Friday 13 July 2012

Rohingya : Air Mata dan Darah Saudara Seakidah




Air mata dan darah saudara seakidah mengalir dan menitis lagi. Umat islam Rohingya kini sedang terseksa, sebenarnya derita yang mereka tanggung hari ini hanyalah episod-episod duka yang tidak pernah bernoktah sejak zaman-berzaman. Dari sudut geografi, umat islam Rohingya tinggal di utara negeri Rakhine(dahulunya dikenali sebagai Arakan) yang terletak di barat daya Mynmar yang bersempadan dengan Bangladesh. Tapi dari sudut agama, mereka amatlah dekat dengan setiap umat islam lantaran persamaan akidah.





Orang islam Rohingya pada asalnya adalah sebahagian penduduk pemerintahan beraja Mrauk-U di Arakan. Mereka terhimpit antara pemerintahan beraja di Burma yang mengamalkan agama Budha di sebelah timur, dengan raja-raja Moghul yang beragama islam di barat.Walaupun raja-raja Mrauk-U beragama Budha, namun orang-orang islam tetap memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran kerajaan mereka.

Pada tahun 1784, Raja Burma,Bodawpaya telah bertindak menakluki wilayah Arakan. Ini menyebabkan orang-orang islam, termasuk orang Rohingya menjadi pelarian di Chittagong Bangladesh dan ramai juga yang terus menetap di sana. Di bawah pemerintahan British pula, Burma ditadbir sebagai sebahagian daripada India.




Apabila Burma mencapai kemerdekaan pada 1948, hubungan negara itu dengan orang Rohingya semakin tegang, terutamanya apabila sekumpulan Muslim di Arakan cuba menyatukan Maungdaw dan Bthidaung bagi membentuk Pakistan Timur. Akibatnya, Rangoon menafikan hak kerakyatan kepada orang-orang Rohingya, dan mereka tidak dibenarkan menjadi tentera dan bekerja dalam perkhidmatan awam.

Menjelang tahun 1950, sesetengah orang Rohingya melancarkan pemberontakan bersenjata, tetapi dapat dipatahkan empat tahun kemudian. Setelah pihak tentera berkuasa di Burma pada tahun 1962, orang-orang Rohingya semakin teruk ditindas sehingga menyebabkan lebih 200,000 orang melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 1978.
Pada tahun 1991-1992, lebih 250,000 orang lagi orang Rohingya menjadi pelarian di Bangladesh bagi mengelak dari menjadi buruh paksa, dirogol dan pembersihan etnik oleh pemerintah Burma.

Manakala orang-orang Rohingya yang terus tinggal di Burma dikatakan terus tertindas sehingga kini. Mereka masih tidak diberikan hak warganegara, anak-anak mereka pula hanya dibenarkan bersekolah di sekolah kerajaan hingga peringkat rendah sahaja, dan terpaksa menjadi buruh paksa.





3 comments :

  1. Sejarah yg panjang rupanya..
    Thanks info, saya kurang tau psl ni sbnrnya.

    Sedih & risau..cuma doa boleh dipanjatkn utk mereka di sana.

    ReplyDelete
  2. Ujie.
    sama2lah kita mendoakan kesejahteraan saudara seakidah dgn kita di Rohingya.

    ReplyDelete
  3. YA ALLAH sedihnya....sudah terlalu lama mereka menderita yang tidak tahu bila kesudahan penderitaan mereka ini. JIka bkn bahagia didunia moga mereka bahagia di akhirat nnti....MOga episod duka mereka akan ada penamatnya.

    ReplyDelete