu Kelantan dikenali sebagai negeri Serambi Makkah dan Negeri Tadahan Wahyu. Dari mana datangnya gelaran yang sebegitu hebat. Hanya tiga buah lokasi sahaja di Asia Tenggara yang mendapat gelaran yang sebegitu hebat, iaitu Acheh di Indoensia, Pattani di Thailand dan Kelantan di Malaysia. Gelaran ini bukan diberi oleh Sultan selaku pemerintah wilayah-wilayah ini tapi oleh orang ramai kerana lokasi-lokasi ini terkenal sebagai pusat pengajian islam yang terulung.

Di Kelantan, ribuan ulama dilahirkan dan puluhan institusi pondok didirikan untuk mentarbiyah penduduk agar mengenali Pencipta. Sampai hari ini boleh dikatakan hampir setiap daerah masih lagi mempunyai institusi pondok, malah daerah saya iaitu Bachok, memiliki dua institusi pondok, iaitu Pusat Pengajian Pondok yang lebih dikenali sebagai Pondok Moden Kandis (kelolaan YIK) dan pondok Kuin Pasir Jelawat. Cuma, yang terkenal ialah Pondok Pasir Tumboh, Pondok Lubuk Tapah dan Pondok Sungai Durian. Info lebih lanjut tentang institusi pondok, sila lihat
SINI .

Satu lagi perkara penting yang perlu diketahui, daripada melatah kerana isu pertukaran nama jalan, lebih baik kita fokuskan kepada isu zakat berbaki kerana masalah pengagihan. Di Selangor sahaja, jumlah zakat yang tidak diagihkan( atau zakat berbaki) ialah sebanyak RM20.5 juta setahun. Malah dari tahun 2005 hingga 2010, terdapat hampir mencecah RM123.3 juta wang zakat yang tidak diagihkan. Tapi dalam masa yang sama berlambak golongan miskin di negara kita, lagi teruk hingga terpaksa mengemis simpati gereja. Dan,dalam masa yang sama, wang zakat yang berbaki itu digunapakai untuk membeli dan membina bangunan supaya lebih gah dan hebat.

Wednesday, 3 August 2011

Kelantan: Sederhana Dan Mendidik ( sebuah artikel dari Dr Mohd Asri Zainul Abidin)



Pada 30 hb Julai 2011 lepas saya menghadiri satu lagi jemputan satu program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bertajuk ‘Bicara Selebriti’. Ya, sudah beberapa kali saya dijemput ke Balai Islam, Kelantan untuk pelbagai wacana. Namun kali ini agak lain sedikit. Biasanya di pentas Balai Islam itu saya akan berbicara dan berdiskusi dengan tokoh-tokoh politik atau pemikir. Selalunya ‘panas’ dan banyak emosi akan ‘bangkit’.

Namun kali ini agak santai dengan tajuk dan panel yang demikian rupa. Turut diundang selebriti Wardina Safiyyah dan guitaris terbilang saudara Sham Kamikaze. Turut menjadi panel tokoh dakwah yang dikenali ramai, sahabat baik saya yang lama tidak bertemu al-Fadhil Ustaz Hasrizal Jamil dan juga sahabat baik saya Amin Idris sebagai moderator.


Saya bukan tidak pernah sepentas dengan Wardina, hanya seminggu lepas saya dan beliau berforum di KUIS, Selangor yang turut dihadiri oleh Dato Sri Shahrizat Jalil. Beliau juga sahabat saya. Demikian Saudara Sham Kamikaze yang selalu juga ke rumah saya di Bukit Mertajam. Namun, untuk sepentas atas nama selebriti agak berat bagi saya. Saya bukanlah terkenal seperti mereka. Mereka selebriti, saya rakyat marhaen.

