Sunday 6 July 2008

LELAKI ITU

Lelaki itu
pengemis yang setia
Bukan menagih simpati di kaki lima
Tapi perayu firman dan sabda
Lelaki itu
Bukan kekasih separuh masa
Tetapi pengabdi yang setia
Agar kita sentiasa bahagia
Tiap saat dan ketika
Lelaki itu
Penyinar malam yang zulmat
Agar kita tidak teraba-raba tanpa haluan
Bagai kelkatu yang bercumbu dengan penuh rindu
Pada kerlipan lampu


Lelaki itu benar-benar hebat. Beliau seorang sahabat Nabi yang terbilang dan gemilang. Digelar BENDAHARAWAN HADIS lantaran kehebatannya mengingati hadis-hadis Nabi. Malah dialah sahabat yang paling banyak mengingati hadis-hadis Nabi. Asalnya dari Yaman dan datang ke Madinah pada tahun ke-7 Hijrah lalu memeluk islam. Ternyata kelewatannya memeluk islam tidak menghalang penguasaannya terhadap sabda Nabi junjungan. Jangan hairan, sebab Ibn Abbas pun masih kecil sewaktu hayat Nabi s.a.w. namun, keilmuannya dalam beberapa hal mengatasi beberapa orang sahabat yang jauh lebih senior darinya. Malah Tiga Abdullah sangat dikagumi tika dan saat itu. Antaranya ialah Abdullah bin Abbas(yang dikenali sebagai Ibn Abbas), Abdullah bin Umar(Ibn Umar, terkenal juga kerana fiqhnya yang ketat dan susah) dan Abdullah bin Mas’ud( Ibn Mas’ud, terkenal juga kerana fiqhnya yang longgar dan mudah). Lelaki itu yang saya maksudkan ialah Abu Hurairah.

Kembali kepada Abu Hurairah, beliau mengetahui lebih banyak hadis berbanding sahabat-sahabat yang lain lantaran dirinya yang sentiasa berada di samping Nabi. Sewaktu sahabat dari Muhajirin dan Ansar sibuk dengan urusan masing-masing, beliau pula ‘menyibukkan’ diri bersama Nabi.


Pernah suatu ketika, Gabenor Madinah( Marwan bin Hakam), ingin mencuba dan menguji kekuatan ingatannya. Beliau ditanya tentang beberapa buah hadis dan tanpa pengetahuannya terdapat pencatat di sebalik tabir yang mencatat apa yang dikatakannya. Setahun kemudian beliau dipanggil untuk menceritakan tentang apa yang pernah diajukan kepadanya dahulu. Gabenor itu benar-benar teruja kerana apa yang diceritakan oleh Abu Hurairah betul-betul sama dengan apa yang diceriakan dahulu, tanpa sedikitpun tokok tambah.


Menurut Imam Bukhari, terdapat 800 orang Tabien yang meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah. Timbul satu isu yang seringkali digunakan oleh golongan Orientalis barat , puak-puak syiah dan golongan anti-Hadis( Mereka mengecam dan menuduh Abu Hurairah melampau-lampau dalam meriwayat Hadis kerana isu ini). Iaitu tentang lama tempoh masa pergaulan antara Abu Hurairah dengan Nabi s.a.w. Ada sumber yang mengatakan beliau hanya sempat bersama Nabi selama 4 tahun( pertama kali bertemu pada tahun berlakunya perang khaibar hingga baginda s.a.w wafat), ada juga sumber yang mengatakan hanya 3 tahun sahaja sempat bersama Nabi. Malah sumber dari Abu Rayyah, mengatakan abu hurairah hanya sempat 21 bulan bersama Nabi. Walau apapun sumber, yang pasti hayat perkenalan dan persahabatan antara beliau dengan Nabi amatlah singkat namun keintimannya dengan nabi membolehkan beliau menguasai hadis-hadis Nabi melebihi sahabat-sahabat yang lebih senior.

Menurut Ibn Jauzi, Abu Hurairah meriwayatkan 5374 hadis dalam Musnad Baqi dan 3848 dalam Musnad Ahmad. Menurut Ahmad Syakir, setelah disisihkan hadis-hadis yang berulang, maka terdapat 1579 hadis sahaja yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Apa yang pasti beliau adalah tokoh yang mengkagumkan kerana dalam tempoh 3 tahun tetapi mampu meriwayatkan lebih kurang 1579 buah hadis.

Setelah sekian lama menabur jasa terhadap agama Allah, akhirnya beliau dijemput Rabbul Izzati pada tahun 59 Hijrah.

No comments :

Post a Comment