Sunday, 30 October 2011

Hukum Memindahkan Daging Korban




Ini adalah sambungan dari tajuk lepas, lihat
SINI


Amalan ini melibatkan aktiviti memindahkan daging korban dari tempat penyembelihannya ke tempat, negeri atau negara yang lain supaya daging korban itu dapat diagih- agihkan kepada golongan yang berhak dan memerlukan di negeri berkenaan.

Sebagaimana melaksanakan ibadat korban di luar negara, memindahkan daging korban juga mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk membantu fakir miskin di tempat atau negara berkenaan. Ini memandangkan tempat, negeri atau negara berkenaan mempunyai bilangan fakir miskin yang lebih ramai berbanding tempat, negeri atau negara sendiri.

Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor dalam bukunya, Islam & Manusia 1001 Kemusykilan, pada halaman 167-168 ada memperkatakan tentang isu ini. Katanya:

“Dalam keadaan tidak ramai orang miskin yang memerlukan daging seperti di Kuala Lumpur dan bandar-bandar raya lain, mengapa tidak dikirim sahaja daging itu kepada orang-orang di luar bandar dan mereka yang tinggal di pedalaman. Insya-Allah, manfaat dan pahalanya lebih besar lagi.”

Saya juga difahamkan, di Indonesia terdapat NGO-NGO islam yang telah bertindak secara bijak dengan menubuhkan Super Korban, dalam usaha membantu fakir miskin di Indonesia seperti mangsa gempa bumi di Yogyakarta pada tahun 2006. NGO-NGO ini telah bertindak mengetinkan daging-daging korban agar ia dapat disimpan dalam jangka waktu yang panjang. Daging-daging korban yang ditinkan ini akan diagihkan kepada fakir-fakir miskin dan pihak yang memerlukan.

Saya juga tertarik dengan tulisan daripada Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato Dr Haron Din, dalam akhbar Harakah, edisi 8-11 November 2010 ( 1-4 Zulhijah 1431), ruangan agama bersama Dato Dr Haron Din, pada halaman F8. Apa yang beliau tulis amat menarik untuk direnungi, iaitu perihal pembaziran atas nama agama, atau lebih tepat lagi atas nama ibadat korban.

Menurut Dato Dr Haron Din, puluhan tahun dahulu, pada musim haji, di Makkah atau lebih tepat lagi di Mina, berpuluh-puluh ribu ekor haiwan ternakan disembelih untuk ibadat korban dan akikah. Namun ia dibazirkan begitu sahaja hingga menjadi santapan binatang dan burung-burung. Ini memandangkan terlalu banyak binatang yang dikorbankan hingga tiada lagi mana-mana mulut yang dapat mengunyah dan perut yang dapat menghadam daging-daging korban tersebut. Akhir sekali, daging-daging itu dibiarkan begitu sahaja. Padahal daging-daging tersebut boleh ditinkan dan diagih atau dipindahkan kepada umat-umat islam yang memerlukan di mana-mana pelusuk dunia.


TATACARA MEMINDAHKAN DAGING KORBAN.

Korban wajib (ia termasuklah korban kerana bernazar)

Dalam korban wajib, kesemua daging daripada binatang yang disembelih itu wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. Oleh itu, haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘eyah.

Dapat difahami daripada penjelasan di atas bahawa daging daripada binatang korban wajib itu wajib diagihkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin di negeri (tempat) di mana binatang korban itu disembelih.


Korban sunat

Dalam korban sunat pula, terdapat bahagian daripada daging korban itu yang sunat dimakan oleh orang yang berkorban atau dihadiahkan, dan terdapat bahagian yang wajib disedekahkan.Hanya bahagian atau hak orang yang berkorban itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain.

Secara mudahnya ialah.

a. Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir miskin
Diwajibkan bagi orang yang berkorban untuk menyedekahkan
sebahagian daripada daging korban sunat dalam keadaan mentah, iaitu
tidak dimasak, kepada fakir dan miskin untuk dimiliki oleh golongan
ini.

Bahagian ini wajib disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin
di negeri (tempat) binatang korban disembelih dan haram
dipindahkan ke negeri lain.

b. Sepertiga (1/3) untuk dirinya sendiri
Disunatkan bagi orang yang berkorban memakan sebahagian
daripada sepertiga sembelihan korban sunatnya sebagai mengambil
berkat. Malahan afdhal baginya memakan hati binatang tersebut
kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

c. Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya
Disunatkan bagi orang yang berkorban menghadiahkan sebahagian
daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli keluarga,
saudara-mara, sahabat-handai dan seumpamanya dari kalangan orang
Islam.

Maka bahagian (b) dan (c) ini adalah harus hukumnya jika daging
korban itu dipindahkan ke negeri (tempat) lain.

Lebih lanjut tentang perkara ini, langsung sahaja ke Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam , lihat
SINI.


Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya
Disunatkan bagi orang yang berkorban menghadiahkan sebahagian
daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli keluarga,
saudara-mara, sahabat-handai dan seumpamanya
dari kalangan orang
Islam


Sengaja saya ulangi syarat ini, kerana tentu ada yang tertanya-tanya tentang hukum memberikan daging korban kepada orang bukan islam. Ia adalah perkara khilafiah, jadi kita perlu berlapang dada dengan pendapat yang pelbagai meskipun bertentangan dengan pendapat atau pendirian kita. Tentang hal ini, boleh sahaja sahabat langsung merujuk kepada entry saya yang lepas, iaitu
Hukum Memberikan Daging Korban Kepada Orang Bukan Islam
.
Cuma, di sini, ingin saya paparkan jawapan dari e-Fatwa selaku Portal Rasmi Fatwa Malaysia tentang permalahan ini.