Ya, saya seorang rakyat biasa, yang kadang-kala terlibat mengulas isu-isu yang menjadi hak rakyat muslim merdeka untuk memperkatakannya. Cuma, saya juga mengulas banyak isu seni di sudut agama dan pemikiran serta menulis puisi dan lirik. Mungkin yang lebih ‘sikit’ pernah jadi Mufti Perlis. Ramai juga artis-artis glamour merupakan sahabat baik saya. Namun, agak ‘segan’ untuk duduk atas pentas atas nama selebriti. Apapun, saya kagum dengan kepimpinan Kerajaan Kelantan yang menampilkan kematangan mereka dalam mengadunkan isu-isu hiburan ini di negeri yang terkenal dengan banyak pusat pengajian agama.




(Dr Asri membaca puisi sambil
diiringi petikan gitar dari Sham Kamikaze)



Dalam majlis itu, saya mengambil peranan membahaskan pandangan sarjana tentang nyanyian dan muzik. Saya tahu, bukan senang bagi pihak kerajaan negeri untuk membolehkan lahirnya sikap terbuka dalam kalangan mereka yang ‘kuat agama’ mengenai isu ini. Apatah lagi di Kelantan yang banyak pondok-pondok tradisionalnya. Dalam masa yang sama, generasi muda inginkan hiburan dan mereka perlukan bimbingan.

Dalam majlis itu, saya jelaskan bahawa ada perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana fekah mengenai persoalan nyanyian dan muzik. Dalam persoalan khilaf yang muktabar seperti ini, seseorang berhak memilih pandangan dia yakini dan tidak boleh memaksa orang lain meyakini apa yang dia yakini. Ertinya, setiap muslim berhak berpegang dengan pandangan yang dia rasa lebih rajih atau kukuh. Dia tidak boleh mewajibkan pandangan tersebut ke atas orang lain, jika mereka mentarjihkan pandangan yang berbeza. Ini khilaf yang diiktiraf atau khilaf mu’tabar. Tiada siapa yang berhak memaksa pilihannya ke atas orang lain. Maksudnya, jika ada yang mengharamkan muzik, maka tidak boleh dia memaksa pandangan yang sama ke atas mereka yang mengharuskannya. Demikian sebaliknya.

Bagi saya, saya selalu teringat Nabi s.a.w ketika membenarkan pertunjukkan permaianan perisai dan lembing dalam masjid, sehingga ramai yang menonton termasuk kaum wanita dan isteri Nabi s.a.w sendiri iaitu Aishah, baginda bersabda:
“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Bahkan baginda s.a.w apabila hadir ke perkahwinan Ansar, baginda bersabda:
“Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”(Riwayat al-Bukhari).

Lebih dari itu, kadang-kala baginda terlibat dalam membetulkan lirik, agar lebih bertepatan dengan ajaran Islam. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:
“RasululLah s.a.w datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat dudukku. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).

Demikian, Nabi s.a.w tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut sekalipun lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mengenai mereka yang terkorban. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang bercanggahan dengan kebenaran maka Nabi s.a.w. menegurnya. Dalam hadis ini Nabi s.a.w menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Kelantan Contoh
Sebagai sebuah kerajaan, kepimpinan Kelantan telah mengambil jalan yang yang sederhana. Kelantan –melalui program seperti ini- memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung untuk activist muslim berinteraksi dengan dunia hiburan. Sekaligus mendekati anak-anak muda. Jalannya bukan memerangi hiburan, sebaliknya mencari ruang untuk dimanfaatkan; maka rakyat dapat berhibur secara terarah dan tidak melampai batas.

Dengan itu Kelantan tidak menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan rakyat bebas lepas dengan hiburan tanpa bimbingan, tidak juga menjadi jumud sehingga mengharamkan segala bentuk hiburan; nyanyian, muzik dan filem.
Demikianlah, apabila sesebuah kepimpinan itu ada wawasan yang jelas dan nurani yang inginkan rakyat berada dalam bimbingan yang betul. Segala gerakerja diselaraskan antara kehendak rakyat dan peraturan agama. Sikap yang matang lagi sederhana diperlukan oleh rakyat dan umat pada setiap ketika.

