Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Friday, 12 April 2013

SEJARAH PEMINDAHAN ORGAN DI MALAYSIA



Pemindahan organ pertama di Malaysia ialah pada 15.12.1975, apabila Hospital Besar Kuala Lumpur(HBKL) berjaya memindahkan buah pinggang Augustus Sittin kepada abangnya Martin Rinyeb yang mengalami kerosakkan buah pinggang.

Pemindahan jantung pertama di Malaysia pula ialah pada 18.12.1997. Ia diketuai oleh Dato’ Dr Yahya Awang terhadap Sathurugnam Ramakrisnan di Institut Jantung Negara (IJN)

INFO TAMBAHAN

Permintaan untuk pemindahan buah pinggang dan lain-lain organ terlalu tinggi di Malaysia. Setakat ini terdapat 16,479 orang pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ. Masalah utama ialah Malaysia kekurangan penderma organ. Mengikut nisbah bilangan penderma organ di Malaysia ialah 7 orang daripada sejuta rakyat Malaysias( 7: 1000000.00) Paling berbekas di hati, ayah saya meninggal dunia pada tahun lepas( 25.Mac.2012), adalah kerana kegagalan buah pinggang.

Wednesday, 29 August 2012

Hanya Portugis Yang Pernah Menjajah Tanah Melayu



Gila dan menggilakan. Itulah wabak gila yang melanda segelintir pakar sejarah di Malaysia. Wabak gila ini menjangkiti mereka setelah mereka cuba melakukan ‘persetubuhan ’ antara sejarah dan politik. Kecelaruan dan kekeliruan bermula apabila isu Mat Indera dan serangan ke atas balai polis Bukit Kepong di jelmakan oleh seorang tokoh politik pada tahun lepas. Walaubagaimanapun entry ini tidak akan menyentuh perihal tokoh politik tersebut, sebab saya cenderung untuk memperkatakannya dari sudut sejarah dan bukannya politik. Entry ini juga tidak akan membicarakan perihal Mat Indera dan anggota polis Bukit Kepong. Entry ini tidak bermatlamat ingin menobatkan mana-mana individu sebagai pejuang mahupun petualang. Moga-moga mereka damai di sana.

Mungkin atas dasar ingin mempertahankan ‘penternaknya’ maka munculah fatwa-fatwa gila dari pakar sejarah Malaysia. ‘Fatwa’ yang terhasil akibat ‘persetubuhan’ tanpa rela antara politik dan sejarah. Pakar sejarah yang ‘diternak’, akan berbicara sebagai politikus dan tidak sebagai seorang sejarahwan. Akibatnya, sejarah dijadikan mangsa kerakusan politik.Tanpa belas dan tanpa simpati, sejarah diratah dengan lahapnya untuk memuaskan nafsu para politikus.



Sekarang, mari kita perhatikan ‘fatwa-fatwa’ yang gila lagi menggilakan daripada pakar –pakar sejarah Malaysia.

  • ‘Fatwa’ daripada Prof Zainal Kling “Tanah Melayu tak pernah dijajah tapi hanya dilindungi dan dinaungi oleh British. Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.”
  • ‘Fatwa’ daripada Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim “ Pada 31 Ogos 1957, bukanlah British yang menyerahkan kedaulatan tetapi Raja-raja Melayu yang menyerahkan kuasanya kepada rakyat supaya Tanah Melayu dapat mengamalkan demokrasi berparlimen.”
  • ‘Fatwa’ Datuk Prof Ramlah Adam “ pada zaman itu, British benar-benar menjadi penasihat kepada raja-raja Melayu dan arahannya tidak lagi mesti diikuti, berbeza dengan keadaan ketika Perjanjian Pangkor dimeterai pada tahun 1874.
  • ‘Fatwa’ seterusnya daripada Datuk Prof Ramlah Adam. “Tanah Melayu tidak pernah dijajah secara sepenuhnya oleh British kerana orang Melayu masih mempunyai tempat dalam perkara tertentu. Antara bukti perkara itu ialah pengekalan institusi raja Melayu dan peranannya dalam hal ehwal agama Islam serta adat istiadat orang Melayu.”





Di sini, saya sekadar ingin menyanggah ‘fatwa’ Dr Ramlah Adam mengenai Tanah Melayu tidak pernah dijajah sepenuhnya oleh British. Ini kerana fatwa-fatwa karut daripada Prof Zainal Kling dan Dr Khoo Kay Khim telah saya sanggah dalam entry lepas. Langsung sahaja ke link di bawah untuk melihat sanggahan tersebut:


KENAPA HANYA PORTUGIS YANG PERNAH MENJAJAH TANAH MELAYU.

Andainya ‘fatwa’ Dr Ramlah Adam digunapakai, maka seluruh umat manusia hanya berhak menuding jari kepada Portugis sebagai penjajah Tanah Melayu.

Info penting :Meskipun Portugis hanya menguasai Portugis, namun Melaka pada ketika itu bukanlah seperti Melaka hari ini. Ini kerana, Melaka pada ketika itu merupakan sebuah empayar dan jajahan takluknya meliputi hampir keseluruhan Tanah Melayu(Semenanjung) dan sebahagian besar kepulauan Sumatera.

Portugis mula mengancam Melaka pada tahun 1511. Serangan pertama dilakukan pada 25 Julai 1511, serangan kedua pula pada 10 Ogos 1511 dan serangan ketiga, juga yang terakhir ialah pada 24 ogos 1511. Tarikh 24 Ogos 1511 inilah yang menyaksikan Melaka tewas di tangan Portugis dan sekali gus menamatkan Kesultanan Melayu Melaka.

Sultan Alauddin Riayat Shah II, putera Sultan Melaka yang terakhir(Sultan Mahmud Shah) telah mengasaskan kerajaan Johor. Dan, sejarah telah menjilidkan, pada tahun 1641, Belanda telah berjaa mengusir Portugis dan seterusnya menduduki Melaka. Namun, apakah istilah yang layak atau sesuai untuk kita gunapakai terhadap pendudukan Belanda di Melaka. Jika kita berpandukan fatwa Ramlah Adam, kita berhak mendakwa, Belanda tidak pernah menjajah Melaka sepenuhnya. Ini kerana, Belanda tidak mengancam Sultan Johor, malah pihak Belanda telah bekerjasama dengan Johor untuk mengusir Portugis.

Begitu juga dengan kedatangan Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Berpandukan fatwa Ramlah Adam, amat tidak waras dan sangat tidak wajar untuk kita mendakwa Jepun sebagai penjajah. Atau dengan kata lain, Jepun juga tidak menjajah Tanah Melayu sepenuhnya, Ini kerana Jepun tidak pernah menghapuskan institusi beraja di negeri-negeri di Tanah Melayu. Lagi pun pada zaman pendudukan Jepun, ramai juga orang-orang Melayu yang diberi kepercayaan untuk beberapa jawatan penting dalam pentadbiran, antaranya ialah Ibrahim Haji Yaacob, Kapten Mohd Salleh bin Sulaiman dan Dato' Onn bin Jaafar

APA MAKSUD DIJAJAH SEPENUHNYA.