Tarikh Keputusan:
1 Jan, 1970

Keputusan:
Daging korban tatawwu" (sunat) adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban, diberi hadiah dan disedekahkan kepada fakir miskin. Adapun untuk orang kafir di Malaysia maka hukumnya adalah harus akan tetapi keutamaan adalah kepada golongan miskin di kalangan orang Islam

Status Penwartaan:
Tidak Diwartakan

Tarikh Diwartakan:
1 Jan, 1970.


Rujuk e-Fatwa, lihat
SINI.


Sunday, 16 October 2011

Pakar Motivasi dan Teori Karutnya





Ini adalah sambungan dari entry lepas, lihat SINI

"Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" . Surah al-Naml ayat 65.

Di sini, saya bukanlah ingin menafikan sumbangan pakar motivasi. Jauh sekali untuk menidakkan peranannya. Mereka memang berjasa dalam banyak perkara. Cuma, apabila menyentuh persoalan agama, terutamanya perihal akidah, maka kita tidak boleh memerhati dan meneliti sahaja. Apatah lagi meramalkan nasib berdasarkan tarikh lahir merupakan satu perbuatan yang amat bertentangan dengan Firman Allah yang telah saya paparkan di atas.






Sejujurnya, saya tak pasti, adakah ramalan di atas benar-benar dibuat oleh Dr Fadzilah Kamsah atau oleh manusia lain yang sememangnya tolol. Cuma,cuba lihat pada baris terakhir ramalan itu. Bukankah ini boleh meretakkan rumahtangga seseorang. SUAMI AKAN MERAGUI ISTERI. ISTERI AKAN MENCURIGAI SUAMI. DAN AKHIRNYA PERKAHWINAN AKAN BUBAR.

Lagi satu, ramalan di atas ternyata menyalahi tuntutan agama sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih, iaitu “Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat.” hadis Muttafaqun Alaih. Tapi, hari ini muncul pula kriteria terbaru dalam memilih pasangan, iaitu, pilihlah pasangan berdasarkan tarikh lahirnya. Ini kriteria yang menyalahi sunnah.




MUNGKIN ADA YANG BERALASAN, ini adalah hasil kajian terperinci seorang pakar motivasi terkenal selama 25 tahun. Tapi harus diingat, Isu yang berkaitan dengan perkara ghaib mestilah berdasarkan kepada tiga sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran

b) Hadith Sohih dan Hasan

c) Fitrah kejadian alam (Fitrah Sunnatullah).



Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya.

Tentang Fitrah kejadian alam (sunnatullah), Ia termasuklah beranggapan atau menjangkakan hari akan hujan setelah melihat langit yang gelap. Ini kerana langit yang gelap/mendung sememanngya petanda akan turunnya hujan. Begitu juga dengan ramalan cuaca, ia melibatkan pemantauan dan peneltian dengan menggunakan teknologi moden termasuklah satelit. Ia mengambil kira pergerakkan awan dan kelajuan angin (yang diukur berdasarkan teknologi moden) dan awan itu dijangka sampai ke lokasi tertentu pada masa tertentu(pagi,petang atau malam).Termasuk juga dalam kategori ini ialah menjangkakan seseorang akan sakit atau demam apabila melihat tubuhnya yang lemah dan suhu badannya yang meningkat.


Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mengetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagainya amat bercanggah dengan hukum Islam. Malah tidak boleh sama sekali jika ingin dianggap sebagai fitrah kejadian alam (sunnatullah) atau percubaan dan analisa. Ini kerana analisa yang boleh diterima hanya analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik dan fizikal, seperti ramalan cuaca melalui info lengkap dari kedudukan awan dan angin melalui alatan canggih moden dan visual dari satelit. Ramalan Rahsia Tarikh Lahir pula hanyalah kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik yang kemudiannya didakwa boleh mengetahui kejadian yang akan datang, masalah yang bakal menimpa, jodoh, sakit dan sihat, dan seumpamanya. Ia amat menyimpang dari ajaran islam.

Dan yang paling bahaya, ramalan Rahsia Tarikh Lahir ini memberi kesan buruk ke atas agama dan lebih tepat lagi terhadap akidah. Sebab ia seakan-akan menuduh Allah itu Maha Zalim dan Maha Kejam. Apa tidaknya, orang-orang yang ditakdirkan lahir pada hari tertentu dan memiliki ciri-ciri fizikal tertentu dianggap sial,hina dan keji. Hakikatnya, persoalan masa lahir ( baik hari mahupun tarikh) dan sifat-sifat fizikal, manusia sebenarnya tiada pilihan melainkan mengikut sahaja kehendak Allah. Itu adalah takdir.

Takdir tidak sekadar suratan tapi ia merupakan kurnian-Nya. Jadi, siapakah kita untuk mempertikaikan kurnian Allah kepada kita. Jadi, bila meramalkan hari lahir yang tertentu dan sifat fizikal tertentu membawa sial, itu bererti menuduh Allah sebagai Tuhan Yang Maha Kejam dan Tuhan Yang Maha Zalim. Tidakah ini membawa kepada syirik.


Chris Walton Pemilik Kuku Terpanjang Di Dunia.

(Chris Walton pemilik kuku terpanjang di dunia.)





DENGAN kuku sepanjang 606 sentimeter(sm), Chris ‘The Dutchess’ Walton kini memegang rekod sebagai pemilik kuku terpanjang di dunia. Ia mengambil masa selama 18 tahun untuk tumbuh dan mungkin memerlukan rawatan manicure paling mahal di dunia.
Penyanyi dari Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) berusia 45 tahun itu mencatat nama dalam Guinness Book of Records dengan ukuran kuku tangan kiri sepanjang 309 sm dan 297 sm bagi tangan kanan.

“Ia sebahagian daripada tubuh kita,” kata Walton.

