Tuesday 22 July 2008

KITA PERLU MENOLEH

Kita perlu menghayati masa silam, memanfaatkan masa kini dan bersedia untuk mendepani masa hadapan. Andainya masa silam itu berupa kehancuran, ia bukan untuk diratapi. Walaupun sesekali ia menghiris perasaan, meskipun kekadang ia merobek hati bagaikan ditusuk belati. Ia seharusnya dijadikan pengajaran untuk melayari lautan hidup moga kita selamat berlabuh di ‘daratan sana’ nanti.

Kita perlu menoleh ke belakang, bukan untuk memberatkan fikiran atau menganggu tenang hidup. Tapi untuk untuk memaknakan kehidupan hari ini dan esok. Dengan itu kita akan lebih berhati-hati dan tidak terbabas tanpa pedoman, tidak tersasar tanpa haluan. Menoleh ke belakang yang saya maksudkan di sini ialah merenung kembali segala dosa dan noda yang telah kita lakukan, dan mengimbas semula segala amal ibadat yang telah kita pinggirkan.

Masih berdegil ! Tak mau menoleh ke belakang untuk merenung masa silam. Tidak mengapa sebab suatu ketika nanti kita terpaksa menoleh juga. Firman Allah dalam surah Al-Mukminun, ayat 99-100, ada memaparkan tentang sikap manusia yang terpaksa menoleh ke belakang.
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia, “Wahai Tuhanku, kembalilah daku ke dunia(hidup semula ke dunia), supaya dapat aku mengerjakan amal-amal salih yang telah aku tinggalkan.Tidak! Bahkan itu sesungguhnya hanya perkataan yang dia ucapkan, sedangkan di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula.”

Nyata benar dalam firman Allah itu tentang penyesalan orang-orang kufur dan ingkar. Mereka terpaksa menoleh ke belakang untuk mengenang detik-detik yang pernah mereka abaikan. Amal ibadat yang dibuat tidak peduli menyebabkan mereka menyesal kemudian nanti. Tapi sayang penyesalan tika ini tiada apa-apa erti. Sia -sia belaka dan tiada apa-apa makna di sisi Yang Maha Esa. Rayuan sekadar rayuan . Jadi janganlah tiba saat sakratul maut baru nak menoleh ke belakang. Mulalah menoleh dari saat ini, detik ini dan tika ini. Jangan tunggu hari esok, sebab esok hari mungkin kita tiada lagi di dunia ini.

Cuba renung pula Firman Allah dalam surah Yaasiin ayat ke -65 “ Pada waktu itu kami meteraikan mulut mereka, dan (memberi peluang kepada) tangan mereka untuk memberitahu kami(kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka usahakan.”


Renunglah ke dalam hati dan lakukan muhasabah ke atas diri sendiri. Tika mulut diam tanpa bicara. Kala tangan dan kaki mula berkata-kata. Segala tingkah laku kita semasa di dunia akan dibongkarkan tanpa rahsia. Ia menjadi saksi yang setia tanpa sebarang dusta. Muhasabahlah teman. Bermuhasabahlah. Tangan(simbolik kepada perbuatan) dan kaki(simbolik kepada langkah atau perjalanan). Apa yang kita lakukan dengan tangan dan kekuasaan yang Allah berikan. Kemana kita susun jejak dan atur langkah dengan kaki yang Allah anugerahkan. Cuba pejamkan mata dan cuba pula mencongak dalam fikiran. Berapa banyakkah dosa yang berkaitan tangan dan kaki yang pernah dilakukan? Masya-Allah sentiasa bertambah dan berganda sejajar dengan peningkatan usia. Cuba buat keluk atau graf. Namakan ia KELUK atau GRAF DOSA.





2 comments :

  1. huhukhuk .. sedih amat .. umm tapi jujur la toleh kebelakang betul betul buat sye down ,umm .

    ReplyDelete
  2. tujuh rainbow = Takpe walaupun down, yg ptg kita sedar dan bangkit utk perbaiki diri.

    ReplyDelete