Memang kita akui, ‘fatwa’ Ramlah Adam ini jauh lebih bermaruah berbanding ‘fatwa’ Zainal Kling. Mengikut Zainal Kling, Tanah Melayu tak pernah dijajah oleh British, Ramlah Adam pula mendakwa Tanah Melayu pernah dijajah cuma tak sepenuhnya.

Apakah yang dimaksudkan tak sepenuhnya oleh Ramlah Adam. Ia benar-benar menjadi tanda tanya yang mengasak akal. Yang pasti, antara kayu ukur yang yang digunapakai oleh Ramlah Adam ialah institusi beraja masih dikekalkan dan orang Melayu masih mempunyai kedudukan dalam pentadbiran.

Berbekalkan kayu ukur ini, beliau mendakwa Tanah Melayu tak dijajah oleh British sepenuhnya atau tidak secara serarus peratus. Timbul persoalan, berapakah peratuskah British menjajah Tanah Melayu? Bagaimana pula dengan perjuangan Tok Janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman, dan lain-lain pejuang. Jika berdasarkan ‘fatwa’ Ramlah Adam, mereka juga tak layak dianggap sebagai pejuang secara seratus peratus, Sebabnya mereka telah tersalah menghunus dan menghala senjata. Yang memerintah mereka dan mentadbir negeri mereka adalah raja-raja Melayu. British hanya penasihat semata-mata(rujuk fatwa Ramlah Adam sebelum ini)kecuali ketika perjanjian Pangkor. Semua tahu kebangkitan Tok Janggut, Dato Bahaman dan lain-lain(kecuali Dato Maharajalela) adalah selepas perjanjian Pangkor. Jadi mereka ini menentang raja-raja Melayu, sebab mengikut Ramlah Adam, segala arahan dan tindakan adalah atas kehendak raja-raja Melayu. Ini kerana British hanya penasihat dan nasihat British tidak wajib diikuti atau dilaksanakan.

Saya yakin masih ramai yang tertanaya-tanya, apakah kriteria yang perlu sesebuah kuasa penjajah penuhi agar ditakrifkan sebagai penjajah sepenuhnya. Adakah mereka perlu menghapuskan seluruh penduduk negara yang dijajahnya.Perlukah mereka menukarkan agama, budaya dan bahasa penduduk yang dijajahnya. Andai inilah kriterianya, maka percayalah, sepanjang sejarah peradaban manusia, tidak pernah wujud kuasa penjajah dan tidak pernah ada negara yang dijajah secara total.


Friday, 13 July 2012

Rohingya : Air Mata dan Darah Saudara Seakidah




Air mata dan darah saudara seakidah mengalir dan menitis lagi. Umat islam Rohingya kini sedang terseksa, sebenarnya derita yang mereka tanggung hari ini hanyalah episod-episod duka yang tidak pernah bernoktah sejak zaman-berzaman. Dari sudut geografi, umat islam Rohingya tinggal di utara negeri Rakhine(dahulunya dikenali sebagai Arakan) yang terletak di barat daya Mynmar yang bersempadan dengan Bangladesh. Tapi dari sudut agama, mereka amatlah dekat dengan setiap umat islam lantaran persamaan akidah.





Orang islam Rohingya pada asalnya adalah sebahagian penduduk pemerintahan beraja Mrauk-U di Arakan. Mereka terhimpit antara pemerintahan beraja di Burma yang mengamalkan agama Budha di sebelah timur, dengan raja-raja Moghul yang beragama islam di barat.Walaupun raja-raja Mrauk-U beragama Budha, namun orang-orang islam tetap memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran kerajaan mereka.

Pada tahun 1784, Raja Burma,Bodawpaya telah bertindak menakluki wilayah Arakan. Ini menyebabkan orang-orang islam, termasuk orang Rohingya menjadi pelarian di Chittagong Bangladesh dan ramai juga yang terus menetap di sana. Di bawah pemerintahan British pula, Burma ditadbir sebagai sebahagian daripada India.




Apabila Burma mencapai kemerdekaan pada 1948, hubungan negara itu dengan orang Rohingya semakin tegang, terutamanya apabila sekumpulan Muslim di Arakan cuba menyatukan Maungdaw dan Bthidaung bagi membentuk Pakistan Timur. Akibatnya, Rangoon menafikan hak kerakyatan kepada orang-orang Rohingya, dan mereka tidak dibenarkan menjadi tentera dan bekerja dalam perkhidmatan awam.

Menjelang tahun 1950, sesetengah orang Rohingya melancarkan pemberontakan bersenjata, tetapi dapat dipatahkan empat tahun kemudian. Setelah pihak tentera berkuasa di Burma pada tahun 1962, orang-orang Rohingya semakin teruk ditindas sehingga menyebabkan lebih 200,000 orang melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 1978.
Pada tahun 1991-1992, lebih 250,000 orang lagi orang Rohingya menjadi pelarian di Bangladesh bagi mengelak dari menjadi buruh paksa, dirogol dan pembersihan etnik oleh pemerintah Burma.

Manakala orang-orang Rohingya yang terus tinggal di Burma dikatakan terus tertindas sehingga kini. Mereka masih tidak diberikan hak warganegara, anak-anak mereka pula hanya dibenarkan bersekolah di sekolah kerajaan hingga peringkat rendah sahaja, dan terpaksa menjadi buruh paksa.





Monday, 16 January 2012

Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Li Po Tidak Wujud - Profesor Sejarah




PETALING JAYA: Menurut sejarah, Puteri Hang Li Po dari China adalah isteri kelima kepada Sultan Melaka Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456-1477.


Dalam tempoh itu juga terdapat legenda terkenal lima pahlawan bersaudara kepada Sultan, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Ia adalah sebuah kisah persahabatan dan kesetiaan, di mana setiap rakyat Malaysia telah mendengarnya.

Walau bagaimanapun, ahli sejarah yang terkenal Prof Khoo Kay Kim telah memberitahu stesen radio BFM pagi ini bahawa Hang Li Po dan lima pahlawan-pahlawan tersebut tidak pernah wujud.

Bercakap kepada FMT kemudiannya, beliau menjelaskan: "Dinasti Ming di China pada abad ke-16 tidak mempunyai sebarang rekod tentang mereka. Rekod ini adalah rekod yang dipelihara dengan sangat baik."

Canselor kepada Kolej KDU ini juga berkata beliau telah membaca penulisan dua ahli sejarah Barat dan satu lagi sejarah terkemuka Wang Gung Wu berkaitan rekod Ming yang tidak ada menyebut mana-mana watak tersebut.