Sementara dia tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya tanpa kuku yang panjang, ramai yang tertanya-tanya apa yang boleh dilakukannya dengan kuku sepanjang itu?
Menurut Walton, dia boleh melakukan semua perkara termasuk memandu kereta, membeli-belah dan membuat kerja rumah. Ya, semua perkara kecuali menyeluk poket seluarnya.

“Perkara paling susah bagi saya ialah untuk menyeluk poket. Yang lain saya boleh buat sendiri - memandu, pergi ke pasar raya dan membersihkan rumah walaupun kadang-kadang wayar vakum akan berbelit pada kuku saya,” ujarnya.

Satu lagi aktiviti yang tidak dapat dilakukannya ialah berenang. “Saya tidak berenang bukan disebabkan kuku tetapi masalah rambut,” akui Walton.







(Juara yang tertewas,Lee Redmond. Kukunya patah kerana kemalangan)





Dalam satu interviu dengan akhbar Huffington Post di New York, Walton menunjukkan cara dia menggunakan telefon bimbit iaitu dengan menekan butangnya menggunakan buku jari bagi menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Walton memberitahu, dia sentiasa memikirkan mengenai kukunya sejak 18 tahun lalu. Dia juga terpaksa mengubahsuai pakaiannya khususnya membuang semua kelim tangan dan menggantikannya dengan zip. Jadi dia tidak perlu menyarungkan tangan pada lengan baju sebaliknya cukup dengan mengenakan baju ke badan dan tangannya sebelum mengemaskannya dengan zip.

Ibu kepada lima orang anak dan nenek kepada tiga cucu itu berkata, dia tidak membela kuku sebagai hobi sebaliknya ia hanya satu kebetulan.

“Saya tidak membiarkannya panjang semata-mata untuk memasuki rekod Guinness,” katanya.

“Satu hari saya berhenti memotong kuku kerana saya mahu lihat bagaimana rupanya jika panjang,” tambahnya.

Walton berkata, dia tidak mempunyai diet khusus untuk kuku atau mengambil vitamin dan suplemen tertentu. Dia cuma gemar mengunyah gula-gula. Dia bagaimanapun begitu menjaga kukunya dengan menjalani rawatan manicure sebulan sekali. Apabila ditanya berapa botol cecair pengilat kuku digunakan dalam setiap rawatannya, Walton memberitahu: “Ia bergantung pada jenama dan bagaimana ia berfungsi.”

Walton turut digelar ‘Edward Scissorhands’ sebenar iaitu lelaki bertangan gunting lakonan Johnny Depp dalam filem tahun 1990 dengan tajuk yang sama itu.

Pemegang rekod kuku terpanjang sebelum ini ialah seorang nenek dari Salt Lake City, Utah, AS, Lee Redmond. Redmond tidak pernah memotong kukunya selama 30 tahun iaitu sejak tahun 1979. Malangnya, semua kukunya patah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan pada tahun 2009.

Nama Redmond disenaraikan dalam Guinness Book of World Records pada tahun 2008 dengan panjang keseluruhan kukunya ialah 848 sm.

Sumber:
KOSMO




INFO TAMBAHAN:




"Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Bersabda Rasulullah saw perkara dari
tuntutan agama iaitu bersunat, mencukur bulu ari-ari, memotong kuku,
mencabut bulu ketiak dan menggunting misai"
(Sahih Muslim)

Oleh yang demikian, seharusnya setiap muslim sama ada lelaki atau
perempuan melaksanakan tuntutan Islam ini termasuk menjaga kebersihan
kukunya sesuai dengan anjuran Islam supaya menjaga kebersihan dari setiap
aspek sama ada anggota badan, pakaian, makanan, tempat tinggal atau
persekitaran. Ini selaras dengan hadis Nabi saw yang bermaksud:

"Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman"

Saturday, 15 October 2011

Bukti Si Tanggang Pernah Hidup

(Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang Sumatera Barat)



KISAH seorang lelaki disumpah menjadi batu oleh ibunya begitu popular dalam masyarakat Melayu Nusantara. Di Malaysia, lelaki itu dikenali sebagai Si Tanggang manakala dia dipanggil Malin Kundang di Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei. Menurut mitosnya, Si Tanggang ialah seorang pemuda miskin yang merantau mengikut sebuah kapal bagi mencari kekayaan.

Malangnya, selepas kaya dia berubah menjadi sombong dan langsung tidak menjenguk ibunya walaupun semasa kapalnya berlabuh di kampung ibunya. Lebih menyedihkan, si ibu yang datang ke kapal tersebut untuk mencari Si Tanggang telah dihalau oleh anaknya itu.

Si Tanggang yang telah memperisterikan seorang wanita cantik dikatakan berbuat begitu kerana malu mempunyai ibu yang miskin. Disebabkan kecewa, si ibu telah menyumpah Si Tanggang menjadi batu.

Apa yang menarik, batu yang didakwa sebagai Si Tanggang itu boleh ditemui di sebuah gua di Batu Caves, Selangor. Batu berbentuk manusia juga ada terdampar di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera, Indonesia manakala di Brunei, ia terletak di tepi laut Jong Batu.







(gua gelap tempat si Tanggang dan kapalnya disumpah menjadi batu)



Darah Si Tanggang

Gua Gelap di Batu Caves dikatakan menjadi tempat mengalirnya darah Si Tanggang.
“Anda dapat melihat sendiri seakan-akan darah mengalir di celah batu dan lantai gua ini. Adunan air dan batu berwarna merah seperti menguatkan mitos Si Tanggang.

“Kesan ini wujud sejak gua ini ditemui pada tahun 1889,” ujar warden Gua Gelap, Batu Caves, Hadrian Sanie, 42, sambil menunjukkan batu berwarna merah seperti darah beku manusia.

