Thursday 11 September 2008

SEKADAR BICARA DARI SAYA( TENTANG RINDU, KASIH DAN SAYANG)


SEKADAR BICARA DARI SAYA( TENTANG RINDU, KASIH DAN SAYANG)


SM Sains Lahad Datu(SMSLD), satu nama yang telah terpahat utuh di hati dan terpasak kukuh di sanubari. Saya akan sentiasa ingat segala pahit dan manis sewaktu berkhidmat di SMSLD dan percayalah saya takkan lupakan sampai ke mati. Percayalah, cinta saya tertinggal di Lahad Datu. Ia ada di setiap ruang dan sudut SMSLD. Jika ditanya tentang rindu, khabarkanlah ia berada di perpustakaan. Andai ditanya tentang kasih, nyatakanlah ia berada di bilik teknik vokasional dan di bilik SPBT. Kalau ditanya tentang sayang, jawablah ia berada di setiap kelas dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.


Saya sungguh berbangga kerana pernah menjadi warga SMSLD, meskipun seketika cuma. Tapi ia sudah cukup untuk memahamkan saya makna pendidik. Sudah memadai untuk memengertikan saya hakikat seorang guru. Ia satu tanggungjawab dari Allah yang wajib dilunasi. Sememangnya amat tegar di hati saya, tugas mendidik amatlah mulia, jadi sudah tentu banyak mehnahnya dan berliku tribulasinya.


Jujur, bukan SMSLD yang saya cari atau tempat yang ingin saya berkhidmat tetapi ia telah dihadapkan Tuhan kepada saya. Maksud saya, saya telah ditakdirkan untuk berkhidmat di SMSLD. Mungkin untuk memberikan saya makna hidup atau mungkin Tuhan inginkan saya memperolehi pengalaman merantau jauh di sebuah bumi yang agak asing. Saya anggap ini sebagai kembara hidup. Sesudah habis mengembara nanti, saya perlu kembali ke tempat bermula. Perlu saya maklumkan, Sewaktu memohon untuk penempatan(posting) dahulu, pilihan pertama saya ialah negeri Kedah, diikuti Perak, Melaka dan Johor.


Malah saya amat menyakini, saya tidak akan dihantar ke Sabah atau Sarawak kerana semua kawan-kawan saya yang ditempatkan ke Sabah dan Sarawak telah menerima “surat undangan” sebelum 10. Jun 2001. Mengikut kebiasaannya, guru-guru yang bakal ditempatkan ke Sabah dan Sarawak akan dimaklumkan awal-awal lagi manakala guru yang ditempatkan ke Semenanjung akan dimaklumkan kemudian. Walaubagaimanapun, ternyata teori itu tidak menjadi dan andaian itu tidak tepat. Kerja Tuhan tiada siapa yang tahu. Tanpa diduga dan tiada disangka, akhirnya surat penempatan(saya istilahkan surat undangan) ke SMSLD telah dbertandang ke rumah saya di Kelantan pada 15. Jun 2001(3 hari sebelum tarikh kami dikumpulkan di Hotel Midah Kuala Lumpur). Ini rencana daripada Tuhan. Sekali lagi saya tegaskan, kerja Tuhan tiada siapa yang tahu.


Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Sabah, saya dan guru-guru baru, telah dikumpulkan sekali lagi di hotel Promenade Kota Kinabalu. Di sini sekali lagi kami diberi taklimat tentang daerah dan sekolah yang bakal kami berkhidmat. Macam-macam karenah para guru setelah mendengar taklimat itu. Ada yang gembira dan ada yang bersedih. Tidak ketinggalan yang menangis. Seingat saya , 3 orang rakan dari USM, menangis teresak-esak setelah mengetahui akan ditempatkan di Pulau Banggi dan Terusan Sugut. Keesokannya harinya, mereka terus membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke Semenanjung.