"Sejarah mestilah berdasarkan rekod empirik. Ahli-ahli sejarah hanya perlu menerima rekod yang bertulis," katanya, sambil menambah bahawa rekod empirik yang boleh didapati di sini adalah lebih kepada "skanky ".

"Tidak ada bukti dalam rekod-rekod di Malaysia," katanya. "Ini adalah sekadar cerita-cerita. Sejarah awal Malaysia adalah berdasarkan cerita."

"Kita mempunyai banyak cerita. Hanya baru-baru ini pengkaji sejarah telah bersusah payah untuk membuat penyelidikan berkaitan tempoh awal sejarah Malaysia. Banyak cerita-cerita yang diterima sebelum ini tidak dapat dibuktikan," katanya.

Khoo juga memberitahu FMT bahawa terdapat khabar angin bahawa kerajaan Melaka telah diasaskan pada tahun 1292 walaupun terdapat rekod-rekod yang membuktikan bahawa ia ditubuhkan pada abad ke-15.

Beliau menambah bahawa kerajaan telah mengarahkan jawatankuasa sukatan pelajaran melalui sukatan pelajaran sejarah sekolah untuk membetulkan kesilapan-kesilapan tersebut.

Sukatan pelajaran ini, kata Khoo, akan diperkenalkan pada tahun 2014.

Sumber : minda cikguPJ


INFO TAMBAHAN:
Memang cerita tentang Hang Tuah lima sahabat dan puteri Hang Lipo sangat kabur dan amat samar. Malah saya pernah terbaca kritikan seorang ahli akademik(maaf saya lupa namanya sebab saya terbaca kritikan ini sekitar tahun 1999), katanya peristiwa pertikaman antara Hang Tuah dengan Taming Sari adalah antara bukti yang jelas kepalsuan kisah Hang Tuah. Ini kerana Taming Sari adalah pahlawan dari Kerajaan Majapahit dan Hang Tuah pula laksamana dari Kerajaan Melaka. Dari sudut sejarah, Majapahit telah lenyap dan berkubur 500 tahun sebelum kemunculan Melaka.

Malah kalau kita tinjau Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, kita dapati dua watak berbeza yang bertikam dengan Hang Tuah. Dalam Sejarah Melayu, Hang Tuah bertikam dengan Hang Kasturi, tapi dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah bertikam dengan Hang Jebat.

Jika perlu diubah, ubah sahajalah sukatan sejarah. Cuma, jangan pula ditulis British bukan penjajah tapi penaung dan pelindung Tanah Melayu, manakala Tok Janggut dan pejuang kemerdekaan pula pemberontak dan penganas.


Wednesday, 11 January 2012

HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI( PEMURNIAN SEMULA PEPATAH MELAYU).

(sawah padi kat kampungku)



Selama ini kita tersilap dan tersalah dalam menggunakan pepatah melayu ini. Yang sering digunapkai, baik dalam ucapan mahupun tulisan ialah ‘Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi’.

Namun, jika difikir secara mendalam, perkataan itu(pagar) amat tidak logik:

Pertama: kerana pagar bukannya benda hidup, jadi macam mana ia boleh makan.
Kedua pula: mana ada sawah padi yang berpagar.

Pepatah yang tepat ialah Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi.


Apa itu Pegar?
Pegar ialah sejenis burung. Di panggil juga ayam pegar. Saiznya sebesar ayam dan melata seperti ayam dan ia boleh terbang seperti burung. Pegar kini agak susah untuk diketemui dan ia diancam kepupusan.


Kenapa Pegar dikatakan boleh menjaga padi?
Ini memandangkan pegar banyak terdapat di pinggir hutan berhampiran sawah. Jadi, ia memakan serangga perosak padi seperti siput gondang, belalang dan juga ketam. Namun, di samping itu, ayam pegar juga turut memakan padi.

Jadi, pegar memakan musuh padi dan dalam masa ia juga turut memakan padi. Dari sinilah timbulnya pepatah ‘Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi’.

Makumat lanjut sila rujuk Berita Harian, Rabu, 11 Januari 2012, M/S : N10. Ruangan Mewah Bahasa Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman(Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu(APM), Universiti Malaya)

Saturday, 15 October 2011

Bukti Si Tanggang Pernah Hidup

(Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang Sumatera Barat)



KISAH seorang lelaki disumpah menjadi batu oleh ibunya begitu popular dalam masyarakat Melayu Nusantara. Di Malaysia, lelaki itu dikenali sebagai Si Tanggang manakala dia dipanggil Malin Kundang di Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei. Menurut mitosnya, Si Tanggang ialah seorang pemuda miskin yang merantau mengikut sebuah kapal bagi mencari kekayaan.

Malangnya, selepas kaya dia berubah menjadi sombong dan langsung tidak menjenguk ibunya walaupun semasa kapalnya berlabuh di kampung ibunya. Lebih menyedihkan, si ibu yang datang ke kapal tersebut untuk mencari Si Tanggang telah dihalau oleh anaknya itu.

Si Tanggang yang telah memperisterikan seorang wanita cantik dikatakan berbuat begitu kerana malu mempunyai ibu yang miskin. Disebabkan kecewa, si ibu telah menyumpah Si Tanggang menjadi batu.

Apa yang menarik, batu yang didakwa sebagai Si Tanggang itu boleh ditemui di sebuah gua di Batu Caves, Selangor. Batu berbentuk manusia juga ada terdampar di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera, Indonesia manakala di Brunei, ia terletak di tepi laut Jong Batu.







(gua gelap tempat si Tanggang dan kapalnya disumpah menjadi batu)



Darah Si Tanggang

Gua Gelap di Batu Caves dikatakan menjadi tempat mengalirnya darah Si Tanggang.
“Anda dapat melihat sendiri seakan-akan darah mengalir di celah batu dan lantai gua ini. Adunan air dan batu berwarna merah seperti menguatkan mitos Si Tanggang.

“Kesan ini wujud sejak gua ini ditemui pada tahun 1889,” ujar warden Gua Gelap, Batu Caves, Hadrian Sanie, 42, sambil menunjukkan batu berwarna merah seperti darah beku manusia.

Hadrian telah bekerja sebagai pemandu pelancong Gua Gelap sejak lima tahun lalu. Kisah Si Tanggang itu diceritakan dari mulut ke mulut sejak dahulu lagi.

“Ramai juga pelancong yang memasuki gua bertanyakan perkara yang sama. Malah mereka takut untuk memegang air dan batu tersebut,” kata Handrian.
Tetapi terdapat penjelasan tentang perkara itu mengikut ilmu geologi.

Profesor Mohd. Shafeea Leman, 53, Ketua Kumpulan Teras Warisan Geologi Malaysia (KWGM) mempunyai jawapannya.