Hadrian telah bekerja sebagai pemandu pelancong Gua Gelap sejak lima tahun lalu. Kisah Si Tanggang itu diceritakan dari mulut ke mulut sejak dahulu lagi.

“Ramai juga pelancong yang memasuki gua bertanyakan perkara yang sama. Malah mereka takut untuk memegang air dan batu tersebut,” kata Handrian.
Tetapi terdapat penjelasan tentang perkara itu mengikut ilmu geologi.

Profesor Mohd. Shafeea Leman, 53, Ketua Kumpulan Teras Warisan Geologi Malaysia (KWGM) mempunyai jawapannya.

“Proses semula jadi di gua itu sendiri mengakibatkan fenomena itu berlaku. Aliran air yang mengandungi besi oksida menyebabkan batu itu berwarna oren.
“Kemudian oksigen menukarkan pula batu itu kepada warna merah. Ia bukan darah tetapi kesan perubahan kimia batu itu,” ujarnya.

Di Pantai Air Manis pula, yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Kota Padang, Sumatera, terdapat batu Si Tanggang dan kesan kapalnya. Batu itu kelihatan seperti seseorang sedang meniarap di celah-celah serpihan kapal yang pecah.

Batu yang dikatakan telah dibentuk semula itu kini masih menjadi tarikan pelancongan di situ.






(percikan darah Si Tanggang dalam Gua Batu Gelap di Batu Caves)



Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, kisah Si Tanggang amat dekat dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia.
Katanya, kisah Si Tanggang itu mungkin benar berikutan penemuan batu berbentuk manusia dan kapal di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.


“Malangnya, tiada dokumen rasmi yang mengesahkan kejadian itu walaupun pada masa itu tamadun manusia sudah berkembang.


“Dengan adanya cerita mengenai kapal dan perdagangan yang melibatkan Si Tanggang menunjukkan ketamadunan manusia telah berkembang di nusantara ketika itu,” katanya kepada Jurnal.


Ramlah memberitahu, kisah Si Tanggang hanya diceritakan secara lisan dan mungkin perjalanan ceritanya berbeza kerana ada penambahan daripada versi asal.


“Ia kemudian dimasukkan unsur komersial seperti magis bagi mencantikkan lagi cerita.


“Lagipun versi kisah Si Tanggang di ketiga-tiga negara ini hampir sama. Ini agak pelik. Bagaimana seorang individu atau satu kejadian boleh berlaku di tiga lokasi?” katanya.

Ujar Ramlah, persamaan versi kisah Si Tanggang ialah perjalanan ceritanya banyak berkisar mengenai laut atau sungai, aktiviti perniagaan dan perkampungan nelayan, selain cerita derhaka si anak kepada si ibu.
Bukti saintifik

Ramlah turut menyebut, konsep pembalasan dosa dalam Islam bukan di akhirat sahaja tetapi juga di dunia seperti yang cuba digambarkan dalam kisah Si Tanggang.

Bagi pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, kebenaran kisah Si Tanggang boleh dibuktikan dengan melakukan ujian saintifik ke atas batu berbentuk manusia yang didakwa sebagai kesan sumpahan lelaki itu.

“Para pengkaji sejarah boleh menguji batu-batuan di ketiga-tiga lokasi bagi menentukan usianya.

“Selepas itu, kita bandingkan usia batu itu dengan usia cerita lisan yang diceritakan dari mulut ke mulut sejak berzaman lalu itu,” terang Ali.


Katanya, dari sudut geologi, pembentukan batu-batuan yang menyerupai manusia dan kapal bukan perkara mustahil.

“Walaupun tidak seratus-peratus tepat, proses hakisan yang disebabkan faktor semula jadi seperti angin dan air boleh membentuk objek seperti manusia, haiwan atau benda tertentu.

“Kadangkala manusia sendiri mungkin menambah dan mengukir batu-batu tersebut supaya menyamai rupa manusia,” katanya

Sumber: KOSMO


INFO TAMBAHAN:
Pandangan pakar geologi adalah lebih wajar dan waras untuk diterima pakai berbanding pandangan pakar sejarah. Apatah lagi, pakar sejarah tersebut, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam pernah dianggap juling sejarah oleh sesetengah pakar sejarah yang lain kerana mengistiharkanTanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Dr. Ramlah Adam juga pernah dianggap sebagai manusia yang terkeliru dan kemudiannya mengelirukan oleh seorang pakar perlembagaan terkenal negara.

“Dari sudut geologi, pembentukan batu-batuan yang menyerupai manusia dan kapal bukan perkara mustahil. Kadangkala manusia sendiri mungkin menambah dan mengukir batu-batu tersebut supaya menyamai rupa manusia,” Kata-kata pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan ini lebih bernilai ilmiah.

Friday, 14 October 2011

Sultan Kedah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong baru




Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sementara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini.

Sumber :
Malaysia Kini


SEDIKIT INFO TENTANG JAWATAN YANG DI-PERTUAN AGONG.

Giliran Negeri

Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dianggap unik. Ini kerana ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan perlembagaan.Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara.

Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Negeri Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri Melayu tidak bersekutu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Sementara itu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-Raja.

Berikut adalah jadual giliran untuk jawatan Yang di-Pertuan Agong.

1. Negeri Sembilan
2. Selangor
3. Perlis
4. Terengganu
5. Kedah
6. Kelantan
7. Pahang
8. Johor
9. Perak

Raja-Raja/ Sultan yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini ialah:

1. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.

2. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.

3. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000

4. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979

5. Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975

6. Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979

7. Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984

8. Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 22 Januari 2010

9. Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994

10. Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2009

11. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001

12. Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006

13. Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006- 2011-2011

Sumber :
WIKIPEDIA

Thursday, 13 October 2011

Kelab Taat Suami Terbitkan Buku Seks




Entry ini sambungan daripada tajuk lepas. Lihat SINI

Kelab Taat Suami (KTS) nampaknya benar-benar ingin memajukan pendidikan seks. Entah mengapa, seks mula menjadi simbol perjuangan pengikut ‘Imam Mahadi’.
Ini diakui sendiri oleh balu ‘Imam Mahdi’, iaitu Hatijah Aam. Katanya “ Ketika dunia menyangka Abuya sudah meninggal dunia,pengikut-pengikutnya kini bangkit memperjuangkan seks islam.”

KTS ditubuhkan oleh Global Ikhwan Sdn Bhd. Umum mengetahui Global Ikhwan hanyalah penjenamaan semula Jamaah Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak tahun 1994. Lihat
SINI untuk melihat Fatwa tersebut. Sebelum ini organisasi tersebut mengunapakai nama Rufaqa. Apa sahaja nama yang dipakai, hakikatnya sama, iaitu penjenamaan semula Al-Arqam.

Buku berjudul Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia benar-benar menimbulkan kontroversi. Buku tersebut memaparkan panduan atau tatacara melakukan hubungan seks secara terperinci hingga setiap inci tubuh wanita digambarkan dengan begitu jelas.

Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri bin Muhamad ketika mengulas isu ini di dalam akhbar berita harian bertarikh 12.10.2011(m/s 6) mengatakan “Islam adalah agama yang beradab dan segala perlakuan seks yang diterangkan di dalam Al-Quran dan Hadis adalah bersopan dan simbolik.”

Kata Mufti Kelantan lagi “Dalam Al-Quran diterangkan yang isteri itu pakaian bagi suami dan kamu(suami) merupakan pakaian kepada isteri.’ ‘Isteri kamu adalah ladang dan datangilah ladang kamu.’ Islam menyentuh soal seks dengan beradab, sopan dan tidak menggiurkan.”

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) pula akan bertindak menyekat buku panduan seks tersebut. Ini kerana buku tersebut didapati mengarut dan memalukan(rujuk berita harian 13 .10.2011, m/s 12) Paling mengarut ialah dakwaan Hatijah Aam yang turut mendakwa pernah tinggal bersama Abuya selama dua bulan walaupun masyarakat menganggap beliau sudah meninggal dunia, bagi melatihnya(Hatijah Aam) sebagai srikandi atau bidadari.


Akhir sekali, saya sertakan klip video tentang ulasan dari mantan Mufi Perlis tentang Kelab Taat Suami.

Monday, 10 October 2011

Remaja Malaysia menghabiskan masa 4 jam sehari untuk melayari internet




KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari internet terutama laman sosial Facebook (FB).

Selain itu, golongan itu dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat yang mencukupi.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan online.

“Remaja yang ketagih internet itu sanggup ponteng sekolah sekiranya di rumah mereka tiada komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Mohd Fadzil berkata, melayari internet kini menjadi sebahagian kehidupan harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak berinteraksi dengan rakan FB.

Berita Selanjutnya Sila Baca
SINI


INFO TAMBAHAN:
Apa sahaja perlu ada had dan kadarnya, begitulah juga dengan Facebook. Andainya melebihi had dan kadar, maka bahayalah yang menanti. Ambil contoh mudah, kalau kita memandu melebihi had dan kadar yang ditetapkan, tentu padah menanti. Paling tidak,wang akan melayang gara-gara speed trap.

Malah dalam beramal ibadah pun ada had dan kadarnya. Berlebih-lebihan takut nanti terkeluar dari sunnah dan cendorong ke arah bid’ah. Kalau kita rujuk sejarah awal islam, kita dapati Nabi Muhammad S.A.W melarang dan menegur sikap sesetengah sahabat yang ingin memusatkan perhatian kepada ibadat dengan melakukan puasa setiap siang hari dan bersolat setiap malam dan menjauhi wanita. Kata Nabi S.A.W “"Adapun saya, berpuasa dan makan, shalat dan tidur dan menikahi wanita….”

Kembali kepada tajuk, Saya paparkan kembali kata-kata ini(seingat saya ia kata-kata Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi) Media umpama pedang yang tajam. Andainya digunakan untuk berjihad, jadilah ia alat berjihad. Tapi, andainya digunakan untuk merompak, maka jadilah ia alat untuk merompak.” . Jadi di sini, FB berupaya menjadi ALAT yang boleh dimanfaatkan sekali gus mendapat redha-NYA. Namun ia juga boleh menjadi ALAT yang memudaratkan yang boleh mengundang murka-NYA.

Tentang ketagihan Facebook yang melanda pelajar-pelajar, ia memang membimbangkan, apatah lagi mereka cenderung untuk menjadikan Facebook ALAT yang memudaratkan yang boleh mengundang murka-NYA. Mereka lupa had dan kadarnya, jadi yang perlu dilakukan ialah menyedarkan mereka tentang had dan kadar tersebut.

Bagaimanakah caranya?

Itu yang perlu difikirkan oleh semua. Baik ibu bapa, pendidik, pemimpin, ulama, pemikir dan sesiapa sahaja yang prihatin.






Sunday, 9 October 2011

FORMULA UNTUK BERSATU DAN BERPADU







Perpaduan yang ingin dibina
Penyatuan yang ingin dicipta
Kita telah ada formulanya.
Formula yang lengkap dan sempurna.
Formula yang sifar dari cacat dan cela
Formula dari Yang Maha Esa
Formula dari Yang Maha Pencipta





FORMULA PERPADUAN.


Dan berpegang-teguhlah kamu sekalian pada tali Allah (agama islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.... (Surah A-li ‘Imraan, ayat 103)


Berpegang teguh = merangkumi penyatuan dan perpaduan

Tali Allah = ialah Firman Allah(kitabullah) dan sabda Nabi(lebih tepat sunnah).

