Wednesday 29 August 2012

Hanya Portugis Yang Pernah Menjajah Tanah Melayu



Gila dan menggilakan. Itulah wabak gila yang melanda segelintir pakar sejarah di Malaysia. Wabak gila ini menjangkiti mereka setelah mereka cuba melakukan ‘persetubuhan ’ antara sejarah dan politik. Kecelaruan dan kekeliruan bermula apabila isu Mat Indera dan serangan ke atas balai polis Bukit Kepong di jelmakan oleh seorang tokoh politik pada tahun lepas. Walaubagaimanapun entry ini tidak akan menyentuh perihal tokoh politik tersebut, sebab saya cenderung untuk memperkatakannya dari sudut sejarah dan bukannya politik. Entry ini juga tidak akan membicarakan perihal Mat Indera dan anggota polis Bukit Kepong. Entry ini tidak bermatlamat ingin menobatkan mana-mana individu sebagai pejuang mahupun petualang. Moga-moga mereka damai di sana.

Mungkin atas dasar ingin mempertahankan ‘penternaknya’ maka munculah fatwa-fatwa gila dari pakar sejarah Malaysia. ‘Fatwa’ yang terhasil akibat ‘persetubuhan’ tanpa rela antara politik dan sejarah. Pakar sejarah yang ‘diternak’, akan berbicara sebagai politikus dan tidak sebagai seorang sejarahwan. Akibatnya, sejarah dijadikan mangsa kerakusan politik.Tanpa belas dan tanpa simpati, sejarah diratah dengan lahapnya untuk memuaskan nafsu para politikus.



Sekarang, mari kita perhatikan ‘fatwa-fatwa’ yang gila lagi menggilakan daripada pakar –pakar sejarah Malaysia.

  • ‘Fatwa’ daripada Prof Zainal Kling “Tanah Melayu tak pernah dijajah tapi hanya dilindungi dan dinaungi oleh British. Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.”
  • ‘Fatwa’ daripada Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim “ Pada 31 Ogos 1957, bukanlah British yang menyerahkan kedaulatan tetapi Raja-raja Melayu yang menyerahkan kuasanya kepada rakyat supaya Tanah Melayu dapat mengamalkan demokrasi berparlimen.”
  • ‘Fatwa’ Datuk Prof Ramlah Adam “ pada zaman itu, British benar-benar menjadi penasihat kepada raja-raja Melayu dan arahannya tidak lagi mesti diikuti, berbeza dengan keadaan ketika Perjanjian Pangkor dimeterai pada tahun 1874.
  • ‘Fatwa’ seterusnya daripada Datuk Prof Ramlah Adam. “Tanah Melayu tidak pernah dijajah secara sepenuhnya oleh British kerana orang Melayu masih mempunyai tempat dalam perkara tertentu. Antara bukti perkara itu ialah pengekalan institusi raja Melayu dan peranannya dalam hal ehwal agama Islam serta adat istiadat orang Melayu.”





Di sini, saya sekadar ingin menyanggah ‘fatwa’ Dr Ramlah Adam mengenai Tanah Melayu tidak pernah dijajah sepenuhnya oleh British. Ini kerana fatwa-fatwa karut daripada Prof Zainal Kling dan Dr Khoo Kay Khim telah saya sanggah dalam entry lepas. Langsung sahaja ke link di bawah untuk melihat sanggahan tersebut:


KENAPA HANYA PORTUGIS YANG PERNAH MENJAJAH TANAH MELAYU.

Andainya ‘fatwa’ Dr Ramlah Adam digunapakai, maka seluruh umat manusia hanya berhak menuding jari kepada Portugis sebagai penjajah Tanah Melayu.

Info penting :Meskipun Portugis hanya menguasai Portugis, namun Melaka pada ketika itu bukanlah seperti Melaka hari ini. Ini kerana, Melaka pada ketika itu merupakan sebuah empayar dan jajahan takluknya meliputi hampir keseluruhan Tanah Melayu(Semenanjung) dan sebahagian besar kepulauan Sumatera.

Portugis mula mengancam Melaka pada tahun 1511. Serangan pertama dilakukan pada 25 Julai 1511, serangan kedua pula pada 10 Ogos 1511 dan serangan ketiga, juga yang terakhir ialah pada 24 ogos 1511. Tarikh 24 Ogos 1511 inilah yang menyaksikan Melaka tewas di tangan Portugis dan sekali gus menamatkan Kesultanan Melayu Melaka.

Sultan Alauddin Riayat Shah II, putera Sultan Melaka yang terakhir(Sultan Mahmud Shah) telah mengasaskan kerajaan Johor. Dan, sejarah telah menjilidkan, pada tahun 1641, Belanda telah berjaa mengusir Portugis dan seterusnya menduduki Melaka. Namun, apakah istilah yang layak atau sesuai untuk kita gunapakai terhadap pendudukan Belanda di Melaka. Jika kita berpandukan fatwa Ramlah Adam, kita berhak mendakwa, Belanda tidak pernah menjajah Melaka sepenuhnya. Ini kerana, Belanda tidak mengancam Sultan Johor, malah pihak Belanda telah bekerjasama dengan Johor untuk mengusir Portugis.

Begitu juga dengan kedatangan Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Berpandukan fatwa Ramlah Adam, amat tidak waras dan sangat tidak wajar untuk kita mendakwa Jepun sebagai penjajah. Atau dengan kata lain, Jepun juga tidak menjajah Tanah Melayu sepenuhnya, Ini kerana Jepun tidak pernah menghapuskan institusi beraja di negeri-negeri di Tanah Melayu. Lagi pun pada zaman pendudukan Jepun, ramai juga orang-orang Melayu yang diberi kepercayaan untuk beberapa jawatan penting dalam pentadbiran, antaranya ialah Ibrahim Haji Yaacob, Kapten Mohd Salleh bin Sulaiman dan Dato' Onn bin Jaafar

APA MAKSUD DIJAJAH SEPENUHNYA.

Memang kita akui, ‘fatwa’ Ramlah Adam ini jauh lebih bermaruah berbanding ‘fatwa’ Zainal Kling. Mengikut Zainal Kling, Tanah Melayu tak pernah dijajah oleh British, Ramlah Adam pula mendakwa Tanah Melayu pernah dijajah cuma tak sepenuhnya.

Apakah yang dimaksudkan tak sepenuhnya oleh Ramlah Adam. Ia benar-benar menjadi tanda tanya yang mengasak akal. Yang pasti, antara kayu ukur yang yang digunapakai oleh Ramlah Adam ialah institusi beraja masih dikekalkan dan orang Melayu masih mempunyai kedudukan dalam pentadbiran.

Berbekalkan kayu ukur ini, beliau mendakwa Tanah Melayu tak dijajah oleh British sepenuhnya atau tidak secara serarus peratus. Timbul persoalan, berapakah peratuskah British menjajah Tanah Melayu? Bagaimana pula dengan perjuangan Tok Janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman, dan lain-lain pejuang. Jika berdasarkan ‘fatwa’ Ramlah Adam, mereka juga tak layak dianggap sebagai pejuang secara seratus peratus, Sebabnya mereka telah tersalah menghunus dan menghala senjata. Yang memerintah mereka dan mentadbir negeri mereka adalah raja-raja Melayu. British hanya penasihat semata-mata(rujuk fatwa Ramlah Adam sebelum ini)kecuali ketika perjanjian Pangkor. Semua tahu kebangkitan Tok Janggut, Dato Bahaman dan lain-lain(kecuali Dato Maharajalela) adalah selepas perjanjian Pangkor. Jadi mereka ini menentang raja-raja Melayu, sebab mengikut Ramlah Adam, segala arahan dan tindakan adalah atas kehendak raja-raja Melayu. Ini kerana British hanya penasihat dan nasihat British tidak wajib diikuti atau dilaksanakan.

Saya yakin masih ramai yang tertanaya-tanya, apakah kriteria yang perlu sesebuah kuasa penjajah penuhi agar ditakrifkan sebagai penjajah sepenuhnya. Adakah mereka perlu menghapuskan seluruh penduduk negara yang dijajahnya.Perlukah mereka menukarkan agama, budaya dan bahasa penduduk yang dijajahnya. Andai inilah kriterianya, maka percayalah, sepanjang sejarah peradaban manusia, tidak pernah wujud kuasa penjajah dan tidak pernah ada negara yang dijajah secara total.


13 comments :

  1. aku pun pelik dengan ahli sejarah sekarang
    bagaimana boleh merdeka kalau tak pernah dijajah?

    ReplyDelete
  2. wah..pening tul bile memikirkan n mengkaji semula statement kt atas....sejarah sgt penting tp ianya byk mengelirukan jika ada versi2 yg berbeza...

    ReplyDelete
  3. tehr.
    inilah persoalan yg memeningkan kepala saya.

    Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan dari saya.

    ReplyDelete
  4. Intan Norhaida.
    sejarah memeningkan apabila faktanya diselewengkan.

    "Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Intan."

    ReplyDelete
  5. Patutlah masa kecik dulu-dulu ada istilah pok sa naik kudo... Koho besar koho bodo....

    ReplyDelete
  6. perkara ni berlaku bila segelintir bijak pandai mpunyai kepentingan peribadi masing2...

    ReplyDelete
  7. Cikli.
    Semakin besar dan semakin berpendidikan tapi semakin tolol dan bahlul. Itulah yg lebih tepat.

    ReplyDelete
  8. caliph shuriken.
    Golongan berkepentingan inilah yg merosakkan nilai ilmu.

    ReplyDelete
  9. Manusia kalau ada ilmu tapi takde hidayah, itule jadinya. Masih berpaut pada sejarah penjajah british. Sila ke artikel ini untuk view lain http://silverheritage.blogspot.com/2012/03/khilafah-islamiyah-dan-alam-melayu.html


    ReplyDelete
  10. Bagus tuk knowledge ni... tapi... agak berat tuk tengahari2 cam ni...he...he...

    ReplyDelete
  11. hisham.
    Saya bersetuju dgn sahabat. Inilah yg berlaku bila sejarawan masih berpaut dgn sejarah penjajah. sejarah yg ditulis oleh penjajah pastinya mengikur selera dan naluri mereka.

    Nnt sy mampir ke link yg sahabat sertakan..

    ReplyDelete
  12. hainom OKje.
    Kena baca lagi skli bila mlm nnt.

    ReplyDelete
  13. untuk mempelajari dn memahami sejarah ..dari manakah perlu kita mula????

    ReplyDelete