Bukan masanya untuk mengharamkan itu dan ini tanpa memberikan alternative yang dapat membimbing rakyat yang pelbagai ragam dan kehendak. Janganlah pula jadi seperti kepimpinan yang hanya hendak ‘memberikan keseronokan’ kerana inginkan sokongan mereka rakyat tanpa memikirkan kesan dan masa depan.

Cumanya, masih banyak perkara yang perlu dibuat. Kita perlukan pembikinan karya-karya seni dalam pelbagai bidang yang berkualiti dan mendidik. Ada gabungan antara unsuran hiburan dan bimbingan secara terancang. Ada ikatan antara seni dan kehidupan insani secara berkesan. Ini memerlukan satu perancangan jangka panjang dan pendek. Semoga Kelantan mampu melangkah lebih jauh.

Tahniah YB Baihaki Atiqullah
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat yang saya kasihi YB Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut. Beliau anak tuan guru pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak pihak. Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat.

Sangkaan bahawa kepimpinan agama akan mengharamkan hiburan dan seni ke atas rakyat adalah tidak benar jika dikaitkan dengan kepimpinan Kelantan. YB Ahmad Baihaqi masih muda. Beliau dua tahun lebih muda dari saya. Sama-sama belajar di Jordan dahulu. Hari ini menjadi pemimpin yang makin matang. Apa yang masih perlu untuk semua insan, termasuk beliau adalah terus mendedahkan diri kepada maklumat yang pelbagai, aliran fikir yang semakin rencam dan mencari kesederhanaan di sebalik itu semua. Tahniah YB Baihaqi atas usaha membuka minda dan mencari alternative. Tahniah Kelantan!

Sumber : DR MAZA

Monday, 28 March 2011

Masjid Beijing di Rantau Panjang Kelantan



Rasanya ini adalah bicara kedua saya tentang Kelantan. Sebelum ini saya berbicara tentang WAT SIAM DI KELANTAN dan kali ini, saya ingin berbicara tentang masjid pula. Masjid yang unik lambang kesyumulan islam yang merentasi sempadan bangsa dan budaya. Jika ke kompleks bebas cukai Rantau Panjang, pasti sahaja anda akan terlihat sebuah masjid yang reka bentuk-bentuknya seolah-olah rumah ibadat penganut Budha. Itulah MASJID BEIJING , bukti islam adalah agama untuk semua kerana ciri-cirinya yang bersifat sejagat atau universal.






Sungguh mengagumkan dan Tahniah kepada Kerajaan Kelantan. Percayalah usaha yang sebegini amat berperanan untuk mengikis dan menghakis salah faham masyarakat bukan islam terhadap agama islam. Selama ini, rata-rata masyarakat bukan islam di Malaysia menganggap islam adalah agama untuk orang Melayu dan Arab sahaja








Di Malaysia, terdapat 6.5 juta penduduk berbangsa Cina. Tapi sayang, hanya satu peratus (1%) sahaja yang beragama islam. Iaitu, sekitar 60 ribu orang sahaja daripada 6.5 juta masyarakat Cina di Malaysia yang memeluk islam. Namun, yang anehnya agak ramai pula antara mereka yang memeluk agama Kristian. Mengapa ini terjadi, sedangkan islam dan Cina amat rapat dan akrab dari sudut sejarah. Di negara China yang merupakan tempat asal masyarakat cina di Malaysia, umat islam amat mudah untuk diketemui dan restoran makanan halal juga senang dijumpai. Malah jumlah UMAT ISLAM DI CHINA juga di anggarkan lebih kurang 200 juta dari pelbagai etnik seperti Uyghur, Tajik, Uzbek,Salar, Dongxiang, Khirgiz, Kazakh, Hui. Mengapakah jarak antara islam dan orang Cina di Malaysia begitu jauh. Ada beberapa faktor sebenarnya yang akan saya perincikan dalam entry yang akan datang.






