Friday 29 March 2013

Kiranya Kau Bisa Mendengar(Setelah Genap Setahun Pemergian Ayah Tercinta)

Di sinilah ayahku disemadikan
 
 
Entry ini sepatutnya saya tulis beberapa hari yang lalu, iaitu pada 25 MAC 2013. Namun, saya tiba-tiba rasa terpanggil untuk menulisnya hari ini setelah menziarahi pusara ayah pagi tadi. 

Sesungguhnya 25 MAC menjadi begitu segar di hati dan teramat bugar di sanubari. Ini kerana, 25 MAC, merupakan tarikh ayah saya dilahirkan, dan ia juga merupakan tarikh ayah saya menghembuskan nafas yang terakhir. 25 MAC 2012, pukul 5.00 pagi, detik yang pastinya kekal melekat di ingatan selagi hayat dipinjamkan Tuhan. 

Pantas benar larian waktu, namun segala-galanya masih segar dan bugar dalam ingatan. Ternampak-nampak dan terbayang-bayang seakan-akan baru sahaja berlalu dan berlaku. Iya, saya masih terkenang detik-detik saya memandi,mengkafan dan menyembahyangkan, serta mengebumikan jenazah ayah. Setiap kali mengimbas kembali segala susah payah dan perit getir yang arwah ayah lalui untuk menyara keluarga dan membesarkan anak-anak, pasti sahaja akan mengundang sebak di dada saya. Lagi mengharukan, kerana amat banyak episod-episod duka yang pernah ayah alami semasa hayatnya, tapi tersembunyi dari pengetahuan saya. Saya hanya mengetahui sesudah pemergiannya dan itupun setelah diberitahu oleh ibu dan mak saudara saya.

AYAH! kiranya kau dapat mendengar, aku ingin kau tahu, sesungguhnya kehilanganmu amat berat buatku. Ayah! kiranya kau dapat mendengar, ku ingin kau ketahui, segala kenangan bersamamu tidak akan sesekali terhakis dan terkikis dari ingatanku. Ayah! kiranya kau dapat mendengar, Aku ingin kau ketahui, rindu, kasih dan sayangku terhadapmu tidak pernah surut dan susut, malah sentiasa segar dan bugar. Terima Kasih Ayah. 

IMBAS KEMBALI 

“Esok arijadi ayh.genap 73 tahun.pakat doa biar ayah pnjg umur lg.” Itulah sms yang dihantar oleh abangku yang setia menemani ayah, sepanjang ayah menjadi warga Wad 8 Selatan. SMS tu dihantar pada pukul 10:08:07 malam, 24 Mac 2012.

Dengan penuh harap dan dengan penyerahan yang total, aku bersolat hajat sempena hari ulang tahun kelahiran ayah. Dengan harapan, mudah-mudahan ayah disembuhkan dari penyakitnya dan sekali gus dipanjangkan umur. Ya, tiada yang tidak mungkin dengan izin Allah dan tiada yang mustahil dengan kehendak Allah, namun kerja Allah tak siapa yang tahu. 

Pukul 4.30 pagi, 25 Mac 2012, abangku menelefon memberitahu ayah dalam keadaan nazak. Aku mula gelabah dan terus bersiap siaga untuk pulang ke kampung. Setengah jam kemudian, abang mengkhabarkan berita duka, ayah sudah tiada….

 “Innalillahiwainna-ilaihirajiun."

Sedih, terkejut ,resah dan gelisah saling bertindih dalam jiwa. Sedih sebab aku tiada di sisi ketika ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Resah dan gelisah kerana keretaku masih kat workshop setelah terlibat dalam kemalangan, lantas aku meminta bantuan seorang sahabat untuk menghantarku ke stesen teksi di Terminal Bas Medan Gopeng.

Syukurlah ada teksi yang sudi ke Kelantan dengan tambang RM460.00. Juga resah dan gelisah, kerana takut tidak sempat menatap wajah ayah buat kali terakhir. Syukur kepada Allah, kerana aku sempat menatap dan mengucup dahi arwah ayah. Amat bersyukur kerana aku dan adik beradik sempat memandi,mengkafan dan menyembahyangkan, serta sama-sama mengebumikan jenazah ayah. Selamat Jalan Ayahku Tercinta, Semoga Damai Kau Di Sana.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu 

Artikel Sebelumnya: Dalam Dompet Seorang Ayah

14 comments :

  1. harta yg bernilai buat ibu dan ayah, adalah anak yg soleh. jadi balaslah jasa mereka dengan sentiasa mendokan mereka di sana

    ReplyDelete
  2. sebak baca entry ni.. teringat ayah dan mak kat kampung.. di usia begini mereka amat memerlukan perhatian anak2..

    moga ayah Shameel damai di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang2 yang beriman.. al-Fatihah..

    ReplyDelete
  3. Innalillahiwainna-ilaihirajiun.. arwah ayah saya telah meninggal dunia 18tahun yang lepas.. bersama-sama kita berdoa supaya roh arwah dicucuri rahmat oleh ilahi&tempatkan di kalangan orang yang beriman..

    ReplyDelete
  4. Tulus Sweet
    Benar tu Tulus. Doa anak yg soleh adlh antara penyumbang pahala yg berterusan selain ilmu yg dimanfaatkan dan sedekah yg dihulurkan.

    ReplyDelete
  5. HiDaHiDa.
    Sbnrye apabila org tua berada dlm lingkungan 65 tahun ke atas, kita sebagai anak perlu lebih dekat dan akrab dgn mereka sbb usia tersebut adalah bonus dari Allah.

    ReplyDelete
  6. Mizz Aiza.
    Terima kasih atas ingatan.. yer sama2lh kita mendoakan agar roh org tua kita damai di sana.

    ReplyDelete
  7. al-fatihah...semoga shameel tabah hadapi dugaan nie...

    sesungguhnye kehilangan itu sesuatu yg perit untuk di telan...

    ReplyDelete
  8. org yang pernah merasa kehilangan insan tersayang....saja yg akan mengerti perasaan kita ni. Sedih..Allah saja yg tahu tp itu sudah tertulis. Sedih bukan bererti kita tak redha..

    ReplyDelete
  9. Kekal tabah ya .. huhu ..
    Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman ...

    ReplyDelete
  10. Zura Zue.
    Mmg perit utk ditelan tapi terpaksa juga ditelan.

    ReplyDelete
  11. AinSophian .
    Benar tu Ain. Saya kehilangan ketika saya jauh di tmpt org dan dtimpa musibah kemalangan.

    ReplyDelete
  12. Nazmin Nazifa εїз.
    trima kash In ats doanya.

    ReplyDelete
  13. Al-Fateheh utk arwah Shameell...
    Arwah ayah okje pun dah meninggal jugak tahun 1999...masa dia sakit dulu dia suka sangat makan mee penang...dia cakaplah... padahal laksa penang!..Alfatehah utk my dad jugak!

    ReplyDelete