Saya masih ingat hari-hari yang saya lewati sepanjang berada di Lahad Datu. Bermula dengan ketibaan saya di lapangan terbang Lahad Datu tika lewat senja. Cikgu Khaira Rajab dan cikgu Azman Paadek, diamanahkan menyambut kedatangan saya. Tidak lama kemudian cikgu Azaman(PK HEM tika itu)menjemput saya dan membawa saya ke SMSLD. Sepanjang perjalanan hati saya tidak keruan. Gundah dan resah saling bertindih. Apa tidaknya, sepanjang perjalanan hanya ladang kelapa sawit yang kelihatan. Sampai sahaja di sekolah, saya ditempatkan di bilik warden bersama cikgu Asrul dan ustaz Kamal selama seminggu. Sungguh sunyi waktu ini. “Bahagiakah aku di sini”. Hati saya berbisik sendiri. Bermula dari sinilah terciptanya detik-detik suka duka di SMSLD.


Istimewanya SMSLD, ialah jumlah pelajarnya yang tidak ramai. Justeru, ia memudahkan saya mengingati nama-nama pelajar sekaligus mengeratkan hubungan antara kami. Saya anggap setiap pelajar sebagai adik. Kemesraan yang terbina memudahkan lagi proses pembelajaran dan pengajaran. Jadi, jangan hairan jika saya berada di sekolah tidak kira siang dan malam. Wahai pelajarku, izinkan aku memangilmu sebagai adik-adikku. Kalian adalah sebahagian daripada kehidupan silamku. Aku masih terkenangkan kalian. Walaupun sesekali, meskipun kekadang. Namun kenangan bersama kalian mampu membuat aku tersenyum meskipun dalam kedukaan. Selamat berjuang adik-adikku. Moga Allah memberkatimu.


Saya akan abadikan SMSLD dalam diri saya. Biar ia sebati sampai bila-bila dan di mana-mana. Ikhlas, saya katakan, hati saya masih di SMSLD meskipun jasad saya di sini. Bangga juga untuk saya melafazkan SABAH TANAHAIRKU. Kepada para sahabatku(rakan-rakan guru), perjuangan kita belum selesai. Ia berterusan hingga ke penghujung nyawa. Ia berkekalan hingga denyut nadi yang terakhir. Kerana kita adalah pendidik dan pendidik adalah kita.


Kini, setelah hampir dua tahun saya meninggalkan SMSLD, dan berkhidmat di Chemor Perak. Memang terasa bezanya. Amat ketara situasinya. Namun apa yang pasti SMSLD sentiasa berbekas di hati dan tidak akan sekali-kali saya biarkan ia berlalu dari ingatan. SMSLD, CINTA SAMPAI MATI.

4 comments :

  1. salam cg.. sedih sya bc luahan hati cg.. trima kasih bnyk2 ajar kami (student batch 02-06) dalam subjek sejarah.. sya poon merindui guru2 lama d smsld termasuk cg tuan.. best sgt cg mngajar walaupun kadang2 kami nakal atau tertidur ketika cg mngajar.. teringin sgt untuk kembali ke zaman SMSLD dulu.. Trima kasih cg kerana mendidik kami sehingga kami berjaya dalam hidup ini.. ^_^

    ReplyDelete
  2. cikgu, terharu...=)
    thanks sebab ajar kami cikgu...

    ReplyDelete
  3. cg tuan iskandar...andainya jiwa kita berkongsi kenangan, kemesraan, tautan ingatan yang takkan luput di bumi Sabah...ketahuilah...itulah kenangan terindah yang seringkali terhimbau di depan mata setiap kali memandang wajah2 anak didik semenanjung...wajah2 anak sabah tetap dirindui...dan aku berbangga menjadi guru kerana di situ letaknya kepuasan bila melihat anak murid membesar di depan mata...berjaya melanjutkan pelajaran...dan ramai masih mengingati kita sebagai CIKGU...

    ReplyDelete
  4. cgu tuan! terharuuu baca. thanks sebab penah ajar batch kitorg sej dulu..[batch 2003-2007]..thank youu~

    ReplyDelete