“Proses semula jadi di gua itu sendiri mengakibatkan fenomena itu berlaku. Aliran air yang mengandungi besi oksida menyebabkan batu itu berwarna oren.
“Kemudian oksigen menukarkan pula batu itu kepada warna merah. Ia bukan darah tetapi kesan perubahan kimia batu itu,” ujarnya.

Di Pantai Air Manis pula, yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Kota Padang, Sumatera, terdapat batu Si Tanggang dan kesan kapalnya. Batu itu kelihatan seperti seseorang sedang meniarap di celah-celah serpihan kapal yang pecah.

Batu yang dikatakan telah dibentuk semula itu kini masih menjadi tarikan pelancongan di situ.






(percikan darah Si Tanggang dalam Gua Batu Gelap di Batu Caves)



Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, kisah Si Tanggang amat dekat dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia.
Katanya, kisah Si Tanggang itu mungkin benar berikutan penemuan batu berbentuk manusia dan kapal di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.


“Malangnya, tiada dokumen rasmi yang mengesahkan kejadian itu walaupun pada masa itu tamadun manusia sudah berkembang.


“Dengan adanya cerita mengenai kapal dan perdagangan yang melibatkan Si Tanggang menunjukkan ketamadunan manusia telah berkembang di nusantara ketika itu,” katanya kepada Jurnal.


Ramlah memberitahu, kisah Si Tanggang hanya diceritakan secara lisan dan mungkin perjalanan ceritanya berbeza kerana ada penambahan daripada versi asal.


“Ia kemudian dimasukkan unsur komersial seperti magis bagi mencantikkan lagi cerita.


“Lagipun versi kisah Si Tanggang di ketiga-tiga negara ini hampir sama. Ini agak pelik. Bagaimana seorang individu atau satu kejadian boleh berlaku di tiga lokasi?” katanya.

Ujar Ramlah, persamaan versi kisah Si Tanggang ialah perjalanan ceritanya banyak berkisar mengenai laut atau sungai, aktiviti perniagaan dan perkampungan nelayan, selain cerita derhaka si anak kepada si ibu.
Bukti saintifik

Ramlah turut menyebut, konsep pembalasan dosa dalam Islam bukan di akhirat sahaja tetapi juga di dunia seperti yang cuba digambarkan dalam kisah Si Tanggang.

Bagi pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, kebenaran kisah Si Tanggang boleh dibuktikan dengan melakukan ujian saintifik ke atas batu berbentuk manusia yang didakwa sebagai kesan sumpahan lelaki itu.

“Para pengkaji sejarah boleh menguji batu-batuan di ketiga-tiga lokasi bagi menentukan usianya.

“Selepas itu, kita bandingkan usia batu itu dengan usia cerita lisan yang diceritakan dari mulut ke mulut sejak berzaman lalu itu,” terang Ali.


Katanya, dari sudut geologi, pembentukan batu-batuan yang menyerupai manusia dan kapal bukan perkara mustahil.

“Walaupun tidak seratus-peratus tepat, proses hakisan yang disebabkan faktor semula jadi seperti angin dan air boleh membentuk objek seperti manusia, haiwan atau benda tertentu.

“Kadangkala manusia sendiri mungkin menambah dan mengukir batu-batu tersebut supaya menyamai rupa manusia,” katanya

Sumber: KOSMO


INFO TAMBAHAN:
Pandangan pakar geologi adalah lebih wajar dan waras untuk diterima pakai berbanding pandangan pakar sejarah. Apatah lagi, pakar sejarah tersebut, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam pernah dianggap juling sejarah oleh sesetengah pakar sejarah yang lain kerana mengistiharkanTanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Dr. Ramlah Adam juga pernah dianggap sebagai manusia yang terkeliru dan kemudiannya mengelirukan oleh seorang pakar perlembagaan terkenal negara.

“Dari sudut geologi, pembentukan batu-batuan yang menyerupai manusia dan kapal bukan perkara mustahil. Kadangkala manusia sendiri mungkin menambah dan mengukir batu-batu tersebut supaya menyamai rupa manusia,” Kata-kata pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan ini lebih bernilai ilmiah.

Friday, 14 October 2011

Sultan Kedah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong baru




Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sementara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini.

Sumber :
Malaysia Kini


SEDIKIT INFO TENTANG JAWATAN YANG DI-PERTUAN AGONG.

Giliran Negeri

Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dianggap unik. Ini kerana ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan perlembagaan.Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara.

Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Negeri Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri Melayu tidak bersekutu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Sementara itu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-Raja.

Berikut adalah jadual giliran untuk jawatan Yang di-Pertuan Agong.

1. Negeri Sembilan
2. Selangor
3. Perlis
4. Terengganu
5. Kedah
6. Kelantan
7. Pahang
8. Johor
9. Perak

Raja-Raja/ Sultan yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini ialah:

1. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.

2. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.

3. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000

4. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979

5. Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975

6. Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979

7. Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984

8. Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 22 Januari 2010

9. Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994

10. Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2009

11. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001

12. Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006

13. Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006- 2011-2011

Sumber :
WIKIPEDIA

Wednesday, 5 October 2011

Kota A Farmosa : Antara Kecelaruan Sejarah Dan Pemurnian Fakta.



Ini adalah lanjutan atau sambungan daripada tajuk yang lepas, iaitu,
SEJARAH NEGERI MELAKA: PENILAIAN SEMULA DAN PEMURNIAN FAKTA dan juga Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim Bersetuju Agar Sejarah Ditafsir Semula.


Kota A Farmosa tidak sekadar mercu tanda negeri Melaka. Ia juga merupakan saksi bisu disebalik kehancuran Kerajaan Melayu Melaka. Kita juga, sedari dahulu lagi, telah diyakinkan sesungguhnya Portugislah yang membina Kota A Farmosa. Mengikut catatan sejarah, Portugis telah melancarkan tiga serangan untuk menguasai Melaka. Serangan pertama bermula pada 25 Julai 1511, serangan kedua pula pada 10 Ogos 1511 dan serangan ketiga, juga yang terakhir ialah pada 24 ogos 1511.

Tarikh 24 Ogos 1511 inilah yang menyaksikan Melaka tewas di tangan Portugis dan sekali gus menamatkan Kesultanan Melayu Melaka. Untuk memastikan kedudukannya benar-benar terjamin, Portugis telah membina Kota A Farmosa, iaitu sebuah kompleks pertahanan yang amat kukuh. Ketika Belanda datang, kota pertahanan digunapakai pula oleh Belanda. Kota A Farmosa mula dirobohkan apabila British datang ke Melaka pada tahun 1795. Dan hanya pintu Kota A Farmosa sahaja yang tidak dijahanamkan oleh pihak British, dan itulah sisa atau baki Kota A Farmosa yang masih ada sampai ke hari ini untuk tatapan pelancong.

