Sunday 20 January 2013

Salman Khan Tidak Bersetuju Dengan Amalan Dan Kepercayaan Segelintir Umat Islam Di India.


Sebelum melanjutkan bicara, ingin saya tegaskan, sesungguhnya saya bukanlah peminat Salman Khan dan tidak juga pengemar filem Hindi. Umum mengetahui Salman Khan adalah antara bintang Bollywood yang beragama islam.

Setakat manakah dia menghayati dan beramal dengan ajaran islam yang dianuti, itu bukanlah topik yang ingin saya perkatakan. Cuma, saya tertarik dengan sikap dan pandangan Salman Khan terhadap agama islam yang dianutinya, termasuklah dalam persoalan korban. 

Sejujurnya saya tidak pasti, adakah beliau menentang amalan korban atau beliau tidak menyetujui amalan-amalan tertentu yang dianggapnya metos dalam ibadat korban. Andainya yang ditentang itu adalah ibadat korban, maka Salman Khan telah terpesong dan tersasar dari paksi agama. Namun, jika yang ditentangnya itu adalah amalan-amalan tertentu yang dianggapnya sebagai metos, maka ia perlu dilihat dengan teliti dan dibahas dengan terperinci. 

Sebenarnya saya ingin memperluaskan topik ini dan tidak membataskannya kepada persoalan ibadat korban sahaja. Saya ingin menyentuh persoalan islam dan keislaman yang bersangkut paut dengan hidup dan kehidupan umat islam di sana.

 Apakah yang dimaksudkan sebagai budaya islam oleh Salman Khan?

Mengapa beliau tidak sepakat( mungkin istilah tidak menyetujui adalah lebih tepat) dengan budaya islam di negaranya, lantas ingin menentang budaya tersebut?

Merujuk kepada perenggan terakhir: “ Bukan tidak sepakat dengan agama yang dia anut(islam). Salman berasakan kepercayaan masyarakat India terlalu berlebihan. Selama ini orang di India dikelilingi oleh pelbagai tradisi yang tidak betul.” 

Berdasarkan kenyataan ini, hati saya cenderung untuk beranggapan, Salman Khan bukanlah mempertikaikan agama islam yang dianutinya itu. Cuma, beliau tidak menyetujui tradisi dan kepercayaan karut yang berdarah daging dalam hidup dan kehidupan umat islam di India.

ISLAM DI INDIA(antara agama,tradisi, mitos dan kepercayaan karut). 

Tidak dinafikan India adalah antara negara yang memiliki umat islam teramai di dunia. Tidak dinafikan juga, India telah melahirkan ramai ulama yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Antaranya ialah Syah Waliyullah al-Dihlawi dan Anwar Shah Kashmiri(sekadar menyebut dua tokoh sahaja). Umum mengetahui, di India juga terdapat institusi pendidikan islam yang terkenal, antaranya ialah Darul Uloom ,Deoband. Terdapat beberapa orang ulama Malaysia yang pernah menuntut di sini, antarnya ialah MB Kelantan(TGNA) dan bekas Mufti Selangor, Allahyarham Dato Ishak Baharom.Namun, semua ini tidak berupaya membersihkan umat islam di India dari kekotoran Khurafat yang bermaharajalela sejak sekian lama.

Di sini, saya ingin berbicara berdasarkan pembacaan dan pengalaman. Saya berpendapat, meneliti hasil tulisan para pengkaji(ulama dan ahli akademik) dan memerhatikan dengan mata sendiri merupakan kaedah terbaik untuk menyingkap sesebuah peristiwa atau menyelongkar sesuatu situasi di mana-mana lokasi.

Tentang hasil tulisan para pengkaji, apabila memperkatakan permasalahan umat islam di India(termasuk juga di Pakistan dan Bangladesh),topik Bralvi adalah antara topik yang disentuh. Maaf, saya tidak ingin mengulas isu ini. Cuma, antara yang menarik perhatian saya ialah hasil kajian seorang penulis kelahiran Bangladesh. Maaf saya lupa namanya dan judul buku tersebut, ini disebabkan buku tersebut pernah saya baca sekitar empat tahun lepas. Tapi untuk memahamkan diri tentang secebis kisah karut marut segelintir umat islam di India, artikel yang pernah ditulis oleh MAZA ini amat membantu, lihat, SINI 