Saya percaya pembinaan masjid bereka bentuk pagoda ini mampu ‘menjual’ islam dengan lebih luas dan global. Masjid berseni bina Cina ini juga dapat merungkaikan salah faham yang membelit masyarakat Cina di Malaysia selama ini. Apatah lagi ia turut melibatkan imam berbangsa Cina yang dibawa khas dari China terutamanya untuk mengimamkan solat Tarawih. Moga-moga dengan ini, jarak antara masyarakat Cina dengan islam dapat didekatkan. Sedikit sebanyak masjid ini, juga masjid Cina lain yang bakal didirikan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). akan menyerlahkan islam sebagai agama yang merentasi bangsa dan budaya. DAN inilah yang ingin kita laungkan ke seluruh dunia. Sesungguhnya Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap aspek hidup manusia dan dalamnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat.





Di sini saya paparkan maklumat ringkas tentang Masjid Beijing yang terletak di Rantau Panjang Kelantan ini. Masjid ini yang juga dikenali sebagai Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra ( tapi lebih dikenali sebagai Masjid Beijing) mula dibina pada 12 September, 2005 dan akan dirasmikan bulan Ogos 2009. Namun sejak 2007 lagi, ia sudah mula digunakan untuk bersolat tarawih dengan seorang imam yang didatangkan dari Republik Rakyat China. Kos keseluruhan pembinaan masjid ini dianggarkan sejumlah RM8.8 juta. Masjid ini mampu memuatkan seramai 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Senibina masjid ini amat unik kerana menggabungkan senibina Cina dan Islam dan menyerupai Masjid Niujie yang berusia lebih daripada 1,000 tahun di Beijing China. Lebih hebat, cerita tentang masjid ini turut diperkatakan di dalam Berita Indonesia. (Silalah ke laman yang saya maksudkan itu untuk maklumat lanjut ,tapi dalam bahasa Indonesia)




Moga-moga Pembinaan Masjid Berseni bina Cina ini dapat dipertingkatkan lagi terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai penduduk berbangsa Cina seperti di Ipoh dan Kuala Lumpur. Sebenarnya, idea pembinaan masjid berseni bina Cina telah dikemukakan sejak tahun 1984 lagi , iaitu serentak dengan penubuhan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Tapi sayang ia terhalang kerana salah faham masyarakat. Ada yang berpendirian islam di Malaysia mestilah ‘berwajah’ Melayu. Ada juga yang berpendapat jika diwujudkan masjid Cina, perpecahan akan berlaku di kalangan umat islam. Ada juga yang mempersoalkan bahasa Mandarin (atau lain-lain dialek Cina) yang akan digunakan di masjid untuk kuliah dan khutbah Jumaat nanti. Fakta-fakta tentang bantahan ini saya perolehi dari rakaman kuliah agama (VCD) oleh Dr Asri Zainul Abidin. Dan Dr Ridhuan Tee Abdullah juga ada menyatakan tentang salah faham masyarakat terhadap pembinaan masjid berseni bina Cina ini dalam media cetak









p/s = ada pihak tertentu yang mendakwa pembinaan Masjid Beijing yang berseni bina Cina sekali gus menyalahi tradisi Melayu ini melambangkan kekacauan minda MB Kelantan (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat). Bagi mereka, islam mestilah berwajah Melayu dan bercirikan kemelayuan. Tapi, bagi saya, orang yang mempertikaikan pembinaannya merupakan orang yang mengalami kekacauan minda. Sebab Masjid berseni bina Cina ini dibina bagi membuktikan kepada semua sesungguhnya islam merentasi sempadan bangsa dan budaya. Bagi, saya orang Cina Islam seperti Ustaz Hussin Yee dan India Muslim seperti Ustaz Farid Ravi, jauh lebih berguna berbanding 3 orang anak Melayu yang suka menonton filem lucah secara berjamaah (maaf, ini bukanlah entry tentang politik)