Monday 7 July 2008

DEKAT PADAMU


Tuhan tidak Pernah Menjauh
Tuhan tidak Pernah Meninggalkan Kita
Kerna Itu
Janganlah Pernah Meninggalkan-Nya.



DEKAT PADAMU. Itu destinasiku. MU! Yang saya maksud di sini ialah Tuhan. Kita ada Tuhan, kekal ada. Jadi jangan lupa Tuhan. Jangan pernah meninggalkan-Nya. Inilah yang ingin saya nyatakan di sini. Harap-harap, usaha kerdil ini mampu menyuburkan rasa berakidah dan menghidupkan rasa kehambaan. Mungkin bicara saya ini tidak berbekas di hati. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya saya mencuba. Usaha kerdil tapi hasrat saya murni. Insha Allah, Allah akan memberkati.



Ingin saya petik kata-kata seorang teman, “ Jika tidak mampu menjadi pelita yang menerangi malam, memadailah sekadar menjadi kunang-kunang yang menemani kegelapan.Setidak-tidaknya ada juga cahaya yang menerangi zulmat(gelap) malam, meskipun seminimum mungkin.”



Ayuh sahabatku, kita mulakan kembara rohani. Kita atur langkah dengan cermat, kita susun jejak dengan hati-hati. Kemudian terus melangkah dan jangan undur lagi. Redha Tuhan sedang menanti bersama derap langkah kaki.



*****************************


Kekadang, kita sering tertanya-tanya. Sesekali, kita acap terfikir. Benarkah Tuhan dekat dengan kita. Iya! Ia sentiasa dekat dan tidak pernah menjauh. Cuma kita yang sering kali menjauhkan diri dari-Nya. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat. Kitalah yang membina jarak yang sebegini hebat. Lantaran antartika kejahilan yang menebal dan horizon pemikiran yang menyempit. Akhirnya kita tercunggap mencari di mana Tuhan.
Sesetengah dari kita, hanya mendekatkan diri kepada-Nya setelah ditimpa bencana yang menusuk hati dan menembusi emosi. Lantas Tuhan didekati untuk menyembuh duka dan merawat lara. Tidak mengapalah, itu jauh lebih bermakna daripada terus menjauh hingga ke penghujung nyawa. Setidak-tidaknya masih ada naluri ingin bertuhan. Sekurang-kurangnya masih ada rasa kehambaan, walau sekelumit cuma.


******************************


Pernah satu waktu, tika saya didatangi mehnah(dugaan). Seorang sahabat yang berbangsa kadazan dan beragama Kristian sudi mengongsi rasa. SMS dikirimkan kepada saya, katanya “Kita diberi dugaan oleh Tuhan, maksudnya Tuhan sayangkan kita.” SMS seterusnya saya terima pada tika dan detik yang lain, begini bunyinya “Tak semua benda yang kita mau akan kita dapat. Tuhan ambil, tapi mungkin Ia akan ganti dengan yang baru. Jika difikir secara mendalam, kita sebenarnya beruntung.” Ada lagi SMS yang lain, semuanya saya simpan dengan rapi dalam hanphone dan dalam hati. Sebagai rujukan tatkala susah nanti.
Terima kasih sahabatku, kerana secebis simpati darimu. Walaupun berbeza akidah, kau tetap gelisah tatkala aku gundah. Meskipun berbeza agama, kau sudi memahami gelodak jiwa yang sedang aku rasa. Yakinlah aku, beza kepercayaan bukanlah alasan untuk tidak teguh bersatu dan bukannya penghalang untuk erat berpadu.


********************************


Tuhan sentiasa dekat. Saya ulangi lagi sekali, Tuhan sentiasa dekat. Renungi firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 186, “Dan apabila hamba-hambaku bertanyakanmu( Wahai Muhammad) tentangku. (Maka jawablah) Sesungguhnya Aku ini hampir. Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaku apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan(menunaikan perintahku) dan beriman kepadaku. Mudah-mudahan mereka sentiasa berada di atas petunjuk.”



Itu firman Tuhan, dan bagaimana pula dengan sabda Nabi. Cuba belek Shahih Bukhari dalam kitab Iman, atau buka sahaja kitab Hadis 40, Imam al-Nawawi( Hadis ke-2). Hadis yang panjang tetapi saya hanya fokuskan apa yang ingin saya sampaikan. “ ………….. Dia bertanya lagi, beritahulah kepadaku tentang ihsan. Nabi s.a.w menjawab, hendaklah engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak boleh melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu.” Dia yang bertanya dalam hadis ini ialah malaikat Jibril yang datang bertanyakan Nabi tentang islam, iman dan ihsan juga tentang hari qiamat.



Jelas Allah begitu dekat dengan kita, tapi mungkin kita tertanya-tanya. Jika Allah dekat dengan kita kenapa Ia tidak mendengar permintaan( makbulkan doa-doa) kita. Sahabat, janganlah berburuk sangka. Yakinlah, Allah tidak pernah menuli dan buat tidak reti. Allah juga tidak pernah membisu dan buat tidak tahu. Allah Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Memahami. Cuba renungi hadis ini, “ Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan sesuatu doa yang tidak ada didalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari tiga perkara, sama ada disegerakan untuknya(dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat(diberi balasan pahala di akhirat), atau diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya.”



Saya ingin fokuskan kepada yang ke-3, iaitu diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya. Betapa ramai antara kita yang impikan kekayaan, tetapi kita lupa adakalanya kekayaan akan membuatkan kita sengsara. Ada juga antara kita yang mengharapkan Mahkluk Tuhan Paling Seksi sebagai teman sejati, tetapi Allah tidak memperkenankan hasrat , sebab mungkin ia akan menyebabkan kita menjadi Makhluk Tuhan Paling Seksa suatu ketika nanti. Mungkin kita bersedih sebab hasrat kita tidak makbul. Tetapi jangan lupa, sebab pandangan mata kita amatlah terhad(hanya nampak pada yang zahir dan tersirat) sedangkan pandangan Allah menyeluruhi alam. Tiada seincipun yang terlepas dari pandangan-Nya. Jadi jangan kecewa, jangan gundah dan gulana. Jom, kita dekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan doa kepada-Nya. Pasakkan naluri bertuhan dalam hati nurani. Biar ia meresap ke dalam tubuh dan berdarah daging dalam jasad. Lantas, kita akan sentiasa teringatkan Tuhan setiap kali nadi berdenyut dan setiap ketika jantung berdegup.



Kini, kita harus mengerti, sesungguhnya kita tidak pernah tewas dalam hidup. Selagi ada Tuhan bersama kita (kasih sayang dan rahmat-Nya) selagi itulah kita berhak mengistiharkan diri sebagai pemenang. Biarlah hangus terbakar, biarlah lemas tengelam, biarlah terkoyak hati dan tercalar perasaan. Kita tetap pemenang.

Saya bukan mencipta mitos tetapi ini kenyataan.
Renungi Firman Tuhan dalam surah al-Baqarah ayat 154, “ Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesiapa yang gugur dalam perjuangan membela Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak mengetahui keadaan mereka.”




TAMAT

No comments :

Post a Comment