Itulah sebahagian daripada fakta berkaitan Kota A Farmosa. Baru-baru ini, atau lebih tepat lagi dalam akhbar Berita Harian bertarikh 27 September 2011, muka surat 14, terdapat sebuah artikel berbunyi BUKU BONGKAR ‘RAHSIA’ MELAKA. Buku yang dimaksudkan berjudul History Of Dutch In Malaysia, yang ditulis oleh Dennis De Witt. Buku tersebut dihasilkan berasaskan kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh beliau. Katanya, dia menggunakan tiga jenis sumber bagi menulis buku tersebut, iaitu sumber utama, kedua dan lagenda. Sumber utama merujuk kepada bahan-bahan yang asli atau bukti seperti artifak, dokumen, rakaman ataupun maklumat seperti gambar.

Dalam buku tersebut, penulisnya tidak sahaja membongkar malah membawa bersama versi terbaru tentang sejarah pembinaan Kota A Farmosa. Menurut beliau, Kota A Farmosa bukannya di bina oleh Portugis, tetapi oleh Belanda. Menurut Dennis De Witt, seni dan ukiran pada pintu gebang A Farmosa menunjukkan ia adalah milik Belanda( tambahan dari saya – ia adalah seni bina Belanda).

Tidak setakat Kota A Farmosa, malah beberapa laras meriam yang kini dijadikan perhiasan di beberapa lokasi di bandar Melaka, termasuklah yang dipamerkan di Bukit St John Bandar Hilir, turut didakwanya sebagai meriam tinggalan Belanda dan bukannya Portugis. Katanya, ini berdasarkan ciri bentuk dan tulisan yang terdapat pada meriam tersebut.

Sama ada benar atau tidak dakwaan Dennis De Witt ini, ia perlu dikaji dan dihalusi dengan lebih teliti. Apa yang pasti, ini merupakan kali yang kedua tentang kecelaruan fakta mengenai sejarah negeri Melaka. Tahun lepas, terdapat pihak-pihak tertentu termasuklah Ketua Menteri Melaka yang mencuba untuk memanjangkan hayat Kerajaan Melaka dengan mengemukakan fakta yang menyanggahi kelaziman dan menyalahi kebiasaan. Mereka telah mempertikaikan fakta tentang tahun pengasasan Kerajaan Melayu Melaka yang ditulis oleh Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental.

Menurut mereka, dakwaan Tome Pires tentang pengasasan Melaka pada tahun 1400 atau 1402 masehi adalah tidak tepat. Mereka mendakwa buku Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) versi Raja bongsu sebagai lebih tepat dan sahih tentang sejarah kewujudan Melaka. Mengikut Sejarah Melayu versi Raja Bongsu, Melaka dikatakan diwujudkan pada tahun 1262 Masehi dan bukannya 1400 atau 1420 masehi.

Cuma, seandainya Suma Oriental dinafikan, maka tidak boleh lagi kita mendakwa Parameswara yang mengasaskan Melaka. Sebab, itu adalah berdasarkan catatan Tome Pires. Mengikut catatan dalam Sejarah Melayu, saya rujuk kepada versi paling popular(sebab Sejarah Melayu sebenarnya ada banyak versi), iaitu Sejarah Melayu Versi W.G. Shellabear(m/s. 53) pengasas Melaka ialah Raja Iskandar Syah.

Tapi, harus diingat, amat sukar untuk diterima akal akan fakta-fakta dalam Sejarah Melayu, sebab banyak sangat karut marutnya. Antara karut marutnya ialah padi di sawah bertukar tiba-tiba, buahnya emas, daunnya menjadi perak dan batangnya menjadi tembaga sebagai tanda keberkatan setelah ketibaan tiga orang putera raja yang berketurunan Iskandar Zukarnain dan Nabi Sulaiman. Tak cukup dengan itu, ditambah pula dengan karut marut yang lain, iaitu lembu yang dinaiki oleh tiga orang putera raja tadi telah melahirkan manusia menerusi muntahnya. Lebih lanjut tentang ini, sila baca di
SINI.

Tapi saya bimbang, takut-takut Prof Zainal Kling turut terlibat dalam pentafsiran semula sejarah Melaka. Bukan apa, sebab risau nanti didakwanya Portugis dan Belanda tidak pernah menjajah Melaka tapi sekadar untuk menaungi dan melindungi dengan penuh kasih dan sayang.

Thursday, 29 September 2011

Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim Bersetuju Agar Sejarah Ditafsir Semula.

(Jenazah Tok Janggut yang syahid menentang British)







Ini adalah lanjutan atau sambungan daripada tajuk yang lepas, iaitu, Masih Relevenkah Sambutan Hari Kemerdekaan Apabila Tanah Melayu Senasib Dengan Thailand.



Sebenarnya, saya sudah tidak berminat untuk memperkatakan isu ini, memandangkan saya telah memperkatakannya sebelum ini. Apatah lagi isu ini sudah dianggap reda dan semakin dilupakan ekoran pelbagai isu baru yang dijelmakan. Nasi Lemak 2.0, Hantu Bonceng dan Hudud mula mengambil alih dan menjadi topik baru yang diperkatakan. Tapi, setelah membaca akhbar Sinar Harian hari ini yang memuatkan pandangan Prof Dr Khoo Kay Kim tentang tafsiran semula sejarah, maka saya jadi berminat untuk kembali berbicara perihal ini. Tentang kenyataan penuh beliau, bolehlah lihat
SINI









(jenazah Tok Janggut digantung songsang oleh British)







Dan ingin juga saya nyatakan, sebelum ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam pernah menyarankan agar Sejarah Negeri Melaka DiTafsir Semula



Selain itu, saya juga tertarik untuk memperkatakan kembali isu ini, setelah membaca entry yang bernas dari blogger Jiwa Hamba yang bertajuk Mat Sabu Bapa Sejarah Malaysia. Maaf, saya tidak berminat untuk membicarakannya, tapi bagi saya entry itu adalah satu kesimpulan yang bernas.











Kembali kepada tajuk, hari ini Prof Khoo Kay Kim bersetuju dengan pentafsiran semula sejarah. Tidak mengapa andainya dengan itu kita dapat menyelongkar hakikat sejarah yang didustakan. Tapi saya risau sebab sebelum ini, atau lebih tepat lagi pada 13 Sept 2011 dalam akhbar berita harian pada muka surat 7, Khoo Kay Kim telah mengeluarkan satu ‘FATWA’ baru dalam ilmu sejarah. ‘Fatwa’ yang berbunyi “ mana-mana pihak yang menentang undang-undang negara dulu tidak boleh dianggap sebagai wira walaupun zaman sudah berubah.” Undang-undang yang beliau maksudkan ialah undang-undang yang diperkenalkan oleh British yang didakwa olehnya sebagai pelindung dan penaung.