Perpaduan atas nama agama yang sepatutnya diusahakan. Dalam lipatan sejarah Melaka, terdapat peristiwa permusuhan bangsa walaupun seagama. Masing-masing ingin mendaulatkan bangsa masing-masing. Rujuk kes di Melaka ketika Tun Mutahir (berbangsa India-Muslim) menjadi Bendahara Melaka. Berlaku perpecahan antara orang Melayu dan India Muslim yang menganuti agama yang sama. Perpecahan yang mempercepatkan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.

Lebih Lanjut Tentang Perkara Ini Sila Lihat
SINI

Saturday, 8 October 2011

SAFEE SALI DALAM OPERA VAN JAVA




Sesiapa yang sering menonton Astro Saluran Bintang, pasti sahaja pernah menonton Opera Van Java. Ia sebenarnya adalah rancangan komedi di stesyen television Indonesia, Trans 7. Antara artis yang terlibat dalam Opera Van Java ialah, Parto Patrio(sebagai dalang) dan lain-lain artis seperti Sule dan Andre Taulany.

Nampaknya Safee Sali yang pernah menyarung jersi Pelita Jaya turut diundang untuk memeriahkan rancangan ini. Baguslah, sekurang-kurangnya ia merapatkan ukhwah antara dua negara serumpun. Malaysia dan Indonesia adalah bersaudara. Kita berkongsi agama dan budaya yang sama.

Etnik Jawa di Pulau Jawa Indonesia, dan etnik jawa juga yang mendiami beberapa lokasi di Malaysia terutamanya di Johor, Selanggor dan Perak. Etnik Minangkabau di Sumatera Barat Indonesia, dan etnik Minangkabau juga turut mendiami Negeri Sembilan Malaysia. Etnik Bugis di Sulawesi Indonesia, dan etnik Bugis juga yang menghuni beberapa lokasi di Malaysia terutamanya di Sabah. Etnik Banjar di Banjarmasin Kalimantan Indonesia, dan etnik Banjar juga yang menghuni Parit Buntar dan Bagan Serai Perak Malaysia. Etnik Mandailing (juga Batak) di Sumatera Utara Indonesia, dan etnik Mandailing juga yang menghuni beberapa lokasi di Perak Malaysia.

Seringkali media membesar-besarkan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia, namun hakikatnya ia tidaklah sebegitu. Pengalaman peribadi saya sewaktu bersiar-siar ke Kalimantan, Sumatera, Jakarta dan Bandung menunjukkan warga Indonesia adalah peramah dan mesra.

Thursday, 6 October 2011

Enot dikecam Teruk Gara-Gara Menghina Hukum Hudud

(ENOT)

“ HUDUD
jika tidak tahu
lebih baik diam.
Takut Nanti
Akidah Melayang.”



Memang zaman dulu orang islam mengamalkan hukum hudud kepada mereka yang membuat kesalahan, contohnya bagi mereka yang berzina, hukuman sula akan dikenakan. Tapi rasanya sekarang ia tidak sesuai lagi. Kalau hukum hudud dilaksanakan, pesalah terbabit terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sempurna seperti tiada tangan, kaki dan sebagainya.” Itulah kenyataan Enot berkaitan hukum hudud sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian.





(antara komen artis tentang hukum hudud)


Nenek moyang kita telah lama menasihatkan. Nasihat leluhur zaman berzaman-zaman. Nasihat berbunyi, "Kerana Pulut Santan Binasa Kerana Mulut Badan Binasa" Dan kerana mulutlah, Enot kini sedang menuju kebinasaan. Gara-gara kenyataan yang amat celupar tersebut, Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah kini tertekan apabila dikecam hebat oleh orang-orang yang prihatin terhadap agama.

Tidak hanya dikecam dikecam menerusi twitter dan facebook, perniagaan keknya turut terjejas, apabila ada pelanggan yang menarik balik tempahan gara-gara kurang senang dengan kenyataannya tentang Hukum Hudud.






(nasihat Wardina kpd rakan2 artis)



INFO TAMBAHAN:


Walaupun kenyataan Enot itu amat keterlaluan, namun kesediaannya memohon maaf amatlah wajar dan sangatlah patut. Moga-moga Enot dan artis-artis yang lain menjadikan ini semua sebagai pengajaran. Saya cuba berprasangka baik, Enot mengeluarkan kenyataan tersebut kerana kejahilannya.Tahniah buat Enot kerana menyedari kesilapan, lantas memohon maaf.

Harus diingat, andainya kenyataan sebegini dikeluarkan dalam keadaan sedar atau faham dan bermatlamat mempersendakan Hukum Hudud, maka ia membawa kepada kekufuran. Saya paparkan kembali kata-kata Dr Asri zainul Abidin tentang perihal mempersendakan Hukum Hudud :

“Sesiapa yang melafazkan secara sedar perkataan ‘Sesiapa yang ingin makan sup tangan sila ke Kelantan’ maka ia telah bermaksud menghina nas al-Quran dan as-Sunnah, dan dia( orang yang melafazkan perkataan itu) terkeluar dari Islam. Lebih lanjut sila lihat
SINI





(antara kenyataan biadap yang boleh membawa kekufuran)




Tahniah juga kepada Wardina Safiyyah kerana telah menasihati rakan-rakan artis agar tidak celupar dalam membuat kenyataan. Pesan Wardina “ Nak minta rakan artis untuk tidak komen perkara yang kita TIADA ilmu seperti Hukum Hudud. Para wartawan juga tidak seharusnya menyoal.”

