Saturday 11 February 2012

Kelantan rampas persada liga Super




KELANTAN kembali menguasai persada Liga Super selepas menundukkan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu tatkala pendahulu sebelumnya, Perak tersungkur 1-0 di tangan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Norshahrul Idlan Talaha membuktikan kehebatannya sebagai penjaring prolifik apabila memperdayakan dua pertahanan sebelum membuka jaringan The Red Warriors pada minit ke-36.

Kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi menambah jaringan pada minit ke-52 sebelum skuad Mat Zan Mat Aris memperoleh gol tunggal menerusi Abdul Manaf Mamat pada masa kecederaan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Perak kehilangan status pendahulu apabila tumpas 0-2 kepada T-Team, menerusi jaringan pemain import tuan rumah, Bojan Petric (m-56) sebelum Zairo Anuar Zailani mengukuhkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-88.

Di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah berkongsi satu mata dengan Sabah selepas terikat 2-2 dengan pelawat terlebih dulu membuka jaringan menerusi Sharudin Yaakup (m-21) sebelum Kenari bangkit meledak dua gol menerusi Khyril Muhymeen Zambri (m-29) dan Faizal Abu Bakar (m-38).

Sharudin memastikan satu mata buat Sabahawks apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-56 sebelum anak buah Justin Ganai kehilangan seorang pemain selepas Brendan Gan dibuang padang pada minit ke-73 kerana mengasari Baddrol Bakhtiar.

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, PKNS merakamkan kemenangan sulung musim ini selepas menewaskan pasukan yang berdepan masalah ketumpulan penyudah, Selangor 2-0.
Gol PKNS terhasil menerusi rembatan Rudie Ramli pada minit ke-33 dan tandukan Helmi Remeli pada minit ke-60, tatkala Selangor terus buntu tanpa penyerang import, Bosko Balaban yang masih belum mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII mula menunjukkan kemampuan sebenar untuk mencabar kejuaraan musim ini selepas mengatasi Negeri Sembilan 3-1 hasil jaringan kapten Shahril Ishak (penalti m-30, m-60) dan Shahdan Sulaiman (m49) manakala pelawat mendapat gol sagu hati menerusi pemain gantian, Firdaus Azizul.

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak memperoleh kemenangan kedua musim ini selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan FELDA United 2-1 walaupun ketinggalan menerusi jaringan Mohd Firdaus Faudzi (m-42).

Tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Vedran Muratovic (m-45) sebelum Ashri Chu Chu meledak gol kemenangan pada minit ke-85.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Kuala Lumpur terus kempunan selepas tewas 0-2 kepada Johor FC, hasil jaringan Haris Safwan Kamal (m-6) dan tolakan Jasazrin Jamaluddin (m-83).

Sumber : Berita Harian

No comments :

Post a Comment