Andainya ‘Fatwa’ Khoo Kay Kim itu digunapakai dalam pentafsiran semula sejarah, maka berlakulah rombakan besar dalam sejarah negara, iaitu pejuang yang selama ini dijulang setinggi langit akan menjadi petualang yang layak dipijak sampai ke kerak bumi.



Imbas kembali perjuangan Dato’ Maharaja Lela dan pejuang-pejuang Melayu Perak, termasuklah Ngah Ibrahim dan Raja Abdullah. Bukankah mereka menentang undang-undang yang telah diperkenalkan oleh British termasuklah pengharaman terhadap amalan perhambaan dan pengenalan cukai-cukai baru. Jadi mereka ini tidak boleh dianggap wira berdasarkan ‘fatwa’ Khoo Kay Kim.



Lihat juga peristiwa kebangkitan Tok Janggut di Pasir Putih Kelantan. Antara faktor kebangkitan Tok Janggut ialah kerana tidak bersetuju dengan undang-undang yang diperkenalkan oleh British, antaranya ialah undang-undang mengenai peraturan tanah dan cukai. Jadi mereka ini tidak boleh dianggap wira berdasarkan ‘fatwa’ Khoo Kay Kim. Memadailah dua contoh yang mewakili kebangkitan orang Melayu menentang British. Tidak perlu rasanya untuk saya kemukakan tokoh-tokoh pejuang Melayu yang lain sebab itu akan menyebabkan entry ini akan berjela-jela.



Di samping itu, saya terpanggil untuk membetulkan ajaran sesat dari seorang pengomen dalam akhbar arus perdana. Komennya berbunyi begini, “ seseorang yang memerangi bangsa sendiri tidak layak dianggap sebagai wira tapi layak diistiharkan sebagai penderhaka.”



Sekali lagi, saya menjemput sahabat untuk mengimbas kembali sejarah kebangkitan Tok Janggut. Pada 28. April. 1915, En. Abdul Latif, selaku Pegawai Daerah Pasir Puteh telah mengarahkan Sarjan Che Wan, seorang polis yang berkhidmat dengan British agar menangkap Tok Janggut. Perkelahian berlaku dan Sarjan Che Wan telah terbunuh.



Harus diingat kesemua mereka adalah berbangsa Melayu dan beragama islam. Baik Tok Janggut, mahupun En. Abdul Latif dan Sarjan Che Wan. Persoalannya, siapakah yang layak dinobatkan sebagai wira negara. Andainya memerangi dan membunuh bangsa sendiri tidak layak dilabel sebagai wira, maka apakah gelaran yang sepatutnya kepada Tok Janggut yang telah membunuh saudara sebangsa dan seagama. Tolong jawab!



Juga, tolong jangan lupa , tentang satu lagi peristiwa bersejarah dan berdarah pada tahun 1915. Peristiwa British mengarahkan tentera di negara jajahannya termasuk Tanah Melayu agar memerangi Turki Uthmaniyah. Perang ini bertujuan untuk merampas Palestin. Atas nasihat ulama tempatan yg terkenal(Ust Nurul Alam Syah), tentera beragama islam dlm kalangan tentera melayu dan india muslim di Singapura mengengkari arahan British. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Dahagi 1915.



Akibatnya British meminta bantuan tentera milik sultan negeri tertentu di Tanah Melayu untuk memerangi tentera islam yg enggan bekerjasama dengan British. Akibatnya , tentera islam ini mati dikenakan hukuman bunuh dan Ustaz Nurul Alam juga dikenakan hukum gantung. Persoalannya, adakah tentera yang beragama islam yang enggan bekerjasama dengan British untuk memerangi Turki ini layak dilabel sebagai penderhaka. Dan, adakah tentera melayu atau lebih tepat lagi tentera milik Sultan tertentu yang bekerjasama dengan British itu layak dianggap sebagai wira.



Tentang tentera milik Sultan Negeri Tertentu yang saya maksudkan tu, lihat sahaja klip kuliah dari Dr Asri Zainul Abidin ini sampai habis. Ia ada dinyatakan pada minit 7.53, sila klik
SINI. Maaf, saya tidak berani menyebut nama Sultan tersebut dan tidak berani menyentuh persoalan Raja-Raja Melayu sebab saya tidak ingin dianggap sebagai penderhaka

































Thursday, 15 September 2011

Masih Relevenkah Sambutan Hari Kemerdekaan Apabila Tanah Melayu ‘Senasib’ Dengan Thailand




Ini adalah lanjutan atau sambungan daripada tajuk yang lepas, iaitu
Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah Oleh British. Jadi ia perlu dibaca secara bersama agar tidak tersalah faham dan tidak tersilap dalam mentafsirkan tulisan saya.

"Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," Prof Dr Zainal Kling

Jadi, entry ini saya tulis sekadar menyahut dan memenuhi permintaan daripada Prof Dr Zainal Kling.

Antara 31 Ogos dan 16 September, tarikh manakah yang benar-benar memberi makna kepada warga Malaysia?. Tentu sahaja tarikh 16 September. Ini kerana pada tarikh 16 September 1963, Malaysia dibentuk melalui penyatuan 14 buah negeri yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura(yang kemudiannya bertindak keluar dari gagasan Malaysia), Sabah dan Sarawak. Jadi tarikh 16 September sangat wajar untuk dikenang dan ia adalah lambang perpaduan kaum di Malaysia.

Bagaimana pula dengan dengan tarikh 31 Ogos. Kajian dan penelitian secara terperinci mendapati, sesungguhnya tiada apa-apa peristiwa yang bermakna dan bersejarah yang pernah berlaku dalam sejarah Tanah Air pada tarikh 31. Ogos (Sejak 1957 hinggalah kini). Dan, satu-satunya peristiwa yang paling penting dalam sejarah Tanah Air yang pernah berlaku pada tarikh 31 Ogos ialah sambutan Hari Raya Aidilfitri 1432 H(2011 M). Walau bagaimanapun, ia hanyalah Hari Raya yang ke-dua, ini memandangkan satu syawal jatuh pada tarikh 30 Ogos 2011. Dengan ini, disyorkan agar pada tanggal 31 Ogos pada tahun-tahun yang akan datang, kita meriahkan rumah dengan ketupat, lemang dan rendang. Jangan lupa berpakaian cantik dan baru sebagaimana anda menyambut raya.





(Tonic Chop Gajah Ini Lebih Bernilai Sejarah. Gambar Dari Blog Thomas)





Mari kita imbas kembali kata-kata Profesor Datuk Dr Zainal Kling “Berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu tidak pernah terjajah, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.” Katanya lagi, “sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.” Ini adalah bukti pertama, sesungguhnya Tanah Melayu dan Thailand adalah ‘senasib’, iaitu kedua-dua negara tidak dijajah.