Kembali kepada tajuk, saya pernah ke beberapa tempat di India. Antaranya ke Delhi, Jaipur dan Agra serta Kashmir. Sepanjang berada di sana dapat saya perhatikan betapa menebalnya karut marut dan khurafat dalam kalangan umat islam di sana. Sebaik sahaja melangkah kaki ke mana-mana masjid(kecuali masjid tertentu seperti Jamaa Masjid di Delhi), pasti anda akan disambut dengan khurafat yang maha dahsyat. Amalan memuja kubur begitu segar dan bugar dalam hidup dan kehidupan segelintir umat islam di sana. Di mana-mana sahaja masjid di tempat yang saya lawati(kecuali Kashmir kerana kesuntukan masa), pasti sahaja akan terdapat kubur-kubur yang dikeramatkan dan dipuja. Kubur tersebut didakwa milik Holly Man, iaitu tokoh-tokoh Sufi atau manusia yang dianggap sebagai wali. Kubur tersebut akan dikelilingi para pengunjung, sebagaimana para jemaah haji mengelilingi Kaabah. Ada antara mereka yang berdoa, dan ada juga yang meratap, malah lebih teruk dari itu ada juga yang bersujud di kubur tersebut.

Malah di lokasi pelancongan yang terkenal iaitu di Fatehpur Sikri yang terletak di Agra, Uttar Pradesh,amalan memuja dan menkeramatkan kubur begitu berleluasa. Di sini, terdapat kubur Sheikh Salim Chistie, seorang tokoh Sufi yang pernah memainkan peranan penting dalam sejarah Dinasti Mughal. Mengikut catatan sejarah, Maharaja Akbar telah menemui Sheikh Salim Chistie setelah ketiga-tiga permaisurinya gagal melahirkan anak. Berkat doa Sheikh Salim Chistie, permaisuri yang beragama Hindu akhirnya mengandung dan melahirkan seorang putera. Maharaja Akbar mempunyai tiga orang permaisuri/isteri, iaitu permaisuri yang beragama islam dari keturunan Turki, permaisuri beragama Krsitian yang berketurunan Portugis dari Goa dan permaisuri beragama Hindu dari wilayah Rajput.

Walaupun Dinasti Mughal sudah lama berakhir dan Sheikh Salim Chistie telah lama meninggal, namun ‘auranya’ masih bersisa dan berbaki. Ini kerana, sampai ke hari ini, kubur Sheikh Salim Chistie masih lagi dipuja dan dikeramatkan oleh segelintir umat islam di sana. Pengunjung dari pelbagai agama dan bangsa, akan menulis hajat mereka pada cebisan kertas dan kertas tersebut akan digulung lalu diberikan kepada penjaga kubur tersebut(mungkin dikenakan sedikit bayaran) untuk didoakan. Tidak cukup dengan itu, air hujan atau embun yang menimpa di atas bumbung kubur Sheikh Salim Chistie juga turut dipuja dan dimuliakan dan dianggap sebagai air suci. 

Jadi, andainya yang tidak dipersetujui oleh Salman Khan itu adalah sistem kepercayaan atau tradisi yang membelit agama islam yang dianuti oleh segelintir umat islam di India, maka ia adalah wajar dan waras. 

P/S: Sengaja saya menggunakan perkataan segelintir atas dasar ingin berprasangka baik, sebabnya terdapat juga pengkaji yang mengatakan terlalu ramai umat islam di sana yang tersasar akidahnya dan terkeluar dari daerah islam lantaran khuaraft yang begitu bermaharajalela.

4 comments :

  1. Awak ni mmg banyak membacakan Shameel...tq perkongsian yang harus akan lupa cepat ni...he..he...sebab ilmu yg disuap akan cepat hilangnya dpd ilmu yg di baca sendiri!

    ReplyDelete
  2. hainom OKje .
    Nak kata byk membaca tu taklah jugak cuma membaca tu sebahagian drp hobi sy sejak dulu lagi..

    ReplyDelete
  3. ermm... dari pembacaan di atas mmg segelintir dari masyarakat India nyata2 tergelincir dr landasan Islam yg sebenar nya..dah lama jg tau, lihat saja pelakon2 mrka..suka2 hati khawin lain2 agama.. lepas tu suami suka2 hati jg membenarkan isteri mrk mengamalkan budaya mrk.. erm.. tak tau apa nak jdi.. lihat sj Shah Rukh Khan.. Islam tapi hidup lebih kpd Hindu..susah kan cikgu, bila mrk sdh tidak dpt membezakan mana yg dituntut oleh agama Islam & mana satu amalan khurafat turun temurun:)

    ReplyDelete
  4. aTieYusof Family .
    Apa yg sy paparkan adlh hasil pemerhatian sy ketika berkunjung kt sana dan juga menerusi pembacaan. Tentang artis mereka yg muslim tu mmg sgt parah akhlak dan akidahnya.. SRK contohnya seringkali dikatakan memakai salib dan yg pasti acap kali berlakon watak non-muslim dan menyembah berhala.

    ReplyDelete