Tahniah juga kepada warga Malaysia, kerana keperihatinan yang mereka tunjukkan. Ini satu perkembangan yang baik dan ini juga membuktikan semakin ramai umat islam di Malaysia yang kini sedang berarak menuju agama.

Wednesday, 5 October 2011

Kota A Farmosa : Antara Kecelaruan Sejarah Dan Pemurnian Fakta.



Ini adalah lanjutan atau sambungan daripada tajuk yang lepas, iaitu,
SEJARAH NEGERI MELAKA: PENILAIAN SEMULA DAN PEMURNIAN FAKTA dan juga Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim Bersetuju Agar Sejarah Ditafsir Semula.


Kota A Farmosa tidak sekadar mercu tanda negeri Melaka. Ia juga merupakan saksi bisu disebalik kehancuran Kerajaan Melayu Melaka. Kita juga, sedari dahulu lagi, telah diyakinkan sesungguhnya Portugislah yang membina Kota A Farmosa. Mengikut catatan sejarah, Portugis telah melancarkan tiga serangan untuk menguasai Melaka. Serangan pertama bermula pada 25 Julai 1511, serangan kedua pula pada 10 Ogos 1511 dan serangan ketiga, juga yang terakhir ialah pada 24 ogos 1511.

Tarikh 24 Ogos 1511 inilah yang menyaksikan Melaka tewas di tangan Portugis dan sekali gus menamatkan Kesultanan Melayu Melaka. Untuk memastikan kedudukannya benar-benar terjamin, Portugis telah membina Kota A Farmosa, iaitu sebuah kompleks pertahanan yang amat kukuh. Ketika Belanda datang, kota pertahanan digunapakai pula oleh Belanda. Kota A Farmosa mula dirobohkan apabila British datang ke Melaka pada tahun 1795. Dan hanya pintu Kota A Farmosa sahaja yang tidak dijahanamkan oleh pihak British, dan itulah sisa atau baki Kota A Farmosa yang masih ada sampai ke hari ini untuk tatapan pelancong.

Itulah sebahagian daripada fakta berkaitan Kota A Farmosa. Baru-baru ini, atau lebih tepat lagi dalam akhbar Berita Harian bertarikh 27 September 2011, muka surat 14, terdapat sebuah artikel berbunyi BUKU BONGKAR ‘RAHSIA’ MELAKA. Buku yang dimaksudkan berjudul History Of Dutch In Malaysia, yang ditulis oleh Dennis De Witt. Buku tersebut dihasilkan berasaskan kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh beliau. Katanya, dia menggunakan tiga jenis sumber bagi menulis buku tersebut, iaitu sumber utama, kedua dan lagenda. Sumber utama merujuk kepada bahan-bahan yang asli atau bukti seperti artifak, dokumen, rakaman ataupun maklumat seperti gambar.

Dalam buku tersebut, penulisnya tidak sahaja membongkar malah membawa bersama versi terbaru tentang sejarah pembinaan Kota A Farmosa. Menurut beliau, Kota A Farmosa bukannya di bina oleh Portugis, tetapi oleh Belanda. Menurut Dennis De Witt, seni dan ukiran pada pintu gebang A Farmosa menunjukkan ia adalah milik Belanda( tambahan dari saya – ia adalah seni bina Belanda).

Tidak setakat Kota A Farmosa, malah beberapa laras meriam yang kini dijadikan perhiasan di beberapa lokasi di bandar Melaka, termasuklah yang dipamerkan di Bukit St John Bandar Hilir, turut didakwanya sebagai meriam tinggalan Belanda dan bukannya Portugis. Katanya, ini berdasarkan ciri bentuk dan tulisan yang terdapat pada meriam tersebut.

Sama ada benar atau tidak dakwaan Dennis De Witt ini, ia perlu dikaji dan dihalusi dengan lebih teliti. Apa yang pasti, ini merupakan kali yang kedua tentang kecelaruan fakta mengenai sejarah negeri Melaka. Tahun lepas, terdapat pihak-pihak tertentu termasuklah Ketua Menteri Melaka yang mencuba untuk memanjangkan hayat Kerajaan Melaka dengan mengemukakan fakta yang menyanggahi kelaziman dan menyalahi kebiasaan. Mereka telah mempertikaikan fakta tentang tahun pengasasan Kerajaan Melayu Melaka yang ditulis oleh Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental.

Menurut mereka, dakwaan Tome Pires tentang pengasasan Melaka pada tahun 1400 atau 1402 masehi adalah tidak tepat. Mereka mendakwa buku Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) versi Raja bongsu sebagai lebih tepat dan sahih tentang sejarah kewujudan Melaka. Mengikut Sejarah Melayu versi Raja Bongsu, Melaka dikatakan diwujudkan pada tahun 1262 Masehi dan bukannya 1400 atau 1420 masehi.

Cuma, seandainya Suma Oriental dinafikan, maka tidak boleh lagi kita mendakwa Parameswara yang mengasaskan Melaka. Sebab, itu adalah berdasarkan catatan Tome Pires. Mengikut catatan dalam Sejarah Melayu, saya rujuk kepada versi paling popular(sebab Sejarah Melayu sebenarnya ada banyak versi), iaitu Sejarah Melayu Versi W.G. Shellabear(m/s. 53) pengasas Melaka ialah Raja Iskandar Syah.

Tapi, harus diingat, amat sukar untuk diterima akal akan fakta-fakta dalam Sejarah Melayu, sebab banyak sangat karut marutnya. Antara karut marutnya ialah padi di sawah bertukar tiba-tiba, buahnya emas, daunnya menjadi perak dan batangnya menjadi tembaga sebagai tanda keberkatan setelah ketibaan tiga orang putera raja yang berketurunan Iskandar Zukarnain dan Nabi Sulaiman. Tak cukup dengan itu, ditambah pula dengan karut marut yang lain, iaitu lembu yang dinaiki oleh tiga orang putera raja tadi telah melahirkan manusia menerusi muntahnya. Lebih lanjut tentang ini, sila baca di
SINI.

Tapi saya bimbang, takut-takut Prof Zainal Kling turut terlibat dalam pentafsiran semula sejarah Melaka. Bukan apa, sebab risau nanti didakwanya Portugis dan Belanda tidak pernah menjajah Melaka tapi sekadar untuk menaungi dan melindungi dengan penuh kasih dan sayang.

Sunday, 2 October 2011

Filem hantu cetus debat






Dalam Berita Harian bertarikh 2 Oktober 2011, terdapat teguran daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai lambakan filem hantu yang dianggap menggalakkan kepercayaan karut, tidak membina masyarakat produktif dan juga menjadi faktor serangan histeria di kalangan pelajar perempuan.

Majlis fatwa Kebangsaan juga ingin menemui Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem dan drama hantu yang dikhuatiri boleh memesongkan akidah, terutamanya dalam kalangan remaja islam.

Menurut Dato Mohammad Shukri Mohamad, seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang juga merupakan Mufti Kelantan,filem dan drama hantu jelas berunsur khurafat dan mempromosikan kepercayaan karut.

Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad berkata, umat islam yang terlalu taksub dan mempercayai hantu atau makhluk lain selain Allah, boleh menjadi syirik.

Walaupum begitu, penggiat filem seperti David Teo berkata, penerbitan filem hantu berbentuk khayalan dan hiburan semata-mata sama seperti filem kartun dan fiksyen.


INFO TAMBAHAN.
Dalam soal ini, seluruh umat islam di Malaysia perlu berterima kasih kepada Ustaz Nasrudin Hasan at-Tantawi. Kerana Ketua Dewan Pemuda Pas inilah, isu ini mula diperkatakan.

Selain filem dan drama Hantu, filem dan drama yang berunsurkan islam juga perlu dipantau. Sebab, adakalanya ia seakan-akan melebarkan lagi salah faham terhadap islam.

Terima Kasih Buat Nuffnang




Patah tumbuh hilang berganti. Itu kata-kata pujangga, warisan lelulur yang perlu kita hayati. Sesudah beberapa BE berakhir, Nuffnang mengantikan saya dengan BE yang baru. Terbaru ialah DiGi Super Reload Social - Scratch & Win BM (Travel). Terima kasih Nuffang, jasamu akan sentiasa ku kenang.

Adegan Yang Tak Sanggup Kita Lihat

Saturday, 1 October 2011

NAMEWEE vs UTUSAN




Jabatan Pengarang Utusan Malaysia membuat dua laporan polis berhubung kenyataan lucah terhadap organisasi serta wartawan Fauziah Arof yang dikeluarkan oleh Namewee menerusi satu klip video yang tersebar di Internet baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat berikutan tindakan Namewee yang menyalahguna kemudahan multimedia untuk menjatuhkan imej akhbar Utusan Malaysia serta mengeluarkan tuduhan melampau terhadap penulisan artikel Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee... yang disiarkan pada bulan lalu.

Menurut Penasihat Undang-undang, Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Mohd. Jefri Daman, penerbitan klip video berdurasi dua minit 43 saat itu telah mengundang komen-komen negatif orang ramai terhadap akhbar dan wartawan berkenaan.

"Tindakan Namewee itu dilihat merendahkan martabat wartawan dan akhbar Utusan Malaysia sebagai rasis, bodoh, menjatuhkan imej syarikat dengan tuduhan melampau serta menggunakan bahasa lucah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.




Sumber : Utusan Malaysia


Imbas Kembali ( sila lihat ..
SINI )

Fauziah menulis… bahawa walaupun ramai yang memuji filem itu, namun dia tidak berminat menontonnya walaupun ditawarkan tiket percuma.

Fauziah kemudian mengimbas kembali beberapa klip video yang diterbit oleh Namewee, yang dakwanya telah menyinggung orang ramai serta menghina umat Islam di negara ini, termasuk klip kontroversi Negarakuku




Jawapan Namewee kepada Fauziah dan Utusan “Kalau you tak tahu apa ialah reporter ah, you balik sekolah dulu. You panggil you punya boss dengan you dengan you punya kawan semua balik sekolah dulu. You fikir semua suratkhabar yang lain semua bodoh punya kah?”


Info Tambahan:

Saya bukanlah peminat Namewee dan saya juga belum lagi menonton filem Nasi Lemak 2.0.Dalam masa yang sama, saya juga bukanlah pembaca Utusan Malaysia. Sesekali sekala sahaja saya membaca Utusan, itupun secara online. Di sini, saya bukannya nak membela Namewee. Memang dia pernah melakukan kesalahan yang serius sebelum ini. Tapi itu perkara silam dan dia juga sudah memohon maaf.

Berdasarkan artikel Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee, jelas sekali Fauziah Arof masih lagi mendendangkan lagu lama. Isu Namewee menghina lagu negaraku.



Tolonglah jangan didendangkan lagu lama seolah-olah warga Malaysia ini pekak dan buta. Sepatutnya beliau mengkritik filem tersebut. Perkatakan tentang mana-mana aspek dalam filem tersebut. Carilah mana-mana kecacatan dalam filem tersebut dan hentamlah sesuka hati sebab itu memang hak seseorang wartawan terutamanya wartawan hiburan.

Andainya pihak Utusan masih bernafsu untuk mendendangkan lagu lama, kenapa tidak perbesarkan isu Rosnah Mat Aris yang pernah menghina Siti Khadijah. Isteri junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. kenapa juga tidak menulis tentang artis Melayu yang mencipta kontroversi dengan terlibat sebagai pelakon video lucah suatu ketika dahulu.