Kita fokuskan kepada Tanah Melayu terlebih dahulu sebelum berbicara perihal Thailand(nama Siam sebenarnya yang lebih tepat. Ini kerana hanya pada tahun 1939, Phibul Songram telah bertindak menukar nama Siam kepada Thailand)

Dalam hal ini, saya cuba berbaik sangka dengan niat dan matlamat kedatangan Portugis ke Melaka pada tahun 1511 dan diikuti oleh Belanda pada tahun 1641 sebagai bermotifkan perlindungan dan naungan. Begitu juga dengan kedatangan Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Andainya, Jepun dianggap sebagai penjajah, maka amat tidak waras dan sangat tidak wajar untuk kita mengistiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.Ini disebabkan Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Jadi tarikh kemerdekaan yang sepatutnya ialah pada 15 Ogos 1945.

Dan, Kedatangan semula British yang kemudiannya memperkenalkan Pentadbiran Tentera British dan Malayan Union tidak boleh dianggap sebagai satu penjajahan, ini kerana kedatangan British adalah dengan niat yang terlalu suci dan terlampau murni iaitu untuk menaungi dan melindungi Tanah Melayu dengan penuh kasih dan sayang.

Kita berbicara pula tentang Thailand. Umum mengetahui Thailand tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa. Ini semua disebabkan kebijaksanaan pemerintah Thailand terutamanya Mongkut yang dilantik menjadi Raja Rama IV pada 3 April 1851. Kebijaksanaanya dipuji oleh D.G. Hall dalam bukunya ,A History of South East Asia . Kata D.G. Hall dalam buku tersebut, “ Siam terhutang budi kepada Mongkut jika dibandingkan dengan raja-raja lain kerana dasar yang dimulainya telah menyelamatkan kemerdekaan Siam.” Pengetahuan am, Selain Thailand, negara Bhutan yang terletak antara India dan China juga terkenal kerana tidak pernah dijajah.

Sekarang, kita lihat pula persamaan kedua antara Tanah Melayu dan Thailand dari aspek sejarah.

Pertamanya, kita kena persoalkan,apakah peristiwa sebenar yang berlaku pada tarikh 31 Ogos 1957? Ramai orang yang salah faham dengan beranggapan itu adalah tarikh keramat yang menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu.

Mari kita hayati dengan teliti kata-kata Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim “ Pada 31 Ogos 1957, bukanlah British yang menyerahkan kedaulatan tetapi Raja-raja Melayu yang menyerahkan kuasanya kepada rakyat supaya Tanah Melayu dapat mengamalkan demokrasi berparlimen.” Jelas sekali, tarikh tersebut tiada kena mengena dengan kemerdekaan daripada British. Berdasarkan kenyataan Khoo Kay Khim itu juga, amat jelas sesungguhnya Tanah Melayu ‘senasib’ dengan Thailand.

Apa pula yang berlaku kepada Thailand? Ini yang perlu kita lihat.Untuk pengetahuan semua,kebangkitan semangat nasionalisme di Thailand amat berbeza dengan nasionalisme di Asia Tenggara yang lain, termasuklah Tanah Melayu. Ini kerana faktor kebangkitan semangat nasionalisme di Thailand adalah lanjutan daripada rasa tidak puas hati rakyat tempatan terhadap penguasaan politik oleh kerabat diraja dan penentangan terhadap raja yang berkuasa mutlak. Ia juga dikaitkan dengan sikap boros Raja Vajiravudh. Kemuncaknya, ialah berlakulah Revolusi Thai oleh Parti Rakyat untuk menamatkan sistem Raja Berkuasa Mutlak dan seterusnya memberi laluan kepada sistem pemerintahan berparlimen.

Jelas sejelas-jelasnya dan ibarat sudah terang lagi bersuluh. Itulah persamaan antara Tanah Melayu dengan Thailand dalam hal ini. Nyata sekali, sesungguhnya Tanah Melayu dan Thailand bukannya merdeka dari penjajahan.

Dalam konteks Tanah Melayu, Raja-raja Melayu telah menyerahkan kuasanya secara sukarela kepada rakyat supaya Tanah Melayu dapat mengamalkan demokrasi berparlimen. Tetapi dalam konteks Thailand, rakyat terpaksa bangkit untuk menuntut hak dan kebebasan daripada Rajanya. Dan, akhirnya Raja yang memerintah Thailand terpaksa memberikan laluan kepada rakyat untuk mentadbir Thailand secara demokrasi berparlimen.

Cuma ada sedikit perbezaan di sini. Iaitu, di Tanah Melayu, proses ini berlaku secara sukarela, manakala di Thailand pula berlaku secara terpaksa setelah Raja Thailand didesak dan diasak oleh rakyat.

APAKAH MESEJ SEBENAR YANG INGIN SAYA SAMPAIKAN.

Satu perkara sahaja yang ingin saya sampaikan, iaitu, sebagaimana Thailand tidak mempunyai hari kemerdekaan, Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia setelah kemasukan Sabah dan Sarawak juga tidak layak mempunyai hari kemerdekaan. Sangat tidak layak untuk kita menyambut hari kemerdekaan sebab kita tidak pernah dijajah. Ini kerana kedatangan british bukanlah untuk menjajah tapi untuk melindungi negara kita dengan penuh kasih dan sayang.

Dua hari yang lepas, saya ada bersembang dengan seorang kenalan di sekitar bandaraya Ipoh. Kenalan saya itu seorang pekerja(tukang masak) restoran masakan Thai dan berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Dia ketawakan saya, apabila saya bertanyakan tarikh kemerdekaan Thailand. Katanya, Thailand mana ada hari kemerdekaan sebab Thailand tak pernah dijajah kerana kebijaksanaan pemerintahnya. Sebenarnya saya sedia maklum akan perkara ini, iaitu Thailand tidak mempunyai hari kemerdekaan, tapi sengaja saya ajukan tanya untuk memeriahkan bicara.

Kata kenalan saya lagi, di Thailand, kebanyakkan perayaan atau hari kebesaran yang disambut ialah berkaitan dengan perihal Istana dan Raja, Tarikh-tarikh penting dalam agama Budha dan juga tarikh-tarikh penting yang berkaitan dengan kebudayaan bangsa Siam.

Jadi, kepada sahabat-sahabatku, inilah hakikat yang perlu kita akui andainya kita menyetujui pandangan Prof Dr Zainal Kling, Prof Dr Khoo Kay Khim, Tun Haniff Omar dan Prof Dr Ramlah Adam. Merekalah yang menafikan penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Tidak hairanlah jika seorang pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan mereka ini sebagai golongan yang keliru dan mengelirukan. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) berpendirian sejarawan tersebut bermain kata-kata yang berbelit-belit untuk menafi suatu fakta yang sudah sangat ma'ruf dikalangan rakyat. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) juga turut membantah pandangan Zainal Kling dan konco-konconya ini.

