Sunday 15 January 2012

Kontroversi Di Sebalik Penggunaan Wang Zakat Untuk Membiayai Kos Guaman Dato Seri Jamil Khir Baharom.



Allah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 60 :

"Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".



Isu ini mula diperkatakan apabila Ketua Audit Negara(menerusi laporannya) mengesahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman menghadapi kes permohonan qazaf Anwar.

Isu ini semakin menarik apabila Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Wan Zahidi Wan Teh menegaskan penggunaan wang zakat untuk kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan islam. Dan ia termasuk dalam asnaf fisabilillah

Di sini saya tidak berminat untuk membicarakan pandangan Mufti tersebut. Beliau orang yang mempunyai kefahaman dalam agama dan beliau juga turut menyatakan kitab tertentu dan ulama tertentu sebagai rujukan. Betul atau salah pandangan yang dilontarkan, itu urusan beliau dengan Allah. Saya tidak ingin mengkritik ‘ijtihadnya’, memandangkan saya ini terlalu kerdil berbandingnya dari aspek kefahaman dalam agama.

Tapi perlu juga untuk saya maklumkan tindakan memberikan wang zakat untuk membiyai kos guaman Datuk Jamil Khir ini telah ditegur oleh Dr Maszlee Malik(sengaja saya memetik pandangan dari tokoh agama yang berada di luar lingkungan parti ‘maksudnya bukan PAS dan tidak juga UMNO’),iaitu seorang pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarbangsa Malaysia(UIAM). Beliau membuat ulasan ringkasan dalam facebooknya tentang isu ini.

"Zakat is for the development of society's well-being (be them Muslims or not) and NOT for the minister's lawyer fee!" Dr Maszlee Malik.

Mungkin ada yang mengatakan, siapalah Dr Maszlee Malik untuk mengkritik tindakan MAIWP ini. Jadi amat perlu dan sangat penting untuk kita melihat kelayakan dan tahap keilmuan Dr Maszlee Malik, sila klik(wajib klik):> SINI.

Cukuplah setakat itu dan sekali lagi saya tegaskan, saya tidak berminat untuk membicarakan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan. Saya hormatinya dan sekali gus menyanjungi para Mufti selaku pengeluar fatwa. Cuma, di sini saya ingin perkatakan soal KEUTAMAAN dan NATIJAH di sebalik isu ini.

KEUTAMAAN.
Jika sekiranya pandangan Mufti Wilayah Persekutuan itu tepat dan benar(harap-harap ia tepat dan benar, kerana ia dilontarkan oleh seorang mufti yang pastinya arif dalam persoalan agama), namun timbul pula persoalan keutamaan, iaitu mana yang harus didahulukan/diutamakan dan mana yang perlu dikemudiankan/dikesampingkan. Dalam persoalan ini Fiqh al-Awlawiyat perlu difahami.

Fiqh bermaksud kefahaman. Lazimnya ia dikaitkan dengan hukum, maka dengan itu ia bermaksud kefahaman terhadap sesuatu hukum. Al-Awlawiyat berasal dari perkataan “Awla” yang bermaksud utama, unggul dan penting. Apabila dihubungkan menjadi Fiqh al-Awlawiyat, ia bermaksud kefahaman dalam membezakan hukum ke arah yang lebih utama, lebih unggul dan lebih penting.

Sebagai contoh, peruntukan zakat dibolehkan untuk diagihkan kepada orang-orang bukan islam mengikut peruntukan muallaf. Ini kerana muallaf turut merangkumi golongan bukan islam, dan diberikan zakat untuk menjinakkan hati mereka kepada islam. Malah, andainya orang bukan islam itu terdiri dari golongan miskin, mereka juga berhak menerima peruntukan zakat mengikut peruntukan fakir miskin. Namun, persoalan keutamaan perlu dilihat dan diteliti. Wajar dan waraskah, andainya kita berlumba-lumba memberikan zakat kepada orang-orang bukan islam, sedangkan dalam masa yang sama berlambak umat islam yang hidup dalam kefakiran dan kemiskinan. Malah, dalam Buletin Utama TV3 pernah disiarkan kisah sebuah keluarga(melayu/islam) yang tinggal bersama kambing-kambing belaannya di dalam kandang, lantaran kefakiran dan kemiskinan.

Senario sekarang, masih ramai umat islam di Malaysia yang dihimpit kemiskinan dan diasak dengan pelbagai masalah hidup yang mencengkam. Menyaksikan Bersamamu TV3 saban minggu, pasti sahaja ada episod duka(miskin dan daif) yang menyelubungi umat islam di seluruh pelusuk negara. Mungkin ada yang beralasan, itu semua berlaku di luar wilayah Persekutuan. Tapi harus diingat, wang zakat boleh dipindahkan dari sesebuah negeri/negara ke negeri/negara yang lain.

Bukan itu sahaja, lambakan ibu tunggal yang hidup menderita juga tidak pernah surut dan susut di negara kita. Pasti sahaja, mereka lebih memerlukan wang zakat berbanding Menteri yang pastinya mempunyai gaji dan elaun bulanan yang sangat lumayan. Paling menyedihkan, pelbagai karenah birokrasi terpaksa ibu tunggal ini tempuhi untuk mendapatkan wang zakat sebanyak RM100.00, hinggakan segelintir mereka terpaksa mengemis simpati gereja. Tapi dalam masa yang sama, amat senang dan sangat mudah untuk seorang Menteri mendapat wang zakat sebanyak RM63,650 bagi membiayai kos guaman. Kepada sahabat dan pembaca, tolong hayati cerita salah seorang daripada 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad, sebagaimana dipaparkan di laman sesawang Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta pula keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak. Dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya. Lebih lanjut, lihat SINI

Di negara kita juga, berlambak mahasiswa yang ‘bernafas dan bernyawa’ melalui mesin bantuan pernafasan bergelar PTPTN. PTPTNlah yang menjadi denyut nadi dan degup jantung mereka untuk mengengam kejayaan. Tanpa PTPTN, hayat akademik mereka boleh bernoktah bila-bila masa sahaja. Jadi amatlah wajar dan sangatlah waras untuk mengutamakan mereka dalam pengagihan zakat. Mereka sangat layak kerana mereka tergolong dalam asnaf fisabilillah dan mereka juga berada dalam kategori orang yang berhutang(ASNAF AL-GHARIMIN). Lebih layak lagi jika mereka terdiri pula dalam kategori miskin(ASNAF MISKIN).

NATIJAH:
Sebab dan akibat amat perlu untuk diambil peduli, termasuklah dalam isu pemberian wang zakat untuk membayar kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom. Berita Harian, Jumaat(13.1.2012) melaporkan, jumlah zakat yang berjaya dikumpul oleh MAIWP sepanjang 2011 ialah sebanyak RM341juta. Persoalannya, siapakah penyumbang kepada zakat tersebut? Pasti sahaja umat islam dari pelbagai parti yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan. Apakah yang bakal berlaku andainya penyokong Pakatan Rakyat memboikot MAIWP dan bertindak memberikan zakat kepada orang-orang yang difikirkan layak menerima zakat tersebut. Ini tidak mustahil untuk berlaku memandangkan mereka beranggapan MAIWP telah menyalahgunakan zakat untuk kepentingan ahli-ahli politik dari Barisan Nasional. Dan, jika ini berlaku pasti sahaja jumlah kutipan yang mencecah jutaan ringgit ini akan surut dan susut, seiring dengan terhakis dan terkikisnya imej dan nama baik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAIWP)

INFO TAMBAHAN:
Maksud Asnaf Fisabillah : bahawa maksud asnaf Fisabilillah itu adalah setiap perbuatan atau perkara yang menjurus kepada keperluan dan maslahah untuk menegakkan syiar Islam (Fatwa Agihan Zakat Selangor, 1994).

Maka, di dalam asnaf fisabilillah itu termasuklah juga pembiayaan kepada penuntut di pelbagai bidang, seperti perubatan dan kejuruteraan dan tidaklah hanya tertakluk kepada penuntut di bidang agama sahaja.

12 comments :

  1. nice entry cikgu...takbiirr!

    ReplyDelete
  2. Hari ini...apa yg TIDAK BOLEH akan DIBOLEHKAN...bukan sedikit jumlah yg digunakan...sedangkan yg LAYAK menerima belum tentu LAYAK mendapatkannya...

    ReplyDelete
  3. nahmy.
    Sekadar merungkai isu panas, nak sejukkan tak mampu jadi rungkai jer lah

    ReplyDelete
  4. Eye_nee.
    Ttg isu bayaran guaman guna wang zakat tu sy x pasti boleh or tidak. Cuma dari segi keutamaan ia mmg tak waras dan tak harus sbb jumlah yg sebegitu besar sepatutnya disalurkan kpd golongan yg lebih memerlukan.

    ReplyDelete
  5. aku heran kenapa wang zakat perlu disimpan bertahun hingga berjuta
    sedangkan zakat dibayar setiap tahun

    bukankah elok diberikan sahaja kepada yang berhak

    satu lagi, kenapa duit zakat perlu dipohon?
    bukankah lebih sopan kalau pegawai zakat yang turun ke bawah mencari orang miskin?
    lagi pun mereka dibayar gaji

    ReplyDelete
  6. tehr .
    setuju sekali tehr. Sepatutnya pegawai zakat yg turun cari org2 yg memerlukn zakat dan bukannya menunggu dipohon bantuan zakat

    ReplyDelete
  7. sesuatu yg perlu diutamakan kini jarang benar dapat diutamakan

    dimana penghayatan zakat itu sebenarnya

    ReplyDelete
  8. eh rasa mcm dah komen tadi, komen saya hilang eh shameel?

    ReplyDelete
  9. Titisan Hujan.
    itulah sebabnya Fiqh al-Awlawiyat(fiqh keutamaan) perlu difahami.

    ReplyDelete
  10. Afida Anuar.
    Heheheh. Afida komen kat blog lain kot.

    ReplyDelete
  11. eh betul..komen kat cni shameel!..isk.. takkan hantu sorok komen kot!..hehe

    Saya komen...saya kata lebih kurang macam ni.. hatta kalau takde sorang dah fakir miskin kat malaysia pun, nak guna wang zakat tuk bayar bil guaman dato tu rasa mcm tak kena je..entah..

    ReplyDelete
  12. Afida Anuar.
    Blog saya ada penunggu kot. hehehe. Kalau dah xde sorg pun fakir miskin yg beragama islam(dan lain2 asnaf dah dipenuhi tuntutan), bagi sahaja zakat tu kpd fakir miskin yg bukan islam. Kalau dah semua rakyat malaysia kaya raya, agihkan jer zakat tu ke somalia dan lain-lain negara miskin. Ini lebih baik dan lebih mulia dari diberi utk kos guaman.

    ReplyDelete