Dan, demi menyahut seruan Dr Zainal Kling agar fakta sejarah yang mengatakan British itu penjajah diperbaiki, maka saya menyeru kepada semua agar marilah kita lihat Sukatan Mata Pelajaran Sejarah Tingkatan Dua Yang Terbaru. Yang digubal oleh CikguNae








Friday, 9 September 2011

Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah Oleh British



Ketika menandatangani perjanjian Pangkor,Sir Andrew Clarke

telah melafazkan niat

"sahaja aku menaungi dan melindungi Tanah Melayu”.

Oleh sebab itulah British dikehendaki melindungi dan menaungi Tanah Melayu.

Tapi orang-orang yang buta sejarah

telah menuduh British datang

untuk menjajah dan menguasai


ekonomi Tanah Melayu.

















Saya semakin gila dengan ulasan bertalu-talu dari seseorang yang dianggap berkeahlian dalam bidang sejarah, iaitu Profesor Dr Zainal Kling. Katanya , Tanah Melayu tidak pernah dijajah, tapi hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.



Lalu, di sini saya(lepas ini akan digantikan dengan perkataan aku),mewakili rakyat Malaysia ingin memohon maaf kepada pihak British kerana telah menuduh British sebagai penjajah yang datang untuk mengaut kekayaan Tanah Melayu, terutamanya getah dan bijih timah.



Aku juga menyeru kepada semua warga Malaysia agar bertaubat dan bertaqwa di atas dosa-dosa silam kerana menuduh British.



Warga Malaysia kena faham, sesungguhnya kedatangan British telah membawa rahmat ke atas segenap penghuni Tanah Melayu. Segenap ruang dan ceruk di Tanah Melayu telah mendapat berkat akibat kedatangan British. Bukan hanya manusia, malah monyet, musang,kera dan babi hutan, turut mendapat rahmat daripada kedatangan British.



Kepada pihak British, maafkan aku kerana terlupa isi-isi penting Perjanjian Pangkor yang telah engkau tandatangani pada tahun 1874. Mujurlah Profesor Datuk Dr Zainal Kling memberitahuku dan seluruh warga Malaysia, sesungguhnya tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa Tanah Melayu akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Aku yakin dengan kata-kata Profesor Datuk Dr Zainal Kling itu, sebab sepanjang aku mempelajari sejarah, tidak pernah aku mendengar Sir Andrew Clarke yang menandatangani Perjanjian itu melafazkan niat “ Sahaja Aku Menjajah Tanah Melayu.” Dikatakan Sir Andrew Clarke ingin menjajah Tanah Melayu tapi beliau terlupa untuk berniat, jadi penjajahan dianggap tidak sah lalu bertukar menjadi naungan dan perlindungan.



Kepada pihak British,dengan ini aku menyeru diriku sendiri dan seluruh warga Malaysia agar tidak lagi menggelar BAPA KEMERDEKAAN kepada Tengku Abdul Rahman, tapi aku ingin memanggilnya sebagai BAPA NAUNGAN. Beliau tidak layak digelar Bapa Kemerdekaan sebab Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah, tapi beliau sangat layak dilabelkan diistiharkan sebagai Bapa Naungan sebab Tanah Melayu hanya dinaungi dan dilindungi.

















Selepas ini Tengku Abdul Rahman

tidak layak lagi digelar Bapa Kemerdekaan,

tapi layak digelar sebagai Bapa Naungan.













Kepada Pihak British, aku juga ingin memohon maaf di atas segala peristiwa berdarah yang dicetuskan oleh para ‘penderhaka dan pemberontak’ seperti Tok Janggut, Dato Bahaman, Dato Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman Limbong dan ‘penderhaka-penderhaka’ yang lain. Mungkin mereka tidak tahu niat sucimu yang ingin melindungi Tanah Melayu.

Jika mereka tahu niat kedatanganmu ke Tanah Melayu hanyalah untuk melindungi dan menaungi Tanah Melayu tentu sahaja mereka tidak ‘menderhaka’. Mungkin ‘penderhaka-penderhaka’ itu terlupa tentang satu kenyataan. Iaitu, jika pihak British bukan penjajah, maka pemerintah dan penguasa Tanah Melayu secara total adalah Raja-Raja Melayu.



Wahai Tok Janggut, wahai Dato Bahaman, wahai Haji Abdul Rahman Limbong. Kamu semua telah tersalah menghala senjata. British datang untuk melindungi dan menaungi kita dan bukannya menjajah serta merampas hasil bumi kita. Negari-negeri kalian ditadbir oleh Sultan kalian masing-masing. British tidak kacau dan British juga tidak ganggu urusan pentadbiran negeri kalian. British cuma melindungi dengan penuh kasih sayang.



Jadi kalian telah menderhaka kepada Raja-Raja. Pantang anak Melayu derhaka kepada Raja. Jangan jadi Hang Jebat wahai Tok Janggut. Jebat itu penderhaka. Jangan jadi macam Nizar wahai Dato Bahaman. Nizar itu penderhaka. Lupakah kamu, betapa Tun Perak sanggup kematian anak secara percuma kerana tidak ingin menderhaka kepada Sultan Melaka. Lupakah kamu, betapa Hang Tuah sanggup mengadaikan cintanya terhadap Tun Teja kerana Sultan Melaka.



Sesungguhnya Kamu telah menentang Raja-Raja Melayu, sebab Raja-Raja Melayu adalah pemerintah kamu ketika itu. British bukanlah penjajah dan bukan juga penguasamu ketika itu. Brtish datang dengan niat yang suci murni untuk melindungimu dan negerimu. Jika sekiranya kalian tidak menentang British, tentu sahaja Tanah Melayu akan aman dan tenteram dari sebarang ancaman. Tapi kalian tersilap langkah, kalian telah mengancam keselamatan dalam negeri dengan memerangi manusia berhati mulia,iaitu pihak British.



Sekali lagi, aku mewakili seluruh rakyat Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia setelah kemasukan Sabah dan Sarawak, ingin memohon jutaan maaf kepada pihak British. Dan dengan ini, aku berjanji untuk tidak menyambut hari kemerdekaan pada tahun-tahun akan datang. Cuma, aku ingin menyambut Hari Naungan.



Dan, mulai detik ini aku sudah lupa apakah persitwa yang berlaku pada 31.ogos 1957. Aku juga berharap agar dapat melupakan tarikh tersebut secepat mungkin, kerana ia amat tidak penting untuk dikenang. Kerana ia satu tarikh yang penuh dengan pembohongan. Macam mana Tanah Melayu boleh merdeka jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah.